Monday, March 29, 2010

Selat Tebrau



Selat Tebrau,
aku datang dari jauh
semata-mata ingin melihatmu
melihat kekeruhan airmu
melihat kekosongan jasadmu
melihat kedukaan hatimu
kerna aku terdengar dari manusia
yakni makhluk yang melepaskan
keganasannya kepadamu
bahawa kau sudah berubah
berubah warna
berubah rasa
berubah bentuk
berubah perasaan.

Selat Tebrau
Dulu ku pernah dengar
Biru warnamu
Putih pasirmu
Jernih airmu
Meniti dari bibir-bibir insan bernama manusia
Yang gembira menyambut kewujudanmu
Dan memuji kecantikanmu
lalu mengagumi kekuasaan Maha Penciptamu

tapi kini,
aku jadi berduka melihat rupa bentukmu
semua kata manusia adalah bohong belaka
di manakah kebenaran yang selama ini
menakluki jiwa sukmaku?
angin yang mengusap lembut badanku
dari lubuk hatimu
tak mampu menyenangkan diriku
aku seperti ingin menangis
aku seperti ingin berteriak
menyatakan kepada semua manusia
bahawa kau juga makhluk ciptaan Tuhan
yang ingin dihargai
ingin disayangi
ingin dimanjai
jangan biarkan sampah dan minyak menyayangimu
jangan biarkan ikan dan karang menjauh darimu
kerana semuanya bermula di tangan seorang
yang bernama manusia.
Merekalah yang merubah mu
Menjadi laut yang
Kusam kulitnya.

Nukilan: S. Hana Ak
28 Mac 2010
13.58 pm
UPSI

No comments:

Post a Comment