Wednesday, November 30, 2011

Biarkanlah mereka berkongsi rezeki Allah swt dengan kita


Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum

Saya mulakan bicara saya dengan ucapan Salam Maal Hijrah 1433H kepada semua umat Islam di dunia ini. Semoga hari-hari kita dari bulan Muharam hingga Zulhijjah 1433H ini akan mendapat keberkatan daripada Pemilik Alam yang teragung iaitu Allah SWT, iaitu Tuhan Yang Maha Ahad, Maha Esa, Maha Awwal dan Maha Akhir. Hanya Allah yang Maha Rahman, Maha Rahim dan Maha Ghaffar. Tidak ada yang lain, hanya Dia yang Esa.

Setelah itu, sesudah menyematnya dengan kejap di dalam hati anda tentang ucapan saya ini maka abaikan seketika (kalau tak nak abaikan pun tak apa) kerana saya mahu membawa anda untuk mencari sesuatu. Sesuatu yang mungkin anda tidak sedar atau sudah hilang akibat pergolakan dunia yang memang tiada hentinya, pastinya hingga akhir zaman.

Dari al-Quran, “ Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi…” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Anda tentu pernah melihat seorang pengemis di pinggir-pinggir jalan di mana-mana kota di negara kita ataupun negara luar bukan? Dan tentu saja anda mungkin punya naluri untuk menambah pahala kepada mereka ataupun lebih suka membiarkannya ataupun juga mungkin dalam hati kita punya sedikit sifat mazmumah iaitu memberi tanggapan buruk terhadapnya.

Tapi bagaimana pula dengan makhluk selain manusia iaitu haiwan yang ada di bumi ini. Pernahkah kita terfikir tentangnya? Pernahkah atma dan naluri kita bersatu untuk membahagiakan mereka? Pernahkah kita menghargai mereka, menghormati mereka yang tidak punya akal secerdik manusia tapi punya hati untuk disayangi dan menyayangi? Dan satu lagi, yakni saya kira perkara ini selalu dianggap enteng oleh masyarakat sejak dulu hinggalah sekarang iaitu pernahkan kita mahu berkongsi rezeki Allah swt dengannya?

Jika kita boleh memberikan sedikit wang kepada seorang pengemis yang kalau dikira masih boleh melakukan pekerjaan kenapa kita tidak mahu berkongsi rezeki kepada seekor binatang yang sebahagian punca rezekinya dimusnahkan oleh manusia, iaitu kita sendiri. Kemodenan telah membunuh dan merampas sebahagian nyawa dan kebahagiaan mereka. Firman Allah dalam al-Quran.

“ Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan dan tetumbuhan dan pepohonan, keduanya tunduk (kepada-Nya). Dan langit telah ditinggikan-Nya dan dia ciptakan keseimbangan agar kamu jangan merosak keseimbangan itu dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.” (surah al-Rahman, ayat 5-9)

Saya teringat satu peristiwa yang sentiasa berulang-ulang yang saya kira hanya segelintir sahaja yang pernah mengalaminya tapi tidak pernah memikirkannya. Siapa yang tinggal di kampung yang punya bendang sudah tentu pernah senasib dengan saya. Selalunya apabila hasil padi sudah mulai menguning, bendang akan dipenuhi oleh pelbagai bunyi-bunyian dan orang-orangan yang sengaja dibuat oleh penduduk kampung semata-mata mahu menakutkan burung-burung pipit ataupun tikus-tikus yang mula bermukim di kawasan jelapang padi ini. Saya juga tidak terkecuali melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh ibu bapa saya.

Cuma apabila umur meninjak usia remaja, sekonyong-konyong timbul pertanyaan di kepala, apakah memang hanya keluarga saya sahaja yang boleh menikmati hasil tanaman ini? Tanaman yang diusahakan oleh keluarga saya tanpa ada pertolongan dari sesiapa pun. Tidak burung, tidak tikus, tidak belalang? Bagaimanakah pula dengan binatang-binatang ini yang tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan kerana sudah takdir mereka untuk dijadikan bahan santapan kepada manusia yang mana kegiatan hariannya hanyalah mencari makanan kemudian bila kekenyangan terus mencari tempat untuk rehat dan tidur?

Sebenarnya Allah swt menjadikan kita sebagai khalifah di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri dengan mengamalkan segala suruhannya. Selagi dunia ini menjadi tempat tingal kita, maka kita diwajibkan untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Allah (Hablunminallah), sesama manusia (Hablunminanas) dan alam (Hablunminalalamin). Allah telah berfirman dalam Kitab-Nya yang menyuruh kita supaya sentiasa membahagi-bahagikan segala rezekinya di dunia ini. Jangan sesekali kedekut. Bersama lebih baik dari bersendirian. Samalah kalau kita mahu pergi berjihad. Berkumpulan lebih baik dari berdua. Di dalam al-Quran, ada disebut bahawa orang yang bersedekah akan mendapat balasan yang berlipat-ganda.

“ Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik dan Ikhlas akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Kalaulah kita punya sedikit nilai kemanusiaan, tanpa ada sikap mementingkan diri sendiri, mahu menikmati rezeki Allah yang luas ini sendiri, sudah tentu Allah akan melimpahkan rahmat dan memurahkan rezeki-Nya kepada kita. Memanglah rezeki Allah sangatlah luas bukan setakat makanan, kemewahan, kesihatan dan sebagainya cuma di sini saya hanya menumpukan salah satu darinya iaitu rezeki yang berbentuk makanan.

Apakah kita takut jika kita membelanjakan sebahagian harta kekayaan kita dengan membeli sedikit makanan kepada mereka, maka kita akan menjadi papa kedana? Ataupun kita terfikir bahawa amalan bersedekah terhadap makhluk ini hanyalah suatu perbuatan yang tidak memberi manfaat apa-apa? Misalnya apabila kita melihat seekor semut yang sedang berlegar-legar di sekitar kita, mencari makanan untuk bala tenteranya, sedang di tangan kita ada sekeping biskut, apakah kita tega membiarkannya begitu saja malah membunuhnya kerana beranggapan bahawa haiwan sekecil ini sangat berbahaya. Ayuh, cuba kita pecah-pecahkan biskut itu dan biarkannya jatuh di tempat semut itu berada, pastinya dalam masa beberapa minit saja kita akan melihat berduyun-duyun semut akan menghurunginya.

Jangan pernah menyangka, pertolongan sekecil itu tidak akan mendapat perhatian dari Allah swt malah semut itu jua. Cuba kalian luangkan sedikit masa untuk menyelak kisah-kisah teladan. Salah satu dari kisahnya adalah kisah seorang hamba Allah yang ditangguhkan azab kuburnya apabila muncul sekeping roti, merupakan sedekah hamba ini kepada seekor haiwan, memberikan pertolongan hingga malaikat munkar dan nakir tidak dapat menyeksanya. Akhirnya kerana sekeping roti itulah maka hamba Allah ini terlepas dari seksaan kubur.

Lihatlah, betapa luasnya kasih sayang Allah kepada kita, bab sekecil ini pun Allah nampak apatah lagi bab yang besar. Kerna itu, saya seru diri saya dan anda semua agar sentiasa berbuat baik kepada binatang-binatang yang ada di sekeliling kita. Tanpa mereka hidup kita di dunia ini tidak akan sempurna kerana itulah Allah ciptakan mereka untuk kita sama-sama saling melengkapi antara satu sama-lain. Kerana itu bersyukurlah dan tebarkanlah kekayaan kita seperti firman Allah s. w. t dalam al-Quran yang bermaksud:

“ Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

No comments:

Post a Comment