Tuesday, December 20, 2016

Coretan Petang Yang Dingin


Bismillahirahmanirrahim


Asalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat-sahabat semua. Moga kalian sentiasa selamat di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn. Sahabat,  tinggal beberapa hari lagi, saya berada di kampung sebelum meninggalkannya untuk mencari rezeki jauh di seberang samudera. Semenanjung emas, tempatku bermukim selama bertahun-tahun semata-mata mencari kelangsungan hidup. Jika diikutkan hati, seperti kebanyakan orang, saya juga berasa berat hati untuk meninggalkan desa kesayangan ini. Namun, Ya, saya perlu meninggalkannya. Insya Allah, jika diizinkan Allah SWT, tahun depan saya akan balik semula ke sini. 

Tinggallah burung, tinggallah sawah, kupu-kupu cinta, pelangi senja, tinggallah langit biru, tinggallah embun, kabus, rerumput bernyanyi, pohon-pohon cinta, pepatung indah, cengkerik gelisah, tinggallah semuanya. Saya pasti akan merindui mereka, pasti akan merindui tempat-tempat bermain sewaktu kecil dahulu, saat semuanya kelihatan menyeronokkan. Saya juga pasti akan rindu akan mutiara hujan, sarang lelabah, sungai-sungai, bukit-bukau dan pawana dari perbukitan. Pasti juga rindu akan suasana desa, rindu dengan kehidupan desa. Ah, betapa segalanya menjadi kerinduanku.

Sahabat sekalian, tengah hari tadi hujan, lebat turunnya. Bagaikan mutiara ia berjejeran dari langit. Hadirnya membuat suasana menjadi sejuk, nyanyian beburung tenggelam dalam keasyikan gemuruh air mata alam. Namun guruh dan petir tidak pula kedengaran. Mungkin malu memperkenalkan diri. Tidak mengapa, alam masih terlihat indah di sana. Tangisan langit cuma sebentar kemudian mentari mulai bersinar kembali, menerangi alam, mengeringkan rerumputan yang basah, menjamah embun di dahan-dahan rapuh dan akhirnya beburung dan kupu-kupu cinta pun bersiul girang. Alam mula berseri kembali, bagaikan taman-taman di syurga. Alhamdulillah, Moga esok keindahan ini sentiasa abadi selamanya. Insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai di sini saja coretan saya kali ini. Moga jumpa lagi di lain waktu. Salam...


Friday, December 16, 2016

Kesayanganku


Bismillahirahmanirrahim

Duhai kesayanganku. Aku selalu mengingatimu walau kau tak pernah menyedarinya. Mungkin aku tak pernah ada dalam doamu, tak pernah juga berada di hatimu. Namun ketahuilah, namamu selalu singgah di hati dan bibirku saat aku berdoa kepada-Nya.

Duhai kesayanganku. Aku selalu menunggumu. Menunggu kasihmu bercambah buatku walau aku tak tahu bila ia akan bersemi dalam hatimu. Namun ketahuilah, doa untukmu selalu kutitip agar kau selalu berada dalam rahmat-Nya. 

Wahai kesayanganku, aku selalu berharap agar suatu masa andai aku pergi darimu, kau akan tahu bahawa aku menyayangimu setulus hatiku. Tidak kupinta apa-apa darimu, cukuplah rasa ini selalu bersamaku selamanya. Ku genggam ia menjadi sebahagian dari hidupku.

Wahai kesayanganku, betapa mahalnya air mata andai perpisahan terjadi antara kita. Saat kau menjauhkan diri dariku, aku selalu berdoa agar aku sabar dan kuat dalam menempuhnya. Ku harap juga agar Dia menemukan kita di sana nanti.

Kesayanganku, aku tidak tahu apa akan berlaku antara kita di masa depan. Mungkinkah kita akan bersama atau tidak namun walauapapun yang berlaku aku mahu kau tahu bahawa aku sayang padamu selamanya. Dunia dan akhirat.

Kesayanganku, moga engkau sentiasa bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn

S. Hana AK
Sabah

Tuesday, December 13, 2016

Diari Orang Kampung


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Saya doakan agar kita semua sentasa sihat walafiat di samping insan-insan yang tersayang. Sahabat semua, masa terus berlalu, menuju destinasi yang abadi. Setiap kita punya lorong hidupnya masing-masing. Saya dengan jalan hidup saya dan kalian dengan titian hidup kalian. Jika takdir menemukan kita, maka bertemulah kita di setiap persimpangan. Di situlah kita berkenalan, bersahabat, bercinta dan berkahwin. Dari pertemuan itu bercambahlah pelbagai memori suka-duka bersama.

Sahabat semua, tengah hari ini, saya berasakan alam amat mesra dengan saya. Bayu bertiup menyegarkan suasana yang dibahangi oleh matahari.  Saya berasa sangat bahagia. Saya buka laptop, pasang zikir-zikir penenang hati, baca laman-laman sosial yang selalu menjadi perhatian saya. Di luar sana detik kedengaran siulan burung-burung serindit ataupun pipit. Mereka adalah muzik semulajadi yang tidak memerlukan manusia untuk membunyikannya. Tidak terkecuali juga kokokan ayam jantan yang memeriahkan suasana walaupun masih berada dalam lingkungan tengah hari.

Desa saya ini jauh dari hiruk-pikuk kota raya. Bahkan daerah saya ini hanya mempunyai sebuah pekan yang mula membangun tapi masih kaya dengan flora dan faunanya. Di sepanjang jalan raya akan kelihatan sawah padi, sungai dan kampung-kampung. Sungguh, saya berasakan saya amat tenang dan tenteram berada di dalam kepompong daerah ini. Walaupun matahari semakin terik namun keadaan masih sejuk, dingin dan menyegarkan. Tiada bunyian dan raungan raksasa daripada kenderaan motokar mahupun kenderaan lain. Kalau adapun ia masih berada di tahap yang masih terkawal.

Kebanyakan penduduk di daerah saya ini iaitu daerah Tambunan berkerja sebagai petani dan penoreh getah. Selalunya mereka berada dalam lingkungan separuh usia. Malah ada yang makan gaji yang selalunya dimonopoli oleh golongan muda. Setiap hari khamis dan minggu, selalunya ada pasar tamu di dua tempat yang berbeza. Di situlah terjalinnya hubungan silaturrahim sesama mereka apabila berjual dan membeli.

Setiap tahun saya luangkan masa sekurang-kurangnya sekali atau dua tiga kali untuk balik ke sini. Menikmati keindahan kampung dan menghayati kehidupan sebagai orang kampung. Akhir bulan ini, saya akan kembali ke semenanjung emas tempat saya mencari rezeki. Dua tempat yang berbeza tapi tetap menjadi kerinduan saya. Kedua-duanya ada kisah yang tersendiri yang hanya saya dan Allah SWT sahaja yang tahu.

Baiklah sahabat semua, tiba masanya saya mengakhiri kisah ini. moga jumpa lagi...salam


Monday, December 12, 2016

Bicara Pena



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kalian sentiasa mendapat rahmat dan lindungan daripada Allah SWT. Malam ini terdetik di hati untuk menulis setelah berbulan-bulan tidak  mencoretkan sesuatu di blog ini. Malam ini saya berasa sangat indah dan membahagiakan. Sudah beberapa hari saya bercuti di kampung. Setiap hari bila bangun dari tidur, saya lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Melihat kampung yang indah dan mendamaikan membuatkan jiwa saya menjadi tenang. Sungguh, saya sebenarnya dilanda kerinduan terhadap desa permai saya ini.

Sahabat semua, saya sentiasa berasa bersyukur kerana Allah SWT menjadikan saya sebagai orang kampung.  Lahir dan membesar di kampung membuatkan saya belajar segalanya.  Belajar dan bekerja di bandar membuatkan saya tidak melupakan asal usul saya. Saya selesa berada di kampung dan tidak kekok apabila berada di bandar. Bak kata orang lain, saya boleh hidup dalam dua dunia, bandar dan kampung. Mungkin jika saya lahir dan membesar di bandar, pasti saya tidak tahu bagaimana kehidupan sebagai orang kampung, malah kemungkinan saya tidak akan selesa tinggal di sana.

Saya menyukai orang bandar. Sukakan dia sejak dulu tapi saya selalu berasa kami tidak sepadan. Umpama langit dengan bumi dan saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama orang lain. Bagi saya, biarlah dia mencari yang lebih baik berbanding saya bahkan boleh dikatakan sekufu. Dia selalu bersemadi di hati ini, tidak pernah sekelumit pun rasa ini pergi dari hidupku. Sahabat sekalian, jika ditanya mengapa saya membiarkan dia bersama orang lain, jawapan saya adalah, saya ingin mencintainya kerana Dia Yang Maha Pencipta. Saya akan doakan kebahagiaan dia walau saya tak dapat memiliki hati dan jasadnya. Lagipun dia tak pernah beri saya harapan dan saya merasakan bahawa saya tidak pernah berada dalam hatinya.

Saya mempunyai banyak impian dalam hidup ini, selain impian untuk dunia saya juga mengimpikan kebahagiaan di akhirat. Selalu bercita-cita mahu memasuki jannah-Nya dan sekaligus mahu bertemu dengan Ya Khaliq. Inilah tingkat kebahagiaan saya yang tertinggi. Di dunia ini saya mengimpikan untuk melihat dunia luar. Mengimpikan untuk menikmati keindahan alam di bumi asing. Bercita-cita untuk menjadi seorang pengembara, menghayati, mendalami dan memahami budaya dan masyarakat bangsa lain. Bagi saya, mengembara ini membuatkan kita berfikir banyak perkara. Bukankah Allah SWT juga menyuruh hamba-hamba-Nya untuk mengembara, melihat ragam dan kisah hidup orang lain.

Sahabat semua, alam ini indah. Alam ini adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Dia mengajak kita untuk berfikir malah  dalam kitab suci yang diturunkan-Nya iaitu al-Quran, begitu banyak kalam yang membicarakan tentang alam. Hal ini menunjukkan bahawa kita sangat kerdil di sisinya, bahkan kalau dikira, yang sebenarnya kita tidak bermakna apa-apa langsung pada-Nya. Terlalu banyak rahsia di dunia ini, rahsia Allah SWT kepada kita sebagai manusia yang berakal yang mesti kita cari dan gali maknanya. Moga kita menjadi orang yang berilmu pengetahuan sahabat sekalian, insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai jumpa lagi sahabat semua. Saya mendoakan kita agar menjadi pencinta alam yang tegar. Mencintainya setulus hati, menghargainya seikhlas hati. Aminn





Sunday, December 11, 2016

Bicara Buat Teman


Bismillahirahmanirrahim

Teman,
apa khabar dirimu di sana?
masihkah seperti dulu
riang dan bahagia senantiasa?

Sungguh, aku rindu padamu
walau kita bagaikan camar yang
hilang tempat untuk berteduh.

Teman,
kukirimkan doa buatmu
biar jiwa kita menjadi satu
walau aku tak pernah 
hadir dalam hidupmu.

# Menjalin ukhuwah sejati

S. Hana AK

Selamat Pagi Alam


Bismillahirahmanirrahim

Selamat pagi alam...
moga kalian tetap indah
di mata kami
yang bernaung di bawah rimbamu.


Selamat pagi duhai teman-teman
moga kalian tetap bahagia
menyusuri denai kehidupan
di bawah sinar mentari pagi.


Selamat....selamat wahai cintaku
aku sayang kalian
di dunia dan akhirat.

#bahasa alam bahasa qalbi
#menuju jalan yang satu

S. Hana AK

Thursday, November 24, 2016

Salam Semua


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Apa khabar kalian di sana. Agak lama juga saya tak jengguk blog saya ini. Tapi, saya tak pernah lupa pada blog BULAN DAN BINTANG ini. Insya Allah, kalau ada idea lagi saya akan postkan di sini. Sekarang cuti sekolah, jadi saya akan balik ke kampung selama sebulan. Negeri Sabah Di Bawah Bayu. Doakan perjalanan saya. 

Terima kasih kepada mereka yang selalu jengguk blog ini dari jauh. Walau kita tak pernah bertemu tapi ketahuilah, saya sentiasa menghargai kalian semua. Kita adalah sahabat, sahabat di alam maya. Jangan pernah berhenti mencari sesuatu yang luar biasa di blog ini ya. Insya Allah, bila tiba masa yang sesuai saya akan kembali lagi. Kembali seperti dulu. Berbloging.

Baiklah, sahabat semua, sampai jumpa lagi. salam...Sujana Kondorid

Tuesday, November 15, 2016

Puisi Kepada Pagi

Bismillahirahmanirrahim

Duhai pagi
bawalah jiwaku bersamamu
bersenandung di bawah embun pelangi
melakar cinta di semesta alam
melukis wajah di potret kenangan
bersama aliran air mata alam
dari langit yang membusung tinggi.



Duhai mentari
usahlah membawa rajuk di hati
jangan bersembunyi di balik
mendung kelabu
tetaplah bahagiakan kami
seperti selalu
agar alwan pelangi
akan terbentuk di celah
kabus kegembiraan.

Wahai burung dambaan kalbu
jangan gusar di balik sarang
tetaplah dendangkan
lagu kebahagiaanmu
walau suaramu
bersatu dengan titisan rahmat
namun ketahuilah, aku rindu
pada kicau rimbamu.

Duhai embun
ke manakah dikau
utuslah keberadaanmu kepada bayu
agar tenteram hatiku
melafaz cinta di balik gusar alam
walau tak terlihat
walau hilang di balik dingin pagi
namun hakikatnya
kau selalu ada, setiap kali
subuh menjelma.

S. Hana AK
16.11.2016
Johor Bahru 

Wednesday, September 14, 2016

Segenap Ilmu Kisah Para Wali dan Bahtera Nabi Nuh a.s


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Apa khabar kalian? Semoga sihat dan sejahtera hendaknya. Malam ini cuaca sangat tenang. Langit mungkin disimbahi cahaya purnama. Lampu-lampu alam berkerlipan memenuhi seluruh alam semesta.  Hari ini saya meluangkan masa dengan membaca sebuah buku terbitan PTS Millenia bertajuk ‘Misteri Bahtera Nuh a. s, Fenomena Banjir Besar Dalam Sejarah’.  Buku ini menceritakan sedetail-detailnya tentang peristiwa tersebut. Dikarang oleh Ahmad Iqram Mohamad Noor yang menyertakan beberapa rujukan daripada al-Quran, kitab Bible, kitab Veda dan beberapa rujukan lain. Saya agak tertarik dengan kaedah rujukan penulisnya. Kalau sebelum ini saya banyak mendapati sumber rujukan yang mana al-Quran lebih dominan sebagai rujukan utama dalam setiap penulisan tetapi buku ini pula menjadikan sumber lain juga adalah rujukan utamanya.

Jujur saya katakan, inilah pertama kali saya membaca buku yang bersumberkan kitab agama lain sebagai bahan rujukan selepas al-Quran. Buku ini saya beli di kedai buku MPH. Mungkin tidak dijual di kedai buku lain. Sewaktu  menulis entri ini, saya sebenarnya dalam proses mengkhatam buku ini. Jadi saya belum mengetahui keseluruhan isi kandungannya. Cukuplah saya katakan, buku ini sangat baik dari segi penulisan dan isi kandungannya. Nak tahu juga jawaban kepada pertanyaan yang dibincangkannya iaitu:

-       Mengapakah berlaku perbuatan syirik yang pertama di dunia?
-       Adakah Nabi Nuh a.s rasul yang pertama?
-       Siapakah rasul dan orang soleh yang hidup sebelum Nabi Nuh a.s?
-       Mengapakah Nabi Nuh a. s dikenali sebagai “ Adam kedua”?
-       Benarkah Nabi Nuh a.s membuat bubur Asyura?
-       Sejauh manakah perkembangan teknologi pada zaman Nabi Nuh a.s ?
-       Adakah semua haiwan di dunia ini berada di dalam bahtera?
-       Adakah banjir berlaku di seluruh dunia ataupun berlaku di sebahagian tempat sahaja?
-     Di manakah letaknya Bukit Judi yang diceritakan dalam al-Quran dan di manakah pula letaknya Gunung Ararat yang diceritakan dalam Bible?

Selain buku ini, buku bertajuk ‘Himpunan Kisah Para Wali’ yang dikarang oleh penulis Raihanah dan diterbitkan oleh Hijjaz Record (HR) Publishing juga berada dalam simpanan saya. Dibeli bersama buku Nabi Nuh a.s, saya seperti berada di zaman ketika para wali Allah SWT masih ramai menghiasi dunia ini. Pada ketika para ulama-ulama terkenal masih banyak hidup di mana-mana tempat di muka bumi ini. Satu demi satu saya selami kehidupan mereka. Sesungguhnya kisah hidup segelintir daripada mereka pada mulanya adalah biasa-biasa sahaja. Ada di antara mereka yang hidup bergelumang dosa sebelum menjadikan Allah SWT adalah segala-galanya. Ada juga yang menjadi pengemis, perompak dan sebagainya sebelum dianugerahkan Allah SWT hidayah dan akhirnya pergi menemui-Nya dalam keadaan Allah SWT meredhainya dan merahmatinya.

Saya tertarik dengan kata-kata Hassan al-Basri, katanya: “ Aku tahu rezekiku tidak akan diambil oleh orang lain, maka hatiku tenang. Aku tahu amalanku tidak akan dilaksanakan oleh orang lain, maka aku sibukkan diri untuk melakukannya. Aku tahu Allah SWT sentiasa memerhatikanku, maka aku malu untuk melakukan maksiat terhadap-Nya. Aku tahu kematian sentiasa menungguku, maka aku akan sentiasa menambah amalanku untuk menghadapi pertemuan dengan-Nya.” dan “ Setiap saat manusia wajib bertaubat tanpa mengira dia seorang yang patuh atau ingkar kepada perintah Allah.” Oleh Sahl Bin Abdullah At-Tustari. Sesungguhnya buku ini sangat memberi inspirasi malah saya kekadang mengkoreksi diri dan merenung jauh tujuan saya hidup di dunia ini. Merenung jauh tentang impian untuk hidup di sana nanti. 

“ Andaikata engkau beribadah kepada Allah
sebanyak ibadah penghuni langit dan bumi,
maka tidak akan diterima ibadahmu sebelum
engkau percaya kepada Allah dan jaminan-Nya.”


Sampai jumpa lagi sahabat semua, salam…

#Gambar di atas bukan hak milik saya

Saturday, September 3, 2016

Pagi yang indah



Bismillahirahmanirrahim

Pagi. Pagi yang selalu membuat jiwaku tenang, nyaman dan riang ria. Gurindam-gurindam alam bagaikan nafari kebahagiaan yang tidak pernah putus bagi seorang hamba-Nya. Pagi merupakan permulaan kepada segala yang berlaku hari ini sebelum terbit esoknya.

Saya suka pagi
sama seperti saya
suka waktu petang
saya suka langit biru
sama seperti saya
suka langit kirmizi
saya suka bulan
sama seperti saya
suka bintang
saya suka alam
sama seperti saya
suka alam semesta.

Tidak lama lagi tanah tandus yang berdekatan dengan tempat kerja saya akan mula sibuk dengan bunyian daripada suara-suara raksasa. Oh, dunia semakin sempit. Hidup manusia mula sama seperti makhluk di bawah daun.

#bahasa alam bahasa qalbi
#sejernih pagi yang bening
#gambar bukan hak milik saya

Wednesday, August 31, 2016

Tinta Kata

Bismillahirahmanirrahim

Kenangan-kenangan itu terlalu sukar untuk dilupakan. Kekadang ia seperti mimpi yang terus mengekori setiap waktu. Seringkali terbit di hati untuk berdoa agar Allah SWT membimbingnya menemui peleraian sebuah cerita yang tiada permulaan, tiada pengakhiran bagaikan dibawa bayu malam yang berhembus tanpa jejak.

Hati berbolak-balik dalam menidakkan sebuah pertemuan aneh tapi nyata. Pertemuan yang diiringi oleh bunyian nafari kebahagiaan yang fana seperti semua yang ada di dunia ini. Sesungguhnya agak susah mahu membuang semua rasa apabila dia masih tetap berada di depannya walau kekadang tak terlihat namun apabila sekali-sekala bersua muka maka segalanya mungkin berada di kotak fikir.

Kau tahu, aku seringkali cuba menafsirkan semua yang berlaku antara kita, aku cuba sedaya upaya meluahkan semua rasaku kepadamu dalam bentuk gerak laku yang mungkin bukan seperti yang kau bayangkan atau tidak pernah terjadi sepanjang hidupmu di dunia ini. Aku cuba semampuku. Selama beberapa tahun hidupku sentiasa dipenuhi dengan bunga-bunga harapan dan impian untuk terus setia denganmu.

Jujurnya, doa untuk bersamamu tidak terlafaz ketika aku bersujud kepada Tuhan. Banyak perkara yang aku kena fahami namun rasaku sentiasa ada padamu. Kau tahu, dalam beberapa waktu ini, aku selalu memujuk diriku sendiri agar aku tidak terlalu bersedih akan kehilanganmu. Setiap kali namamu meniti di fikiranku, aku membuangnya dengan melakukan apa saja perkara yang boleh melenyapkan langsung namamu dari kotak fikir ini.

Tapi kenapa hati ini? Kenapa ia masih menyimpan namamu?

Moga kau bahagia dengan insan-insan yang kau sayang. 

Yang menyayangimu,
Hamba Allah SWT



Friday, August 19, 2016

Puisi Sang Pencinta


Bismillahirahmanirrahim

Dia telah pergi, membawa seluruh jiwa ke suatu daerah yang paling kecil lalu meninggalkanku yang masih bertatih mencari makna semua yang berlaku. Inginku katakan selamat tinggal kepadanya, namun belum sempat ia menjadi kalam, dia sudah pun menuturkannya dalam gerak yang aku fahami isyaratnya.

Dia meninggalkan sejuta kenangan yang masih hangat bersimpuh di sanubari dan terkadang, terdetik di hati untuk membuangnya jauh ke hujung dunia tapi tiba-tiba datanglah sang pujangga menghalang semua hajat yang terpatri di sudut hati.

Aku membilang hari-hariku dengan doa dan harapan yang tak pernah sirna lantas membawaku ke dunia baru yang penuh dengan cita-cita dan impian tentunya. Menikmati kebahagiaan di kolam pengabdian bertemankan seribu kupu-kupu cinta dan sejuta kali tali angan-angan.

Dan bila tiba saat itu, hari ini setelah segalanya tersurat, aku benamkan semua kedukaan lalu menggumpul kekuatan untuk menjalani hari-hari hidupku, sebuah perjalanan yang tak bernoktah bersama tekad agar aku kuat dalam meniti kehidupan sebagai hamba yang berusaha menjadi insan kamil di sisi-Nya.


#Sebuahpuisipengubatluka

Tuesday, August 9, 2016

Bicara Kata

Bismillahirahmanirrahim



Jauh.
jauh. 
semakin jauh.
malah terlalu jauh.
terlalu sukar untuk kembali.
Mohon padaNya.
moga hilang segala rasa.
selamat tinggal,
harapan!


Mendung pagi ini
tapi hujan tak turun
dan mentari tetap bersinar
sunyi dunia tanpa
nyanyian beburung 
dan unggas bercanda ria
di taman mahligai.



Aku rindukannya
Nyanyian beburung di rimba seni
deruan terjunan di pinggir bukit
sungguh aku rindukannya
curahan mata air dari telaga alam
olengan pawana dari sang maharaja
kerinduan ini selalu benar menyiksaku
mengekoriku di setiap detik, saat dan waktu.

Kisah Seorang Hamba (Kisah Benar)


Bismillahirahmanirrahim

Usianya masih kecil saat kedua ibu dan ayahnya meninggal dunia. Baru berumur 11 tahun waktu itu. Kemudian dia diambil sebagai anak angkat sebuah sekolah Thafiz. Dia mempunyai seorang sahabat yang bersamanya sejak kecil hinggalah dewasa. Bahkan, sahabatnya ini tahu semua tentangnya, kisah hidupnya. Mereka bersama-sama belajar di sekolah itu.

Suatu hari hamba Allah SWT ini meninggal dunia. Jasadnya dibekukan di sebuah hospital selama 63 hari. Maka seorang ustaz pun dipanggil untuk memandikan jenazahnya. Tatkala kain kapan dibuka untuk tatapan sahabat-sahabatnya buat kali terakhir, mereka semua terkejut.

Hamba Allah ini berasal dari negara lain. Dia datang ke Malaysia dan berkerja sebagai imam di sebuah masjid hinggalah ke akhir hayatnya. Suatu keajaiban berlaku saat kematiannya.

Jenazahnya masih panas dan berpeluh walaupun sudah lama dibekukan. Malah badannya juga tidak beku langsung. Terdapat kalimah Allah timbul di dahinya. Sahabat-sahabatnya yang menatap wajahnya ketika itu hanya mampu mengucapkan kalimah, 'Masya Allah...Subhanallah'.

Ustaz bertanya apa yang dilakukan oleh hamba Allah SWT ini kepada sahabat baiknya sejak kecil sehingga Allah mengurniakan kebaikan ini kepadanya. Maka jawab sahabat ini:

" Ustaz, sejak mula saya berkawan dengannya, dia tak pernah tinggalkan solat tahajud dan solat tasbih."

Subhanallah, subhanallah, subhanallah.

# Moga kita semua mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat sahabat semua. Insya Allah, aminnn
# Mendengar kisahnya bagaikan saya ingin menjadi sepertinya. Moga kita menjadi sepertinya sahabat semua. Aminn
# Semoga kita semua dipertemukan dengan-Nya kelak. Semoga kematian kita bisa jadi sepertinya, malah lebih baik daripada itu.
# Berdoalah kita sahabat. Jadikan doa adalah amalan harian. Jadikan doa adalah rutin harian kita. Walau di manapun, walau macam mana pun keadaan kita, jangan sekali kita tinggalkan doa.
# Berdoa terus semoga Allah berikan kita kejayaan di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn


Thursday, August 4, 2016

MENCARI DAMAI DI HATI


Bismillahirahmanirrahim

Malam yang sepi
ku bertatih mencari
damai di hati
tatkala jiwa berlagu sendu
menusuk jauh ke sukma
kalbuku.

Sekian banyak halangan
sekian banyak lorong
sekian banyak pelabuhan
akhirnya aku sampai ke
destinasi
yang terkadang
aku sendiri keliru
apakah ini damai yang kucari
adakah ini damai yang kunanti
walhal jiwa dan hatiku
berperang sendiri
mencari jawapan yang entah
betul entahkan tidak

Terkadang air mata kesedihan
berlabuh di lurah kedukaan
menyusuri lorong perjalanan
yang tak kurencanakan
akan terjadi sepanjang hidupku
dalam mencari kedamaian
yang abadi.

Kuharap
dalam pencarian ini
dalam perjalanan yang tak ku
rencana
aku dapat menemui
Secebis ketenangan di hati
agar pulau kedukaan
akan bertukar menjadi
benua kegembiraan.

Ku mencari damai di hati
tatkala ketakutan mengaburi diriku
tatkala kesedihan mencemburui diriku
daripada kegelapan yang
bertandang di rumahku.

S. Hana AK
UPSI

Pernah keluar dalam:
Berita Harian, 11-17 Ogos 2011


Monday, August 1, 2016

Ku Renung Bintang Di Korpus Angkasa



Bismillahirahmanirrahim

Malam yang dingin
sepanjang perjalanan
dari Johor ke Tanjung Malim
ku renung bintang di korpus angkasa
berkerdipan cantik sekali
seperti tersenyum Menyambut
kedatangan malam jagat raya.

Sesekali, malam yang dingin
ku renung bintang di korpus angkasa
tanpa teman, sang bulan
memancar, bersinar dan bercahaya
indah sekali
sesekali kucari
di manakah bintang kejora
ke manakah bintang komet
di antara berjuta-juta kerdipan itu?

Sesekali dalam perjalananku
pawana sang angin begitu mendamaikan
mengelus lembut badan kakuku
dan terbuai daku dengan kelembutannya
seketika cuma
bersama mewarnai bintang di angkasa
bersama mengulit mimpi
tentang cerita sang sufi.

Sesekali dalam arus kepulanganku
dari Johor ke Tanjung Malim
satu kembara yang mengasyikan
kurenung bintang di korpus angkasa
beribu bintang bersinar memancar
saling bersaing sesama sendiri
dan hatiku amat menyukainya
lalu keluarlah minda berkata
“ Ya Allah, Subhanallah
cintakanlah aku kepada alamMu
selain kasihku padaMu.”

Ketika merenung itu
tiba-tiba kusedari
semakin jauh perjalanan
semakin hampir aku ke detik
kehilangan sang bintang
tadinya
bintang begitu banyak
sekarang bintang
semakin berkurang
dan mindaku berkata lagi
“ Ke manakah hilangnya engkau
wahai temanku dan teman sang bulan?”

Semakin hampir ke destinasi
semakin hatiku menguak kehibaan
engkau sudah semakin kurang
dan akhirnya menghilang begitu sahaja
lalu buat kali terakhir
ku renung sebutir bintang di korpus angkasa
yang masih tabah mengusap Sang langit
di balik bibir Sang awan pekat
bersama mindaku yang semakin ganas
mengalunkan kata-kata

“ Gagahlah dikau wahai temanku
kembangkan sinarmu
biar menerangi bumi
biar memancar indah dari lampu neon
kerna sesungguhnya
engkaulah lampu alam
yang aku cintai, sepenuh hatiku.”

S. Hana AK
UPSI