Tuesday, December 13, 2016

Diari Orang Kampung


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Saya doakan agar kita semua sentasa sihat walafiat di samping insan-insan yang tersayang. Sahabat semua, masa terus berlalu, menuju destinasi yang abadi. Setiap kita punya lorong hidupnya masing-masing. Saya dengan jalan hidup saya dan kalian dengan titian hidup kalian. Jika takdir menemukan kita, maka bertemulah kita di setiap persimpangan. Di situlah kita berkenalan, bersahabat, bercinta dan berkahwin. Dari pertemuan itu bercambahlah pelbagai memori suka-duka bersama.

Sahabat semua, tengah hari ini, saya berasakan alam amat mesra dengan saya. Bayu bertiup menyegarkan suasana yang dibahangi oleh matahari.  Saya berasa sangat bahagia. Saya buka laptop, pasang zikir-zikir penenang hati, baca laman-laman sosial yang selalu menjadi perhatian saya. Di luar sana detik kedengaran siulan burung-burung serindit ataupun pipit. Mereka adalah muzik semulajadi yang tidak memerlukan manusia untuk membunyikannya. Tidak terkecuali juga kokokan ayam jantan yang memeriahkan suasana walaupun masih berada dalam lingkungan tengah hari.

Desa saya ini jauh dari hiruk-pikuk kota raya. Bahkan daerah saya ini hanya mempunyai sebuah pekan yang mula membangun tapi masih kaya dengan flora dan faunanya. Di sepanjang jalan raya akan kelihatan sawah padi, sungai dan kampung-kampung. Sungguh, saya berasakan saya amat tenang dan tenteram berada di dalam kepompong daerah ini. Walaupun matahari semakin terik namun keadaan masih sejuk, dingin dan menyegarkan. Tiada bunyian dan raungan raksasa daripada kenderaan motokar mahupun kenderaan lain. Kalau adapun ia masih berada di tahap yang masih terkawal.

Kebanyakan penduduk di daerah saya ini iaitu daerah Tambunan berkerja sebagai petani dan penoreh getah. Selalunya mereka berada dalam lingkungan separuh usia. Malah ada yang makan gaji yang selalunya dimonopoli oleh golongan muda. Setiap hari khamis dan minggu, selalunya ada pasar tamu di dua tempat yang berbeza. Di situlah terjalinnya hubungan silaturrahim sesama mereka apabila berjual dan membeli.

Setiap tahun saya luangkan masa sekurang-kurangnya sekali atau dua tiga kali untuk balik ke sini. Menikmati keindahan kampung dan menghayati kehidupan sebagai orang kampung. Akhir bulan ini, saya akan kembali ke semenanjung emas tempat saya mencari rezeki. Dua tempat yang berbeza tapi tetap menjadi kerinduan saya. Kedua-duanya ada kisah yang tersendiri yang hanya saya dan Allah SWT sahaja yang tahu.

Baiklah sahabat semua, tiba masanya saya mengakhiri kisah ini. moga jumpa lagi...salam


No comments:

Post a Comment