Wednesday, August 24, 2011

Kampungku oh Kampungku



Masuk bulan ini genaplah usia lima tahun aku di bumi perantauan, Tanjung Malim Perak untuk menimba ilmu dan kehidupan. Selama lima tahun jugalah aku meninggalkan desaku yang terpencil dan indah itu. kadang-kadang bila aku balik, keadaan kampungku masih seperti sewaktu aku meninggalkannya. Dikelilingi bukit, pokok getah, hutan rimba, sawah padi, jalan raya, rumah penduduk kampung dan sungai. Kadang-kadang juga bila aku balik, aku sengaja bangun di waktu pagi untuk melihat keindahan dan kesegaran pawana pagi di kampungku yang mendamaikan dan dikelilingi oleh embun yang rakus meratah puncak bukit. Aku masih ingat sewaktu aku masih kecil, pernah beberapa kali mataku ini melihat kabus pagi yang menggerunkan. Mengelilingi kampungku sehingga rumah dan segala macam yang ada tidak kelihatan dengan pandangan kasar. Menggantikan embun yang selalu setia suatu ketika dulu. sehingga sekarang aku sangat rindu untuk mengalaminya sekali lagi. Selalunya jika berkabus aku akan keluar rumah dan melukis sesuatu di atas tanah bersama-sama dengan adik adik-adikku. Ibu dan ayahku pula masih setia dengan tugasnya masing-masing.

Walau macam mana sekalipun cuacanya, mereka berdua masih tetapi bertekad untuk turun sawah jika kabus itu tidak surut juga.Tapi sekarang kabus sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin sewaktu aku tiada dia akan muncul tapi setahuku sewaktu aku meningkat besar, kabus pagi sudah jarang berlaku. Kebiasaannya kabus pagi membantutkan kerja penduduk kampungku untuk turun ke sawah kecuali ayah dan ibuku. Apabila matahari naik, kabus itu akan mula menipis kemudian hilang begitu saja. Pelahan-lahan kampungku kembali ceria dan terang. Nampak pokok kayu, nampak hutan rimba, nampak bukit bukau, nampak sawah padi, nampak sungai yang merintangi kampungku ini yang terletak di pinggir bukit dan nampak segala-galanya. Langit mula ceria dan bercahaya. Membiru nan indah. Matahari pula memancar amatlah terik. Kala inilah orang kampungku yang tidur mati menunggu kabus hilang akan keluar menuju ke bendang masing-masing ataupun pergi ke kebun getah untuk menoreh. Kala inilah, kedengaran pelbagai bunyi-bunyian dan tahulah aku bahawa orang kampungku sudah bangun pagi dan menuju ke tempat kerja masing-masing.

Aku masih ingat lagi, ketika aku masih kecil-kecil aku akan mengikut ibuku, abang dan kakakku turun ke sawah. Kebiasaannya bendang penduduk kampungku letaknya di tepi sungai supaya senang mendapatkan bekalan air. Ketika mereka sibuk membuat batas di sawah, aku pula sibuk mencari belalang di sekeliling pondok kami yang dibuat oleh ayah dan ibuku suatu ketika dulu. kadang-kadang kalau belalang yang ditangkap tidak dapat aku akan mengejarnya dan menangkapnya dengan tangan walaupun begitu banyak belalang lain. Entahlah aku sendiri tidak tahu mengapa aku begitu peka dengan belalang. aku tahu di mana belalang yang ingin aku tangkap itu tersadai walaupun di sekelilingnya begitu banyak sahabatnya yang melompat sana sini ketika aku mengejar belalang yang aku suka itu. mataku ini sangat teliti dalam menelusuri belalang tersebut. bila aku dapat menangkapnya aku akan letakkan ke dalam sebuah botol dan membiarkannya tanpa berjaga sehingga mati. Alangkah berdosanya aku waktu itu tapi waktu aku masih kecil-kecil aku tak pernah tahu apa itu dosa dan pahala kerana aku belum ke sekolah lagi. Apabila aku sudah besar dan belajar agama barulah aku merubah tabiatku terhadap belalang. belalang yang aku tangkap aku akan mengurungnya tetapi akan dilepaskan setelah aku puas bermain dengannya.

Kadangkala keseronokan menangkap belalang ini dikongsi bersama dengan sepupu-sepupuku, kakak dan abangku serta adik –adikku yang masih budak-budak seperti aku. Puas bermain dengan belalang kami akan beralih kepada pepatung pula. Kebiasaannya pepatung ini susah untuk ditangkap kerana mereka akan terbang dan sangat peka pula dengan keadaan sekeliling. Hanya mereka yang mahir sahaja yang boleh menangkapnya dan mereka itu adalah abang-abangku dan sepupuku. Ada kalanya kami akan mencarinya sehingga ke hujung bukit di kampungku.
Biasanya juga makhluk ini sangat suka bersiram di waktu pagi tatkala matahari mula menjejakkan cahayanya ke muka bumi. sewaktu orang kampungku mula menanam cangkul di batas sawah. Sewaktu aku dan adik-adikku sibuk beristerehat di pondok buruk hak milik keluargaku. Sewaktu ibu dan ayahku sudah menyelesaikan sebuah batas sawah di bendang. Waktu inilah pepatung itu sangat suka bercengkerama dan membuatkan aku cemburu dan tercabar untuk menangkapnya. Kerana tidak tahan melihat lenggokkan mereka itulah aku meninggalkan pondok burukku dan mengejar mereka hingga pepatung itu tercunggap-cunggap kepenatan seiring dengan hela pernafasanku juga. Apabila penat aku akan berhenti mengejarnya kemudian kembali ke pondok semula. ternyata pepatung bukan lawanku untuk bertarung. Dia adalah lawan kepada abang-abangku. Orang yang mahir dalam bab menangkap makhluk ini dengan hanya menggunakan tangan sahaja.

Kampungku dikelilingi oleh bukit bukau yang dipenuhi dengan hutan rimba. Ada kalanya pelanduk akan tersesat masuk kedalam kampungku ini. bila ini berlaku maka riuhlah seluruh penduduk kampungku yang mahu mengejarnya. Masa inilah binatang itu cuba melarikan diri namun kekecohan orang kampung yang mahu mengejarnya membuatkan jiwanya tidak tenteram. Langkahnya akan sumbang dan arah tujunya tidak tentu arah maka saat inilah pelanduk itu akan terperangkap dalam kepungan manusia yang mendambakan dagingnya yang lazat jika digoreng atau dipanggang. Sepanjang hidup aku keriuhan ini berlaku dua kali sahaja di kampungku. Sebelum aku lahir banyak kali binatang hutan akan tersesat masuk di kampungku dan tidak pulang-pulang lagi ke tempat asal mereka kerana menjadi hidangan di rumah orang-orang kampungku.

Kadang kala aku terfikir, bagaimana dengan keluarga haiwan tersebut? kenapa orang kampungku sangat suka memburu binatang tanpa usul periksa sama ada haiwan yang diburu itu sudah berkeluarga atau belum? Orang kampungku memang suka berburu binatang dan haiwan yang sering menjadi kegilaan ketika berburu adalah pelanduk, tupai, kijang, tenggeling dan macam-macam lagi. tak terkira banyaknya. Keadaan hutan rimba di daerahku ini yang masih indah dan suci menjadi tempat pertarungan antara manusia dan binatang terutama orang kampungku. Kebiasaannya mereka akan memburu pada waktu malam ketika bulan dan bintang sedang bercahaya di atas langit. Ayahku sendiri pun sangat suka berburu. Hampir tiap malam ayahku akan masuk hutan dan pagi esoknya ayahku tidak pernah keempunan pulang dengan tangan kosong. buruan ayahku itulah yang akan menjadi santapan kami anak beranak.

Tunggu Sambungannya di Episod akan datang kalau ada waktulah...salam

No comments:

Post a Comment