Monday, December 12, 2016

Bicara Pena



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kalian sentiasa mendapat rahmat dan lindungan daripada Allah SWT. Malam ini terdetik di hati untuk menulis setelah berbulan-bulan tidak  mencoretkan sesuatu di blog ini. Malam ini saya berasa sangat indah dan membahagiakan. Sudah beberapa hari saya bercuti di kampung. Setiap hari bila bangun dari tidur, saya lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Melihat kampung yang indah dan mendamaikan membuatkan jiwa saya menjadi tenang. Sungguh, saya sebenarnya dilanda kerinduan terhadap desa permai saya ini.

Sahabat semua, saya sentiasa berasa bersyukur kerana Allah SWT menjadikan saya sebagai orang kampung.  Lahir dan membesar di kampung membuatkan saya belajar segalanya.  Belajar dan bekerja di bandar membuatkan saya tidak melupakan asal usul saya. Saya selesa berada di kampung dan tidak kekok apabila berada di bandar. Bak kata orang lain, saya boleh hidup dalam dua dunia, bandar dan kampung. Mungkin jika saya lahir dan membesar di bandar, pasti saya tidak tahu bagaimana kehidupan sebagai orang kampung, malah kemungkinan saya tidak akan selesa tinggal di sana.

Saya menyukai orang bandar. Sukakan dia sejak dulu tapi saya selalu berasa kami tidak sepadan. Umpama langit dengan bumi dan saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama orang lain. Bagi saya, biarlah dia mencari yang lebih baik berbanding saya bahkan boleh dikatakan sekufu. Dia selalu bersemadi di hati ini, tidak pernah sekelumit pun rasa ini pergi dari hidupku. Sahabat sekalian, jika ditanya mengapa saya membiarkan dia bersama orang lain, jawapan saya adalah, saya ingin mencintainya kerana Dia Yang Maha Pencipta. Saya akan doakan kebahagiaan dia walau saya tak dapat memiliki hati dan jasadnya. Lagipun dia tak pernah beri saya harapan dan saya merasakan bahawa saya tidak pernah berada dalam hatinya.

Saya mempunyai banyak impian dalam hidup ini, selain impian untuk dunia saya juga mengimpikan kebahagiaan di akhirat. Selalu bercita-cita mahu memasuki jannah-Nya dan sekaligus mahu bertemu dengan Ya Khaliq. Inilah tingkat kebahagiaan saya yang tertinggi. Di dunia ini saya mengimpikan untuk melihat dunia luar. Mengimpikan untuk menikmati keindahan alam di bumi asing. Bercita-cita untuk menjadi seorang pengembara, menghayati, mendalami dan memahami budaya dan masyarakat bangsa lain. Bagi saya, mengembara ini membuatkan kita berfikir banyak perkara. Bukankah Allah SWT juga menyuruh hamba-hamba-Nya untuk mengembara, melihat ragam dan kisah hidup orang lain.

Sahabat semua, alam ini indah. Alam ini adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Dia mengajak kita untuk berfikir malah  dalam kitab suci yang diturunkan-Nya iaitu al-Quran, begitu banyak kalam yang membicarakan tentang alam. Hal ini menunjukkan bahawa kita sangat kerdil di sisinya, bahkan kalau dikira, yang sebenarnya kita tidak bermakna apa-apa langsung pada-Nya. Terlalu banyak rahsia di dunia ini, rahsia Allah SWT kepada kita sebagai manusia yang berakal yang mesti kita cari dan gali maknanya. Moga kita menjadi orang yang berilmu pengetahuan sahabat sekalian, insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai jumpa lagi sahabat semua. Saya mendoakan kita agar menjadi pencinta alam yang tegar. Mencintainya setulus hati, menghargainya seikhlas hati. Aminn





No comments:

Post a Comment