Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Wednesday, February 17, 2010
Hidayah
ini adalah cerpen yang saya cipta kali pertama saya mengenali dunia sastera. sebenarnya, karya asli cerpen ini sudah hilang dalam simpanan saya. namun Alhamdulillah, saya masih mengingati jalan ceritanya dan terciptalah cerpen berjudul " Hidayah" ini. mungkin ia tidaK sebaik cerpen asli yang dahulu kerana ada sedikit perubahan tetapi tak apa, yang penting jalan ceritanya masih seperti dulu. baiklah wahai pengembara blog saya. selamat membaca karya saya yang tak seberapa ini. SELAMAT MEMBACA....
Suasana malam itu sungguh sejuk. Awan hitam terus memuntahkan air mata alam yang menyejukkan segenap muka bumi yang panas ini. Fateen dan Nadia berlari-lari menuju ke rumah mereka yang kelihatannya tidak jauh dari jalan besar tersebut. Baju pendek serta kasut bertumit tinggi yang dipakai tidak membebankan mereka untuk terus melangkah laju, cuba menghindarkan diri dari linangan air mata alam itu. Sampai di rumah, Fateen dan Nadia terus mengunci tombol pintu kerana takut mendengar bunyi guruh dan kilat yang amat kuat menghentam kota raya yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan manusia-manusia yang bertopengkan sayaitan ini.
Mereka baru sahaja selesai melakukan tugas yang menjadi rutin mereka sejak 5 tahun yang lalu. Ya, menjadi anak ayam di kota metropolitan Kuala Lumpur ini. Mereka sudah biasa dengan kerja seperti ini. Malah dalam satu malam mereka mampu memperolehi duit sebanyak Rm 5000. Lumayan, memang lumayan bagi mereka. Itu tidak dicampur dengan duit yang akan mereka berikan kepada ketua mereka tiap hari. Mereka mampu berseronok dengan duit sebanyak itu. Mereka sudah lupa dengan kehidupan di akhirat yang kekal abadi kerana disogok dengan kehidupan dunia yang sementara ini.
Seperti biasa Fateen mandi dahulu sebelum tidur manakala Nadia akan terus tidur. Sekitar jam 1 pagi, kedua gadis itu sudah pun diulit mimpi yang indah kerana esok malam, mereka ada tugas seperti biasa yang dilaluinya hari-hari. bunyi kilat di luar sudah tidak kedengaran lagi di pendengaran para penghuni rumah sewa tersebut.
Fateen baru sahaja selesai mandi pagi apabila terdengar ketukan di muka pintu. Dengan hanya memakai baju mandi, dia segera membuka pintu rumah. Kala pintu rumah terbuka, tercongak di hadapannya ialah seorang pemuda kacak. Sungguh kacak. Belum pernah dia melihat wajah seperti wajah di hadapannya ini. Dia terleka seketika.
“ Assalamualaikum cik....boleh saya tanya, di mana rumah nombor 23?” sapaan pemuda itu menyedarkannya dari kelekaannya.
“ wa...waalaikum....salam.” jawabnya tergagap-gagap. Dia gugup bukan kerana melihat wajah lelaki tersebut sekarang tetapi dia gugup kerana mendengar kalimah suci yang sudah lama dilupakannya dalam hidupnya itu. Kalimah itu sudah lama tidak diucapkannya. Kerana itu tatkala mendengarnya dia agak kekok dan bunyinya agak sumbang dalam pendengarannya.
“ nombor 23, rumahnya di sana.” Katanya sambil menunjukkan sebuah rumah yang sudah usang. Timbul juga kehairanan di hatinya apabila mengingatkan tujuan pemuda di hadapannya ini ke rumah tersebut.
“ mungkin dia ingin menyewa kot.” Bisiknya sendirian. Setahunya, rumah itu sudah pun penuh dengan penyewa lelaki. Namun didiamkannya kerana memimkirkan mungkin ada penyewa rumah itu yang sudah keluar dan rumah sewa tersebut ada kosong satu.
“ terima kasih cik. Saya pergi dulu. Assalamualaikum...” kata pemuda yang tidak diketahui nama itu lantas berlalu pergi.
“ siapa yang datang tu Teen, ada orang datang ek?” belum sempat dia menjawab kedengaran suara Zalehah, rakan serumahnya menegurnya. Tubuh Zalehah sudah pun berada di belakangnya. Fateen menoleh lantas menjawab pertanyaan rakannya itu kemudian kembali melihat ke arah pemuda kacak tadi.
“ hah, mana dia pergi. Tadi ada, takkan dah hilang kot. Rasanya tak sampai seminit pun dia pergi.” Kehairanan menghuni fikiran Fateean apabila melihat sekitar kawasan rumahnya yang kosong. Jika pemuda itu hendak ke rumah sewanya, dia mesti melepasi pagar rumah sewa dia dan rakan-rakannya dahulu baru sampai ke rumah sewa yang ditunjukkannya tadi. Fateen mencari-cari kelibat pemuda tersebut di rumah nombor 23 namun kelibatnya tidak kelihatan. Malah rumah sewa itu seperti berkunci.
“ siapa yang datang tadi?” tegur Zalehah.
“ lelaki...entah saya pun tak tahu.”
“ dia cari apa kat rumah kita ni?” soal Zalehah lagi.
“ dia hanya tanya rumah sewa nombor 23. Saya pun tunjukkanlah.” Jawab Fateen selamba.
“ kenapa tak ajak dia masuk. Boleh kita....” Zalehah menghentikan kata-katanya sambil menyengitkan matanya ke arah Feteen. Fateen memahami maksud rakannya itu.
“ dahlah, tak de maknanya. Dia pun dah pergi.” Kata Feteen, menutup pintu.
“ Nadia mana? Tidur lagi ke?” soal Fateen kepada Zalehah. Zalehah menjungkitkan bahunya.
"entah"
“ emm, penatlah tu.”
“ semalam berapa yang datang?” ujar Zalehah. Fateen menujukkkan jari limanya kemudian meninggalkan Zalehah, menuju ke dapur. Bibir Zelahah membentuk o. Memang dia kagum dengan Fateen yang mampu melanggan 5 orang lelaki dalam satu malam. Malah kadang-kadang, kawannya ini mampu melanggan 10 lelaki hanya dalam satu malam. Dia sendiri tidak pernah sampai tahap begitu. Setakat dua tiga orang tu bolehlah, tapi kalau sudah melebihi 5 orang, itu sudah sampai tahap tinggi.
Di dapur, Fateen sudah tidak mengingati pemuda itu lagi. Baginya pemuda seperti itu memang banyak di tempat kerjanya. Kalau setakat pemuda itu, mesti dia akan memperolehi lebih baik darinya. Dia tersenyum sendirian mengingati bagaimana permainan mereka di ranjang jika dia memiliki pemuda itu.
Hari itu Fateen tidak pergi kerja. Rakan-rakan serumahnya sudah lama ke tempat kerja. Tinggal dia sendirian di rumah. Dia meminta cuti kerana berasa kepalanya pening. Petang itu, dia mengagahkan dirinya untuk keluar ke rumah. Hari ini sudah dua hari dia tidak ke tempat kerjanya. Dengan kudrat yang lemah, dia duduk di luar beranda. Dia melihat-lihat sekeliling. Tiba-tiba matanya terpaku pada rumah sewa nombor 23. Kenangan lalu menghuni fikirannya saat pertama kali dia terjumpa penghuni baru rumah tersebut. Sudah hampir seminggu dia tidak melihat pemuda kacak tersebut. saat dia termenung itu, dia dikejutkan dengan kelibat orang berjalan di depan rumahnya. Dia memandang ke arah orang tersebut.
Hampir dia terjerit apabila melihat orang yang melalui rumahnya itu adalah lelaki yang datang di rumahnya dulu. Entah mengapa, ingin sekali dia menegurnya. Lantas tanpa segan silu Fateen memanggilnya.
“ hei, hei...awak....awak...” lelaki itu terhenti lantas menoleh ke arah Fateen. Fateen melambaikan tangannya menyuruhnya datang ke tempatnya. Lelaki itu teragak-agak.
“ marilah awak, kita berbual-bual. Tak ada orang kat rumah. Hanya saya.” Lelaki itu masih kaku memandangnya. Fateen mengagak sesuatu lantas dia pun berkata.
“ jangan bimbang, orang kuat agama tak akan tangkap kita. Meh lah, perjumpaan kita terbuka. Saya saja nak berbual-bual dengan awak.” Jaminan Fateen membuatkan lelaki itu pergi ke arahnya.
“ Assalamualaikum...” sapa lelaki itu setelah sampai di hadapannya. Fateen merasa lidahnya kelu. Kalimat itu lagi....lalu dengan lidah yang berbelit, Fateen cuba menjawabnya. Pemuda kacak itu tersenyum.
“ nama saya Nurul Fateen, panggil Fateen dah cukup. Awak?” perkenal Fateen sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan pemuda itu namun pemuda itu hanya tersenyum.
“ saya dah tahu nama awak. Emm, panggil saja saya Firdaus.” Ujar lelaki itu lagi. Air muka Fateen berubah namun cepat dikawalnya. Macam mana dia boleh kenal aku...bisiknya sendirian.
“ oh, Firdaus, awak buat apa kat sini. Belajar ek...”
“ tak, saya ada tugas penting. Penting...sangat penting....”
“ tugas penting? Tugas apa yang penting sangat tu Fir...emm boleh saya panggil awak Fir saja?” lelaki itu mengangguk.
“ saya datang ke sini untuk seseorang.” Kata lelaki itu serius. Fateen ketawa kecil mungkin lucu dengan kata-kata pemuda di hadapannya itu.
“ seseorang....awak ni buat lawak pula Fir. Siapa seseorang yang awak maksudkan tu. beritahu saya.”
“ awak..Nurul Fateen.” Fateen terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari bibir lelaki di hadapannya ini.
“ saya? Apa maksud awak?”
“ saya pergi dulu cik Fateen, Insya Allah, jika ada masa lapang, kita akan berjumpa lagi. Insaflah wahai hiasan dunia bahawa dunia ini hanyalah bersifat sementara.” Kata-kata pemuda itu meresap di lubuk sanubari Fateen. Lelaki yang dipanggil Firdaus itu sudah pun pergi dan menghilang di sebalik pintu rumah sewa lelaki itu. Namun bisikan syaitan lebih berkuasa dari kata-kata lelaki tersebut. Fateen sudah pun melupakannya dalam masa yang singkat.
Sejak akhir-akhir ini, Fateen sering didatangi oleh lelaki bernama Firdaus itu, malah dia tidak tahu mengapa dia harus menerima Firdaus menjadi temannya saat lelaki itu menyatakan harapannya untuk menjadi sahabatnya. Rakan serumahnya tidak mengetahui persahabatannya dengan Firdaus kerana dia sentiasa menyembunyikannya dari pengetahuan mereka. Malah dia hairan mengapa sahabatnya itu menolak untuk bersama dengannya tatkala dia mempelawanya melakukan hubungan seperti yang dilakukannya selama ini. Persahabatan mereka sudah menginjak ke angka dua bulan dan dalam masa dua bulan itu, lelaki itu sering menasihatinya untuk kembali ke jalan lurus. Jalan yang lebih diredhai oleh Allah. Namun Fateen masih seperti dulu. Masih tidak berubah. Nasihat kawannya itu tidak mengubahnya menjadi wanita yang solehah. Firdaus tidak berputus asa, dia terus menasihatinya dan cuba membawanya keluar dari kepompong mainan dunia yang fana ini sehinggalah suatu hari mereka bergaduh besar kerana kebosanan Fateen mendengar nasihatnya yang sentiasa terbit dari bibir Firdaus.
“ kenapa dengan awak ni Fir? Asyik nak menasihati saya sahaja. Awak fikir awak tu bagus sangat ke. Saya tahulah, siapa saya. Esok-esok, kalau saya dah tak nak hidup macam ni lagi, saya bertaubatlah tapi bukan begini caranya.” Marah Fateen suatu hari.
“ saya sahabat awak Fateen. Saya berhak menasihati awak. Cubalah dengar nasihat saya. Hidup ini sangat singkat Fateen. Buang perangai buruk awak tu. jauhi kerja awak sebagai...”
“ apa, pelacur. Itu yang awak nak katakan bukan? Hei, Firdaus, dengar sini...dosa pahala saya adalah antara saya dengan Tuhan. Awak tak ada kaitan dalam hal ini. Saya bencilah dengan lelaki macam awak ni. Takut sangat dengan dosa. Bila saya Offer awak tak nak malah ada hati nak nasihati orang pula. Awak ni manusia ke malaikat!”
“ Fateen, maafkan saya...saya tak berniat nak sakitkan hati Fateen...tapi sebagai sahabat, saya tak mahu melihat sahabat saya hidup dalam gelombang dosa....”
“ apa Dosa. Awak cakap dosa Firdaus. Macamlah awak tu tak pernah buat dosa. Ok Fine, kalau awak tak nak hidup awak susah kerana saya, kita putuskan sahaja persahabatan kita ini. Kita bukan kawan lagi. Pergilah dari hidup saya. Tapi ingat Firdaus, walauapapun terjadi, saya tak akan berganjak dari kehidupan saya.”
Kata-kata Fateen membuatkan Firdaus terdiam seketika. Satu keluhan singgah di tubir bicaranya.
“ baiklah, tapi tak adakah peluang untuk saya....”
“ maaf, awak boleh blah dari hidup saya. Sekarang kita bukan kawan lagi.” Ujar Fateen tanpa memandang ke arah Firdaus.
“ baiklah, saya kan pergi dari hidup awak Fateen. Maafkan saya kerana menyakitkan hati awak selama ini. Cuma sebelum saya pergi izinkan saya menyatakan sesuatu kepadamu. Saat awak mendengar kalimah Allah, ingatlah bahawa saya sudah tak ada di sisimu lagi. Menjadi pelindungmu, menjadi pembimbingmu. Hanya engkaulah yang menentukan segalanya. Selamat tinggal wahai sahabatku..Assalamualaikum...” habis sahaja kata-kata itu, tiba-tiba satu suara bergema dalam pendengarannya. Suara azan asar berkumandang dari masjid yang berdekatan. Ia menusuk jauh ke kalbu Fateen. Amat indah bunyinya. Sungguh, kemerduannya mendayu-dayu. Ya Allah, tanpa disedari bibirnya mengucapkan kalimah Allah.
“ Fir....” dia memandang rakannya tetapi Firdaus sudah hilang dari penglihatannya. Firdaus sudah tidak ada di tempatnya berdiri tadi. Dia mencari-cari rakannya itu.
“ Firdaus!!!” suara Fateen bergema di ruang persekitaran halaman rumahnya. Air matanya berjurai...benar, baru sekarang dia mengerti maksud rakannya tadi. Kalimah Allah itu adalah suara azan dan benar sekarang Firdaus, rakannya pula hilang sekelip mata.
Fateen seperti kaku di tempatnya ketika azan berkumandang. Hanya air matanya sahaja yang merembes keluar, Mencurah-curah. Satu perasaan halus menyelinap di hatinya. Tiba-tiba dia berasa ketakutan yang amat sangat. Di hadapannya dia melihat dosa-dosa yang dilakukannnya selama ini. perbuatannya dari mula hingga akhir bagaimana dia melakukan kerja-kerja yang terkutuk. Kemudian dipaparkan kehadiran Firdaus yang tidak jemu-jemu menasihatinya dan cuba membimbingnya mengingati Allah. Dipaparkan juga bagaimana dia mengambil sikap endah tak endah dengan nasihat kawannya itu. Ya Allah, hanya bibirnya yang mampu mengucapkan kalimah itu.
Seusai azan asar, tiba-tiba paparan yang dilihatnya itu juga hilang. Fateen terduduk di situ juga. Dia benar-benar terpegun tidak tahu apa yang perlu dibuat. Hanya air matanya sahaja yang menitik setitis demi setitis. Ketika Rakannya Nadia datang, Fateen masih duduk di situ sambil menangis teresak-esak. Fateen dipapah oleh Nadia naik ke rumah. Nadia membiarkan rakannya itu dengan perbuatannya sebelum memujuknya untuk menceritakan kisah itu kepadanya.
“ Teen, kenapa dengan awak ni. Apa yang berlaku? Awak kecurian lagi ke?” pujuk Nadia yang sememangnya tahu Fateen sentiasa menjadi mangsa para pencuri yang tidak mengenal mangsa. Namun Fateen masih diam. Nadia cuba memujuk lagi namun hanya tangisan sahaja yang kedengaran dari bibir comel Fateen. Saat rakan-rakan serumahnya yang lain pulang Fateen masih mengelamun. Mereka tertanya-tanya dengan perubahannya namun Nadia membalasnya dengan isyarat entah, aku pun tak tahu.
“ Teen, mengapa ni, Teen sakit lagi ke?” tanya Zalehah pula lembut namun Fateen hanya membalasnya dengan gelengan.
“ jadi apa masalah Teen, tadi Nadiah kata Teen duduk di luar. Betul ke?” pujuk Zalehah lagi.
“ saya dah buat keputusan, saya nak berhenti buat kerja ni. Saya dah tak nak jadi pelacur lagi kak. Tadi saya saksikan sendiri apa yang saya lakukan selama ini. Saya berdosa kepada Allah kak” semua yang ada di situ terkejut mendengar bicara yang keluar dari mulut Fateen. Masing-masing mula takut.
“ apa yang Fateen nampak tadi?” tanya Laila pula yang sejak tadi membisukan diri. Lantas Fateen menceritakan kejadian yang berlaku di hadapannya sebentar tadi. Namun tatkala dia habis bercerita, kawan-kawannya hanya memandangnya dengan senyuman sinis.
“ alaaa, awak ni Teen, bila sakit mulalah nampak itu ini ke.” Kata Zalehah pula.
“ betul kak, saya nampak....”
“ ah, tak usahlah pandang serius Perkara tu Teen, awak bukannya tak tahu dah lima tahun kita buat kerja macam ni, tak pernah pun perkara tu terjadi kat kami semua.” Celah Nadia Pula. Fateen berdiri, bercekik pinggang.
“ kalau korang tak nak percaya cerita saya, itu korang punya pasal, yang penting mulai dari sekarang saya tak nak buat kerja ni lagi. Esok saya nak balik kampung.” Kata Fateen, marah dengan rakan-rakannya yang seperti mempermainkannya.
“ mana boleh, awak tak boleh keluar dari rumah ni sebelum awak tak langsaikan hutang awak kepada pelanggan awak.” Tiba-tiba Zalehah marah.
“ hutang, saya mana ada hutang. Saya tak ada hutang dengan sesiapa pun. Apa awak fikir kerja tu dengan pelanggan dah dikira hutang. Maaf. Itu bukan hutang. Itu adalah bala saya faham.” Ujar Fateen tidak mahu mengalah kepada Zalehah yang dikira ketua mereka selama ini. Dia sudah tidak mahu fikirkan tentang perkara lain. Apa yang dia mahu ialah dia mesti keluar dari rumah ini sekarang juga kalau boleh.
“ okey, kalau awak tak nak, malam ini juga awak pergi dari sini. Jangan balik ke sini lagi!” ujar Zalehah garang, segarang harimau. Fateen tersenyum kecil. Lantas dia berlari ke bilik dan mengemas barang-barangnya.
“ saya pergi dulu. Selamat tinggal. Assalamualaikum semua...” kata Fateen sebelum meninggalkan rumah yang didudukinya itu selama lima tahun. Zalehah, Nadia, Laila dan rakan-rakan serumah yang lain hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa.
Setelah keluar dari rumah, Fateen cuba mencari Firdaus di rumahnya.
“ maaf, cik mungkin tersilap orang. Lelaki bernama Firdaus tak ada di rumah kami.” Ujar seorang lelaki yang juga penyewa rumah bernombor 23 tersebut.
“ tapi bukankah firdaus rakan saya tinggal di rumah ni. Jangan-jangan encik bersekongkol dengan dia tak. Saya nak masuk. Saya mesti cari dia. Fir...Firdaus!!!” jerit Fateen di luar menyebabkan semua lelaki yang menyewa rumah tersebut keluar.
“ apa yang pelacur ni buat kat sini.” Kata-kata seorang lelaki menyebabkan Fateen menjadi berang.
“ wei, saya sekarang bukan pelacur. Sekarang saya nak cari Firdaus.” Ujarnya kuat.
“ cik? Orang yang cik cari tak ada di sini. Dia tak tinggal di rumah kami. Cubalah cik lihat rakan-rakan saya. Hanya kami sahaja yang tinggal di sini.” Tiba-tiba seorang lelaki yang beraut tenang berkata kepadanya. Pelahan-lahan Fateen meneliti para lelaki muda di hadapannya. Dia seperti baru sedar sesuatu lantas berkata.
“ maaf, saya fikir orang yang saya cari ada di sini. Tak apalah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum...” katanya, lantas berlalu pergi. Semua pemuda itu menutup kembali rumah mereka. Di halaman rumah, Fateen menitiskan air matanya. Entah mengapa satu perasaan rindu terhadap sahabatnya itu mencengkam jiwanya walaupun baru beberapa jam dia meninggalkannya.
“ Fir...ke mana awak pergi...jangan tinggal kan saya Fir...tolong..bimbinglah saya mencari keredhaanNya. Ya Allah....siapakah Firdaus yang selama ini hadir dalam hidup saya?” rintih Fateen pelahan sebelum meninggalkan rumah bernombor 23 tersebut.
Fateen memandang laut yang membiru dihadapannya. Elusan angin laut begitu mendamaikan. Baju kurungnya berkibaran manakala tudung hijaunya melambai-lambai. Sudah setahun dia balik ke kampungnya. Fateen sudah jauh berubah semenjak peristiwa yang berlaku dan merubah seluruh kehidupannya. Sekarang, dia sudah berubah menjadi seorang gadis yang baru, bukan lagi dikelilingi dosa yang dilakukannya suatu ketika dulu. Dia bersyukur kerana orang tuanya masih menerimanya setelah dia menceritakan kisah hidupnya. Hidupnya sekarang jauh lebih mendamaikan dan mengembirakan. Tiap hari kehidupannya lebih bererti saat mendekatkan diri kepadaNYa.
Dia teringatkan Firdaus, lelaki yang cuba mengubah seluruh kehidupannya. Kalau bukan Firdaus, mana mungkin dia akan sedar dengan kesilapannya selama ini. Namun lelaki itu sudah pergi dalam hidupnya. Dia tidak pernah lagi bertemu dengannya setelah setahun peristiwa itu terjadi. Sungguh, dia begitu merindukan lelaki kacak itu. Masih ingat lagi bagaimana Firdaus begitu menghormatinya sebagai wanita dan sentiasa cuba membimbingnya ke jalan yang benar. Cuma dia sahaja yang bodoh kerana tidak mengikuti nasihatnya. Kalaulah dari dulu lagi dia sedar......
“ Assalamualaikum...”tiba-tiba suara seorang lelaki yang cukup dikenalinya dan ditunggunya selama ini kedengaran di telinganya. Fateen Menoleh.
“ Fir....” katanya pelahan. Ya Allah, mengapa wajah kacak itu sungguh bercahaya ya Allah. Bisik hati kecil Fateen.
“ saya bersyukur, Fateen sudah berubah sekarang.” Ujar lelaki tersebut. Fateen tersenyum gembira. Wajah yang dirinduinya itu begitu mendamaikan.
“ Fir...saya begitu rindukan Fir. Saya cintakan Fir....” kata Fateen pelahan namun Firdaus hanya tersenyum.
“ Fateen, Cintailah Allah. Maafkan saya kerana saya tak mampu membalas cinta Fateen. Kita hidup dalam dunia yang berbeza. Saya datang ke sini kerana mengirimkan ini kepadamu. Dan selepas ini, kita tak akan berjumpa lagi. Ini kali terakhir kita akan berjumpa Fateen. Berbahagialah dirimu dengan naunganNya.” ujar Firdaus lalu memberikan sekuntum bunga kepadanya. Fateen menerimanya dengan air mata.
“ Fir...” namun Firdaus lelaki yang dicintainya juga lelaki misteri dalam hidupnya sudah pun menghilang. Fateen memandang sekeliling namun Firdaus lelaki yang bertakhta di hatinya sudah tidak ada.
“ siapa awak yang hadir dalam hidup saya selama ini Firdaus?” bisiknya pelahan. Dia memandang ke langit. Awan pekat yang tadinya hitam sudah pun cerah. Tiba-tiba satu suara kecil membisik di telinganya.
“ cintailah Allah sepenuh hatimu. Nescaya, Allah akan membahagiakan hidupmu.”
“ ya Allah, akanku abadikan cintaku hanya padaMu. Bimbinglah aku ke jalanMu. Jauhi aku dari godaan Syaitan dan berikanlah rakan-rakanku petunjukMu.” Kata hati kecilnya sambil tangannya masih memegang sekuntum bunga pemberian sahabat dan mungkin kekasihnya. Mungkin.....bau bunga itu masih segar mewangi di tangannya. Fateen tersenyum manis.
“ Terima Kasih Fir....” ucap Fateen pelahan sambil memandang ke arah laut yang membiru bagaikan hamparan permaidani itu.
Nukilan:
S.Hana AK
17022010 ( Rabu)
18:38 Pm ( Siap)
Khar UPSI.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment