Sunday, March 27, 2016

Kembalikan Kedamaian




Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Harap kita semua sentiasa sihat dan bahagia menempuh alam kehidupan masing-masing. Jalan hidup kita tidak sama sejak azali. Mungkin ada atara kita yang mempunyai lorong kehidupan yang serupa antara satu sama lain namun tidak semuanya adalah sama. Begitu juga dengan plot pengakhiraan kita. Ehhh, banyak cakap juga saya ni.

Baiklah sahabat semua. saya hari ni bersantai-santai di rumah. Lenggang kangkung di istana tak berapa mewah saya ni. Hmmm, tambahan pula angin pun sepoi-sepoi bahasa. Rasa nak mengulit mimpi tak sudah juga saya ni. Kekadang rasa nak pergi jogging. Tapi tak kenalah pula. Haba panas menyebabkan kita boleh golllll. Maka abaikan hati nak pergi jogging tu. Oh ya, lupa satu perkara yang sebetulnya inilah yang buat saya bersemangat nak berblogging ni.

Seperti yang kita sudah sedia maklum, pembangunan di negara ini semakin meningkat. Sana sini bangunan bertingkat. Sana sini jalan raya dibuat. Sampai cita-cita saya nak takluk seluruh negara kita ni dengan menggunakan jalan darat  tanpa bertembung dengan jalan raya tak kesampaian. Kalau kalian faham apa maksud saya bagus, kalau tak faham pun tak apa sebab saya pun tak pandai nak menerangkannya. Hanya saya yang faham kot.

Sahabat sekalian, sekarang ini tempat tinggal saya pun dah mula dibangunkan. Bukan dah mula tapi memang dah lama mula. Sekarang semakin giat nak diperluaskan. Kelapa sawit yang dulunya tumbuh tinggi melingkari taman syurga saya ini sekarang hanya tinggal batang yang tumbang di sana sini. Tidak meninggalkan bekas, malah akar-akarnya pun dibongkar juga.  Betapa bersungguhnya mereka melaksanakan amanah yang diberikan. Katanya nak dibuat beberapa buah taman perumahan lagi. Memandangkan tempat saya ini memang dah dinamakan taman perumahan maka semakin bertambahlah lagi nama taman taman di tempat saya sekarang ni.

Inilah yang membuatkan hati saya menangis setiap hari. Bila lalu di kawasan yang dilapangkan saya mesti pandang tanih-tanih yang sudah menjadi seperti gurun, ibarat padang jarak padang terkukur. Melihat itu fikiran akan menerewang jauh. Banyak yang saya fikirkan. Maka mulalah saya beremosi mengalahkan pelakon di pentas lakonan. Saya kembali ke dunia saya semula. Dunia penuh warna-warni. Saya sebenarnya terfikir tentang teman-teman kita. Siapa mereka? Mereka adalah unggas, burung, serangga, binatang liar, dan semua makhluk yang hidup di hutan rimba, yang hidup di celah-celah kelapa-kelapa sawit ataupun mereka yang hidup di semak-samun, dalam tanah, dari sekecil-kecil binatang hinggalah sebesar-besar gajah.

Saya terfikir, apa yang mereka lakukan saat tanah mengambus tubuh kerdil mereka? Apa yang mereka lakukan saat kawasan habitat mereka dikambus dengan tanah. Apa yang mereka rasakan saat mereka kehilangan keluarga, apa yang mereka rasakan saat manusia menyiat-yiat tubuh mereka tanpa sedar, apa yang dirasakan oleh pokok-pokok yang tumbuh mengitari saat tubuh mereka ditumbangkan dan pelbagai lagi yang timbul di fikiran. Mengingatkan itu hati ini dirundung walang. Saya tidak bencikan pembangunan, saya juga bukanlah penyokong pembangunan yang tegar. Saya hanyalah manusia kerdil yang inginkan kedamaian dan keindahan terpelihara. Saya cuba memahami apa yang mereka rasakan. Mengenangkan itu air mata kadang luruh seperti hujan gerimis. Kadang bertakung di kolam empangan mata sebelum surut bila sampai waktunya.

Saya hanya melihat kedaaan ini. Saya tak mampu membantu mereka. Takkan saya nak pergi ke tempat manusia yang melaksanakan amanah dan menyuarakan semua apa yang terkandung di hati nurani yang paling dalam ni. Kang tak pasal-pasal saya kena penendang Bruce Lee ataupun kena jurus Goku dalam dragon Ball. Yang lebih mendebarkan lagi kalau boboboi masuk campur. Boboboi kuasa lima. Tak mau saya. Sahabat semua, inilah yang saya rasakan saat ini. Hati ini semakin membengkak. Kalaulah semua kedamaian ini boleh dikembalikan seperti yang dulu kan bagus. Memang saya tak mampu nak bantu. Hanya doa yang menjadi garapan jiwa semoga mereka tenang di tanah abadi.

# Ya Allah, jadikanlah kami sebagai pencinta alam yang tegar, Aminnn,

# Ya Allah, ampunkan dosa kami kerana terlalu buas mencemarkan alam fana. Aminnn


#Ya Rabb, jadikanlah kami hambaMu yang terus menghargai alam untuk selamanya. Aminnn

No comments:

Post a Comment