Wednesday, November 30, 2011

Biarkanlah mereka berkongsi rezeki Allah swt dengan kita


Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum

Saya mulakan bicara saya dengan ucapan Salam Maal Hijrah 1433H kepada semua umat Islam di dunia ini. Semoga hari-hari kita dari bulan Muharam hingga Zulhijjah 1433H ini akan mendapat keberkatan daripada Pemilik Alam yang teragung iaitu Allah SWT, iaitu Tuhan Yang Maha Ahad, Maha Esa, Maha Awwal dan Maha Akhir. Hanya Allah yang Maha Rahman, Maha Rahim dan Maha Ghaffar. Tidak ada yang lain, hanya Dia yang Esa.

Setelah itu, sesudah menyematnya dengan kejap di dalam hati anda tentang ucapan saya ini maka abaikan seketika (kalau tak nak abaikan pun tak apa) kerana saya mahu membawa anda untuk mencari sesuatu. Sesuatu yang mungkin anda tidak sedar atau sudah hilang akibat pergolakan dunia yang memang tiada hentinya, pastinya hingga akhir zaman.

Dari al-Quran, “ Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi…” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Anda tentu pernah melihat seorang pengemis di pinggir-pinggir jalan di mana-mana kota di negara kita ataupun negara luar bukan? Dan tentu saja anda mungkin punya naluri untuk menambah pahala kepada mereka ataupun lebih suka membiarkannya ataupun juga mungkin dalam hati kita punya sedikit sifat mazmumah iaitu memberi tanggapan buruk terhadapnya.

Tapi bagaimana pula dengan makhluk selain manusia iaitu haiwan yang ada di bumi ini. Pernahkah kita terfikir tentangnya? Pernahkah atma dan naluri kita bersatu untuk membahagiakan mereka? Pernahkah kita menghargai mereka, menghormati mereka yang tidak punya akal secerdik manusia tapi punya hati untuk disayangi dan menyayangi? Dan satu lagi, yakni saya kira perkara ini selalu dianggap enteng oleh masyarakat sejak dulu hinggalah sekarang iaitu pernahkan kita mahu berkongsi rezeki Allah swt dengannya?

Jika kita boleh memberikan sedikit wang kepada seorang pengemis yang kalau dikira masih boleh melakukan pekerjaan kenapa kita tidak mahu berkongsi rezeki kepada seekor binatang yang sebahagian punca rezekinya dimusnahkan oleh manusia, iaitu kita sendiri. Kemodenan telah membunuh dan merampas sebahagian nyawa dan kebahagiaan mereka. Firman Allah dalam al-Quran.

“ Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan dan tetumbuhan dan pepohonan, keduanya tunduk (kepada-Nya). Dan langit telah ditinggikan-Nya dan dia ciptakan keseimbangan agar kamu jangan merosak keseimbangan itu dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.” (surah al-Rahman, ayat 5-9)

Saya teringat satu peristiwa yang sentiasa berulang-ulang yang saya kira hanya segelintir sahaja yang pernah mengalaminya tapi tidak pernah memikirkannya. Siapa yang tinggal di kampung yang punya bendang sudah tentu pernah senasib dengan saya. Selalunya apabila hasil padi sudah mulai menguning, bendang akan dipenuhi oleh pelbagai bunyi-bunyian dan orang-orangan yang sengaja dibuat oleh penduduk kampung semata-mata mahu menakutkan burung-burung pipit ataupun tikus-tikus yang mula bermukim di kawasan jelapang padi ini. Saya juga tidak terkecuali melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh ibu bapa saya.

Cuma apabila umur meninjak usia remaja, sekonyong-konyong timbul pertanyaan di kepala, apakah memang hanya keluarga saya sahaja yang boleh menikmati hasil tanaman ini? Tanaman yang diusahakan oleh keluarga saya tanpa ada pertolongan dari sesiapa pun. Tidak burung, tidak tikus, tidak belalang? Bagaimanakah pula dengan binatang-binatang ini yang tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana sudah takdir mereka untuk dijadikan bahan santapan kepada manusia yang mana kegiatan hariannya hanyalah mencari makanan kemudian bila kekenyangan terus mencari tempat untuk rehat dan tidur?

Sebenarnya Allah swt menjadikan kita sebagai khalifah di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri dengan mengamalkan segala suruhannya. Selagi dunia ini menjadi tempat tingal kita, maka kita diwajibkan untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Allah (Hablunminallah), sesama manusia (Hablunminanas) dan alam (Hablunminalalamin). Allah telah berfirman dalam Kitab-Nya yang menyuruh kita supaya sentiasa membahagi-bahagikan segala rezekinya di dunia ini. Jangan sesekali kedekut. Bersama lebih baik dari bersendirian. Samalah kalau kita mahu pergi berjihad. Berkumpulan lebih baik dari berdua. Di dalam al-Quran, ada disebut bahawa orang yang bersedekah akan mendapat balasan yang berlipat-ganda.

“ Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik dan Ikhlas akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Kalaulah kita punya sedikit nilai kemanusiaan, tanpa ada sikap mementingkan diri sendiri, mahu menikmati rezeki Allah yang luas ini sendiri, sudah tentu Allah akan melimpahkan rahmat dan memurahkan rezeki-Nya kepada kita. Memanglah rezeki Allah sangatlah luas bukan setakat makanan, kemewahan, kesihatan dan sebagainya cuma di sini saya hanya menumpukan salah satu darinya iaitu rezeki yang berbentuk makanan.

Apakah kita takut jika kita membelanjakan sebahagian harta kekayaan kita dengan membeli sedikit makanan kepada mereka, maka kita akan menjadi papa kedana? Ataupun kita terfikir bahawa amalan bersedekah terhadap makhluk ini hanyalah suatu perbuatan yang tidak memberi manfaat apa-apa? Misalnya apabila kita melihat seekor semut yang sedang berlegar-legar di sekitar kita, mencari makanan untuk bala tenteranya, sedang di tangan kita ada sekeping biskut, apakah kita tega membiarkannya begitu saja malah membunuhnya kerana beranggapan bahawa haiwan sekecil ini sangat berbahaya. Ayuh, cuba kita pecah-pecahkan biskut itu dan biarkannya jatuh di tempat semut itu berada, pastinya dalam masa beberapa minit saja kita akan melihat berduyun-duyun semut akan menghurunginya.

Jangan pernah menyangka, pertolongan sekecil itu tidak akan mendapat perhatian dari Allah swt malah semut itu jua. Cuba kalian luangkan sedikit masa untuk menyelak kisah-kisah teladan. Salah satu dari kisahnya adalah kisah seorang hamba Allah yang ditangguhkan azab kuburnya apabila muncul sekeping roti, merupakan sedekah hamba ini kepada seekor haiwan, memberikan pertolongan hingga malaikat munkar dan nakir tidak dapat menyeksanya. Akhirnya kerana sekeping roti itulah maka hamba Allah ini terlepas dari seksaan kubur.

Lihatlah, betapa luasnya kasih sayang Allah kepada kita, bab sekecil ini pun Allah nampak apatah lagi bab yang besar. Kerna itu, saya seru diri saya dan anda semua agar sentiasa berbuat baik kepada binatang-binatang yang ada di sekeliling kita. Tanpa mereka hidup kita di dunia ini tidak akan sempurna kerana itulah Allah ciptakan mereka untuk kita sama-sama saling melengkapi antara satu sama-lain. Kerana itu bersyukurlah dan tebarkanlah kekayaan kita seperti firman Allah s. w. t dalam al-Quran yang bermaksud:

“ Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Wednesday, November 9, 2011

Tuhan, Jangan Engkau alihkan pandangku ini darinya


Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum

‎" Kita akan merasai sesuatu keindahan itu melalui Penciptanya. Dialah yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang berada di dalamnya. Adakalanya, tanpa sedar kita akan tersenyum sendirian setelah melihat kekuasaannya."

Hai, pengembara blog saya? Macam mana dengan kehidupan anda semua untuk hari ini? Hmmm, baiklah, anda sahaja yang mengetahuinya bukan? Uhhh, masih sudi singgah di blog saya yang biasa-biasa ini. Tak apa, jemputlah menziarahinya ye.
Sebenarnya saya ada sesuatu yang ingin saya kongsikan kepada anda semua. Mungkin kalian sudah pernah merasainya ataupun tidak dan juga mungkin kalian selalu melihatnya tanpa sedar mahupun sedar kerana setiap detik dan waktu ia sentiasa berada di tempatnya. Sentiasa berputar pada paksinya Cuma keadaan saha yang membezakan di mana kita boleh melihatnya.

Hari ini, saya nampak sang bulan mengembang megah dengan satelit yang menjadi temannya di atas angkasa. Melalui jendela yang terbuka luas, saya boleh nampak cahayanya yang memancar terang. Di sekelilingnya hanyalah langit hitam, tanpa awan larat. Yang ada hanyalah sebiji satelit menemaninya sehingga sekarang, saat saya menulis tentangnya di depan laptop saya yang biasa-biasa ini.

Alangkah seronoknya hati ini apabila melihatnya. Alangkah bertuahnya saya dapat melihat keindahannya. Alam ini memang indah. Sangat indah. Siang, Allah terbitkan mentari untuk menyinari bumi damai ini dan malam pula Allah hadirkan bulan. Adakalanya tika Bulan bosan maka muncullah mutiara alam satu persatu. Kadang-kadang mutiara itu lebih dahulu muncul dari bulan. Adakalanya kedua-duanya tidak hadir, membiarkan langit menjadi hitam pekat. Tapi tidak mengapa, waktu inilah, Para bidadara dan bidadari dunia menikmati betapa nikmatnya apabila berada dekat sekali dengan Yang Maha Pencipta.

Seperti yang sudah-sudah, Allah masih hadirkan rasa kagum dan cinta saya terhadap ciptaan-Nya yang satu ini. Di atas awan, Allah hamparkan langit ini untuk menjadi rumah bagi sekalian makhluk lain yang selalu tunduk pada-Nya, selalu berzikir pada-Nya. Saya tidak dapat memberikan gambaran lengkap macam mana keadaan bulan ini. Cuma apa yang mampu saya katakan ialah, Syukurlah jika saya masih dapat melihat dunia sebelum Allah ambil saya kembali.Semoga selamanya saya akan menjadi perindu alam. Doakan saya ya supaya kita sama-sama menjadi seorang yang mencintai keindahan alam untuk selama-lamanya. Amin…

Kerana itu, saya harap mulai saat ini, bagi mereka yang terlalu taksub dengan kelekaan daripada menghayati kebesaran-Nya, alpa dengan keindahan duniawi, marilah, mulai dari sekarang bertemanlah dengan alam. Mungkin kita susah untuk berubah jika terus mengambil al-quran, atau terus pergi mendengar ceramah, maka bagaimana kalau kita lakukan tranformasi kita ke arah yang lebih baik dengan melihat apa yang ada di sekeliling kita terlebih dahulu iaitu Kebesaran-Nya. Seperti Firmannya dalam surah Al-Imran: ayat 190-191:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”

Insya AlIah, kalam ini bisa membuatkan anda tidak akan berpaling dari pandangan Allah.

Maafkan saya, saya juga manusia biasa (memang pun manusia biasa), saya berkata begini bukan kerana saya seorang yang warak, ataupun menjadi sebahagian golongan yang selalu beribadah cuma saya hanya menyeru, membetulkan yang salah di pandangan mata saya, walaupun saya sendiri tidak betul. Bukankah Rasulullah saw sendiri menganjurkan umatnya agar entiasa tegur-menegur antara sesama sendiri walaupun diri kita sendiri tidak betul (saya lupa hadis siapa, harap kalian dapat mencarinya sendiri. Insya Allah, JIka niat kerana Allah, maka lambat laun Allah akan memberikan jawapannya. Kadang-kadang tanpa kita sedar.

Akhir kata, semoga apa yang saya tulis ini bakal menjadi berakah dan manfaatnya kita bersama-sama, Insya Allah. Salam dari saya untuk diri dan anda semua, salam.

Bulan,
Sesekali anganku meracuni jiwaku
Saat ini, ingin sekali jasadku ini
Ku layangkan ke atas tubuhmu
biar aku melihat keindahanmu itu
juga melihat bintang
bergemerlapan ke seluruh alam
serta menikmati betapa indahnya bumiku
kala dipandang dari langit Illahi
agar bertambah ketakwaanku pada-Nya.
Subhanallah! Subhanallah!
Allahuakbar!

Tuesday, November 8, 2011

Monster House

Monster House (pandangan yang palingggg Jauh)

MOnster House (Pandangan palinggggggggg dekat)

Assalamualaikum

Semalam saya terbaca blog adik saya dan entrynya adalah pasal rumah dalam gambar atas tu. Bila membacanya terus fikiran saya menereweng jauh ke zaman lampau ketika usia saya baru setahun jagung, masih bergelar anak-anak suria atau pucuk muda atau dalam bahasa yang mudah zaman kanak-kanak.

Kadang-kadang saat membacanya saya tersengih sendirian, tersenyum kemudian tertawa. memori zaman silam dan salah satunya di rumah inilah terdapat pelbagai kenangan yang tak pernah saya lupakan seumur hidup. rumah ni namanya bukan monster house tapi entah kenapa adik saya terfikir nak bagi nama bagi rumah ni dan gelaran yang diberi pun bukannya calang-calang gelaran ala-ala tajuk filem inggeris yang saya tonton suatu ketika dulu. sekali fikir, emmm pandai juga adik saya pilih nama.

Sekarang rumah ni masih ada, dan gambar di atas itu adalah gambar yang terbaru semasa saya balik ke kampung awal bulan jun lalu. kalau diingat balik, memang rumah ini nostalgia bagi keluarga saya dan saudara-mara kami.

Di rumah inilah, salah satu tempat saya dan teman sepermainan saya yang kebanyakannya adik-beradik dan sepupu sendiri main sembunyi-sembunyi, main tanah liat, main perang-perang, kejar-mengejar, tangkap belalang, panjat pokok buah-buahan yanga da di sekitarnya dan yang paling penting di sinilah destinasi pertama sebagai tempat bersembunyi, mengelak daripada disebat oleh ayah atau ibu.

Hmmm, ingat lagi tak autobiografi saya pasal kampungku oh kampungku (autobiografi lah kot), rasanya saya akan memasuk entry ini di dalamnya. sekarang hampir 60% berjaya disiapkan. selebihnya masih dalam perancangan. jadi Insya Allah nanti kalau diizinkan atau saya tak lupa saya akan masukan sedikit memori saya pasal rumah yang paling digeruni ni ye. satu-satunya rumah bertingkat yang diperbuat daripada bambu di kampung kami.

# Pernah berangan-angan nak buat rumah macam ni masa kecil tapi bila dah besar, batal terus impian tu sebab dalam fikiran nak buat rumah klasik.

# Kalau nak tahu lebih lanjut pasa rumah ni, silalah layari blog adik saya ye. ni dia blognya...

http://koihadginawokuginawokukagasanku.blogspot.com/

Kalau rasa nak follow, followlah, kalau tak nak pun dia tak marah tu. hak anda menentukan segalanya...salam

Sunday, November 6, 2011

Warkah Seekor Burung Kepada Seorang Manusia

( Bacalah jika anda mahu membacanya- Hasil penghayatan dan pemerhatian serta kasih sayang saya terhadap alam sekeliling. Melaluinya maka terlakarlah puisi yang tidak seberapa ini namun andai kita memahami makna di sebalik yang sudah tersurat, kita pasti akan memperolehi manfaatnya )


Aku adalah seekor burung
Mungkin engkau sudah lama kenal aku
Akulah yang selalu memekik di ranting dahan
Kala pagi menjenggah waktu
Di depan rumahmu.

Dulu, dunia ini adalah kegembiraanku
Di sana sini aku bisa terbang bebas
Dengan hati yang penuh girang
Tanpa rasa bimbang, tanpa rasa duka.

Tapi engkau tahu?
Sekarang, dunia ini bagaikan lautan api
Yang menyambar tiap inci tubuhku
Hingga yang tinggal adalah kesedihan dan kesengsaraan.

Apakah engkau sedar
Angkara siapakah ini?
Inilah angkara bangsamu!
Tidakkah engkau sedar, kemerdekaan engkau itulah
Malapetaka bagi kami.

Kami sudah tidak punya apa-apa
Makanan kami
Sedikit demi sedikit engkau habiskan
Hingga yang tinggal hanyalah keraknya.
Engkau biarkan bangsaku tak terbela
Engkau biarkan bangsaku kemiskinan
Engkau biarkan bangsaku kesakitan
Engkau biarkan bangsaku pupus di muka bumi ini.

Sekarang, ku tanya kamu dan bangsamu?
Apa ertinya merdeka bagi kalian?
Kebebasan yang kalian kecapi
Tidak ada maknannya
Jika kami di sini kalian abaikan
Jika kami di sini, kalian perlekehkan
Jika kami di sini, kalian permainkan
Suara hati kami, kalian perbodohkan.

Kalian kaya dengan kemodenan, itu tidak apa
Kalian kaya dengan kebebasan, itu juga tidak apa
Kalian kaya dengan keseronokan, juga tidak apa
Tapi kalian miskin dengan nilai-nilai keduniaan.

Aku adalah seekor burung pipit
Yang datang mewakili bangsaku yang bisu
Tiap hari di depan rumahmu
Pulangkan hakku, pulangkan hak bangsaku,
Kembalikan hak kami.

Andai engkau tetap ego
Maka tidak apalah, kami akur
Kami tidak lagi menuntut apa-apa
Ambillah hak kami
Ambillah kehidupan kami
Buatlah sesuka hatimu
Di sana nanti kita pasti akan bertemu
Kerna, dunia ini sekadar pelabuhan
Bagi kami, bangsa yang terjajah.

Pesanku,
Kerana aku hanya seekor burung pipit
Yang datang mewakili bangsaku yang bisu
Carilah erti kemerdekaan yang sebenar
Sebelum ianya hilang ditelan arakan sejarah dunia.

Nukilan: S. Hana AK
11. 09 PM
29 . 10. 2011 (Sabtu)
KHAR UPSI.

Friday, November 4, 2011

Mencari Yang Tersurat

Jauh ku berlari
jauh ku berjalan
jauh ku mengembara

demi,
segugus harapan
segugus tekad
segugus impian

bagi,
mencari laut ilmu
mencari alam kehidupan
mencari jalan pulang

tapi,
yang ku temui hanyalah
lorong kegelapan
lorong angan-angan
lorong kepalsuan

hingga akhirnya
aku jatuh tersungkur
jatuh tersingkir
jatuh terbaring

tapi
sebelum jatuh terdampar
aku harus bangkit
harus kuat
harus redha

bahawa ini semua
hanyalah ujian
hanyalah dugaan
hanyalah cabaran

dan yakin
bahawa
jalan kembali
masih terhampar luas
jauh ke hadapan.

S. Hana AK
9.36 PM
4 Nov 2011 (Jumaat)
UPSI

Thursday, November 3, 2011

KEPENTINGAN MENGEMBARA BAGI SEORANG PENULIS


P/S bacalah jika anda mahu membacanya

Bagi seorang penulis, mengembara dapat memperluaskan minda dan hati penulis tentang kejadian yang berlaku di tempat lain. Hal ini penting dilakukan untuk kaum penulis dalam membuat perbandingan dan penilitian dalam pelbagai aspek kehidupan. Malah agama Islam sendiri pun menganjurkan umatnya melancong atau bertebaran di muka bumi untuk melihat dengan mata kepala sendiri, pelbagai kisah hidup manusia yang ada di tempat lain selain tempat sendiri.

Kita lihat penulis yang paling hampir dengan kita, yang banyak menulis novel serta banyak menulis buku motivasi kepada masyarakat di luar sana iaitu Dr. HM Tuah Iskandar. Antara buku motivasinya yang terkenal ialah buku berjudul “ Nak Ke Tak Nak” yang menceritakan bagaimana mahu berjaya dalam kehidupan. Contoh yang lain ialah Sasterawan Negara Shaharom Husain yang sering berkunjung ke luar negara semasa zaman mudanya sehingga menghasilkan sejumlah karya yang bercorak rakaman perjalanan dan kunjungan ke luar negara. Baca dan hayatilah karya-karyanya seperti Melihat Australia 1 (1949), Melihat Australia 11 (1949) dan Berita Hiburan Dari Australia (bersama Ahmad Abdullah) (1950). Semua ini berkisarkan tentang pengembaraannya ketika berada di Australia.

Di samping itu mengembara juga penting supaya dapat mematangkan pengalaman, persepsi dan pemikirannya tentang alam dan manusia dan memperkayakan ilmu pengetahuan. Bagi seorang penulis baru yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan dan kritikan, mereka boleh mengambil iktibar daripada penulis dan pengkritik dari luar negara bagaimana mereka menulis dan mengkritik sesebuah buku. Antara penulis luar negara yang paling terkenal di dunia dan dikagumi oleh dunia kerana karya-karyanya ialah Leo Tolstoy yang berasal dari Russia, Enid Blyton yang terkenal dengan novel penyiasatannya dan William Sheakspear yang terkanal dengan novel kemasyarakatannya.

Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said yang menghasilkan buku Warkah Eropah adalah kesan daripada kunjungan beliau ke beberapa buah negara di Eropah. Pengalaman tersebut telah memperkaya pengalaman sekaligus meningkatkan ilmu pengetahuannya. Begitu juga buku-buku seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Hikayat Abdullah (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1920) tidak akan terhasil sekiranya Abdullah Munsyi tidak mengunjungi atau melawat pelbagai negeri Melayu sewaktu era penjajahan Inggeris dahulu dan mencatat apa-apa yang dilihatnya menerusi kaca matanya sendiri. Beliau telah memanfaatkan pengembaraan ini untuk menghasilkan karya itu sebagai rujukan kita pada hari ini.

Kembara ke pelbagai tempat dalam suasana kehidupan yang serba moden ini boleh sahaja dilakukan dengan menaiki bas, kereta api, kapal terbang, motobot, motosikal atau kereta. Teknologi moden kini memungkinkan kita sampai ke destinasi yang dituju untuk melihat sendiri kehidupan sesuatu bangsa tertentu. Misalnya mereka yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan di kawasan pedalaman. Malah pengembaraan di dalam hutan juga amat berguna kepada kita kerana di sana terdapat pelbagai kehidupan dari makhluk Tuhan yang lain yang boleh kita jadikan ilham untuk berkarya. Pengembaraan seumpama ini dapat merangsang dan mencambahkan minda untuk mencari idea-idea baharu untuk diterapkan dalam karya. Seorang penulis yang juga seorang pensyarah di sebuah pengajian tinggi tempatan telah menghasilkan buku berjudul Menjelajah Negeri Sabah ( 1986) yang ada kaitan dengan pengembaraan dan pengalaman hidupnya yang dialami di Sabah suatu ketika dulu. Penulis tersebut adalah Dr. Talib Samat. Menerusi buku ini, penulis mencoretkan pengembaraan ke pelbagai tempat di Sabah meliputi kawasan pedalaman, kota, pantai dan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

“ saya mengembara ke seluruh Sabah dengan menggunakan jalan darat, udara dan laut sambil cuba mendapatkan gambaran yang jelas tentang ciri-ciri masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam, kepercayaan dan cara hidup, pengalaman tersebut tidak akan saya alami jika saya tidak merantau ke Sabah.”
Penulisan buku ini sebenarnya terilham sewaktu Talib Samat bertugas di Sabah sebagai pegawai kerja pertahanan di Markas 5 Bridge Kem Lok Kawi, Kot Kinabalu dan di Kementerian Pertahanan Cawangan Sabah sehingga tarikh 1983. Pada masa cuti hujung minggu dan cuti kelepasan umum Talib Samat gunakan masa itu untuk berkunjung dan melawat pelbagai ceruk rantau negeri Sabah yang sememangnya indah.

Seorang lagi penulis muda yang berbakat iaitu Zaid Akhtar yang berasal dari Segamat, Johor berpeluang menuntut di sebuah universiti di Jordan. Zaid terdorong untuk merakamkan cebisan-cebisan hidupnya di Jordan menerusi dua buah novel remajanya iaitu Sesegar Nailofar (2001) dan Rona Bhosporus (2004). Malah ia juga turut memenangi Penilaian Hadiah Kategori Remaja anjuran Kumpulan Utusan Melayu bagi tahun 2000 dan 2003 bagi kedua-dua novelnya itu.

Malah penulis novel pembangun jiwa, Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih yang terkenal pada era ini, berasal dari Indonesia iaitu Habiburrahman El-Shirazy juga mendapat Ilham untuk menulis kedua-dua novelnya itu setelah beliau melalui pengalaman hidup ketika berada di Mesir selama beberapa tahun di sana sebagai penuntut di Universiti Al Azhar, Kaherah. Kedua-dua novel beliau ini telah diadaptasi kepada Filem yang telah mendapat perhatian dari ribuan peminat setianya sehingga nama beliau terkenal sebagai penulis novel keagamaan yang terkenal. Habiburrahman El- Shirazy merupakan Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 dan Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favorite Book 2005 melalui novelnya, Ayat-ayat Cinta.

Seterusnya, bagi seseorang penulis, dia tidak sewajarnya memerapkan dirinya di kampung-kampung atau di negerinya sahaja dan bergantung kepada pembacaan buku semata-mata tetapi sesekali-sekala atau beberapa kali dalam hidupnya, penulis itu perlu mengembara atau melancong ke tempat orang atau daerah lain. Sekiranya ada persatuan penulis atau institusi tertentu yang menganjurkan lawatan ke sesuatu tempat bersejarah sama ada di dalam atau di luar negara, seorang penulis patut menyertai kembara itu. Dengan mengembara seorang penulis akan mendapat sesuatu idea atau pengalaman baharu yang tidak ada dalam buku atau kadangkala tidak pernah difikirkan sebelum ini sekaligus dapat menyuntik semangat baru kepada penulis untuk memantapkan lagi mutu penulisannya.

Perlu diingat bahawa, seorang penulis yang baik ialah dia mampu mencampurgaulkan segala kekreatifan, pengalaman, pengetahuan, penghayatan, pemerhatian dan imanigasinya dalam setiap karyanya. Dengan itu, karya-karyanya akan lebih menarik, bermutu dan berkesan. Malah jika karya-karyanya yang baik dan memenangi setiap pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, ia mampu menyuntik semangat kepada penulis tersebut untuk terus menulis. Salah seorang penullis baru yang mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang penulisan ialah Faisal Tehrani yang menulis novel 1515.

Selain itu, Pengalaman di luar negara mampu mendewasakan seorang penulis. Worldview atau pandangannya juga mungkin akan berubah setelah beliau dapat melihat dan mengalami sendiri perbezaan budaya, nilai serta fahaman yang mereka alami di luar negara. Paling penting, setelah berada jauh dari tanah air, penulis itu akan mempunyai satu perspektif yang baru (yang mungkin lebih adil dan matang) tentang negaranya sendiri (atau negara yang dilawatinya).

Perhatikan sahaja karya Rehman Rashid yang bertajuk A Malaysian Journey (seorang penulis yang banyak menghabiskan masanya di luar Malaysia). Bagi pengkaji, ini adalah satu karya klasik yang patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia atau mereka yang mahu mengenali dengan lebih dekat tentang negara ini. Jarang benar dapat membaca satu karya yang begitu ikhlas, yang telah ditulis tentang Malaysia. Tulisan Rehman Rashid penuh kritis. Ada kalanya sukar untuk ditelan. Bukan kerana tulisannya sukar dibaca, tetapi seperti biasa, kebenaran tentang diri kita sendiri terlalu berat dan pedih untuk diterima. Seorang penulis luar negara iaitu Nailpaul yang dibesarkan di Trinidad, Karya pertamanya adalah buku Among the Believers.

Buku ini adalah mengenai pengembaraannya ke negara-negara Islam di luar tanah Arab. Di antara negara-negara yang dilawatinya adalah Pakistan, Malaysia dan Indonesia. Dalam bukunya ini, beliau ada menyebutkan tentang Anwar Ibrahim. Naipaul mahu melihat Malaysia dari kaca matanya, tetapi sayang Anwar Ibrahim pada ketika itu terlalu sibuk untuk melayannya. Beyond Belief pula adalah sambungan kepada buku yang saya sebutkan. Bagi pengkaji, pengembaraan yang paling penting adalah pengembaraan seorang anak watan yang pulang ke negaranya, lantas dalam proses pengembaraannya ini, beliau dapat menyelami hatinya sendiri. Mungkin beliau akan dapat melihat dengan jelas segala kemajuan, ketidakadilan, dan penipuan yang berlaku di hadapannya (yang sebelum ini tidak dapat dilihatnya). Kemudian beliau akan menulis tentang penemuannya ini dengan nafas yang ikhlas, walaupun menyakitkan.

Pengembaraan ke suatu tempat juga boleh merubah kehidupan seseorang. Segala pendirian yang pernah berada dalam jiwanya selama ini akan berubah apabila berada di tempat tersebut. Misalnya Buku The Road to Mecca ini karya Muhammaad Asad, merupakan salah satu buku yang cukup menyentuh hati. Di dalamnya ada perjalanan spiritual Muhammad Asad, sebelum dan ketika masuk ke dalam pelukan Islam. Nama asli beliau adalah Leopold Weiss. Awalnya, beliau merupakan wartawan Yahudi yang lahir dan besar di Polandia. Beliau mengunjungi Timur Tengah dalam rangka melaksanakan tugas kewartawanannya. Selama masa pengembaraannya di Timur Tengah itulah rupanya, beliau mengalami pengembaraan jiwa yang jauh lebih intens daripada pengembaraan fisiknya.

Salah satu cerita beliau di dalam buku ini yang benar-benar membuat pembaca tersentuh adalah percakapan beliau dengan salah seorang imam masjid di Yerussalem. Hal ini terjadi sebelum keislaman beliau. Kepada imam masjid itu, Muhammad Asad bertanya, apakah orang tua itu benar-benar percaya bahwa Allah mengharapkannya memperlihatkan penghormatan dengan membungkuk, bersujud dan duduk berkali-kali, dan untuk apakah maksud segala gerak badan itu. Imam masjid itu lalu menjawabnya dengan suara yang tegas namun lembut, “Dengarlah, akan saya terangkan kepada Anda mengapa kaum Muslim bersembahyang sebagaimana kami lakukan. Kami menghadap ke arah Ka’bah, rumah ibadah suci Allah di Mekkah, karena mengetahui bahwa wajah seluruh kaum Muslim, di manapun mereka berada, menghadap ke sana manakala sedang bersembahyang. Dan kami bagaikan satu tubuh, dengan hanya Dia sebagai pusat perhatian.” Akhirnya Muhammad Asad memeluk Islam dan menulis buku The Road to Mecca ini.