Tuesday, March 9, 2010

Ilham oh ilham

Aku berada di tengah-tengah kota. Kota metropolitan. Aku juga berada di tengah-tengah orang ramai. Dua bulan aku habiskan masa dan peluang ini dengan sia-sia. Dua bulan lamanya. Tiada apa yang dapat saya perolehi. Kegembiraan mahupun kepuasan. Kosong jiwa saya, kosong fikiran saya sekosong hidup saya. Bagaimana nanti saya kembali ke tempat saya dalam keadaan begini.

Aku cuba menulis sesuatu, hanya menduga tapi gagal. Aku berasa tidak gembira dan puas hati dengan apa yang aku lakukan. Saya cuba memikirkan sesuatu peristiwa ataupun keadaan yang aku lihat, perhati, lalui dan dengar tapi aku tetap tidak berjaya. Kepala aku sakit bila berfikir. Mula berfikir… sebab itu fikiranku terganggu lalu semuanya tidak jadi.

Bila malam menjelma saya selalu mencuba sesuatu yang pernah aku lakukan. Aku ingin mencari ilham dalam keadaan malam yang sunyi, tenang, aman dan damai. Ilham berkarya selalu aku dapat di kala malam menjelma. Tapi sekali lagi aku gagal mendapatkannya. Hampir tiap hari aku terperuk di tengah-tengah jendela untuk melihat alam ciptaan Illahi. Mahu menghayatinya. Mahu mencari kepuasan, mahu mencari rasiah alam, mahu mencari kekuasaan Illahi, mahu mendapatkan Ilham tetapi…
Seperti bulan dan bintang saya juga tidak dapat memahami keadaan diri saya kerana aku mula sedar dengan keadaanku. Aku cuba mencari ilham di tengah-tengah kehidupan manusia. Melihat kelakuan mereka, menilai dan memahami perasaan mereka. Saya cuba apa yang termampu tapi..tapi tetap ada, saya gagal.

Saya tidak berputus asa. Saya cuba mengubah diri saya. Rajin sembahyang solat lima waktu. Berdoa memang tidak pernah hilang dalam diari solat saya Cuma sejak kekosongan, ketidakpuasan, ketidakgembiraan dan ketidakselesaan saya langsung tidak mendapatkan doa yang baik seperti dahulu. Sekali lagi aku gagal. Aku kecewa. Solat juga tidak mampu memberikan saya manfaat apa-apa. Solat saya tidak teratur. Tidak seperti dulu. Saya kecewa dengan itu.

Otak saya sekarang memang benar-benar tidak berfungsi dan menolong aku. Angin badan yang menyelubungi tubuh badanku tidak dapat dikeluarkan. Sebab itu ia menjadi beku. Saya akhirnya sedar bahawa jika otak beku ia tidak akan membawa apa-apa manfaat. Kerana otak adalah jantung segala badan dan fikiran dan tingkah laku. Berfikir mengguna otak akan sentiasa berkembang tapi berfikir dengan hati ia seperti burung yang terkurung dalam sangkar. Ingin bebas tapi sayang tidak dapat membebaskan dirinya. Begitulah yang terjadi kepadaku.

Lihatlah apa yang saya tulis ini. Ia sangat lain dari yang lain. Tidak menggambarkan perkembangan fikiran saya. Ia seperti esei fakta. Aku terfikir bila aku kembali ke kampus apa yang mungkin akan berlaku adakah saya tetap begini. Tidak berubah. Di sana saya selalu tergesa-gesa melakukan sesuatu. Saya mahu buat semua. Dari belajar, berkarya dan melukis tapi apa yang ada. Tidak jadi. Sebab kerana tergesa-gesalah saya selalu tidak meyiapkan dan menyudahkan kerja saya.

Sampai bila saya harus begini? Aku sering tertanya-tanya. Hampir dua bulan aku terjerumus dalam permainan dunia saya yang kosong. Bahkan sejak setahun yang lalu aku langsung tidak menggunakan segala kepandaian saya. Di mana kepandaianku? Langsung gagal aku temui. Adakah aku akan begini. Sentiasa begini sampai akhir hayat. Tidak saya inginkan. Perkara itulah yang sangat saya takuti kini.
Mungkin ini adalah ujian tuhan kepada saya. Tuhan sedang menguji saya setelah dia permudahkan hidupku selama ini. Dia mahu melihat macam mana aku mengatasi masalah saya tanpa pertolongannya. Ataupun cuba menguji keimanan dan ketakwaan aku padanya. Bukankah dia yang selama ini menolong hidupku. Bukankah saya pernah diberikan kebahagian tapi sayang saya sendiri yang tidak mengizinkan dia datang dalam hidupku.

Aku sudah cuba sedaya upayaku. Namun dia tetap tidak datang. Kalau adapun Cuma sekali sekala. Jarang-jarang. Bila dia datang aku rasa lain macam. Tangan gatal hendak mengeluarkan ataupun mencoretkannya tapi tiba-tiba pula ilham itu hilang bersama kemalasan yang sering mengetuk pintu kerajinan. Ketika tangan menggapai pena atau punat komputer kegairahan yang membusung tinggi tiba-tiba hilang. Padahal aku sudah mula mahu menulis. Arkh…tension …tension..macam mana ni.

Seringkali aku gagal dalam melaksanakannya. Gagal dalam kelesuan yang tak kunjung padam. Padahal jauh di sudut hati ini masih memberontak hendak melakukannya. Tapi ada sahaja halangan. Kemalasan, kekurangan ilham, ketidakyakinan dan halangan lain yang tidak disengajakan menyebabkan aku biarkan ianya berlalu begitu sahaja. Keadaan di sini juga antara salah satu sebab punca aku hilang sikap ingin menulis. Bukannya kerana sibuk sepanjang masa tapi kerana ketiadaan idea dan kehilangan cara permulaan turut menyeksa batin. Di sini apa yang harus aku tulis? Kerana segala-galanya macam menghadkan otak ini untuk berfungsi dan mengembangkan idea-idea yang ada.

“ kenapa tak menulis. Dah hilang keyakinan ke.” Satu suara yang sering mempersendakan hakku.

“ ilham tak ada. Apa boleh aku buat.”

“ idea…wei. Banyak sangat peristiwa yang ada di sini untuk kau masukkan dalam karyamu.” Hati ini pula bersuara.

“ aku dah hilang segalanya. Aku tak tahu macam mana dan di mana aku hendak mulakan. Bukannya kau tak tahu manusia sekarang lebih pandai memilih kuku dengan ruas. “
“ alah..tulis ajelah apa yang kau nampak.”

“ ewah. Pandainya nak tunjuk. Awak fikir menulis ni mudah ke.” Aku terus berperang dengan perasaan.

Pernah satu hari aku rindu dengan tulisanku. Pernah satu hari aku cuba mengaplikasikan gelagat manusia dalam karya. Aku ingin jadikan masyarakat atau pelajar-pelajar di kampus ini jadi ilhamku. Namun apa yang dapat aku lakukan. Sebaik sahaja tangan dan pen bersatu segalanya beransur-ansur pulang. Aku tidak tahu di mana aku hendak memulakannya. Lalu kerana hilang atau kegersangan inilah aku cuba mengembalikan taman kegemilanganku dengan membaca karya-karya yang aku hasilkan dulu. Namun ia tetap membuatkan aku buntu. Argh..argh..

Akhirnya aku sedar aku sentiasa berubah. Perubahan sentiasa menantiku walau di mana jua aku berada. Kalau bukan karya cerpen aku beralih ke sajak. Namun ia terlalu berestetika sehingga hilang isi kandungannya dan cara penyampaiannya yang lucu atau kebudak-budakkan menyebabkan aku malas hendak menghasilkan satu karya pun.

Sepanjang aku di sini aku hanya menulis sebuah cerpen yang berjudul Novel. Dan seterusnya hanya sajak-sajak perasaan yang menghiasi dada pendriveku. Sungguh aku telah kehilangan segalanya. Tapi Novel juga sudah hilang dari simpananku. Mungkin akibat pendrive ku dulu yang dimasuki virus Jamban membuatkan semua maklumat yang ada hilang. Namun Alhamdulillah setelah kak Grace ( ex roommateku yang dulu ) yang entah macam mana dia membuatnya dapat mengembalikan sebahagian maklumat yang hilang itu muncul kembali walaupun yang sebahagian lagi hilang ditelan jamban.

“ kenapa tak menulis.” Tidak pernah aku ditanya sedemikian kerana seorang pun pelajar di sini tidak tahu aku adalah penulis sembilan yang karyanya tak pernah disiarkan di dada majalah-majalah atau pun dibukukan.

Kadang kala hati ini sudah puas memberontak ingin menyuruh aku menulis. Walaupun hanya sebuah cerpen sahaja. Tapi apa yang dapat aku lakukan. Memang aku begitu sukar untuk mengeluarkan kata-kata. Yang paling banyak pun hanyalah coretan-coretan luahan rasa dan puisi-puisi yang lebih bermotifkan perasaan. Kemudian bila cuti sekolah aku hanya menulis sebuah cerpen ketika pulang bercuti di rumah kakak yang aku berikan judul Nur Atika.

Gaya bahasanya biasa sahaja. Mungkin agak membosankan para pembaca. Malah aku sendiri pun bosan. Ini mencerminkan wajah aku yang sudah kekurangan idea. Sudah kekurangan pengalaman dan cetusan ilham. Aku mengaitkan pula keadaanku dengan keadaan alam yang ada di sini. Di kampus ini. Mungkin ketiadaan ideaku disebabkan faktor di sini yang agak sukar untukku melihat bulan bintang, gunung-ganang, bukit-bukau, kayu-kayan, matahari, awan, sungai, dan embun yang selalu ku lihat ketika di sabah dahulu. Sebagai seorang sastera yang jiwanya dipenuhi dengan kesenian semua ini amat penting dalam bermesra dengan alam kerana manusia dan alam saling berkaitan. Aku tidak nafikan ada kalanya aku rindu untuk melihat alam ini. Teman setiaku.

Di sini hanya ada pokok kelapa sawit yang ditanam di bukit-bukit yang diratakan. Agak sukar aku melihat bukit yang kesemua penghuninya adalah pokok dari sekecil sehingga sebesar pokok ru. Agak sukar juga untukku melihat bintang dan bulan berkedipan dan bercahaya di waktu malam. Kalau adapun bintang hanya setakat dua tiga biji saja dan itupun hanya sementara kerana di sini langit sentiasa diliputi dengan awan yang berselerak. Yang ada hanyalah bangunan-bangunan pencakar langit.

Malah setiap kali senja aku sentiasa terlepas untuk melihat matahari redup di waktu rembang petang. Melihat keindahan awan gemawan dan pepunjuru bukit-bukau ketika itu. Agak sukar juga mataku ini dicuci dengan santapan jalur pelangi indah sewaktu hujan turun di rembang petang atau pagi. Semua ini membuatkan aku hilang keupayaan untuk menikmati alam maya. Hilang ingatan. Aku tidak tahu sampai bila aku begini. Mungkin sehingga habis pengajianku ataupun hingga akhir hayat. Nauzibillah. ..kalau akhir hayat minta dijauhkan. Aku tidak boleh hidup tanpa sastera dalam hidupku. Sastera adalah nadi hidupku. Dia kuibaratkan pakaianku. Tanpa adanya aku merasakan hidupku tidak sempurna.

Bagaimanakah aku hendak menghadapi hidup yang tak memaniskan jiwaku. Tak mencabar mindaku. Mungkinkah tugasan yang diberikan oleh pensyarah memenatkan aku. Aku cuba mencari persoalan dan jawapan tersendiri. Kerana hanya aku sahaja yang dapat menghuraikannya. Apakah aku terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk berfikir tentang itu semua. Tidak ada masa untuk menulis. Ataupun aku memang tidak ada nafsu untuk menulis. Aku tidak mengerti. Cuma satu saja yang dapat aku terima dalam tiga persoalanku ini iaitu aku memang kekurangan idea. Kalaupun ada aku tidak mampu untuk mengeluarkannya. Padahal banyak sebenarnya yang boleh ku kutip di sini untuk mencetuskan ilham namun aku tidak berupaya untuk menggapainya.

Sudah setahun lebih aku di kampus ini tapi sedikit pun tidak ada karya yang kuciptakan bagi memberikan gambaran sebenar kehidupan seorang siswa atau siswi. Yang ada Cuma perasaan atau karya yang masih berada di takuk yang lama iaitu kisah kehidupan dalam diriku dan masyarakat di luar sana. Hal ini amat jelas dalam puisi-puisi yang ku hasilkan. Aku tahu puisi-puisi ku kebanyakannya berbaur perasaan semata-mata. Aku tidak nafikan itu. Kerana itulah kadang-kala aku rasa hendak cemburu kepada penulis-penulis terdahulu tentang begaimanakah mereka menghasilkan sajak yang amat bermutu tinggi dan berkesan kepada khayalak. Bagaimana pula dengan cerpen. Yang ini tak usah aku berikan ulasan kerana ianya memang susah untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Novel apa lagi.

Pernah aku cuba untuk menghasilkan bentuk karya yang macam ini tapi semuanya ko kata orang. Idea memang ada tapi agak sukar sedikit lagipun aku rasakan diri ini tidak berupaya untuk membuatkannya. Biarlah aku menulis cerpen yang lebih pendek dan senang ditulis tapi agak susah diideakan. Aku selalu terkapai-kapai dalam mencari idea yang bernas. Aku sering berperang dengan perasaanku serta kemalasan yang kadang-kadang datang bertandang dalam diri ini. Lihat sahaja contoh sekarang ini, dalam setahun lebih hanya dua buah cerpen sahaja yang aku hasilkan, itupun isinya lari dari apa yang berlaku sekarang. Temanya lari dari apa yang aku fikirkan. Memang sekarang ini aku sedar aku sudah banyak kehilangan kerakusan dan kematangan ataupun kebanjiran dalam menghasilkan karya.

Kadang-kadang mahu saja aku berhentikan tugasku sebagai penulis. Aku tidak mahu menulis lagi. Tapi hatiku pula yang berkata jangan. Aku tidak sedap hati kalau tidak menulis walaupun tulisanku itu hanyalah sedikit ataupun isinya main hentam kromo, orang kata. Namun bila pena ataupun tangan berada di atas komputer, serta merta idea yang kupendamkan terpadam. Lalu hilang akhirnya semangatku untuk menghasilkan sebuah karya.

“ sue…tolong saya hasilkan sebuah sajak untuk saya. Saya tahu awak pandai dalam menghasilkan sajak.” Pernah suatu ketika kawanku bertanyakan kepadaku dan meminta aku membuat sajak untuknya.

“ sajak yang macam mana. Boleh..saya tidak kisah. Saya ada banyak sajak dalam komputer.” Tanpa dipinta mulutku ini pandai menuturkan kata-kata yang boleh memberi samangat orang itu untuk menuturkan kata-kata yang seterusnya.

Bertemakan semangat patriotik ataupun kalau boleh saja pasal bonda.” Maksudnya dia meminta aku untuk menghasilkan sebuah sajak yang bekisar tentang ibu dan Negara. Permintaanya membuatkan aku terfikir. Bolehkah aku mengahasilkkan sajak berbaur seperti itu. Bagaimana saya hendak menghasilkan sajak bernada patriotik kalau saya sendiri tidak pernah terfikir pun tentang itu. Dan juga bagaimana saya hendak menunaikan permintaannya untuk mengahasilkan sebuah sajak atau lebih kalau saya boleh jika saya sendiri kehilangan ibu semenjak kecil lagi. Bagaimana saya hendak menunaikan permintaannya. Apa perkara yang utama yang hendak saya jadikan tema dalam sajak bonda? Aku kehilangan kata-kata tapi anehnya aku setuju dengan permintaannya.

Selama tiga hari aku mencari idea dalam menghasilkan sajak yang sungguh asing dan tidak pernah bernaung dalam fikiranku sebelum ini. Esok dia akan memintanya. Tapi aku masih belum menghasilkan satu sajak pun. Dan aku pula buat sambil lewa dengan kerjaku. Memang aku sudah ketandusan idea dan kematangan untuk menghasilkan sebuah sajak pun. Dengan erti kata lain, lain yang diminta lain pula yang aku buat. Aku ikut hatiku sendiri. Aku tidak dapat menghasilkan sebuah karya yang kata-katanya memang tidak ada dalam hatiku. Aku tidak boleh berkerja dalam keterpaksaan. Dan seperti yang kujangkakan esoknya dia yang kupanggil kakak datang ke bilikku dan meminta karyaku.

“ saya minta maaf kak. Saya tak dapat menghasilkan sajak seperti yang akak minta itu. Kalau boleh akak buatlah sendiri. Mungkin akak dapat melaksanakannya. ” aku cuba berdiplomasi dengannya. Takut pula dia marah kerana perbuatanku. Tapi aku ada alasan tersendiri sebenarnya. Setiap orang dikurnai bakat untuk menulis sajak Cuma cara atau gaya penyampaiannya saja yang berbeza. Adakah sajak yang dihasilkan itu menunjukkan keremajaan atau kematangan dalam menulis. Menulis ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan terpaksa. Menulis ini mesti ada kerelaan antara penulis dan karya. Barulah tulisan yang dihasilkan bermutu atau tidak.

Aku bersyukur dia dapat menerima kesombonganku ini. Dia tidak pula berjanji untuk membuatnya sendiri. Mungkin dia mahu meminta pertolongan orang lain. Aku tak kisah kerana aku sudah buktikan kepadanya yang aku memang tak boleh melaksankan apa yang disuruhnya. Dan akhirnya aku biarkan segalanya pada takdir. Aku serahkan pada Illahi untuk menilai diriku kembali. Namun aku tidak mahu kehilangan bakat yang aku ada ini. Biarlah kegersanganku hanya bersifat sementara bukan untuk selamanya.

Hakcipta Terpelihara:
S. Hana AK
090408 ( rabu )
12. 28 tgh hari
khar

No comments:

Post a Comment