Friday, August 7, 2009

Air Mata Ibu

Ibu menangis lagi dan anak-anaknya hanya memandang dari jauh sambil menunjukkan kesedihan bersama. Suara tangisan amat memilukan bagi siapa yang mendengar tetapi kepada siapa air mata itu sebenarnya? Anak-anak tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu kisah ibu. Ibu pula pandai menyembunyikan segala pengalaman pahit manis ketika bersama ayah dalam mengharungi perjalanan hidup berumah tangga. Ibu akan tetap tersenyum dan ketawa bersama bila bersama anak-anak yang dikasihinya. Kekeruhan wajahnya turut dirindui oleh zikirnya setiap kali solat sehingga tiada siapa yang tahu apa yang bertandang dalam hatinya selama ini sehinggalah pada suatu hari aku ternampak ibu menangis dalam diam di dalam bilik. ketika itu ayah tiada bersama ibu, yang tinggal hanya kami berdua kerana anak ibu yang lain iaitu abang dan kakakku keluar tidak diketahui arahnya. Walaupun ketika itu ibu menghadap dinding rumah sambil duduk di atas katil tetapi saya tahu ibu menangis menerusi perlakuannya. Itulah kali pertama aku melihat ibu menangis walaupun tidak terdengar tangisnya. Selama ini ibu selalu menampakkan muka manis ketika bersama ayah dan kami anak beranak.

Namun di usia sekecil itu iaitu umur 9 tahun tidak pernah terlintas di hatiku untuk bertanya kepada ibu mengapa ibu menangis? mengapa ibu bersedih dan siapa yang ibu tangisi. Aku hanya mampu melihat kemudian meninggalkan ibu sendirian dengan dukanya. Tidak lama kemudian ibu keluar dari bilik dengan wajah riangnya dan aku pun turut berkongsi kegembiraan ibu apabila tubuhku yang kerdil ini diangkatnya. Ibu akan ketawa melihat aksi-aksi ganas yang aku pamerkan. Kemudian ayah pulang tika tengah hari dan aku dilepaskan dari dukungan tangan lembut ibu lalu bermaharajalelalah aku di ruang tamu yang dipenuhi dengan perabot-perabot antik ini. ibu pergi ke dapur dan menyediakan makanan tengah hari ayah dan ayah pula hanya duduk menghadap tivi sambil menunggu makanan datang kepadanya.

Ibu mengasuh kami seramai 14 orang dalam keadaan yang serba kedaifan. Hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mujurlah ibu seorang petani yang tekun berkerja selain menjadi suri ayah yang setia dan penyayang. Tika subuh menjelang tiba ibu sudah bangun dan menyediakan makanan untuk anak-anak dan ayah. Nasib baiklah sebahagian abang-abangku dan kakak-kakaku ada yang sudah pandai mencari jalan hidupnya yang tersendiri. Mereka pergi mencari kerja di Bandar dan jauh dari mata ibu. Tinggallah kami adik-beradik seramai 7 orang di rumah bersama ibu dan ayah mengharungi zaman kanak-kanak yang kadang-kadang amat menyeronokkan dan kadang-kadang amat memeritkan. Ketika ayah pergi kerja kami menolong ibu menanam sayur di kebun atau pergi mencari kayu api untuk memasak.

Ibu seorang wanita yang bijak bagiku. Selama hidupnya ibu di samping menanam sayur dan ubi kayu serta membuat bendang, ibu juga turut membela ayam, angsa, arnab, kambing yang dikongsi bersama ayah dan itik di samping membela kucing. Ibu bela kucing supaya menjaga padi yang dikumpul di pondok daripada diratah tikus jalanan. Ibu tidak pernah mengeluh dengan kesibukannya. Ibu seorang wanita yang tabah mengharungi cabaran hidup. Cinta ibu terhadap kami, ayah dan alam begitu agung. Dari hasil titik peluh ibulah kami anak beranak membesar walaupun tidak sesempurna anak-anak kota. Dari jerih perih ibulah kami sekeluarga masih mampu bertahan mengharungi sebuah kisah perjalanan hidup walaupun di hadapan itu ada halangan dan tembok yang menghalang. Ibu dan ayah adalah mutiara hati ku yang aku semadikan jauh di lubuk hatikku yang paling dalam. Mereka berdua adalah insan yang kuat dalam menghadapi hinaan masyarakat yang memandang hina terhadap keluarga kami selama ini. Mereka jugalah insan yang mulia kerana tidak pernah berdendam dan membalas cacian orang kampung. Ibu diam. Ayah juga diam.

Tapi mengapa ibu menangis lagi? mengapa ibu mesti bersedih? apa tidak cukupkah kasih sayang ayah terhadap ibu selama ini? aku lihat ibu dan ayah sangat bahagia. Jadi apa masalah ibu? apa tidak cukup lagikah kami anak-anaknya yang memeriahkan suasana ketenangan ibu selama ini atau tidak cukup lagikah kecintaan ibu terhadap Allah Tuhan Sekalian alam maya? Hah, ataupun adakah Allah tidak pernah makbulkan doa ibu setiap hari? Aku kanak-kanak yang mahu belajar memahami manusia terus berteka- teki dalam pertanyaan yang tiada akhirannya. Aku begitu ingin mengetahui apa ertinya air mata ibu itu. Lalu jadilah aku seorang insan yang sentiasa dambakan air mata ibu. Aku pernah melihat ibu keluar dari rumah dengan menjinjit sebuah beg kecil pada suatu malam. Kala itu ibu tersenyum pada kami anak-anak ibu. Ibu membawa adik bongsuku bersamanya. Kepergian ibu berlarutan selama tiga hari dan pada hari ketiga aku lihat ibu pulang dengan senyuman seorang ibu. Ayah ada bersamanya. Aku tidak mengerti makna semua itu kerana aku tidak pernah ambil kisah tentangnya. Sehinggalah suatu hari aku diperlihatkan suatu keajaiban dari Allah yang maha Kuasa. Sebuah peristiwa yang mungkin menyayat hati. Kisah ini adalah suatu cerita yang tidak pernah aku fikirkan akan terjadi sepanjang hidupku sebagai seorang kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa. Kisah ini membuatkan aku sering berfikir tentang makna air mata seorang ibu dan kisah ini juga tidak pernah padam dalam kotak fikiran dan kamus hidupku.

Malam itu sekitar jam delapan malam aku dan adik-adikku sedang menyalai kasut sekolah di tepi unggun api yang sedang menyala di tepi dinding di dapur. Kasut putih itu kami basuh pada tengah hari namun kerana hujan ia tidak kering. Jadi untuk mengeringkannya kami letakkan kasut itu di tepi unggun api yang sedang menjerang cerek air. Esok pasti kasut putih yang sudah tidak putih lagi ini akan berbau arang. Tapi aku sudah biasa dengan bau arang dari kasut. Dengan kehidupan kami begini mana mungkin ayah mampu membelikan sebuah mesin basuh untuk meringankan beban kami dan menghilangkan perasaan malu tiap kali rakan sekolah bertanyakan kasut siapa yang selalu berbau arang ini. Aku pasrah dengan keadaan yang menimpaku. Malah baju sekolah pun kalau tidak kering turut disalai seperti memanggang daging. Ketika kami sibuk di tepi dungun api, ayah dan ibu pula sibuk bercerita di bilik mereka yang bersebelahan dengan tempat kami. Sesekali kami mendengar ibu dan ayah ketawa yang memberi makna ibu sangat bahagia di samping ayah.

ketika kami sibuk menguruskan hal masing-masing abangku yang nombor lima balik dari rumah kawan. abangku ini sebenarnya cuti kerja dan dia menghabiskan sepanjang cutinya di kampung. Masuk hari ini sudah tiga hari dia bercuti bersama kami. Keadaannya sedikit terhoyong-hayang. Sah, abangku ini sedang mabuk. Ayah keluar dari bilik dan menegurnya.

“ lewat benar kau balik Li. Kau minum lagi ya.” Tanya ayah sesuai dengan statusnya sebagai ayah dan ketua keluarga. Li adalah nama panggilan keluarga bagi abangku itu. Nama sebenarnya adalah Ramli. Abangku hanya diam malah terus tidur di lantai rumah. ibu hanya menggelengkan kepalanya.

“ kau minum di mana Li. Kau minum di rumah Kamal ya.” Kata ayah lagi serendah suara yang boleh untuk memancing abangnya yang sedang kemaruk dengan mabuknya. Ayah menyentuh bahunya tapi sepantas itu juga abang menepis tangan ayah dengan kasar. Sepantas itu juga matanya terbuka. merah. Bererti mabuk. Tapi aku yakin mabuknya tidaklah seteruk mana.

“ kau diam. Kau tiada hak menghalang kehidupanku sekarang.” Terpancul perkataan itu dari mulut abangnya. Ayah sedikit terkejut.

“ saya tak boleh biarkan kau begini Li. Kau anak ayah. Ayah berhak menasihati kau Li…”

“ ahhh diam kau orang tua….” Secepat kilat itu juga abang bangun sambil tangannya mencekik leher ayah. Ayah terkapai-kapai. Abang mendorong ayah ke dinding. Ibu terjerit. Kami terkaku melihat adegan itu.

“ Li…lepaskan ayah kau Li. Jangan kau buat ayah kau begitu. Dia tu ayahmu Li.” Jerit ibu dalam tangisan yang kuat. Namun abang masih belum mahu melepas kan ayah. Tangan kirinya cuba menumbuk muka ayah tapi emak cepat-cepat menghalangnya. Emak merayu abang supaya melepaskan ayah berkali-laki. Ayah pula seperti ayam yang mengelepar kerana nafasnya tersekat.

“ kau nak bunuh aku Li?” kata ayah dalam keadaan tercungap-cungap sebaik sahaja abang melepaskan cekikannya.

“ ya, aku memang mahu bunuh kau orang tua. Tahu kah kau, kau hampir membunuh mak. Selama aku hidup kau selalu pukul mak walaupun mak tak pernah buat salah pada kau. Kau juga selalu pukul kami walaupun ketika itu kami masih kecil. Dan sekarang aku tahu kau tak akan dapat lawan aku sekarang kerana sekarang aku sudah besar. Selama ini aku pendamkan perasaanku selama ini. kau tahu mengapa emak menderita. Semuanya disebabkan kau orang tua. Aku tak pernah ada ayah seperti kau. Kau ayah tak guna. Ayah yang kejam. Lebih kejam dari harimau….” Kata abang dengan suara yang lantang sambil tangannya menuding jari ke arah ayah. Ayah tidak terkata apa-apa. Hilang sudah panggilan hormat ‘ Ayah’ oleh abang untuk ayah. Emak hanya mampu mengalirkan air mata mendengar kata-kata abang itu.

“ jadi kau berdendam dengan ayah Li.” Ujar ayah lagi sambil tangan ayah memegang lehernya sendiri. Nafas ayah turun naik turun naik.

“ ya….selama ini kau tak ingatkah bagaimana aku merayu pada kau saat kau memukul badanku dengan belati. Tapi apa yang aku dapat. Maki hamun kau orang tua. Puihhh..” Jawab abang.

“ kau mabuk Li. Sebab itulah kau begini.” Kata ayah.

“ aku tidak mabuk orang tua tak sedar diri. Aku masih waras. Siapa kata aku mabuk. Haaaaa…yahhhh….” Tiba-tiba abang menumbuk dinding rumah sehingga berlubang. Kami semua terperanjat.

“ Ramli….mak tak pernah didik kau kurang ajar pada orang tua Li.” Ujar ibu lemah. Tangisan ibu kedengaran di segenap rumah. Mungkin jiran-jiran pun dengar pertelingkahan ini.

“ siapa kata ayah kau pernah pukul mak….ayah kau baik Li.” Ibu cuba membela ayah.

“ ahhhh Ramli tak percaya. Ramli Nampak dengan mata sendiri macam mana dia pukul mak selama ini. Malah Ramli tahu adik-adik Ramli di sini juga selalu dipukul oleh dia.”

“ ayah pukul mereka kerana degil Li.”

“ sudah mak. Jangan nak cuba tipu Ramli. Ramli tahu semuanya.”

“ Ramli, kau pergilah dari sini Ramli. Tidur rumah kawan. jangan balik rumah selagi mabuk kau tu tak pulih. Pergi Ramli…mak merayu pada kau.” Ibu berkata dalam tangis sendunya.

Dan abang Ramli menunaikan rayuan ibu. Abang pergi dari rumah. Ketika inilah aku baru sedar apa ertinya air mata ibu selama ini. Di samping ibu bahagia bersama ayah, terdapat juga perasaan sedih ibu terhadap perlakuan ayah kepada ibu. Rupanya selama ini ibu menderita hidup bersama ayah. Ayah tidak pernah berubah walaupun sudah mempunyai 14 orang anak. Kami pun tidak terkecuali dari menerima pukulan rotan ayah. Sejak peristiwa itu, ibu dan ayah sering bergaduh di depan kami. Ibu dan ayah tidak lagi menyembunyikan segalanya. Ayah pernah cekik ibu ketika ibu tidur namun Allah sayangkan ibu. Orang yang sering menangis tatkala ayah dan ibu bergaduh adalah kakakku yang nombor tujuh. Memanglah kerana dia sudah besar dan mengerti apa yang berlaku. Aku juga pernah dengar bahawa ibu pernah minum racun kerana tidak tahan dengan perangai ayah namun umur ibu masih panjang. Malah ayah juga pernah menceraikan ibu tapi tidak lama kemudian rujuk semula.

Kisah ibu berakhir apabila ibu pergi buat selamanya pada 1997 kerana menghidapi barah rahim. Di sebalik kematian ibuku ini juga ada kisah yang tidak mampu aku ceritakan. Namun cerita tentang ibu belum berakhir. Setelah aku dewasa aku semakin menghargai jasa ibuku dan penderitaannya. Aku juga sebenarnya rindukan air mata ibu. Aku ingin sekali melihat air mata ibu keluar bukan kerana hidupnya yang memeritkan tapi air mata seorang ibu yang bahagia di samping anak-anaknya yang sudah dewasa dan berjaya ini. Namun mana mungkin aku dapat menikmati itu semua. Semoga ibu bahagia dalam kehidupannya di alam barzakh. Aku akan selalu mendoakan kesejahteraan ibu di samping kehidupannya yang lalu ku jadikan sebagai ilham untuk digarap dalam karya-karya yang akan selalu ku tulis. Sesungguhnya kehidupan ibu amat bermakna buatku. Al- Fatihah.

Nukilan: S. Hana Ak

30/07/09 ( khamis )

2.11 am

Khar. Upsi

No comments:

Post a Comment