Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wahai sahabat-sahabatku semua. Sihatkah kalian? Semoga kalian sihat sejahtera. aminn. Malam ini, terdetik sesuatu di fikiran untuk melakar kata-kata di dalam blog saya yang biasa-biasa ini. Hmmm, bagaimana jika kali ini saya mengajak kalian untuk menghayati kisah hidup saya. Kisah di sebalik sepasang kasut. Mahukah kalian membacanya? Tidak mengapa, nak baca,baca. tak nak baca, tinggalkan dan baca kiriman saya yang lain. Hak anda menentukannya.
Sahabat-sahabatku
Setiap kali saya melihat pelajar-pelajar saya kemudian melihat kasut mereka yang begitu cantik, kemas dan indah tersarung di kaki mereka, saya selalu terbayang nostalgia suatu masa dahulu. Saat saya menjalani kehidupan seperti mereka. Ya, bergelar seorang pelajar, di mana suaratan hidup menentukan saya lahir dan membesar dalam lingkungan masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan. Tapi di sebalik kekurangan itulah saya belajar banyak perkara, dari sekecil-kecil kehidupan hinggalah seluas angkasa raya dan dari sebesar-besar kehidupan hinggalah kehidupan sebesar zarah. Kemiskinan mengajar saya untuk sentiasa bersederhana dalam segala hal. Ada dua mutiara kata yang saya sangat suka sekali mendengarnya iaitu 'Segala-galanya adalah duit, tapi duit bukan segala-galanya.' dan ' Wang tidak akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.' Sebab itulah saya selalu bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT untuk dilahirkan sebagai orang desa, kerana di situlah saya belajar tentang alam semulajadi, tentang kekayaan hati, tentang kesederhanaan dalam berharta dan belajar tentang segala-galanya. Ya, Jika ingin melihat kekayaan dunia belajarlah dari orang miskin. Jika ingin melihat keindahan dunia, belajarlah dari orang yang tinggal di ceruk desa.
Sahabat-sahabatku
Masih segar di ingatan ini, kisah saya berkongsi kasut sekolah dengan adik saya ketika hari penyampaian hadiah untuk pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum di samping sahsiah ke sekolah. Saya dan adik saya adalah penerima anugerah untuk tokoh kehadiran cemerlang ke sekolah. Waktu itu saya belajar di tahun lima manakala adik saya belajar di tahun empat. Kesukaran hidup dan perasaan takut untuk memberitahu ayah supaya membeli kasut baru menggantikan kasut sekolah yang sudah koyak-rabak, berlubang, dan berwarna kuning-kekuningan itu memaksa saya untuk mendiamkan diri. Ayah, apabila mendapat tahu anak-anaknya akan mendapat anugerah di hari perpisahan tahunan, dengan wajah yang ceria ayahlah ibubapa yang pertama datang ke sekolah seawal pagi semata-mata mahu melihat sekaligus menyampaikan sijil penghargaan tersebut kepada kami, anak-anaknya nanti.
Saat melihat ayah di hadapan pentas, dengan wajah riang disulami dengan senyuman manis, saya tidak sampai hati memalukan ayah yang membesarkan dan menyayangi saya sepenuh hati dengan tidak memakai kasut ataupun berselipar sedangkan pelajar-pelajar lain begitu bergaya dengan pakaian sekolah dan berkasut sekolah yang baru di samping ibu bapa masing-masing. Maka kesudahannya saya mengambil jalan penyelesaian yang paling bijak (mungkin) iaitu memberitahu adik saya yang duduk di sebelah supaya mengizinkan saya untuk memakai kasutnya yang juga semakin hampir ke penghujung hayat semasa saya naik ke pentas nanti. Suasana itu mengingatkan saya kepada filem Iran berjudul " Children From Heaven" yang mana dua beradik berkongsi sepasang kasut yang sama ke sekolah. Tepukan gemuruh dari penonton menuntun saya untuk menyelami hati ayah yang begitu bangga melihat kejayaan anaknya sekaligus menghadirkan suatu perasaan sayu di hati ini. Sungguh ketika itu saya sedih melihat ayah yang begitu menyayangi saya dan mempunyai harapan yang tinggi untuk anak-anaknya.
Sahabat-sahabatku,
Kisah saya dengan kasut tidak berakhir di situ sahaja kerana ada banyak lagi adegan-adegan lain yang mewujudkan cerita saya dengannya sepanjang saya bergelar pelajar selama bertahun-tahun.Kasut berlubang, koyak, tanggal tapak, saiz besar, hitam kerana arang, basah kerana hujan, adalah perkara biasa bagi saya dan kawan-kawan yang seangkatan dengan saya. Selagi kasut itu boleh dipakai, selagi itulah kami akan memakainya. Malah kasut itu jugalah yang akan dipakai untuk hari sukan, pergi ke kebun, pergi ke pekan, dan pergi jalan-jalan ke bandar-bandar besar. Mengenang itu semua, saya sedar bahawa kepayahan dan kesukaran itu sebenarnya mengajar kita untuk bersyukur dan menjadikannya sebagai satu anjakan paradigma untuk ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya, kemiskinan bukanlah satu kekurangan tapi adalah satu kelebihan bagi mereka yang mahu berfikir.
Baiklah para sahabat semua, sampai di sini sahaja yang mampu saya kongsikan kepada kalian semua. Sampai jumpa lagi. salam...
No comments:
Post a Comment