Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum
dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kita semua sentiasa gembira dalam
menjalani kehidupan. Hari ini cuaca sangat indah. Langit biru diselimuti oleh awan gemawan
pelbagai bentuk. Burung-burung mula bersiul menyanyikan bahasa bonda. Bayu bertiup
menyampaikan pesan dari maharaja. Ramah menyapa tubuh. Mesra membelai apa
sahaja di depan mata.
Pagi
ini, saya menghabiskan masa menonton dokumentari pengembaraan Zahariz
Khuzaimah, seorang pengembara solo di bumi Allah SWT. Menontonnya membawa kesan
yang tersendiri kepadaku. Keberaniannya sangat mengagumkan. Dan yang paling
penting, impiannya untuk melihat dunia telah tercapai. Banyak negara yang telah
dilaluinya. Kekadang saya terpukau dengan panorama yang disajikan olehnya dalam
dokumentari ini. Subhanallah, Subhanalllah, Subhanallah. Ya Allah, indahnya
ciptaanMu. Satu-satu perjalanannya saya tonton dan saya sentiasa terpukau
dengan apa yang dilihat. Kekadang bagaikan saya masuk ke dalamnya. Menghayati keindahan
bumi Allah SWT, menyelami kepayahan dan mengapresiasi kehidupannya sebagai
seorang pengembara.
Seketika
saya akan pandang ke luar. Kelihatan pohon jambu yang ditarah dahannya mula
mengeluarkan pucuk baru. Semakin lama semakin banyak. Saya cukup suka melihat
tunas-tunas baru itu. Agakan saya tak lama lagi pohon jambu itu akan merendang
dengan sihat. Tempat unggas beristirahat. Tempat bayu meluahkan keramahan dan
kemarahan. Saya gembira. Subhanallah. Rasa tidak sabar mahu melihatnya kembali
seperti sediakala. Tidak sabar mahu menikmati buah ranumnya yang sihat dan
besar-besar nanti.
Saya
teringat, cuti hari raya, saya akan balik ke Sabah. Sudah lama saya tidak
balik. Moga kerinduan saya akan terubat apabila balik nanti. Tidak sabar
rasanya menikmati kehidupan sebagai orang kampung. Menikmati dinginnya pawana
malam. Melihat kerdipan bntang-bintang di langit. Mendengar nyanyian sang cengkerik
malam. Melihat si rama-rama menghisap madu bunga. Melihat ikan-ikan berenang di
antara olengan air di bendang. Menghayati keindahan langit biru. Subhanallah,
indahnya.
Saya suka keindahan alam
melihatnya memukau hati ini
melihatnya membuatkan
diri ini sentiasa memuji
Sang Pencipta, subhanallah
melihat kebesaran-nya
menyejukkan kalbu
mendamaikan jiwa
bahasa alam bahasa qalbi
bersatu di bawah lembayung
rahmat dan redha yang sama
dari Yang Maha Cinta.
#Gambar di atas bukan hak milik saya
No comments:
Post a Comment