Saturday, February 27, 2016

Monolog


Bismillahirrahmanirrahim

Aku terpegun sendiri
Terpaku di teluk waktu
Menduga tafsir seruan Illahi
Selamanya kebenaran
Mengatasi kebatilan
Kebaikan memerangi kejahatan
Bermula di langit
Berakhir di bumi
Tatkala kematian
Mengundang datang
Terbukalah pintu-pintu langit
Cahayanya menyimbah
Ke seluruh alam.

Cinta
Cinta manusia
Doalah garapan jiwa
Bila tiada
Putuslah rindu di hati
Cinta
Cinta Illahi
Bahagia peneman jiwa
Bila dijauhi
Syurga bukan pilihan.

S. Hana AK

Monday, February 22, 2016

Terima Kasih Sahabat



Ingat saya lagi? Nama saya...JOHN, :-)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat sekalian…

Hari ini tiba-tiba teringat kenangan semasa menjadi skim KHAR dahulu. Teringat  kawan-kawan seperjuangan saya. Detik demi detik, masa demi masa, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, semuanya berlalu meninggalkan seribu kenangan manis saat bersama dengan rakan-rakan seperjuangan.

Sekarang tahun 2016, bermakna sudah masuk lima tahun saya meninggalkan Kolej KHAR sekaligus meninggalkan pekerjaan sampingan saya iaitu Skim suatu masa dulu. Dulu merekalah yang menjadi kebahagiaan saya. Banyak aktiviti yang dilakukan untuk menghilangkan tekanan kerja. Kadang-kadang teringat gelagat mereka yang menghiburkan saya. Bila tengok balik gambar-gambar skim dulu, saya tersenyum sendirian. Dalam tersenyum tersimpan seribu erti. Rindu? Ya rindu itu sentiasa bersama. Rindu bersama mereka, menikmati kehidupan sebagai SKIM KHAR yang serba boleh!


Rindu juga dengan mereka sekarang. Sekarang semuanya menjalani hidup masing-masing. Ada yang sudah berkeluarga, ada yang masih bujang. Terkadang, mahu sahaja saya kembali ke zaman itu. Kepada sahabat-sahabat SKIM saya, terima kasih kerana hadir dalam hidup ini. Terima kasih kerana membahagiakan saya. Saya tak akan pernah lupakan kalian. Kalian sentiasa ada di hati saya. Selalu ada, selamanya. Mohon maafkan saya sekiranya ada kesilapan dan kesalahan saya sepanjang bersama kalian. Terima kasih SAHABAT….Sujana Kondorid

Tuesday, February 16, 2016

Catatan Dari Qalbu

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita semua sentiasa sihat sejahtera di samping mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Sahabat sekalian, sungguh, saya rindu untuk menulis. Menulis apapun sama ada di blog atau menulis di dalam catatan peribadi saya. Tak kira masa. Sungguh, rindu ini sentiasa menyala, menggebu. Kadang-kadang saat semua tangan ini menekan punat komputer, tanpa disangka ilham dan idea lenyap. Kaku begitu saja. Saya hilang arah. Hilang kata-kata dan sungguh, bila berada dalam keadaan begini hati disayat rasa sedih. Pilu. Subhanallah, terkadang minda bermonolog, apakah Allah SWT tidak izinkan saya untuk menulis lagi? Apakah karya-karya dan ilham-ilham saya akan hilang, terkubur selamanya. Pilu sungguh hati ini. Subhanallah. Terkadang di saat kerinduan untuk menulis semakin memuncak, sekonyong-konyong satu perasaan halus menghalangi semua perbuatan yang saya ingin lakukan. Malas. Dan saya sememangnya kalah dengan perkataan  ini. Saya hanya mampu melihat ke luar, merenung mimpi. Merenung diri bersama sebuah perasaan yang saya sendiri tidak tahu memaknakannya.

Sahabat sekalian. Maafkan saya kerana saya membawa kalian merenung dan membaca peribadi hidup ini. Sungguh, inilah perasaan saya. Inilah yang saya rasakan saat ini. Sebelum ini dan moga selepas ini rasa itu akan hilang bersama waktu yang semakin menghampiri usia tua. Subhanallah, ya Allah, hilangkan semua perkara mazmumah dalam diri ini. Seminggu ini, cuti sekolah, saya mengisi waktu dengan hanya berteleku di istana saya. Sebuah istana yang berada di tengah-tengah sebuah taman yang indah. Dikelilingi kolam seluas mata memandang, dikelilingi pohon-pohon cinta, dikerumuni unggas-unggas belantara dan yang pastinya dipayungi oleh hamparan langit lazuardi yang semakin menghampiri langit kirmizi.

Di istana yang tak berapa luas inilah saya mula bermukadimah. Bertapa. Menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang berada dalam simpanan saya selama ini. Sepintas lalu keluar, membeli dua buah buku baru. Selebihnya dikelilingi oleh buku-buku lama. Sebenarnya saya sudah lama tidak membelek buku. Berbulan lamanya. Bahkan membelinya pun tidak. Kali terakhir saya membeli buku kecuali hari ini adalah beberapa bulan yang lalu ketika pertengahan tahun 2015 (kalau tak silap). Beli dan simpan. Beli. Dibelek sekejap kemudian disimpan menjadi koleksi peribadi. Dibaca jauh sekali. Amat malu untuk menyatakan di sini tapi itulah sebetulnya. Namun jauh di sudut hati, hati selalu berkata-kata, semoga Allah SWT bukakan pintu hati ini untuk membaca semula. Membelek buku semula kerana saya sudah mula merasakan kejengkelan dan kejahilan saya tatkala buku tiada di depan mata. Kata sahabat saya, “ buku itu menajamkan fikiran”. Sampai sekarang bahkan sejak dari dulu saya setuju. Subhanallah. Maha Suci Allah yang menciptakan pena dengan kalam-Nya.

Sejak dua minggu ini, saya mula berjinak kembali dengan ‘teman’ saya ini. Teman yang paling akrab sejak seminggu lalu. Setelah berbulan lamanya saya berpijak pada kejahilan yang saya takuti semakin merebak, saya tutupinya semula pada minggu ini. Moga kejahilan saya ini tidak akan berpanjangan kerana sungguh sahabat semua, saya merasakan saya sangat jauh daripada ilmu. Jaaauhhh. Amat jauh. Saya takut jika saya tidak kembalikan sirna ini kepada asal, saya risau, masa akan menghakis bahkan terus menelannya tanpa simpati lagi. Memberikan saya rasa terpinga-pinga keseorangan. Apatah lagi dunia yang selama ini saya amat sanjungi iaitu dunia ‘Sastera’. Sungguh, betapa selama ini saya sudah jauh tertinggal ke belakang. Jauh. Sangat jauh. Ibarat, saya masih berada di atas tanah sedangkan sahabat yang lain sudah terbang mencapai angkasa. Berdiri megah di atas bintang-bintang yang malap. Mereka seperti melambai-lambai ke arah saya supaya mengikut jejak langkah mereka. Dan saya hanya terduduk. Menangis. Seperti kehilangan sesuatu untuk terbang. Sayap.

Saya selalu terfikir. Pernah rasa ini saya utarakan dalam bentuk menolog. “Manusia bosan? Mengapa ada perasaan bosan dalam diri mereka?Tidak ada istilah kebosanan dalam hidup jika rutin harian kita dipenuhi dengan amal ibadah ataupun perkara-perkara yang lain.” Waktu itu, saya begitu angkuh menyatakannya dalam minda. Selama bertahun bahkan berpuluh tahun saya memegang kata-kata ini dan mengaplikasikannya seharian. Tetapi Allah SWT Maha berkuasa. Dia menguji saya. Saya dibiarkan keseorangan. Tanpa teman. Diujinya saya berkali-kali dengan pelbagai peristiwa hinggakan sedikit demi sedikit prinsip yang saya pegang dengan begitu angkuh sekali mula tercalar. Sedikit demi sedikit saya mula kehilangan semua ‘teman-teman’ saya hinggakan yang selalu hadir dalam diri adalah bosan. Ya bosan bahkan kebosanan yang hiperbola. Saya kalah. Kalah teruk seperti kalah dalam permainan catur. Dipenjara oleh kehidupan mandiri. Seperti kakanda-kakanda Tajul Muluk yang dikalahkan oleh Puteri Jenuh Hati dalam hikayat Tajul Muluk “ Gul Bakawali”. Saya tidak sedar dan disedarkan. Saya juga terus tenggelam dibuai ombak tanpa saya berusaha sendiri untuk menyelamatkan diri. Astghfirullah...

Setelah bertahun dibuai gelombang kebosanan, beberapa ketika saya sedar sendiri setelah mengingati nasihat beberapa rakan-rakan.Sungguh tiada kebosanan dalam hidup. Bosan sebenarnya tidak pernah ada jika kita sibukkan diri dengan amalan-amalan wajib, sunat bahkan perkara lain yang harus. Berusaha sendiri. Sedar sendiri. Kunci utamanya. Untuk itu selepas sedar sendiri atas sokongan rakan-rakan, seminggu dua ini saya kembali merentas masa. Membaca. Harus. Dan inilah yang saya lakukan. Buku-buku yang sudah begitu lama tersorok di kotak cinta saya selongkar semula. Membaca menajamkan fikiran. Ya, menajamkan fikiran. Satu-satunya perkara yang saya boleh lakukan sekarang ini. Menulis. Berjogging. Boleh saja. Kan banyak? “Membaca punya kerinduan sendiri. Tidak membaca, kerinduannya seperti gagal bercinta pada zaman remaja.” Kata-kata Sasterawan Negara A. Samad  Said. Ya, Membaca punya kepuasan tersendiri. Saya berani mengatakannya.

Sahabat sekalian, maafkan saya jika coretan saya ini bernada angkuh. Riak dan takbur. Mohon maaf juga jika sekiranya terdapat antri-entri dalam blog ini yang bersifat begitu. Sungguh, saya tidak berniat begitu. Saya mohon keampunan daripada Allah SWT jika semua kata-kata ini ternyata mempunyai unsur yang tidak semestinya ada pada diri seseorang. Maafkan saya sahabat sekalian. Maafkan saya. Subhanallah, Maha suci Allah. Astghfirullah. Sesungguhnya saya hanyalah manusia yang biasa dan kerdil. Tidak mengapa andai kalian berasa malu dengan kata-kata saya ini. Maafkan saya sahabat sekalian. Maafkan saya. Secara peribadi, inilah saya saat ini. Saat saya menulisnya ke dalam catatan peribadi.

Sahabat sekalian, penghujung catatan ini, saya doakan agar kita semua sentiasa berada dalam rahmat Illahi. Mendapat keredhaan-Nya. Menjadi hamba yang termasuk dalam golongan yang mendapat keistemewaan tertinggi di syurga-Nya. Bersiar-siar di syurga-Nya Allah. Memetik dan merasai manisnya buah-buahan di taman indah. Menjelajah dan mengembara dilangit-Nya yang penuh dengan keajaiban. Sejauh mata memandang. Bersuka ria sambil bermandi-manda di sungai-sungai yang mengalir seperti susu dan madu. Mari kita merasainya bersama-sama. Merasa kemanisan nikmat-Nya Allah SWT sahabat sekalian. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menciptakan seluruh langit dan bumi-Nya.

Sahabat, sampai jumpa lagi. Salam dari diri saya untuk kalian. Salam… Sujana Kondorid.








Thursday, February 4, 2016

Subhanallah




Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat pengembara blog saya. Apa khabar agaknya kalian semua. Moga baik dan sentiasa sihat selalu. Hari ini masuk tahun baru iaitu tahun 2016, harap kita semua gembira menyambutnya.

Sahabat sekalian, terima kasih kerana sudi singgah di laman blog saya yang biasa-biasa ini. Kalau suka, jemput singgah lagi ye. Kalau tak suka, hak kalian menentukannya sama ada mahu meneruskan untuk menziarahinya ataupun berlapang dada mahu meninggalkannya. Sahabat sekalian, ada satu perkara yang ingin saya kongsikan kepada kalian semua. Jika kalian melihat blog orang lain, ataupun taip sahaja perkataan ini kalian akan nampak berpuluh-puluh laman blog yang membicarakan tentangnya: Subhanallah, perkataan yang tidak asing lagi dalam kalangan makhluk-makhluk Allah SWT tidak kira di langit mahupun di bumi.

Perkataan ini sangat popular, bukan sahaja dalam kalangan manusia tetapi makhluk Allah SWT yang lain juga turut berzikir dengan perkataan ini. Langit, bulan, bintang, matahari, malaikat, semuanya bertasbih mengagungkan Allah SWT, “ Subhanallah” yang bermaksud Maha Suci Allah. Betapa begitu penting zikir ini dalam kalangan kita malah zikir ini juga turut berada pada nama Allah yang bermaksud “ Allah subhanallah taala.”

Saya suka zikir ini, zikir ini membawa kita untuk mengagungkan Allah SWT selain mengingati kebesaranNYa. Zikir ini turut terdapat dalam al-Quran yang mana letaknyadi awal surah, di tengah ataupun di akhir surah. Sahabat sekalian, saya ingin berkongsi suatu kejadian yang berlaku dalam diri saya. Sebagai manusia biasa, saya pernah sakit. Datangnya tidak diduga. Bila datang penyakit ini saya menjadi tidak keruan. Semua benda tidak fokus. Semua benda yang dilihat berwarna hitam. Saya terfikir, satu perkara yang perlu saya lakukan untuk kembali normal adalah makan ubat. Namun saya perlu menunggu bagi ubat itu berkesan ke atas diri ini. Dalam pada menunggu itu, saya perlu lakukan sesuatu.

Makanya saya  terfikir zikir ini selain menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Tanpa fikir banyak, zikir ini saya lantunkan mengikut pernafasan. Saya bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Cuba fokus sefokus-fokusnya dengan mata yang tertutup. Ulang sebanyak mungkin. Inilah kali pertama saya lakukan di luar kebiasaan saya apabila datang ujian Allah SWT ini. Tanpa saya duga, saya dapat rasakan suatu tenaga luar biasa berada di dalam kepala. Sedikit demi sedikit tenaga itu menguasai semua yang berada di kepala. Pelahan-lahan saya kembali pulih. Warna-warna hitam yang saya nampak tidak lagi menganggu. Akhirnya dalam waktu sedetik sahaja keadaan diri saya kembali normal. Sungguh, saya berasa satu keajaiban berlaku dalam diri ini. Benar kata orang, bila kita berzikir, kita akan tahu kesannya cuma dengan syarat kena fokus. Penghayatan itu sangat bermakna pada diri kita.

Baiklah sahabat semua, moga kita jumpa lagi di waktu yang lain. Moga apa yang saya kongsikan ini bermanfaat bagi kita semua. Moga kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT serta mendapat rahmatNya dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Moga kita sentiasa menjadikan zikir-zikir ini sebagai kebiasaan kita sehari-hari bagi mendapat keberkatan di dunia dan akhirat selain mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebenarnya tajuk ini sudah lama berada dalam simpanan saya dan sungguh saya pada mulanya tidak mahu mengirimnya di sini atas beberapa sebab tapi bila mengingatkan moga ada manfaat yang boleh kita dapat maka saya tidak ragu lagi mengirimnya.

Sampai jumpa lagi sahabat semua, Insya Allah, aminn, salam...


Monday, February 1, 2016

Coretan kata


Bismillahirahmanirrahim

Pagi ini sangat indah.  Bayu pagi menyentuh kalbuku yang sejak semalam diulit gundah dan bahagia. Sangat indah rasanya. Rasa bahagia menikam qalbi. Ya Allah kalaulah saya dapat berikan secebis keindahan ini kepada orang lain kan elok. Biar mereka rasa bahagia ini bersama-sama.  Mentari juga bagaikan ingin berkongsi rahsia bahagia ini denganku rupanya. Begitu juga dengan beburung yang berterbangan di udara. Ada juga yang bertenggek di atas dahan pokok jambu yang merendang di laman rumah. Waktu duha selalu memberiku semangat untuk terus hidup. Semoga Allah permudahkan segalanya. Semoga Allah berikan kita kekuatan untuk terus menjalani rutin harian kita di bumi bertuah ini.

Entah kenapa rasa rindu dengan belantara. Rasa rindu mahu menikmati semua yang ada di hutan belantara. Pohon-pohon redupnya, nyanyian burung serindit, tarian si merak kayangan, tingkah tupai di dahan rapuh, air sungai yang mengalir jernih, dingin membungkam rasa haru, memberi rasa segar dan nyaman, benar, rasa rindu ini semakin memuncak. Olengan air di balik batuan, senda gurau anak-anak ikan, Similir dari puncak gunung, deruan air terjun di hujung bukit, rindunya mahu menikmati semua itu. Teringat suatu waktu dulu, saat semua itu masih menjadi rutin harianku.

Dulu, saya sangat mesra dengan alam, tiap hari keluar masuk rimba menjadi dunia nyataku. Tak perlu kata kunci, tak perlu dipelawa. Bila malam menjelma, rindu mahu melihat garis sempadan antara langit dan bumi. Rindu melihat bintang bertaburan di angkasa raya, di baliknya terlihat lampu kapal terbang berkelip-kelip disimbah cahaya bulan. Bila pagi terbit di timur, kabus mula memenuhi ruang udara, setitis dua tiga embun menempel pada rumput-rumput yang gagah menapak tanah. Langit lazuardi mula kelihatan, dicemari dengan awan kumulus, digasak dengan angin kedamaian yang ramah menyampai pesan dari Maharaja. Subhanallah…rindu itu berbekas hingga hari ini.

#entri yang sudah lama berada dalam simpanan saya.