Thursday, March 31, 2016

Lori


Bismillahirrahamnirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua? harap kalian sentiasa sihat bersama kehidupan masing-masing. Hari ini saya masuk kelas waktu pertama. Kelas yang paling atas sekali. Tingkat empat. Di kelas ini bolehlah nampak suasana dan keadaan persekitaran di beberapa sisi termasuk kawasan yang dibangunkan. Sementara menunggu para pelajar saya siap kerja, saya pun melabuhkan pandangan ke luar tingkap. Terjurus kepada kawasan kelapa sawit yang dulunya subur merimbun, sekarang tidak ubah seperti gurun pasir yang tandus. Kelihatan beberapa buah lori besar sedang mengangkut tanah untuk menimbus bahagian yang tidak rata.  Berderet-deret lori itu kadang-kadang, acapkali berselang-seli antara satu sama lain. Kemudian beberapa jentolak meratakan tanah yang diangkut oleh lori tadi.  Semakin lama kawasan yang diratakan semakin luas dan pemandu-pemandu lori itu pun kelihatan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Saya asyik melihatnya. Bagaikan ada suatu daya tarikan di situ. Kekadang minda berkata “Oh, macam ni rupaya mereka buat kerja, seronok pula lihat lori-lori ni bergerak, mesti banyak cacing dalam tanah tu, mana mereka dapat tanah tu ea?, pemandu hilux tu mesti tauke, lori tu cantik tapi kenapa depan lori tu macam rosak saja?, comel pula lori-lori ni kalau dari jauh. Lihat gerakan mereka macam barang mainan pula. Kecilnya kereta tu.” Dan banyak lagi menolog saya. Sesekali akal mula mencari idea nak buat sajak dengan ilham dan idea utamanya adalah suasana yang saya nampak  ketika itu.  Sebetulnya setiap kali saya masuk ke kelas ini saya mesti tidak melepaskan peluang untuk melihat di luar. Memandang dan memerhati suasana baru sekarang ini. Mengapresiasi apa yang saya hayati dan alami.


Tidak dinafikan saya berasa sedih dengan apa yang terjadi. Namun saya cuba positifkannya. Saya abaikan perasaan itu walau kadang saya tidak mampu. Apakah saya gembira? Jawapannya tentulah tidak. Sajak yang saya cuba semai hanyalah bayang-bayang sahaja bahkan rasanya bayang-bayang pun tidak ada. Saya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Bagaikan perkataan-perkataan sastera tidak mahu timbul langsung di dalam kepala. Kesimpulannya saya lipat kertas dan masukkan ke dalam beg bersama pen hitam bermata bulat kecil. Saya keluar dari kelas itu dengan membawa seribu macam konflik berserta menolog yang panjang. 

No comments:

Post a Comment