Tuesday, March 30, 2010

PERJALANAN MENCANTAS ILMU

Pagi itu amat sejuk oleh alunan sanga pawana dan matahari pula mula memunculkan dirinya di celah-celah susuh bukit di Daerah Tanjong Malim. Sayup-sayup bunyi keretapi di stesen Tanjong Malim kedengaran di gegendang telinga Jannah dan kawan-kawannya. Sebentar tadi sementara menunggu keretapi sampai, Jannah dan kawan-kawannya yang terdiri daripada Amie, Wani, Fiza, Kak Ina dan Salwa sempat mengambil gambar di stesen ini untuk kenang-kenangan di masa depan. Hari ini, dia dan kawan-kawannya akan mengikuti Program Pertemuan Karyawan Perak di bawah pensyarah mereka Dr. Talib, yang akan berlangsung di Rawang.

Ketika keretapi sampai, orang ramai berpusu-pusu masuk dan keluar dari dalam keretapi itu. Semuanya berwajah ceria dan tenang bagi mereka yang keluar dari perutnya kerana sudah sampai ke destinasi yang dituju manakala bagi mereka yang baru masuk keseriusan wajah tidak dapat dibendung sebelum sampai ke di tempat yang dituju. Jannah juga salah seorang daripada berpuluh-puluh manusia yang duduk dalam perut kenderaan bergerak ini. kenderaan yang akan merentasi bukit bukau, rumah-rumah kampung, pokok bakau dan ladang-ladang serta mungkin juga akan melintasi jalan raya untuk menuju ke Rawang yang mengambil masa sejam untuk sampai kerana keratapi ini akan berhenti di setiap perhentian.

Ketika berada di dalam, dia hanya menidurkan dirinya setelah bosan melihat pemandangan di luar, tertanya-tanya bila mereka akan sampai. Sampai di Rawang, Jannah mengikuti rombongannya menuju ke tempat menunggu bas. Dia sempat melihat sekeliling.

“ Em, Rawang....ia sama seperti tempat yang pernah aku lawati. Tidaklah membangun sangat, cuma berbeza sedikit dengan Tanjong Malim. Rawang membangun sedikit berbanding Tanjong Malim. ” Dia sempat berbisik kepada dirinya seusai menjejakkan kakinya di situ.

Ketika meninjau-ninjau itu, sebuah bangunan menarik minatnya. Di atasnya terpampang dua perkataan, My Bank. Jannah sempat terfikir, jika dia ke sini suatu hari nanti senanglah dia mencucuk duit jika dia tidak ada duit ketika itu. Amat mudah melihat bank di sini berbanding di Tanjong Malim. Sempat juga dia berfikir untuk kesekian kalinya. Persekitaran Daerah Rawang tidaklah sibuk dengan bunyi kenderaan mahupun orangnya sekali. Cuma, kedatangannya telah di sambut dengan angin kota Rawang yang bertipu lembut dan menyegarkan walaupun tidak sesegar angin di kampungnya di Tambunan, Sabah ataupun angin daerah Tanjong Malim tempat dia menimba ilmu. Sementara menunggu Fuad dan Rafizi datang mengambil, matanya meliau ke serata tempat. Apa yang tertancap oleh matanya, akan berkatalah hatinya tanpa dapat ditahan-tahan dan diketahui oleh orang lain. Seketika kemudian mereka yang ditunggu datang.

Dengan menaiki Van yang di pandu oleh Fuad, salah seorang rakannya yang juga rakan sekelasnya, Jannah dengan beberapa rakan-rakannya meluncur laju meninggalkan tempat tadi menuju ke tempat yang dituju dan sampai ketika waktu menunjukkan tengah hari. Dengan memakai baju kurung dan beg-beg di tangan, dia memasuki bangunan yang mana seminar berkenaan dengan kaedah Mokhtar Mansur berlangsung pagi tadi. Sebuah bangunan yang di badannya terpampang perkataan HOTEL..... (sudah lupa namanya) tersergam kukuh berdekatan dengan tempat seminar tersebut dan hotel itulah yang akan menjadi penginapan mereka sepanjang dua hari berada di sini.

Ketika semua peserta meninggalkan tempat seminar tersebut, Jannah sempat berborak-borak dengan Haji Suhaimi Haji Muhammad setelah selesai makan. Dari jauh, memanglah lelaki tua ini tampak seperti orang biasa-biasa sahaja tetapi tatkala mendekati dan berbual-bual dengannya, Jannah berasa dirinya sungguh kerdil jika dibandingkan dengan lelaki tua yang kononnya biasa-biasa ini. Lelaki berumur ini bukan sahaja kaya dengan pengalaman dan ilmu tetapi juga gaya seorang intelektual dalam setiap butir bicaranya membuatkan dia tidak malu meluahkan segala persoalan yang dipendamkannya selama ini tentang dunia sastera yang dia minat ini.

“ Tuan Haji, apa pandangan tuan haji tentang pengembaraan seorang penulis ke pelbagai tempat? Adakah ianya penting bagi seorang penulis ataupun tidak....” soalan pertamanya untuk penyair ini. Lelaki tua itu merenung mukanya. Kopiah putih di kepalanya tidak dibuka seperti kebanyakan orang yang ingin menunjukkan keintelektualannya.

“ Emm, pengembaraan ya....bagi saya pengembaraan bukanlah cara yang penting bagi seorang penulis menghasilkan karyanya. Bagi saya, karya yang kreatif harus datang dari pemikiran penulis tersebut, bukannya dari mengembara di pelbagai tempat.....” tengang sekali dia menjawabnya.

“ Bagaimana pula dengan pembacaan?”

“ Pembacaan yang banyak harus dilakukan oleh seorang penulis jika mahu karya-karya yang dihasilkannya bermutu dan berkesan. Untuk menjadi seorang penulis harus ada kekreatifan dan daya imanigasi yang tinggi. Pengembaran ke pelbagai tempat tidak menjamin kepada karya yang baik kerana jika kita menghasilkan karya berdasarkan pengembaraan, yang kita hasilkan adalah kesan pengembaraan itu....”

“ bagaimana pula dengan tuan Haji, apakah tuan haji pernah menghasilkan karya berdasarkan pengembaraan tuan haji ke pelbagai tempat?” Jannah terus mencari peluang untuk menyoal disebabkan minatnya untuk mendengar semakin mendalam. Haji Suhaimi tersenyum.

“ saya tak pernah menghasilkan karya berdasarkan kepergian saya ke pelbagai tempat kerana itu semua tidak penting untuk saya.” jawabnya dan mereka terus berbual-bual sampailah dia memberi pertanyaan yangterakhir.

“ Tuan haji. Ini soalan teakhir saya. Macam mana pula dengan alam. Apakah alam memberi kita banyak ilham untuk menulis?”

“ Ilham? Jangan cakap ilham kerana alam tidak pernah memberi kita ilham tetapi bayangan sahaja. Allah yang memberikan kita ilham dan alam adalah bayangannya....” Jannah menganggukkan kepalanya. Dia malu sendiri kerana selama ini dia sering menyatakan pada diri dan kawan-kawannya bahawa alam banyak memberikan seorang penulis ilham tetapi orang tua di depannya ini membidasnya secara terus-terang bahawa ilham datang dari Allah SWT dengan alam adalah perantaraannya. Perbualan mereka berakhir di situ dengan perasaannya yang masih tidak puas kerana perbualan yang singkat memandangkan solat zuhur sudah dekat.

Jannah mendapatkan rakan-rakannya yang sudah pun berehat di bilik yang dikhaskan kepada mereka. Ketika jam menunjukkan pukul 3 petang, Jannah bersama-sama rakan-rakannya pergi semula ke bilik seminar itu untuk mendengar mesyuarat Agong Dwi Tahunan Persatuan Karwayan PK ( Perak) dan balik semula setelah selesai mesyuarat tersebut. Dalam mesyuarat itu tidak ada apa-apa yang menarik kerana mereka hanya menjadi penonton dan pendengar yang setia walaupun dia tahu perasaan rakan-rakannya yang ingin menyuarakan pendapat mereka dalam mesyuarat tersebut tetapi terpaksa dipendamkan sahaja.


“ Awak nak pakai apa pogram malam ni?” Amie bertanya kepadannya.

“ Baju kurung lah.” Jannah Menjawab ringkas.

“ Macam mana saya nak baca puisi malam ni. Saya tak ada suaralah.” Sampuk Salwa pula.
“ Kalau tak ada suara, awak tak payah bacalah. Nak buat macam mana.” Ujar Jannah kepada Salwa.

“ Saya tak nak bacalah. Takut. Dahlah sajak saya tu entah apa-apa.” Kata Fiza pula. Diiyakan oleh Amie, Wani, dan Kak Ina.

“ Dahlah, korang ni. Apa nak ditakutkan, bukannya ada apa-apa di sana tu. Baca sajalah...jangan takut.” Kata Jannah. Dia berasa hairan dengan sikap kawan-kawannya ini yang takut mahu ke depan tak kira orangnya sikit atau banyak sama sahaja bagi mereka.

“ Kau tak pe Jannah, kau tu berani. Dah biasa duk depan. Kami ni? Dahlah tak biasa pergi depan. Menggeletar jadinya.” Ujar Amie dengan loghat Sabahnya. Jannah hanya mengeleng-gelengkan kepalanya apabila mengingatkan kelakuan rakan-rakannya itu. Lucu juga hatinya melihat mereka semua.

“ Emm, amacam kita suruh Jannah je yang baca sajak kita. Boleh kan Jannah.” Kak Ina pula berkata. Kata-katanya dipersetujui oleh yang lain.

“ Saya tak kisah. Tapi tengoklah masa tu. Entah-entah korang kena juga pergi depan.” jawab Jannah diselangi dengan gelak tawanya.

Dan memang betul jangkaannya, semua rakan-rakannya terpaksa pergi ke depan seorang-seorang untuk membacakan sajak yang ditulis oleh mereka sendiri berkaitan dengan Mokhdar Mansur iaitu satu kaedah yang sesuai untuk digunakan dalam ilmu sains dan matematik serta sejarah dan geografi. Dalam hati, Jannah tersenyum dan ketawa sendirian.

“ Itulah, tak nak sangat pergi ke depan. Tengok, dah kena paksa.” Bisiknya dalam senyuman.

Sepanjang berlangsungnya Majlis ‘Bacaan Puisi (Antologi Mutiara Akal) oleh Mahasiswa UPSI’ itu, satu perkara yang berbekas dalam mindanya ialah tentang penerangan Mokhtar Haji Mansur tentang Kaedah Mokhdar Mansur yang disampaikan pada awal majlis dan kebijaksanaan anak-anaknya untuk mengingat huruf menggunakan kaedah tersebut. Kekaguman bertunas di jiwanya. Dalam banyak-banyak perkara hanya satu perkara yang dihafalnya iaitu mengingat huruf satu hingga sepuluh menggunakan kaedah tersebut.
Satu untuk tu, dua untuk wa, tiga untuk ga, empat untuk pat, lima untuk ma, enam untuk nam, tujuh untuk joh, lapan untuk pan, sembilan untuk kan dan sepuluh untuk luh. Setahunya, kaedah Mokhdar Mansur ini menggunakan singkatan huruf-huruf berdasarkan pelat kanak-kanak. Itulah ilmu yang didapatinya daripada penerangan Mokhtar Haji Mansur selain kekaguman terhadap anak-anak beliau.

“ Tak sangka anak-anak Mokhtar Mansur cekap menggunakan kaedah itu.” Kata Jannah kepada Salwa.

“ Dah memang mereka dah belajar. Kalau kita belajar pun kita mesti akan jadi macam mereka.” Ke situ pula jawapan Salwa membantutkan hasratnya untuk terus bertanya kerana jawapan yang diberikan adalah jawapan untuk semua soalannya. Dia teringatkan soalannya pagi tadi berkenaan dengan perkara tersebut.

“ Adakah kaedah ini boleh digunakan dalam subjek lain?” Dan Mokhtar Haji Mansur menjawabnya ringkas.

“ Sebenarnya saya fikir kaedah ini hanya untuk matematik dan sains sahaja tetapi tak tahu pula ia boleh digunakan dalam sejarah dan geografi. Kalau dalam sejarah misalnya tahun dan geografi pula misalnya mengetahui ketinggian sesebuah gunung.”

Majlis itu berakhir hampir pukul 12 tengah malam dan esoknya pula diadakan majlis forum yang bertajuk ‘Memperkasa Badan penulis dalam Kemajuan bahasa dan sastera Kebangsaan’ yang bermula pada pukul 9 pagi. Prof Dr. HM Bukhari Lubis, Saudara Mohd Daud Mohammad, Saudara Sm Zakir dan Tuan Haji Ahmad Sarju menjadi panel manakala Yg. Bhg. Datuk Jaafar Abdul Rahim pula menjadi moderator. Kemeriahan majlis ini disambut oleh semua peserta dan dia juga tidak terkecuali menyajikan beberapa soalan kepada panel dan dia berasa puas hati apabila soalannya dijawab dengan tepat oleh pembentang.

Ketika jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari, Jannah dan rakan-rakannya berkemas untuk balik ke Tanjong Malim dengan menaiki bas. Jam 1.30 tengah hari selesai solat, dia dan rombongannya sudah tercegat di bawah hotel. Kegembiraan para peserta terpancar di wajah masing-masing. Sebelum menaiki keretapi untuk ke Tanjong Malim, Jannah sempat menebarkan pandangannya ke ruang korpus kota Rawang untuk kali terakhir dan berharap akan menjejakkan kaki ke sini lagi. Sesungguhnya, perjalanannya ke Rawang merupakan sebuah perjalanan mencantas ilmu yang akan disemadikannya jauh di lubuk hatinya yang paling dalam dan selama-lamanya. Apalagi, apabila dapat berjumpa dengan para karyawan negara yang selama ini hanya meniti di bibir orang lain dan tersemat di buku-buku yang terdapat di perpustakaan dan di kedai-kedai buku.

Sesampainya di daerah Tanjong Malim, seperti semalam angin daerah Tanjong Malim menyambutnya dengan lembut dan nyaman sekali seperti gembira menyambut kepulangannya semula. Dari jauh, Banjaran Titiwangsa tersergam indah melingkari lembah daerah ini dan Jannah tahu angin yang menyambutnya sebentar tadi adalah datangnya dari arah banjaran itu. Dia tersenyum, senyuman bagi seorang pengembara dan senyuman bagi seorang penulis kerana di kotak fikirannya, tergambar idea untuk menulis sebuah cerita bagi pengembaraan yang sementara ini.

Hakcipta Terpelihara:
S. Hana AK
25 Mac 2010 ( Khamis)
12.03 (Siap)
UPSI

No comments:

Post a Comment