Tuesday, April 25, 2017

Bicara Kehidupan


Bismillahirahmanirrahim


Sarang Lelabah

Sarang ini banyak terdapat di padang-padang rumput sewaktu embun menitis pada waktu dinihari, sebelum matahari menyerakkan bahangnya ke segenap alam. Saya suka mencari sarang ini suatu ketika dulu, sewaktu bergelar ' pucuk muda'. Zaman kecil yang hanya tahu berseronok. Tidak memikirkan mehnah dunia. Gambar ini mengingatkan saya pada gemulah ibu yang begitu banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Gambar ini juga mengingatkan saya pada gemulah abang yang pergi dulu meninggalkan kami. Dengan dialah, kami akan mencari sarang ini di segenap tempat di laman rumah lantas memusnahkannya tanpa memikirkan buruk baiknya. Sungguh, alangkah kejamnya kami masa itu dan alangkah jahilnya kami dalam membezakan buruk dan baik sesuatu perkara. Saya sangat rindukan arwah ibu dan arwah abang. Sungguh, moga mereka berdua bahagia di alam sana. Moga syurga tertinggi untuk keduanya. Insya Allah, aminn.



Ladybird (Kekabuh kura-kura)

Kumbang ini banyak terdapat di pokok limau. Masa kecil-kecil saya dan adik-adik suka sangat bermain dengan mereka. Adakalanya kami akan memisahkan mereka daripada keluarga. Ada masanya kami akan membiarkan mereka merayap di badan sebelum terbang ke tempat lain. Selalunya mereka muncul tika pagi menjelma dan kami seusai subuh pasti akan mencari mereka di segenap pohon-pohon yang tumbuh melata di laman rumah. Namun seiring waktu bergulir, mereka hilang seiring kemusnahan alam dan kedewasaan kami melenyapkan keseronokan yang pernah ada suatu ketika dulu. Sungguh, saya sangat rindu akan mereka. Gambar ini saya ambil di tempat kerja dan saya rasakan barangkali ini adalah pertemuan kami yang terakhir. Moga kami akan bertemu lagi pada masa akan datang, menunjukkan alam masih terpelihara seperti dulu. Insya Allah, aminn

Sunday, April 23, 2017

Kembaraku Di Kota Singa, Singapura (Temasik)

Bismillahirahmanirrahim

11. 11.2016 (sabtu)
Perjalananku merentas negara. Bermusafir di rantau orang. Segala puji bagi Allah yang memberi peluang kepadaku untuk ke sini. Insya Allah, akan datang bermusafir ke tempat lain pula. Menghitung bulan dan hari. Moga dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya Allah, aminn.

- Selagi ada peluang berjalanlah melihat dunia luar. Melihat dunia seperti burung. Di situ terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT bagi orang yang mahu berfikir -





Keindahan Yang Tak Terucap - Tanjung Balau, Desaru Johor

Bismillahirahmanirrahim

Untuk kesekian kalinya, saya dan sahabat yang lain menikmati keindahan alam ciptaan Illahi, Tanjung Balau pada 4 Mac 2017 yang lalu. Menikmati dan melihat kebesaran Allah SWT membawa saya untuk terus berusaha mendekati alam kerana di situlah tanda bahawa segala nikmat yang Allah SWT berikan tidak mampu kita dustakan. Bahkan, dalam al-Quran, Allah SWT banyak berfirman tentang kebesaran dalam kekuasaan-Nya yang semestinya adalah alam semesta. Itulah tanda-tanda kebesaran Allah SWT jika kita seorang yang suka berfikir dan beriman. 

Tanjung Balau, Desaru, Johor
Diambil sekitar jam 6 pm







Saturday, April 22, 2017

CINTA


Bismilahirrahmanirrahim

CINTA
walau betapa jauh kau melangkah
aku akan tetap mengingatimu
meski betapa dekat kau dariku
aku akan selalu menyayangimu.

AKU,
akan selalu ada untukmu
kendatipun kau tak
pernah mahukannya
bertahun lamanya
aku simpan segalanya
namun hanya kehampaan
merantai diri ini.

CINTA
di mana kan ku cari ganti
hilang dalam perpisahan
yang ku rindukan
moga kau selalu bahagia
di dunia mahupun akhirat
Insya Allah, aminn.

Menikmati Keindahan Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum wbkt sahabat semua. Beberapa bulan yang lalu saya bersama sahabat saya berjalan-jalan sekitar Mersing, Johor. Ini adalah sebahagian gambar yang diambil di Pantai Air Papan, Mersing Johor. Saya suka berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam. Subhanallah, lukisan Allah Swt ini sangat sempurna dan indah untuk dihayati oleh seluruh Makhluk-Nya. Sesungguhnya, di antara tanda-tanda Kebesaran Allah SWT ialah, Dia menciptakan alam untuk dihayati dan dimanfaatkan isinya. Maka cintailah alam, kerana di situlah letaknya keagungan Allah SWT bagi orang-orang yang mahu berfikir.


Pantai Air, Papan, Mersing, Johor
Diambil sekitar jam 1 lebih






Panorama Indah, Pantai Pontian, Johor


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum wbkt sahabat semua. Menghayati ciptaan Allah SWT adalah salah satu kebahagiaan saya dalam kehidupan seharian. Alhamdulillah, saya berpeluang melihat panorama indah matahari terbenam ciptaan-Nya di Pantai Pontian, Johor pada 7 April 2017 yang lalu. Moga kita semua sentiasa mencintai alam sahabat semua, Insya Allah, aminn.








Pantai Pontian, Johor.
Diambil sekitar waktu menghampiri pukul 7.00 pm

Tuesday, January 31, 2017

Islam Itu Indah


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita semua sentiasa bahagia menjalani hidup sebagai hamba-Nya. Aminn. Sahabat, tadi saya buka surah ar-Rahman. Mendengar bacaan daripada seorang saudara yang mencintai agama melalui laman sosial Youtube. Mendengar sehingga habis sambil menghayati terjemahannya. Terkesan dengan ayat ini, " Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan."

Subhanallah, seketika saya terjebak dalam kesedihan dan kerinduan terhadap Allah SWT dan seluruh ciptaan-Nya. Bila sampai kepada keadaan syurga pula, saya tanpa sedar air mata mengalir ke pipi. Sungguh, sahabat semua, saya merasakan sangat bahagia andai saya dapat menikmati keindahan Syurga-Nya Allah SWT. Malah tatkala menikmati surah ini, saya rasakan bahawa Allah SWT sangat Maha Penyayang dan Maha Pemurah. Allah SWT beri kita kenikmatan di dunia dan di akhirat sana.

Sungguh tersentuh hati ini. Moga kita semua menjadi sebahagian daripada penghuni syurga. Malah kebahagiaan yang paling tinggi adalah kebahagiaan apabila melihat Allah SWT nanti. Ketika Allah bukakan Hijab-Nya untuk kita. Untuk hamba-hamba-Nya yang beriman. Namun persoalannya adalah mampukah saya? mampukan saya untuk istiqamah dalam menuju jalan lurus-Nya. Layakkah saya untuk menerima anugerah terindah itu. Subhanallah, moga Allah SWT mengizinkan saya dan kalian semua untuk melihat-Nya. Insya Allah, aminn.

Sahabat semua, islam ini sangat indah. Sungguh indah. Amat indah. Bila kita inginkan kebahagiaan carilah kebahagiaan itu melalui Islam. Belajarlah untuk mencintai agama kita. Sesungguhnya apabila islam menjadi jati diri dalam hidup, secara langsung Allah SWT akan melimpahkan seluruh rahmat-Nya kepada kita. Saya buka ustazah, bukan juga alim ulama. Saya menyeru bukan untuk menyebarkan keburukan mahupun kejahatan. Bahkan, mungkin saya tidak layak untuk menyatakan sedemikian rupa. Sahabat, doakan saya semoga saya menjadi hamba Allah Swt yang solehah. saya punya impian sejak dari kecil. Impian itu sudah lama berada di dasar hati ini. Ya, saya ingin bertemu dengan Allah, menjadi mulia di penjuru langit. Menjadi mulia di hadapan Allah. Maafkan saya, tapi ya itulah impian saya sejak dulu. Mohon doanya, Insya Allah, aminn. 

Saya berhajat untuk pergi dalam husnul Khotimah, Mendapat kasih sayang dan rahmat dari Allah SWT, penguasa dan raja seluruh alam semesta. Berusahalah kita untuk mendapat perhatian-Nya. Mohon doanya agar kita sama-sama berjalan menuju ke Syurga-Nya Allah SWT sekaligus menjadi antara golongan yang terpilih untuk menemui-Nya nanti. Aminn. Sahabat semua, berjuanglah kita. Tatkala kita merasakan kita jauh daripada Allah SWT maka jangan bertangguh untuk mendekati-Nya kembali. Berusahalah istiqamah walau diri kata tidak mampu. Kata orang, Hendak berubah memang senang dan mudah tapi untuk Istiqamah agak payah. Insya Allah, jika kita berubah secara pelahan-lahan, tidak terlalu drastik, tidak terburu-buru, Insya Allah, Dia sesungguhnya Maha Mengetahui.

Allah SWT tak pernah bosan dengan kita. Dia tak pernah bosan. Sungguh, Malah Dia ingin kita rindu dan dekat pada-Nya. Allah SWT ingin kita mencari dan mencintai-Nya setulus hati. Tidakkah kita berasa mahu mengembara di langit-langit-Nya? Jika ditanya pada saya, sudah tentu saya mahu. Kerana itulah, cintailah Allah SWT, maka Allah SWT akan mencintai kita. Berjalanlah menuju-Nya, maka Dia akan berlari menuju ke arah kita. Ingat sahabat semua, Allah SWT itu sangat dekat. Dekat sangat. Saya doakan agar kita semua menjadi hamba-Hamba Allah SWT yang soleh dan solehah. menjadi penghuni Syurganya Dia. Insya Allah, aminn.

Baiklah sahabat semua, sampai di sini sahaja pertemuan kita. Moga jumpa lagi di lain waktu. Insya Allah, aminn. Salam...

Monday, January 30, 2017

Terima Kasih Ibu


Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmatnya Allah Swt. Insya Allah, aminn. Sahabat, tadi saya mendengar kisah tentang ibu dari laman Youtube yang diceritakan oleh saudara Syamsudin Nur. Kisah seorang anak yang merasakan ibunya tidak menyayanginya lantas berfikir bahawa ibunya seorang yang jahat lalu lari dari rumah. Menjelang tengah hari, dia berasa lapar lalu pergi ke sebuah warung namun memikirkan tiada wang maka anak kecil ini cuma berlegar-legar di sekitar warung itu sahaja.

Apabila melihat gelagat anak kecil itu, pemilik warung tersebut lantas memanggilnya lalu memberinya makan secara percuma. Maka anak ini makan dengan lahapnya. Selesai makan anak kecil ini mengucapkan terima kasih pemilik warung tersebut atas budi baiknya. Malah dia juga turut menyatakan bahawa pak cik (pemilik warung) ini seorang yang baik, tidak seperti ibunya yang tidak menyayanginya.

Mendengar perkataan yang keluar dari bibir anak kecil itu, Pak cik ini berasa hairan lantas bertanya mengapa anak kecil ini menyatakan sedemikian rupa. Apabila mendengar ceritanya, lantas pak cik ini menyuruh si anak ini pulang ke rumah dan memintanya untuk mengucapkan terima kasih kepada ibunya. Dia menyatakan kepada anak kecil ini bahawa ibunya sangat menyayanginya. Setiap hari ibunya akan memberinya makan, membasuh bajunya dan melakukan kerja-kerja lain untuk memberi keselesaan kepadanya. Itu adalah bukti bahawa ibunya sangat sayang padanya. 

Pak cik ini juga menyatakan bahawa dia hanya memberinya makan sekali sahaja lantas si anak mengucapkan terima kasih dan mengatakan dia seorang yang baik padahal ibunya yang setiap hari memberinya makan dianggap jahat dan tidak berterima kasih kepadanya. Bagaimana mungkin hal ini berlaku. Di mana terima kasih kita sebagai anak kepada seorang ibu yang membesarkan kita?

Sahabat semua, Kisah ini sangat memberi manfaat kepada kita. Mendengar kisah ini membuatkan saya teringat kepada arwah ibu saya. Ibu saya seorang yang boleh dikatakan sangat tegas orangnya. Jika salah sikit maka air mata pasti keluar diselangi dengan raungan kesakitan. Namun di sebalik ketegasannya ibu seorang yang sangat penyayang. Dia basuh baju kami, dia masakkan makanan kegemaran kami, setiap hari ibu akan cari kayu api di hutan, buat kerja-kerja kampung untuk cari duit semata-mata mahu membesarkan kami anak-anaknya. 

Bila kami sakit, tiada seorang pun dari kami akan ditinggalkan di rumah, semuanya ibu bawa ke hospital walaupun masa itu hanya seorang sahaja yang sakit. Namun Allah swt lebih menyayangi ibu. Ibu meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Sebelum ibu meninggal ibu pernah kata bahawa dia tidak mahu tinggalkan dunia ini kerana mahu lihat kami anak-anaknya membesar di depannya. Kata-kata ini saya dengar dari kakak saya tapi kata-kata ibu ini tidak pernah saya lupa. Saya tahu ibu sayangkan anak-anaknya. Sebab itulah dia sembunyikan penderitaannya selama ini semata-mata mahu melihat kami gembira. 

Sungguh, pengorbanan ibu sangat besar. Walaupun hanya sebentar ibu hadir dalam hidup ini, namun kenangan-kenangan bersamanya sentiasa tersemat kejap. Sungguh, saya sayangkan ibu. Saya cintakan ibu. Dunia akhirat. Doa selalu kutitip untuk ibu semoga Allah SWT ampunkan dosa ibu, menyayangi ibu dan memberikan Jannah Firdaus untuk ibu. Saya tahu ibu banyak menderita ketika di dunia, makanya saya tidak mahu lagi ibu menderita di akhirat. Saya sebagai anaknya mahu ibu bahagia di sana. Terima kasih ibu atas segala apa yang ibu lakukan di dunia ini untuk kami anak-anak ibu. Kami, anak-anak ibu akan sentiasa doakan ibu. Moga kerinduan terhadap ibu akan terubat apabila kita berjumpa di JannahNya Allah SWT nanti. Insya Allah, aminn

Sahabat semua, Saya doakan agar kita menjadi anak yang baik, soleh dan solehah untuk ibu ayah kita. Insya Allah, aminn. Moga nanti kita juga menjadi saham akhirat buat ibu ayah kita di akhirat nanti. Insya Allah, aminn. Semoga kita membahagiankan mereka semasa hidup. Menjaga mereka ketika tua dan mendoakan kebahagiaan mereka apabila mereka tiada nanti. Aminn

#Mari kita berusaha menjadi anak yang soleh dan hamba Allah SWT yang soleh dan solehah sahabat semua. Insya Allah, aminn
#Terima kasih ibu...


Saturday, January 28, 2017

Catatan Yang Pernah Menjadi Memori

Bismillahirahmanirrahim


Kabus dari perbukitan. Malam tadi hujan maka hari ini keadaan sekitar dipenuhi kabus. Namun kabus seperti ini masih nipis, masih terlihat rumah-rumah penduduk kampung. Tapi tak mengapa sebab saya masih suka dan akan sentiasa menyukainya.
Duhai pagi
Bawalah jiwaku bersamamu
Bersenandung di bawah embun pelangi
Melakar cinta di bawah sinaran mentari.

# bahasa alam bahasa qalbi
# keindahan yang abadi


Jika semalam hari hujan, hari ini langit cerah. Biru dan putih menguasai angkasa. Matahari bersinar indah. Burung-burung merdu berkicau di balik dahan. Kekadang terbang melayang di udara. Pohon-pohon lebat merimbun. Rumput-rumput segar mendongak ke udara. Bayu petang berhembus sepoi-sepoi bahasa. Sungguh, petang yang indah. Kekadang semilir perbukitan bertiup lembut. Saya suka dan akan sentiasa menyukainya.
# bahasa alam bahasa qalbi
# petang yang dingin tapi nyaman
# rindu alwan pelangi tujuh warna


Pagi ini suasana berkabus. Sarang lelabah teguh berdiri di sekitar padang luas. Keadaan ini jarang berlaku. Jika tiada kabus maka lelabah pun sombong mahu mendirikan rumah mereka tapi andai suasana berkabus akan kelihatan berbelas belas buah sarang lelabah di segenap padang rumput ini. Sebenarnya inilah yang saya nantikan selama ini. Mahu melihat sendiri sarang sarang ini setelah bertahun tahun tak bersua. Teringat masa kecil kecil dulu. Pagi pagi jika keluar ke bendang pasti saya dan adik adik akan melihat berpuluh puluh buah sarang lelabah di sekitar halaman rumah. Keseronokan terasa apabila masing masing memusnahkan mereka dengan tangan mahupun kaki atau kayu. Namun bila mereka merajuk kami akan mula merinduinya lalu mencarinya di serata tempat. Memori memori itu sentiasa tersemat di fikiran. Rindu itu sentiasa ada. Di sini, di dalam hati ia bersemadi.
# bahasa alam bahasa qalbi
# cintai alam sekitar kita
# rindu yang tertahan


Alam telihat indah di sana. Embun, kabus, matahari dan langit biru saling berpadu menjalinkan keindahan yang fana. Tiba masanya ia akan hilang dibawa pawana selatan. Namun, walau siapapun dan apapun mereka, ia tetap menitip kerinduan kepada kita.
# siulan burung kenari
# dinihari yang indah dan dingin
# bahasa alam bahasa qalbi


Kalau semalam terlihat langit berubah warna di kala pagi menjelma, hari ini kabus menyelimuti hampir kesemua kawasan perbukitan. Di sana sini burung-burung bercengkerama, menyanyikan bahasa bonda. Entah di mana mereka bertenggek, tak pula kelihatan berterbangan di udara. Teringat nostalgia kanak kanak dulu. Saat keluar dari rumah, kabus tebal menyelimuti keseluruhan kampung hingga tidak kelihatan rumah rumah yang gagah berjiran antara satu sama lain. Kadang rasa takut bercampur gembira menghuni hati nurani. Takut andai kabus itu tidak hilang dan gembira kerana saya boleh bermain dengan embun. Saya cukup suka bila suasana berkabus. Ia menunjukkan alam masih terpelihara dan rama rama cinta masih ceria menyedut nektar pada kuntuman bunga bunga indah. Moga kedamaian masih hak milik kita sahabat semua.
#bahasa alam bahasa qalbi
#embun yang menitis dari dedaun hijau.


Pagi tadi bangun jam 6 lebih. Buka saja pintu ruang tamu terus nampak suasana ini. Keterujaan membuat saya berlari keluar. Ambil gambar banyak-banyak sebab suasana begini jarang terjadi. Corak awan gemawan itulah yang selalu memukau saya sejak kecil hinggalah kini. Saya masih ingat lagi masa budak budak dulu saya suka tengok pemandangan langit di awal pagi. Sangat cantik. Corak awan gemawan membuatkan saya seperti berada di kayangan (waktu itu saya fikir tempat itu benar benar wujud ). Selalu saya keluar rumah awal pagi semata mata mahu melihat matahari terbit di balik cerminan dan pantulan cahaya mentari yang menghasilkan warna yang amat indah dipandang. Melihatnya puas puas sebelum ia hilang di balik sinar suria yang galak menguasai bumi. Menghayatinya membuatkan saya rasa Allah swt itu sangat dekat. Bukti Allah Swt Maha Besar.
# bahasa alam bahasa qalbi
# cintai alam sekitar kita
#alam bukti kebesaran Allah swt

Friday, January 27, 2017

Coretan Sang Perindu


Bismillahirahmanirrahim


Assalamualaikum sahabat semua. Moga kalian sentiasa bahagia dan gembira di samping rutin seharian. Hari ini cuaca sangat baik. Pagi tadi kelihatan mendung gamaknya namun menginjak ke angka jam 10 pagi, matahari mula timbul di langit Illahi.

Hari ini serasa sangat indah suasananya. Sejak pagi tadi burung-burung gagak asyik menyanyi. Begitu juga burung-burung serindit di luar sana. Kicauan mereka adalah simfoni alam yang sangat indah dan damai untuk didengari. Saya suka begini. Sejak dulu saya suka suasana seperti ini. Waktu dhuha selalu membikin hatiku riang dan bahagia. Teringat kampung halaman. Rindu pada teman-temanku di sana. 

Terkenang tempat-tempat yang menjadi kegemaranku sewaktu kecil dahulu. Sungai, dikelilingi oleh batu-batuan, menjadi tempat beristirahat setelah selesai menuai padi. Teringat Sungai yang jauh di hutan belantara bernama Bawang Dambatu. Sebuah tempat yang indah. Dikelilingi oleh hutan dan di garis tengahnya dipenuhi oleh sawah padi yang terbentang luas. Kenangan-kenangan sewaktu kecil tidak pernah padam dari kotak fikir ini.

Sungguh, saya rindukan zaman kanak-kanak saya. Zaman yang telah dibatasi oleh peningkatan umur. Seiring waktu berlalu, zaman itu telah berubah. Begitu juga suasananya turut berubah. Tempat-tempat yang menjadi kegilaan saya suatu waktu dulu sudah berubah. Misalnya bawang Dambatu yang mana dulunya cantik, dipenuhi oleh batu-batu sungai dan timbunan pasir, sekarang airnya sudah cetek dan penuh dengan rumput-rumput kasar di tebingnya. Lebarnya semakin mengecil dan kekadang kekeliruan pasti akan berlaku, sama ada ia adalah sungai ataupun tali air.

Sahabat semua, saya selalu bermimpi untuk merantau jauh ke negeri orang. Sejak saya mengenal Ilmu, sejak saya mengenal Allah SWT, sejak saya mengenal alam, saya selalu bercita-cita untuk menjadi seorang perantau. Dan Alhamdulillah, impian ini dikabulkan oleh-Nya apabila saya menginjak kaki ke menara gading kemudian berkerja pula di negeri lain. Saya juga selalu berharap agar pengakhiran hidup kita adalah pengakhiran yang baik-baik sahaja. Moga, Insya Allah, aminn

Baiklah sahabat semua, sampai di sini saja. moga kita akan berjumpa lagi di lain waktu, salam...

Friday, January 20, 2017

Tinta Dalam Jiwa


Bismillahirahmanirrahim

Memori-memori itu sentiasa terpatri indah di relung hati ini. Walau tersimpan kejap di album kenangan namun ia tidak pernah musnah dimamah waktu malah kekadang tetap kusemai kerinduan kepadanya.

Tidak ada batas masa antara kami. Dia selalu ada dan sentiasa ada di sini, di dalam qalbu. Walau acapkali aku merasakan aku menggapai buih-buih mimpi dari laut perasaan. Rasa yang mungkin hanya aku yang menghanyatkannya sedang dia...ah, aku tak mampu menyatakannya.

Ku selalu menitip pesan pada Maharaja agar Dia selalu memberikan kebahagiaan kepadanya. Bahagia di sana, bergurau senda dengan teman-temannya. Bahagia bersama dia yang tak ku kenal sifat mahupun peribadinya. Namun moga segalanya baik-baik sahaja.

Moga semuanya akan berakhir dengan keindahan. Keindahan yang mendapat keredhaan Allah SWT. Moga, doaku pada Tuhan Yang Maha Agung. Aminn

Saturday, January 7, 2017

Pantai Air Papan, Mersing, Johor





Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Melihatnya membuat jiwa menjadi tenang. 
Tempat yang cantik.
 Memanglah Ciptaan Allah SWT amat cantik semuanya.