Bismillahirahmanirrahim
Dalam kitab Al-Akhlaq Al-Islamiyyah lin Nasyi’in ada
sebuah kisah yang indah menggetarkan jiwa. Kisah ini terjadi di tanah Syam. Kisah
yang banyak disebut dari mulut ke mulut sampai abad ini.
Ini adalah kisah ketakwaan seorang pemuda. Seorang pemuda yang berkerja
sebagai penjual kain keliling. Ia berkeliling dari satu daerah ke daerah. Dari satu
kawasan ke kawasan lain. dari lorong ke lorong. Dari rumah ke rumah. Ia berkeliling
sambil memikul dagangannya. Akhirnya masyarakatnya mengenalinya sebagai Si penjual
Kain Keliling.
Di antara kelebihan pemuda ini adalah bentuk tubuhnya yang gagah. Kulitnya
yang putih. Wajahnya yang mempesona. Dan keramahannya yang luar biasa. Sehingga
siapapun yang melihatnya akan terpesona kerananya. Itulah kurnia Allah yang
dianugerahkan kepadanya.
Suatu hari, ketika ia sedang berkeliling mejajakan dagangannya, tiba-tiba
ada seorang wanita memanggilnya. Ia pun menghampiri. Wanita itu menyuruhnya
masuk ke dalam rumah. Rumah itu sangan mewah. Agaknya wanita itu termasuk
golongan bangsawan. Sebaik saja masuk ke rumah dengan kepantasannya wanita itu
boleh mengunci pintu. Wanita itu sangat terpesona dengan ketampanannya. Wanita itu
telah lama tergila-gila padanya. Sudah berkali-kali dalam diam-diam wanita itu
memandangi ketampanannya ketika pemuda itu lalu di depan rumahnya.
Wanita itu berkata: “Duhai pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu
bukan untuk membeli barang daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat
mencintaimu. Selama ini aku tergila-gila pada ketampananmu.”
Pada saat itu tiada seorang pun di dalam rumah selain mereka berdua. Wanita
bangsawan itu dengan penuh mengharap merayunya untuk berzina. Sang pemuda pun
mengingatkannya dan menakutinya akan pedihnya seksa Allah. Namun, semua
usahanya sia-sia belaka. Setiap perkataan yang diucapkan pemuda itu justeru
membuat wanita itu semakin menggila dan nekad. Wanita itu justeru semakin
terangsang untuk menaklukkan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berganjak
dengan keimanannya. Ia menolak dengan tegas. Kerana sang pemuda tetap saja
menolak, wanita itu mengancam:
“ Jika kamu tidak menurut apa yang kuperintahkan, aku akan menjerit
sekuat-kuatnya dan mengatakan kepada orang-orang bahawa ada orang yang masuk ke
rumahku dan ingin memperkosaku. Mereka pasti mempercayai ucapanku kerana
kedudukanku dan kerana kamu telah memasuki rumahku. Akibatnya kamu akan binasa.
Kau akan dianggap penjahat paling nista. Dan orang-orang itu boleh marah dan
menggantungmu hidup-hidup!”
Wanita itu mengancam dengan serius. Pemuda itu terus berfikir bagaimana
mencari jalan keluar. Ia tidak mahu maksiat tapi juga tidak mahu mengalami hal
yang tidak baik. Diserapahi orang ramai sebagai penjahat lalu digantung tanpa
ampun, sungguh hal yang sangat menyakitkan. Beberapa detik kemudian
seknyong-konyong terbitlah idea nekadnya. Terkadang tindakan nekad harus
dilawan dengan nekad juga. Sambil tersenyum ia berkata:
“ Baiklah. Bolehkah aku ke bilik mandi untuk bersih-bersih dahulu?
Lihatlah tubuhku penuh dengan peluh yang baunya tidak sedap!”
Sebaik mendengar ucapannya, wanita tersebut sangat gembira kerana
menyangka ia akan menuruti keinginannya dan berkata dengan hati meluapkan
kegembiraan:
“ Ooo, tentu saja boleh aduhai kekasihku dan belahan jiwaku? Sungguh ini
adalah kesempatan luar biasa.”
Sang pemuda pun segera masuk ke bilik mandi. Ia mengatakan itu tadi
sekadar untuk menyelamatkan diri sesaat. Mencari tempat yang tenang untuk
berfikir. Sampai di dalam bilik mandi, tubuhnya gementar kerana takut terjatuh
pada kemaksiatan. Wanita adalah perangkap syaitan. Tidak ada seorang lelaki dan
wanita yang berduaan, kecuali yang ketiga adalah syaitan. Demikianlah sabda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam.
Ia pasrah kepada Allah. Ya Allah, apa yang mesti aku lakukan?! Berilah hamba-Mu
petunjuk ya Allah. Tiba-tiba tercetus sesuatu dalam fikirannya, ia bergumam:
“ Aku tahu pasti, di antara golongan yang akan mendapatkan naungan pada
hari tidak ada naungan lagi di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak
berzina oleh seorang wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia mengatakan: “
Sungguh aku takut pada Allah!” Aku juga tahu bahawa orang yang meninggalkan
sesuatu kerana takut pada Allah, maka Allah akan menggantikannya dengan yang
lebih baik. Tidak sedikit orang yang menurutkan hawa nafsunya, maka ia akan
membawa penyesalan sampai akhir hayatnya. Jika aku lakukan kemaksiataan ini,
Allah akan menghilangkan cahaya dan kenikmatan dari hatiku. Duhai Tuhan, tidak,
tidak! Sekali-kali aku tidak akan melakukannya! Tapi apa yang boleh kuperbuat?
Apakah aku harus loncat dari tingkap? Hal itu tidaklah mungkin kerana
tingkap ini terkunci sangat kuat dan sukar sekali membukanya. Kalau begitu aku
harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Ya, aku harus melumuri tubuhku dengan
kotoran. Semoga jika ia melihatku seperti itu, ia akan merasa jijik lalu
mengusirku.”
Benar saja, ia lalu berak dan melumuri seluruh tubuhnya dengan kotoran
beraknya. Seluruh rambutnya. Mukanya. Dada. Tangan. Dan semuanya. Ia sendiri
sebenarnya merasa jijik. Bahkan ia sempat mual dan sempat muntah. Sambil menangis,
ia berkata: Ya Allah, ya Rabbi, kerana rasa takutku pada-Mu aku melakukan ini!
Maka gantikanlah untukku yang lebih baik.”
Lalu ia pun keluar dari bilik mandi. Dan sebaik saja wanita tersebut
melihatnya, ia terkejut bukan main. Ia merasa jijik. Ia menjerit dan berteriak
dengan keras: “ Keluarlah, hai orang gila! Dasar pemuda gila, keluar kau jangan
kotori rumahku.”
Ia berjalan keluar dan berpura-pura bertingkah laku seperti orang gila. Sebaik
sampai di luar, ia cepat-cepat cari tempat yang aman. Ia takut dilihat orang
dan takut mereka akan memfitnahnya. Jika itu terjadi barang dagangannya boleh tidak
laku, kerana ia akan dianggap benar-benar gila. Beberapa orang yang melihatnya
merasa hairan dan mentertawakannya. Ia terus berjalan menuju rumahnya melalui jalan yang sepi. Ia merasa
sangat lega ketika sampai di rumahnya. Ia terus membuka pakaiannya dan segera
masuk ke bilik mandi untuk membersihkan seluruh tubuhnya.
Ketika ia keluar dari bilik mandi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menunjukkan
kekuasaan-Nya. Allah menjadikan bau harum yang luar biasa memancar dari seluruh
pori-pori tubuhnya hingga menjemputnya. Bau itu tercium dari jarak beberapa
meter. Akhirnya ia dikenali dengan sebutan “ Al-Miski” atau Orang Yang Seharum
Kasturi.
Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah. Kisah nyata ini masih boleh
dilihat bekasnya. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang tertuliskan “ Al-Miski”.
Itulah kubur orang mulia yang menjaga kesuciannya ini.
# Kisah nyata yang indah ini terdapat di dalam buku ini:
# Membacanya membuatkan saya berasa bahawa Allah Maha Rahman dan Maha
Rahim. Membacanya membuatkan saya berasa bahawa Islam ini sungguh indah. Ya,
Sangat indah. Subhanallah.
# Betapa kasih sayang Allah Swt lebih mendahului daripada kemurkaan-Nya.
# Semoga kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat rahmat-Nya
sahabat semua. Insya Allah, aminn
No comments:
Post a Comment