Tuesday, March 29, 2016

KASIH NUR JANNAH


Dia memandang ke luar. Hatinya terusik melihat beberapa ekor burung asyik bergurau senda di balik pohon yang tidak diketahui namanya. Gembira. Bahagia. Bagaikan dunia ini milik mereka selamanya. Berlainan dengan hatinya kini. Gundah. Duka nestapa. Walang. Teringat perbualannya dengan sahabat sejatinya.

“ Usah mengharap.” Fatimah merenung mukanya. Besar. Bulat-bulat.

“ Kenapa.” Dia dipagut kehairanan.

“ Tak usahlah lagi Nur . Berhentilah berharap. Semalam dia jumpa saya.”

“ Apa katanya?”

“ Kau tak ubah seperti sahabatnya. Anak didiknya. Kau tahu! terus terang dia katakan kau hanyalah rakan sekerjanya.”

“ Tidak lebih dari itu?”

“ Hmmm.” Fatimah mengangguk.

Setitik dua titis air mata menakungi empangan matanya. Sungguh, perit apa yang dirasakan. Dia melihat langit biru. Awan bersisik putih terhampar luar timur barat selatan utara hinggakan tiada ruang untuk awan kumulus bermaharajalela. Dia menolog sendiri. Menghibur hati yang lara. Berdoa pada Yang Maha Cinta.

Teringat saat pertemuan sekaligus mencambahkan alam fantasi di relung hatinya. Fahmi. Orang memanggilnya mi. Kemungkinan gelaran semasa kecil. Guru baru di sekolahnya. Baru bertugas setelah berapa sekolah dilangkaunya selama bertahun-tahun.

Kenangan itu sangat manis untuk dikenang. Terkadang dia malu sendiri sebaik berlabuh di kamar pembaringan. Kadang kisah itu sangat sulit untuk diterka falsafah yang tersirat sehingga acapkali dia memuntahkan seluruh perasaannya pada Yang Maha Agung.

“ Kenapa  Engkau temukan aku dengannya Ya Allah? Padahal Engkau tahu kami memang tidak ditakdirkan untuk bersama. Mengapa Ya Allah.” Aneh bukan? Seorang wanita yang menyerahkan seluruh kalbu pada Tuhannya boleh tunduk pada kuasa cinta sehingga menyatakan keluhan sekaligus kebiadapannya di sisi Maha Rabb. Astghfirullah.

Pertemuan itu berlaku di sebuah bilik yang tak berapa luas. Lelaki itu memohon maaf secara terbuka padanya atas ketelanjuran percakapannya. Dia sebenarnya sudah lupa apa yang diucapkan oleh Fahmi kerana hanyut dibuai rasa atas penghormatan dan perilaku pemuda itu ke atas dirinya. Lambang penghormatan terhadap wanita. Sungguh, di situ kasihnya bercambah. Baginya Fahmi tidak seperti lelaki lain. Memang, siapapun wanita pasti akan menyatakan sedemikian terhadap lelaki yang dikasihinya.

Awan bersisik sudah berubah bentuk. Garis-garis memanjang menganjur ke bahagian barat. Halus. Tirus. Di sisinya sedikit dua awan tebal menyelimuti langit. Manakala di tebing-tebing garis sempadan antara langit dan bumi kelihatan awan besar, berombak-ombak membentengi bumi. Angin lembut seketika deras menyapa tubuhnya yang kurus kering simbol derita yang memanjang.

Air matanya keluar lagi. Seketika ada yang terhenti di penjuru dagu sebelum menitik ke lantai. Imbasan demi imbasan tentang putera idaman itu sentiasa bergayut di ruang matanya.

“ Jangan perasaan. Dia tak suka kamu Nur. “

“ Tapi…”

“ Lelaki macam tu kau suka Nur? Kalau saya dia bukan lelaki pilihan. Cerewet. Mulut lepas." 

“ Saya suka dia Tim.”

“ Dan dia tak suka kamu. Kamu saja yang perasaan. Ahh sudahlah, baik kamu siapkan kerja.”

“ Tapiii, kadang saya fikir dia suka saya Tim.”

“ Jangan berangan. Lupakan dia. Ada lagi lelaki yang boleh jaga kamu.”

“ Ya, ya, okey.” Dan Fatimah, sahabatnya itu ketawa saat dia membuat telatah lucu.

Dia merenung pohon jambu di depan rumahnya. Sekejap angin beroleng menandakan hujan akan turun sebentar lagi. Ahh, betapa begitu lama dia merenung diri. Muhasabah diri. Kelihatan sebuah kereta putih melintas di depan rumah. Tidak pula dia peduli. Biarkan. Tumpuannya lebih kepada pohon jambu yang gagah menapak tanah. Rendang. Tak berbuah. Musimnya sudah diatur. Dia merenggus kecil. Mahu saja dia jadikan dirinya seperti pokok jambu itu. Kalau boleh, ataupun kalau tidak sekurang-kurangnya dia boleh berehat daripada digayut penuh penderitaan batin sehingga memakan zahirnya sekali. Benar, dia maklum, fizikalnya semakin kurus. Emosinya tidak stabil. Kerana kuasa cinta? Entahlah, dia sendiri tidak pasti. Kemungkinan juga kerana dia memang jarang makan. Tekanan kerja? Satu keluhan singgah di bibirnya.

Betul telahannya. Hujan turun. Rintik-rintik yang sedari kecil semakin besar menguasai bumi. Jalan raya dan halaman rumah kelihatan basah ditimpa hujan. Tidak terkecuali keretanya yang sebuah terparkir di depan rumah turut menjadi hentaman makhluk Allah SWT ini. Bunyi telefon segera mematikan lamunan. Segera dia ke sana. Tempat biasa. Di mana telefon terletak. Satu mesej masuk.

“ Uiii, Nur, kau datang tak petang ni?” Mesej dari kak G.

“ Datang. Macam biasa.” Dibalasnya.

“ Okey, saya masak lauk ni. Sedap tau.”

“ Okey. Tunggu kunjungan saya nanti.”

“ Okey, eh jangan lupa tudung aku. Bawa sekali.”

“ Oraittt.”

Pengajiannya di rumah Kak G sudah masuk angka ke tiga tahun. Kak G lah yang mengajarnya membaca al-Quran. Daripada tidak tahu kepada tahu. Namun sampai sekarang dia masih membaca merangka-rangka. Membaca Yassin pun masih merangkak. Apatah lagi membaca al-Quran. Jauh benar nak khatamnya. Walauapapun dia bersyukur dan berterima kasih sungguh kepada sahabatnya ini. Rodziah namanya. Dipanggilnya Kak G, bersusah payah mengajarnya mengaji. Selain Fatimah, Kak G juga antara orang pertama yang tahu perasaannya terdapat Cikgu Fahmi. Dengan Kak G, diceritanya sungguh-sungguh. Tak berselindung. Bahkan hampir seratus-peratus Kak G tahu kisah mereka berdua. Kak G jua tahu kisah dirinya yang lebih perasaan. Malahan nasihatnya bagaikan meresap ke sanubari.

“ Kita memang tak akan mampu lupakan orang yang kita sayang, tapi kita kena belajar menerima hakikat. Lupakan memang tak boleh tapi terimalah hakikat yang dia bukan milik kita. Cewahhh.” Senyum simpul Kak G melafazkan ayat karamahnya. Dia turut tersenyum. Kata-kata itu sebenarnya dimaklumi benar, Kak G juga turut menujukan kepada dirinya sendiri. Mereka senasib. Boleh dikatakan kedua-duanya patah hati kerana kasih yang tak kesampaian. Malah antara mereka berdua, Kak G lah yang paling banyak dan besar derita hidupnya. Kisah hidup yang agak sukar diterima tapi dia tahu Kak G orangnya kuat, tabah. Itulah Kak G, yang dia kenal sejak empat tahun yang lalu. Kerana nasib mereka yang sama itulah mereka berdua boleh menjadi akrab. Bagai adik dan kakak kadang-kala.

Dia menjerling jam di dinding. Megah. Indah letaknya. Jam, hadiah daripada guru-guru SMK Batu Muda, Kuala Lumpur. Sudah menghampiri waktu asar. Lepas asar sekitar jam lima atau enam dia akan pergi ke rumah Kak G. Lamunannya kembali bersambung. Masih diingatnya suara garau Cikgu Fahmi saat mereka bertembung di luar bilik guru.

“ Sihat?” kata-kata yang membuat dia bahagia seketika. Waktu itu dia merasakan guru muda itu turut merasakan hal yang sama sepertinya. Melayang-layang sukmanya apabila diajukan perkataan berupa pertanyaan itu. Sambil senyum simpul, malu-malu, merenung dengan sedalam-dalamnya di batas tanah, dia menjawab.

“ sihat, Alhamdulillah.” Hanya itu. Mereka berdiam diri lama. Sekilas lalu. Sekali pandang. Kemudian meneruskan tugas sebagai pendidik. Malamnya, dia menukilkannya ke dalam buku catatan peribadinya. Dikisahkan kisah mereka dengan rasa yang bahagia. Gemersik. Bersama kerdipan bulan dan bintang di malam hari. Terbayang-bayang hingga keesokan harinya. Ahhh, mengingati kenangan itu sungguh indah. Nostalgia yang mahu dipadamkannya sekarang. Tidak mungkin!

Benar, masuk bulan ini, sudah dua tahun dia memendam rasa. Perasaan sendiri. Itu kisah setahun yang lalu. Semua kenangan itu berlaku dua tahun yang lampau. Kata-kata sahabatnya Fatimah, nasihat mereka. Dan kini, suatu berita yang begitu menduka citakannya. Hatinya walang tidak terkira tapi dicubanya bertahan bersama doa yang sering dipanjatkan kepada Ya Rabb.

“ Bila cikgu nak kahwin?” seboleh mungkin dia meluahkannya. Saat itu dia baru sahaja keluar dari kelas. Manakala Cikgu Fahmi pula menunggu sahabatnya selesai tugas di sekolah.

“ Tunggu persetujuan dari dia. Sekarang dia di oversea.

“ Ohh,”

“ Dia orang biasa saja.”

“ Apa kerjanya?” Dia berusaha menguntum senyum. Senyuman paling manis diberikan.

“Bisnes. Sekarang masih di oversea. Belajar.” Cikgu Fahmi mula menghujahkan penerangannya. Dia hanya mendengar. Kadang-kala terangguk kepala. Acapkali tersenyum simpul. Senyuman paling manis diberikan. Terkadang berdoa, merenung wajah yang dikasihinya. Sayu. Sesekali kalimah selamat tinggal singgah di tubir hati. Cepat ditangkisnya.

“ Ya Allah, lapangkanlah dadaku untuk menerima semua ini. Berikan aku kekuatan dan berikan aku kesabaran.” Doa yang sering dipanjatkan sejak akhir-akhir ini, sejak dia mendapat tahu pemuda yang dikasihinya itu memilih wanita lain.

 Dan hari ini, seusai asar, di penghujung sujudnya, diulangnya kalimah itu lagi.

“ Ya Allah, lapangkanlah dadaku untuk menerima semua ini. Berikan aku kekuatan dan berikan aku kesabaran. Sungguh, Engkau takdirkan dia bukan milikku. Ampunkan dosaku ya Allah.” Air matanya semakin laju membasahi telekung yang dipakainya. Bersama itu, suatu ketenangan abadi meresap ke seluruh jiwanya. Di luar hujan sudah mula berhenti. Beransur-ansur berhenti. Sekejap lagi dia akan berangkat ke rumah Kak G. Sahabat, sekaligus ibarat kakaknya sendiri.

S. Hana AK
10 Februari 2016 (Selasa)
12.54 Tengah Hari
Johor



No comments:

Post a Comment