Showing posts with label Bicara Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Bicara Kehidupan. Show all posts

Saturday, January 13, 2018

Mencari Kalam-Nya

 Pantai Tanjung Balau, Johor

Pantai Tanjung Balau, Johor

Bismillahirahmanirrahim

Alam ini indah dalam damai sahabat. Ia adalah lukisan hidup, ciptaan Allah SWT yang Maha Agung. Jika dibandingkan dengan lukisan ciptaan manusia, tidak terbanding perbandingannya. Kita hidup di dalamnya. Bersuka ria tanpa kata. kalaulah semua keindahan ini kekal tanpa dimusnahkan pasti akan lebih indah dan damai selamanya. Cintailah alam kita sahabat.

# bahasa alam bahasa qalbi
# keindahan alam semulajadi
# cintai alam sekitar kita

Monday, July 17, 2017

Cerita Di Balik Gambar



Bismillahirahmanirrahim

Jumaat lalu jumpa makhluk ciptaan Allah SWT ini ketika sedang beriadah di sebuah taman. Melihatnya membuatkan bayangan sewaktu masih kanak-kanak rebina dan semasa arwah ibu masih ada bermain di fikiran. Suatu ketika dulu inilah sebahagian daripada haiwan ternakan keluarga besar saya. Sang Angsa dan Si Itik yang comel. Pagi-pagi lagi riuh-rendah alam dengan bunyian merdu mereka di kolam ikan. Begitu juga ketika menjelang senja. 


Hmmm, teringat kenangan ketika dikejar angsa. Bersungguh-sungguh lari masa itu. Sekarang, semua itu tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kolam ikan yang tidak nampak seperti kolam lagi. Ya, waktu telah membunuh segalanya. Walau peristiwa-peristiwa itu kekadang terusik di laman nurani, namun yang pastinya masa telah mengubah semua nostalgia silam. Yang tinggal hanyalah kenangan-kenangan yang terus tersimpul erat dan bersemadi di kalbu. Moga memori-memori ini tidak luput dari bayang ingatan. Insya Allah, Aminn


# memori zaman rebina
# keindahan yang fana
# segalanya sudah tertulis dalam siratan takdir
# dan kita hanyalah penenangnya


Friday, July 7, 2017

Apa Yang Terucap Di Hati 4


Bismillahirahmanirrahim

" Jika kita diberi dua pilihan, antara gelap dan cahaya maka pilihlah cahaya. Jika kita berada dalam kegelapan maka carilah sinar cahaya. Jika kita melalui lorong kegelapan maka pergilah ke lorong yang bercahaya tapi jika kita tidak menemui cahaya itu, maka berdoalah pada-Nya supaya kita diberi petunjuk dan panduan dalam menempuhi kegelapan."

" Ramai di luar sana yang mahu menyendiri tanpa melakukan apa-apa, padahal menyendiri dengan mengingati-Nya, itu lebih afdhal daripada menyendiri tanpa mengingati-Nya."

" Jangan berhenti berfikir, berfikirlah! sebelum semua anugerah itu ditarik kembali oleh-Nya. Berfikirlah sebanyak mana yang kamu suka dan terdaya. Kerana dengan berfikir, kita akan menguasai kehidupan."

Monday, July 3, 2017

Kebesaran-Nya

Panorama indah di atas langit dari Kota Kinabalu ke Johor






Bismillahirahmanirrahim

Allah SWT mempersembahkan kebesaran-Nya. Sesuatu yang indah untuk dinikmati oleh kita semua. Subhanallah, suasana senja di ufuk barat dari udara berketinggian 35000 kaki. Moga kita tidak pernah lelah menikmati ciptaan-Nya sahabat semua. Insya Allah, aminn

Sunday, July 2, 2017

Alam ini Indah, sahabat

Kota Kinabalu, Sabah

Bismillahirahmanirrahim

Aku ingin mencintai alam
mencintainya segenap qalbu
moga ia sentiasa indah di mata
dan indah di hati juga.

Alam ini indah sahabat semua. Sungguh indah. Alam sangat mencintai kita tapi kita jarang menghargainya. Kalaulah....kalaulah semua keindahan ini kita hargai dan kita renungi, pastinya tidak akan ada makhluk yang merana di dunia ini. Aduhaiiii, berdoalah kita agar kita menjadi hamba-Nya yang mencintai alam. Insya Allah, aminn



Friday, May 19, 2017

Gunung Pulai, Pendakian Yang tidak Dirancang

Bismillahirahmanirrahim

19. 05. 2017 (Jumaat}

Menawan Puncak Gunung Pulai adalah satu pendakian yang tidak dirancang oleh kami bertiga. Awalnya kami hanya ingin menikmati keseronokan dan keindahan air terjun di kaki gunung sahaja tetapi tidak sangka boleh memulakan pendakian sampai ke atas sekaligus menawannya dengan bertemankan sebotol air mineral, setin 100 plus dan keropok manis. Namun kepuasan jelas terpancar di wajah masing-masing setelah turun dari puncak. Mungkin akan naik lagi suatu hari nanti dengan perancangan yang rapi ataupun hanya akan melihat puncak gunung ini dari jauh sahaja. 

# Salah satu traning untuk pendakian puncak gunung yang seterusnya. Insya Allah, aminn
# Melihat keindahan alam di puncak gunung, Subhanallah



Wednesday, May 10, 2017

Sempatkah Aku Melakukan Segalanya?


Bismillahirahmanirrahim

Masihkah aku
masihkah aku
masihkah aku Ya Allah!

Masihkah aku sempat membalas sayangnya?
masihkah aku sempat membalas jasanya?
masihkah aku sempat membalas pengorbanannya?
masihkah aku sempat melihat senyumannya?
masihkah aku sempat melihat kegembiraan di matanya?
masihkah aku sempat mengubati lukanya?
masihkah aku sempat membahagiakannya?
masihkah aku sempat memeluknya?
masihkah aku sempat memohon keampunannya?
masihkah aku sempat membisikkan kalimah ini?
" saya sayang ayah, sayang ayah selama-lamanya".

Masihkah aku?
masihkah aku?
mengenangkan usianya yang sudah pun lewat
semakin menginjak ke angka 80-an
bagaikan itu mustahil untuk kulakukan.
mengingatkan diriku yang jauh di perantauan
mahu menjenguknya memerlukan ongkos
mahu menelefonnya, telefonnya pun tiada
sudah hilang entah ke mana
sampai sekarang tak berganti
memandangkan usianya yang lanjut
maka sikap lupa sudah menjadi rutin hariannya.

Ayah...appa
ampunkan anakmu ini
ampunkan saya ayah
masih terkenang diri ini
bagaimana sanggup kulukakan hatinya
ku lepaskan pelukan rindunya
saat dia memelukku buat pertama kali
tika ku pulang beberapa tahun yang lalu
menampakkan diriku sebagai anak derhaka
ya Allah, dosaku bertimbun pada ayah.

Masih kukenang saat itu
dia membalut luka hatinya dengan menungan
di ruang beranda yang menjadi kerinduanku semasa kecil
mungkin menimbal balik sikapku terhadapnya
ataupun mengenang memori 
saat dia menjagaku semasa kecil hingga dewasa
melihatnya membuatku merintih
memohon keampunan yang tak mampu kuluahkan.
aku menyesali apa yang kulakukan
lalu aku terus menangis, tangisan yang 
hanya kuluahkan kepada illahi
" Ya Allah, sungguh aku berdosa kepada ayahku. 
Aku melukakan hatinya dengan sikapku. 
Apakah aku mendapat keampunannya.
Apakah juga aku mendapat keampunan-Mu Ya Allah?
Sungguh aku biadab dengannya. 
Bagaimana caranya aku mengubati luka di hatinya?"

Ya Allah, Ya Rabbi
aku mohon kasih sayang-Mu
ampunilah dosa kedua orang tuaku
sayangilah mereka seperti mana
mereka menyayangiku ketika kecil.
Ya Allah, bukakanlah pintu syurga-Mu untuk mereka
sungguh, mereka sudah banyak menderita di dunia
maka bahagiakanlah mereka di sana nanti
dan rahmatilah keduanya.
aku sayang mereka Ya Rabb
maka ku mohon kasih-sayang-Mu untuk mereka.
aminn

Monday, May 8, 2017

Motivasi Diri


Bismillahirahmanirrahim

Rasa ini tetap sama. Tidak pernah berubah walau waktu terus bergulir. Ya Allah...aku redha dengan apapun ketentuan-Mu. Hanya Engkau yang tahu hikmah di sebaliknya. Sungguh, ia adalah ujian yang kau berikan untukku agar tetap berdiri di landasan-Mu. Mengingati-Mu setiap detik. Mengharap keredhaan-Mu untuk akhirat yang kekal abadi. Ya Allah, tiada apapun di dunia ini kerana semuanya milik-Mu. Ya Allah, moga ada kebaikan dan manfaatnya kepadaku. Insya Allah, aminn.

Tuesday, April 25, 2017

Bicara Kehidupan


Bismillahirahmanirrahim


Sarang Lelabah

Sarang ini banyak terdapat di padang-padang rumput sewaktu embun menitis pada waktu dinihari, sebelum matahari menyerakkan bahangnya ke segenap alam. Saya suka mencari sarang ini suatu ketika dulu, sewaktu bergelar ' pucuk muda'. Zaman kecil yang hanya tahu berseronok. Tidak memikirkan mehnah dunia. Gambar ini mengingatkan saya pada gemulah ibu yang begitu banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Gambar ini juga mengingatkan saya pada gemulah abang yang pergi dulu meninggalkan kami. Dengan dialah, kami akan mencari sarang ini di segenap tempat di laman rumah lantas memusnahkannya tanpa memikirkan buruk baiknya. Sungguh, alangkah kejamnya kami masa itu dan alangkah jahilnya kami dalam membezakan buruk dan baik sesuatu perkara. Saya sangat rindukan arwah ibu dan arwah abang. Sungguh, moga mereka berdua bahagia di alam sana. Moga syurga tertinggi untuk keduanya. Insya Allah, aminn.



Ladybird (Kekabuh kura-kura)

Kumbang ini banyak terdapat di pokok limau. Masa kecil-kecil saya dan adik-adik suka sangat bermain dengan mereka. Adakalanya kami akan memisahkan mereka daripada keluarga. Ada masanya kami akan membiarkan mereka merayap di badan sebelum terbang ke tempat lain. Selalunya mereka muncul tika pagi menjelma dan kami seusai subuh pasti akan mencari mereka di segenap pohon-pohon yang tumbuh melata di laman rumah. Namun seiring waktu bergulir, mereka hilang seiring kemusnahan alam dan kedewasaan kami melenyapkan keseronokan yang pernah ada suatu ketika dulu. Sungguh, saya sangat rindu akan mereka. Gambar ini saya ambil di tempat kerja dan saya rasakan barangkali ini adalah pertemuan kami yang terakhir. Moga kami akan bertemu lagi pada masa akan datang, menunjukkan alam masih terpelihara seperti dulu. Insya Allah, aminn

Monday, January 30, 2017

Terima Kasih Ibu


Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmatnya Allah Swt. Insya Allah, aminn. Sahabat, tadi saya mendengar kisah tentang ibu dari laman Youtube yang diceritakan oleh saudara Syamsudin Nur. Kisah seorang anak yang merasakan ibunya tidak menyayanginya lantas berfikir bahawa ibunya seorang yang jahat lalu lari dari rumah. Menjelang tengah hari, dia berasa lapar lalu pergi ke sebuah warung namun memikirkan tiada wang maka anak kecil ini cuma berlegar-legar di sekitar warung itu sahaja.

Apabila melihat gelagat anak kecil itu, pemilik warung tersebut lantas memanggilnya lalu memberinya makan secara percuma. Maka anak ini makan dengan lahapnya. Selesai makan anak kecil ini mengucapkan terima kasih pemilik warung tersebut atas budi baiknya. Malah dia juga turut menyatakan bahawa pak cik (pemilik warung) ini seorang yang baik, tidak seperti ibunya yang tidak menyayanginya.

Mendengar perkataan yang keluar dari bibir anak kecil itu, Pak cik ini berasa hairan lantas bertanya mengapa anak kecil ini menyatakan sedemikian rupa. Apabila mendengar ceritanya, lantas pak cik ini menyuruh si anak ini pulang ke rumah dan memintanya untuk mengucapkan terima kasih kepada ibunya. Dia menyatakan kepada anak kecil ini bahawa ibunya sangat menyayanginya. Setiap hari ibunya akan memberinya makan, membasuh bajunya dan melakukan kerja-kerja lain untuk memberi keselesaan kepadanya. Itu adalah bukti bahawa ibunya sangat sayang padanya. 

Pak cik ini juga menyatakan bahawa dia hanya memberinya makan sekali sahaja lantas si anak mengucapkan terima kasih dan mengatakan dia seorang yang baik padahal ibunya yang setiap hari memberinya makan dianggap jahat dan tidak berterima kasih kepadanya. Bagaimana mungkin hal ini berlaku. Di mana terima kasih kita sebagai anak kepada seorang ibu yang membesarkan kita?

Sahabat semua, Kisah ini sangat memberi manfaat kepada kita. Mendengar kisah ini membuatkan saya teringat kepada arwah ibu saya. Ibu saya seorang yang boleh dikatakan sangat tegas orangnya. Jika salah sikit maka air mata pasti keluar diselangi dengan raungan kesakitan. Namun di sebalik ketegasannya ibu seorang yang sangat penyayang. Dia basuh baju kami, dia masakkan makanan kegemaran kami, setiap hari ibu akan cari kayu api di hutan, buat kerja-kerja kampung untuk cari duit semata-mata mahu membesarkan kami anak-anaknya. 

Bila kami sakit, tiada seorang pun dari kami akan ditinggalkan di rumah, semuanya ibu bawa ke hospital walaupun masa itu hanya seorang sahaja yang sakit. Namun Allah swt lebih menyayangi ibu. Ibu meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Sebelum ibu meninggal ibu pernah kata bahawa dia tidak mahu tinggalkan dunia ini kerana mahu lihat kami anak-anaknya membesar di depannya. Kata-kata ini saya dengar dari kakak saya tapi kata-kata ibu ini tidak pernah saya lupa. Saya tahu ibu sayangkan anak-anaknya. Sebab itulah dia sembunyikan penderitaannya selama ini semata-mata mahu melihat kami gembira. 

Sungguh, pengorbanan ibu sangat besar. Walaupun hanya sebentar ibu hadir dalam hidup ini, namun kenangan-kenangan bersamanya sentiasa tersemat kejap. Sungguh, saya sayangkan ibu. Saya cintakan ibu. Dunia akhirat. Doa selalu kutitip untuk ibu semoga Allah SWT ampunkan dosa ibu, menyayangi ibu dan memberikan Jannah Firdaus untuk ibu. Saya tahu ibu banyak menderita ketika di dunia, makanya saya tidak mahu lagi ibu menderita di akhirat. Saya sebagai anaknya mahu ibu bahagia di sana. Terima kasih ibu atas segala apa yang ibu lakukan di dunia ini untuk kami anak-anak ibu. Kami, anak-anak ibu akan sentiasa doakan ibu. Moga kerinduan terhadap ibu akan terubat apabila kita berjumpa di JannahNya Allah SWT nanti. Insya Allah, aminn

Sahabat semua, Saya doakan agar kita menjadi anak yang baik, soleh dan solehah untuk ibu ayah kita. Insya Allah, aminn. Moga nanti kita juga menjadi saham akhirat buat ibu ayah kita di akhirat nanti. Insya Allah, aminn. Semoga kita membahagiankan mereka semasa hidup. Menjaga mereka ketika tua dan mendoakan kebahagiaan mereka apabila mereka tiada nanti. Aminn

#Mari kita berusaha menjadi anak yang soleh dan hamba Allah SWT yang soleh dan solehah sahabat semua. Insya Allah, aminn
#Terima kasih ibu...


Saturday, January 28, 2017

Catatan Yang Pernah Menjadi Memori

Bismillahirahmanirrahim


Kabus dari perbukitan. Malam tadi hujan maka hari ini keadaan sekitar dipenuhi kabus. Namun kabus seperti ini masih nipis, masih terlihat rumah-rumah penduduk kampung. Tapi tak mengapa sebab saya masih suka dan akan sentiasa menyukainya.
Duhai pagi
Bawalah jiwaku bersamamu
Bersenandung di bawah embun pelangi
Melakar cinta di bawah sinaran mentari.

# bahasa alam bahasa qalbi
# keindahan yang abadi


Jika semalam hari hujan, hari ini langit cerah. Biru dan putih menguasai angkasa. Matahari bersinar indah. Burung-burung merdu berkicau di balik dahan. Kekadang terbang melayang di udara. Pohon-pohon lebat merimbun. Rumput-rumput segar mendongak ke udara. Bayu petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Sungguh, petang yang indah. Kekadang semilir perbukitan bertiup lembut. Saya suka dan akan sentiasa menyukainya.
# bahasa alam bahasa qalbi
# petang yang dingin tapi nyaman
# rindu alwan pelangi tujuh warna


Pagi ini suasana berkabus. Sarang lelabah teguh berdiri di sekitar padang luas. Keadaan ini jarang berlaku. Jika tiada kabus maka lelabah pun sombong mahu mendirikan rumah mereka tapi andai suasana berkabus akan kelihatan berbelas belas buah sarang lelabah di segenap padang rumput ini. Sebenarnya inilah yang saya nantikan selama ini. Mahu melihat sendiri sarang sarang ini setelah bertahun tahun tak bersua. Teringat masa kecil kecil dulu. Pagi pagi jika keluar ke bendang pasti saya dan adik adik akan melihat berpuluh puluh buah sarang lelabah di sekitar halaman rumah. Keseronokan terasa apabila masing masing memusnahkan mereka dengan tangan mahupun kaki atau kayu. Namun bila mereka merajuk kami akan mula merinduinya lalu mencarinya di serata tempat. Memori memori itu sentiasa tersemat di fikiran. Rindu itu sentiasa ada. Di sini, di dalam hati ia bersemadi.
# bahasa alam bahasa qalbi
# cintai alam sekitar kita
# rindu yang tertahan


Alam telihat indah di sana. Embun, kabus, matahari dan langit biru saling berpadu menjalinkan keindahan yang fana. Tiba masanya ia akan hilang dibawa pawana selatan. Namun, walau siapapun dan apapun mereka, ia tetap menitip kerinduan kepada kita.
# siulan burung kenari
# dinihari yang indah dan dingin
# bahasa alam bahasa qalbi


Kalau semalam terlihat langit berubah warna di kala pagi menjelma, hari ini kabus menyelimuti hampir kesemua kawasan perbukitan. Di sana sini burung-burung bercengkerama, menyanyikan bahasa bonda. Entah di mana mereka bertenggek, tak pula kelihatan berterbangan di udara. Teringat nostalgia kanak kanak dulu. Saat keluar dari rumah, kabus tebal menyelimuti keseluruhan kampung hingga tidak kelihatan rumah rumah yang gagah berjiran antara satu sama lain. Kadang rasa takut bercampur gembira menghuni hati nurani. Takut andai kabus itu tidak hilang dan gembira kerana saya boleh bermain dengan embun. Saya cukup suka bila suasana berkabus. Ia menunjukkan alam masih terpelihara dan rama rama cinta masih ceria menyedut nektar pada kuntuman bunga bunga indah. Moga kedamaian masih hak milik kita sahabat semua.
#bahasa alam bahasa qalbi
#embun yang menitis dari dedaun hijau.


Pagi tadi bangun jam 6 lebih. Buka saja pintu ruang tamu terus nampak suasana ini. Keterujaan membuat saya berlari keluar. Ambil gambar banyak-banyak sebab suasana begini jarang terjadi. Corak awan gemawan itulah yang selalu memukau saya sejak kecil hinggalah kini. Saya masih ingat lagi masa budak budak dulu saya suka tengok pemandangan langit di awal pagi. Sangat cantik. Corak awan gemawan membuatkan saya seperti berada di kayangan (waktu itu saya fikir tempat itu benar benar wujud ). Selalu saya keluar rumah awal pagi semata mata mahu melihat matahari terbit di balik cerminan dan pantulan cahaya mentari yang menghasilkan warna yang amat indah dipandang. Melihatnya puas puas sebelum ia hilang di balik sinar suria yang galak menguasai bumi. Menghayatinya membuatkan saya rasa Allah swt itu sangat dekat. Bukti Allah Swt Maha Besar.
# bahasa alam bahasa qalbi
# cintai alam sekitar kita
#alam bukti kebesaran Allah swt

Friday, January 27, 2017

Coretan Sang Perindu


Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum sahabat semua. Moga kalian sentiasa bahagia dan gembira di samping rutin seharian. Hari ini cuaca sangat baik. Pagi tadi kelihatan mendung gamaknya namun menginjak ke angka jam 10 pagi, matahari mula timbul di langit Illahi.

Hari ini serasa sangat indah suasananya. Sejak pagi tadi burung-burung gagak asyik menyanyi. Begitu juga burung-burung serindit di luar sana. Kicauan mereka adalah simfoni alam yang sangat indah dan damai untuk didengari. Saya suka begini. Sejak dulu saya suka suasana seperti ini. Waktu dhuha selalu membikin hatiku riang dan bahagia. Teringat kampung halaman. Rindu pada teman-temanku di sana. 

Terkenang tempat-tempat yang menjadi kegemaranku sewaktu kecil dahulu. Sungai, dikelilingi oleh batu-batuan, menjadi tempat beristirahat setelah selesai menuai padi. Teringat Sungai yang jauh di hutan belantara bernama Bawang Dambatu. Sebuah tempat yang indah. Dikelilingi oleh hutan dan di garis tengahnya dipenuhi oleh sawah padi yang terbentang luas. Kenangan-kenangan sewaktu kecil tidak pernah padam dari kotak fikir ini.

Sungguh, saya rindukan zaman kanak-kanak saya. Zaman yang telah dibatasi oleh peningkatan umur. Seiring waktu berlalu, zaman itu telah berubah. Begitu juga suasananya turut berubah. Tempat-tempat yang menjadi kegilaan saya suatu waktu dulu sudah berubah. Misalnya bawang Dambatu yang mana dulunya cantik, dipenuhi oleh batu-batu sungai dan timbunan pasir, sekarang airnya sudah cetek dan penuh dengan rumput-rumput kasar di tebingnya. Lebarnya semakin mengecil dan kekadang kekeliruan pasti akan berlaku, sama ada ia adalah sungai ataupun tali air.

Sahabat semua, saya selalu bermimpi untuk merantau jauh ke negeri orang. Sejak saya mengenal Ilmu, sejak saya mengenal Allah SWT, sejak saya mengenal alam, saya selalu bercita-cita untuk menjadi seorang perantau. Dan Alhamdulillah, impian ini dikabulkan oleh-Nya apabila saya menginjak kaki ke menara gading kemudian berkerja pula di negeri lain. Saya juga selalu berharap agar pengakhiran hidup kita adalah pengakhiran yang baik-baik sahaja. Moga, Insya Allah, aminn

Baiklah sahabat semua, sampai di sini saja. moga kita akan berjumpa lagi di lain waktu, salam...

Tuesday, December 20, 2016

Coretan Petang Yang Dingin


Bismillahirahmanirrahim


Asalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat-sahabat semua. Moga kalian sentiasa selamat di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn. Sahabat,  tinggal beberapa hari lagi, saya berada di kampung sebelum meninggalkannya untuk mencari rezeki jauh di seberang samudera. Semenanjung emas, tempatku bermukim selama bertahun-tahun semata-mata mencari kelangsungan hidup. Jika diikutkan hati, seperti kebanyakan orang, saya juga berasa berat hati untuk meninggalkan desa kesayangan ini. Namun, Ya, saya perlu meninggalkannya. Insya Allah, jika diizinkan Allah SWT, tahun depan saya akan balik semula ke sini. 

Tinggallah burung, tinggallah sawah, kupu-kupu cinta, pelangi senja, tinggallah langit biru, tinggallah embun, kabus, rerumput bernyanyi, pohon-pohon cinta, pepatung indah, cengkerik gelisah, tinggallah semuanya. Saya pasti akan merindui mereka, pasti akan merindui tempat-tempat bermain sewaktu kecil dahulu, saat semuanya kelihatan menyeronokkan. Saya juga pasti akan rindu akan mutiara hujan, sarang lelabah, sungai-sungai, bukit-bukau dan pawana dari perbukitan. Pasti juga rindu akan suasana desa, rindu dengan kehidupan desa. Ah, betapa segalanya menjadi kerinduanku.

Sahabat sekalian, tengah hari tadi hujan, lebat turunnya. Bagaikan mutiara ia berjejeran dari langit. Hadirnya membuat suasana menjadi sejuk, nyanyian beburung tenggelam dalam keasyikan gemuruh air mata alam. Namun guruh dan petir tidak pula kedengaran. Mungkin malu memperkenalkan diri. Tidak mengapa, alam masih terlihat indah di sana. Tangisan langit cuma sebentar kemudian mentari mulai bersinar kembali, menerangi alam, mengeringkan rerumputan yang basah, menjamah embun di dahan-dahan rapuh dan akhirnya beburung dan kupu-kupu cinta pun bersiul girang. Alam mula berseri kembali, bagaikan taman-taman di syurga. Alhamdulillah, Moga esok keindahan ini sentiasa abadi selamanya. Insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai di sini saja coretan saya kali ini. Moga jumpa lagi di lain waktu. Salam...


Saturday, September 3, 2016

Pagi yang indah



Bismillahirahmanirrahim

Pagi. Pagi yang selalu membuat jiwaku tenang, nyaman dan riang ria. Gurindam-gurindam alam bagaikan nafari kebahagiaan yang tidak pernah putus bagi seorang hamba-Nya. Pagi merupakan permulaan kepada segala yang berlaku hari ini sebelum terbit esoknya.

Saya suka pagi
sama seperti saya
suka waktu petang
saya suka langit biru
sama seperti saya
suka langit kirmizi
saya suka bulan
sama seperti saya
suka bintang
saya suka alam
sama seperti saya
suka alam semesta.

Tidak lama lagi tanah tandus yang berdekatan dengan tempat kerja saya akan mula sibuk dengan bunyian daripada suara-suara raksasa. Oh, dunia semakin sempit. Hidup manusia mula sama seperti makhluk di bawah daun.

#bahasa alam bahasa qalbi
#sejernih pagi yang bening
#gambar bukan hak milik saya

Wednesday, July 13, 2016

Secebis Bicara





Bismillahirahmanirrahim  

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. hari ini alam sangat indah. Bintang mengerdip di seluruh penjuru alam. Sebentar tadi mentari baru saja berlabuh di dunia lain. menjadikan dunia kita kelam dan gelap gelita bersaksikan bintang-bintang kejora dan bulan mengambang. Subhanallah. Sahabat semua, sudah beberapa lama saya tidak mengirim apa-apa entri di blog ini. Sudah berapa lama jejak saya tidak kelihatan di sini. Makanya hari ini saya mula mengunjunginya dan meninggalkan jejak saya barang sepatah dua kata.

Seminggu yang lalu bermula 2 Julai 2016 hinggalah 9 Julai 2016, saya mengunjungi kampung saya jauh di seberang Laut Cina Selatan. Sudah setahun saya tidak balik maka baru minggu itu saya pulang ke kampung halaman. Rindu terhadapnya sudah terubat. Rindu dengan ayah, rindu dengan alam, rindu dengan ibu, rindu dengan segala-galanya sudah terubat. Saya kembali tersenyum ceria. Tiada lagi bayangan mereka menghantui diri ini.

ketika raya, sangat meriah sekali. Suasana itu sangat memberi kesan pada diri ini. Moga kemeriahan itu akan berulang lagi pada tahun hadapan. Insya Allah, aminn. Sahabat semua, suatu ketika saya terdengar doa taubat, lagu daripada Nazrey Johani, Suara yang merdu. Lirik doanya sangat memberi kesan ke atas diri ini. Mendengarnya saya kembali mengkoreksi diri. Betapa banyaknya dosa-dosa ini. Moga Allah swt mengampunkan dosa saya dan kalian. Aminn.

Ya Allah, Yang Maha Memakbulkan doa, ampunilah dosa kedua orang tuaku, adik-beradikku dan saudara seagamaku sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia. Rahmatilah mereka, berkatilah setiap hidup mereka, jauhkanlah mereka daripada azab api neraka dan azab kuburMu, masukkanlah mereka dalam syurgaMu, sayangilah mereka, teguhkan iman mereka, makbulkanlah setiap doa yang baik bagi mereka dan sayangilah mereka ya Allah, Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.


Ya Allah, Yang Maha Mendengar, teguhkan hati kami, kuatkan semangat kami, kurniakan kami kesihatan yang baik, kurniakan kami rezeki yang halal, lapangkanlah dada kami, tenangkanlah fikiran dan hati kami, berkatilah kehidupan kami, rahmatilah kami, berikanlah kami kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi cabaran dan ujian hidup. Ya Allah, Yang Maha Memberi, kukuhkan iman kami, teguhkan iman kami, dan jadikanlah kami dalam golongan hambaMu yang beriman…aminn

#Doa adalah senjata ampuh

Monday, May 16, 2016

Cebisan ayat demi ayat (SELAMAT HARI GURU)



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. moga kita semua sentiasa mendapat hidayah dan rahmat daripada Allah SWT. Hari ini 16 Mei 2016, adalah sambutan hari guru seluruh Malaysia. Sudah empat tahun saya meraikannya bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Tiap tahun mesti ada temanya. Tahun ini sekolah bertemakan tahun 60-an. Tahun lalu tema ‘back to school’. Memang meriah sambutan yang diadakan. Teruja saya dibuatnya.  Teringat masa sekolah dulu, saya tidak pernah bagi guru-guru saya hadiah sejak tadika hinggalah masuk universiti. Ketika sahabat-sahabat menghadiahkan guru-guru kesayangan mereka hadiah, saya hanya turut memeriahkannya tanpa ada hadiah untuk diberi.

Hanya ucapan keramat itu sahaja yang mampu saya luahkan. Kalau mahu beri hadiah, kena ada wang untuk membelinya (pemikiran masa itu). Tak pernah terfikir untuk memberi cikgu-cikgu saya hadiah lain tanpa perlu mengeluarkan modal. Dalam otak hanya tertulis, duit. Namun nak mendapatkan duit itulah yang susah. Nak cari mana. Keluarga saya bukannya ada duit sangat. Sedangkan nak beli keperluan lain pun payah inikan pula nak beli hadiah. Makanya saya hanya berdoa untuk guru-guru saya.

Walaubagaimanapun, saya selalu berdoa agar suatu hari nanti saya akan membanggakan guru-guru yang pernah mengajar saya. Ketika tingkatan 6, saya berdoa kepada Allah SWT agar saya dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk guru saya masa STPM nanti. Lebih-lebih lagi subjek sastera. Bagi saya itulah hadiah terbaik untuk semua cikgu-cikgu yang mengajar saya selama ini. Masa sekolah dulu, saya sangat sayang kepada seorang cikgu saya ni. Orangnya tinggi lampai, berasal dari semenanjung emas. Mengajar saya subjek sastera. Namanya cikgu Azlina Haron. Dia sangat baik orangnya. Masa hari guru saya berdoa supaya saya mahu dapatkan keputusan A untuk subjek ni, hadiah khas dari saya. Maka saya pun berdoa agar masa STPM nanti saya dapat A untuk sastera. 

Alhamdulillah, akhirnya doa saya dimakbulkan Allah SWT. Saya sangat gembira, begitu juga dengan Cikgu Azlina. Malah atas saranan yang diberikan jugalah akhirnya saya dapat masuk UPSI dengan opsyen Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Perjalanan saya pun akhirnya berakhir dengan menjadi seorang guru di sebuah sekolah yang menempatkan 3000 lebih orang pelajar pada tahun 2012 hinggalah sekarang. Sungguh saya terhutang budi kepadanya. Bagaimana tidak, ketika kepala ini tengah serabut memikirkan hala tuju selepas tamat STPM, cikgu Azlina menelefon saya dan masa itulah saya tanya kepadanya. Minta nasihat dan akhirnya Alhamdulillah, jadilah saya seorang guru seperti sekarang. sekarang akhirnya merasa apa yang guru-guru saya dulu rasakan. Perasaan menjadi guru, jika dihitung satu persatu tak terkira banyaknya. Moga saya dan kalian menjadi guru yang terbaik. Sebenarnya saya selalu menganggap, semua manusia adalah guru untuk diri dan orang lain. Maka, selamat hari guru semua...

Sampai jumpa lagi sahabat semua. salam untuk diri dan anda. Salam…

Guruku
Engkaulah permata
Seribu bayangan
Di timbunan kaca
Moga jasa baktimu
Tetap tersemat
Di kalbu hati
SELAMAT HARI GURU
Ku inspirasikan
Buat kalian
Agar terus berjuang
Di medan bakti.
Selamat hari guru.

# Saya sayang guru-guru saya

# Guru Pembina Negara bangsa 2016

# gambar bukan milik saya

Friday, May 13, 2016

Selamat Tinggal


Bismillahirahmanirrahim

Selamat tinggal wajah blogku yang lama. Sungguh, saya sedih sebenarnya. bertahun-tahun saya gunakan design itu. Malah saya rasakan ia sudah sebati dalam diri saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menukarkannya kepada yang baru.  Saya sangat sedih tapi saya perlu mengubahnya. Terima kasih teman. Moga wajah baru blog saya ini akan terus menginspirasi saya untuk terus menulis. Menulis apa-apa saja. Tak kira masa. Tak kira tempat dan sebagainya. Moga wajah baru ini juga turut menjadikan saya lebih bersemangat untuk hidup sehari-hari. Mengembirakan dunia ini. Dunia yang fana sebelum akhirnya kembali kepada yang hak.

Tuesday, May 10, 2016

Aku dan Ibu



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Semoga kalian sentiasa bahagia. Malam ini seperti malam-malam yang sudah dan seperti hari-hari yang sudah, saya terkenang arwah ibu. Hari ibu sudah beberapa hari berlalu. Pasti anak-anak akan mengucapkan kasih sayang mereka terhadap ibu mereka masing-masing. Ketika kalian meluahkan kasih sayang kepada ibu, saya hanya berdiam diri. Hanya tersenyum di hati. Saya tidak menyambut hari ibu kerana bagi saya sayang saya terhadap ibu saya adalah setiap hari.  Ibu pula sudah lama pergi. Ketika umur saya 10 tahun, ibu meninggalkan saya dan adik-beradik tanpa sempat saya menatap wajahnya di akhir nafasnya. 

Masih segar dalam ingatan ini bagaimana peristiwa itu berlaku. Saat mengucup wajah sejuk ibu buat kali terakhir, saya tahan air mata. Saya pandang puas-puas wajah bersih ibu sebelum disemadikan.  Saya pandang orang-orang sekeliling. Masing-masing bermuka pilu. Ramai yang terasa kehilangan ibu. Sangat ramai. Masing-masing meratapi kepergian ibu buat selama-lamanya. Di mana-mana saya akan dengar kata-kata ini dibualkan oleh para-para ibu di dapur sana.  Mata masing-masing berwarna merah.

“ Kesian, kecil-kecil dah hilang mak. Mariana, kenapalah kau pergi awal sangat? Anak-anak kau masih kecil.”

Saya jalan ke arah lain, terdengar tangisan ayah memecah gegendang telinga ini, di sebuah kamar sepi.  Beberapa kali nama ibu disebut berulang-ulang. Saya kalih ke arah lain, terpandang abang yang sedang memeluk tubuh, air matanya sudah banyak keluar. Kemudian saya pergi semula ke ruang tamu. Melihat suasana yang sungguh memilukan saya. Saat ibu diusung keluar ke tanah kubur, semakin ramai yang menangis. Suasana itu sungguh memilukan. 

Tapi saya tahan air mata. Sudah diputuskan, saya tak mahu menangisi kepergian ibu. Namun dua hari berikutnya, saya berasa sunyi. Tiada lagi kata-kata berupa mengambil berat daripada orang-orang di sekeliling. Sungguh sunyi. Ketika itulah saya teringatkan arwah ibu. Dan malam itu saya menangis keseorangan. Sungguh saya rindukan ibu. Saya rindukan ibu. Saya rindukan dia ya Allah. Kali terakhir saya jumpa ibu adalah sebulan sebelumnya di wad Hospital Tambunan. 

“ Ana, jangan pergi main. Kalau sakit siapa yang nak jaga. Saya pun tengah sakit. Tak dapat tengok kamu. Ambil kuih bulan dalam almari tu. Makan.” Saya pergi ke kabinet yang ditunjukkan ibu.

“ tak apalah mak. Nanti saya belikan dia makanan di luar nanti.” Kata-kata abang membantutkan perbuatan saya. Saya pulang ke rumah dengan wajah gembira dapat jumpa ibu. Kemudian Ibu dihantar ke Hospital lain di Kota Kinabalu. Saya tidak dapat lagi jenguk ibu hinggalah Ibu dibawa pulang dengan ambulan dalam keadaan, Ibu berjumpa dengan Allah SWT. Nasihat ibu itu saya ingat hingga hari ini. Tidak akan pernah lupa. Saya sungguh rindukan dia.

Ibu, walaupun hanya sepuluh tahun Ibu berjasa kepada saya tapi bagi saya jasanya tak mampu di balas. Dia seorang wanita dan ibu yang terbaik. Siapapun manusia dunia ini pasti akan menyatakan ibu adalah wanita yang terbaik. Setiap anak pasti akan menyatakan ibunya adalah wanita dan ibu yang terbaik. Dia wanita gigih, tabah, dan sabar dalam mengharungi ujian Allah SWT. Ibu sanggup korbankan dirinya semata-mata melihat kami hidup sihat. 

Ibu sembunyikan penyakitnya bertahun-tahun semata-mata mahu melihat kami anak-anaknya membesar dengan riang. Ibu berkerja keras membanting tulang, berkebun dan melakukan perkerjaan di sana sini tanpa penat lelah, semuanya kerana kami, anak-anaknya. Ya Allah, bila ingat balik betapa besarnya pengorbanan ibu, saya akan menangis mengingatinya. Ibu sanggup berjaga malam semata-mata mahu memastikan kami makan ubat apabila anak-anak ibu yang ramai ini tiba-tiba diserang demam sekaligus. Ya Allah, masih ingat peristiwa itu. Aku ingat Ya Allah, bagaimana Ibu bangunkan saya dengan nada yang lembut:

“ Ana, bangun Na. Makan ubat ni.”

Suara ibu sungguh Indah. Cinta Ibu pada anak-anaknya sangat tinggi. Sangat agung seperti mana cinta Ibu pada ayah. Begitu juga cinta Ibu pada Allah SWT sangat agung. Kenangan bersama Ibu sudah lama berlalu. Hanya doa yang mampu ku hadiahkan buat ibu. Semoga Ibu bahagia di sana. Semoga Allah SWT mengasihi Ibu seperti mana Ibu mengasihi kami selama ini. Memang begitu banyak kenangan saya bersama ibu. Semuanya saya simpan di hati yang paling dalam.

Sahabatku sekalian,  saya mohon doanya kalian dan sedekahkan al-Fatihah kepada arwah ibu saya (Mariana Gidong) dan ayah saya (Kondorid Umbak) serta seluruh kaum muslimin dan mukminat di dunia ini sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Semoga dengan doa kita semua, moga mereka beroleh ketenangan dan kebahagian di sisi Allah SWT.

Ibu, saya sayang ibu
Sayang ibu sepenuh hati saya
Walau dunia kita berbeza
Tapi ibu tetap di hati saya.

Ibu, saya sayang ibu
Ibulah syurgaku
Ibulah redhaku
Ibulah segala-galanya bagiku.

Ibu, izinkan saya berdoa untuk ibu
Izinkan saya untuk mendoakan
Kebahagiaan ibu di sana
Izinkan saya untuk merindui ibu
Dan izinkan mata ini bertemu ibu
Walaupun hanya di alam mimpi.

Ibu, saya sayang ibu
Maafkan saya ibu
Maafkan segala kesilapan saya
Maafkan saya.

Ibu, doa saya akan sentiasa mengiringi ibu
Walau ibu jauh di sana
Walau kita tak pernah lagi bersua
Tapi cinta dan kasih saya pada ibu
Akan tumbuh subur untuk selamanya.
Walau jasad saya di sini, di dunia ini
Tapi doa saya tetap setia menemani ibu.

Ibu, akan kudoakan Ibu
Keselamatan ibu
Kebahagiaan ibu
Akanku mohon pada Allah
Agar ibu gembira di sana
Menjadi penghuni salah Satu
dari syurga-syurga-Nya.

Ibu percayalah ibu
Cinta dan kasih sayang pada ibu
Tetap tumbuh subur di hati ini
Walau di mana saya berada
Selama-lamanya.

Saya sayang ibu
Kekal abadi selama-lamanya
Amin…

#Syurgadibawahtelapakkakiibu