Saturday, September 20, 2014

Kaukah Itu?


Bismillahirahmanirrahim
Kaukah itu?
tersipu malu
bagai puteri rupawan
lewat dibalik pintu rumahku?
sepasang mata birumu yang indah
mengingatkan aku
pada dia yang kutinggalkan
jauh di sebuah desa permai
di hujung samudera.
Tapi, oh
baru kuingat
rupanya dia sudah lama
tinggalkanku sendiri
melewati hari-hari duka
di dunia harapan penuh warna.
dan kau....
kaukah itu?
yang akan membawaku
ke syurga abadi?

S. Hana AK
19 September 2014
9.21 am
Johor Bahru, Johor

Tuesday, August 19, 2014

Kisah Di Sebalik kasut


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wahai sahabat-sahabatku semua. Sihatkah kalian? Semoga kalian sihat sejahtera. aminn. Malam ini, terdetik sesuatu di fikiran untuk melakar kata-kata di dalam blog saya yang biasa-biasa ini. Hmmm, bagaimana jika kali ini saya mengajak kalian untuk menghayati kisah hidup saya. Kisah di sebalik sepasang kasut. Mahukah kalian membacanya? Tidak mengapa, nak baca,baca. tak nak baca, tinggalkan dan baca kiriman saya yang lain. Hak anda menentukannya.

Sahabat-sahabatku
Setiap kali saya melihat pelajar-pelajar saya kemudian melihat kasut mereka yang begitu cantik, kemas dan indah tersarung di kaki mereka, saya selalu terbayang nostalgia suatu masa dahulu. Saat saya menjalani kehidupan seperti mereka. Ya, bergelar seorang pelajar, di mana suaratan hidup menentukan saya lahir dan membesar dalam lingkungan masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan. Tapi di sebalik kekurangan itulah saya belajar banyak perkara, dari sekecil-kecil kehidupan hinggalah seluas angkasa raya dan dari sebesar-besar kehidupan hinggalah kehidupan sebesar zarah. Kemiskinan mengajar saya untuk sentiasa bersederhana dalam segala hal. Ada dua mutiara kata yang saya sangat suka sekali mendengarnya iaitu 'Segala-galanya adalah duit, tapi duit bukan segala-galanya.' dan ' Wang tidak akan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.' Sebab itulah saya selalu bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT untuk dilahirkan sebagai orang desa, kerana di situlah saya belajar tentang alam semulajadi, tentang kekayaan hati, tentang kesederhanaan dalam berharta dan belajar tentang segala-galanya. Ya, Jika ingin melihat kekayaan dunia belajarlah dari orang miskin. Jika ingin melihat keindahan dunia, belajarlah dari orang yang tinggal di ceruk desa. 

Sahabat-sahabatku
Masih segar di ingatan ini, kisah saya berkongsi kasut sekolah dengan adik saya ketika hari penyampaian hadiah untuk pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum di samping sahsiah ke sekolah. Saya dan adik saya adalah penerima anugerah untuk tokoh kehadiran cemerlang ke sekolah. Waktu itu saya belajar di tahun lima manakala adik saya belajar di tahun empat. Kesukaran hidup dan perasaan takut untuk memberitahu ayah supaya membeli kasut baru menggantikan kasut sekolah yang sudah koyak-rabak, berlubang, dan berwarna kuning-kekuningan itu memaksa saya untuk mendiamkan diri. Ayah, apabila mendapat tahu anak-anaknya akan mendapat anugerah di hari perpisahan tahunan, dengan wajah yang ceria ayahlah ibubapa yang pertama datang ke sekolah seawal pagi semata-mata mahu melihat sekaligus menyampaikan sijil penghargaan tersebut kepada kami, anak-anaknya nanti. 

Saat melihat ayah di hadapan pentas, dengan wajah riang disulami dengan senyuman manis, saya tidak sampai hati memalukan ayah yang membesarkan dan menyayangi saya sepenuh hati dengan tidak memakai kasut ataupun berselipar sedangkan  pelajar-pelajar lain begitu bergaya dengan pakaian sekolah dan berkasut sekolah yang baru di samping ibu bapa masing-masing. Maka kesudahannya saya mengambil jalan penyelesaian yang paling bijak (mungkin) iaitu memberitahu adik saya yang duduk di sebelah supaya mengizinkan saya untuk memakai kasutnya yang juga semakin hampir ke penghujung hayat semasa saya naik ke pentas nanti. Suasana itu mengingatkan saya kepada filem Iran berjudul " Children From Heaven" yang mana dua beradik berkongsi sepasang kasut yang sama ke sekolah. Tepukan gemuruh dari penonton menuntun saya untuk menyelami hati ayah yang begitu bangga melihat kejayaan anaknya sekaligus menghadirkan suatu perasaan sayu di hati ini. Sungguh ketika itu saya sedih melihat ayah yang begitu menyayangi saya dan mempunyai harapan yang tinggi untuk anak-anaknya. 

Sahabat-sahabatku,
Kisah saya dengan kasut tidak berakhir di situ sahaja kerana ada banyak lagi adegan-adegan lain yang mewujudkan cerita saya dengannya sepanjang saya bergelar pelajar selama bertahun-tahun.Kasut berlubang, koyak, tanggal tapak, saiz besar, hitam kerana arang, basah kerana hujan, adalah perkara biasa bagi saya dan kawan-kawan yang seangkatan dengan saya. Selagi kasut itu boleh dipakai, selagi itulah kami akan memakainya. Malah kasut itu jugalah yang akan dipakai untuk hari sukan, pergi ke kebun, pergi ke pekan, dan pergi jalan-jalan ke bandar-bandar besar. Mengenang itu semua, saya sedar bahawa kepayahan dan kesukaran itu sebenarnya mengajar kita untuk bersyukur dan menjadikannya sebagai satu anjakan paradigma untuk ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya, kemiskinan bukanlah satu kekurangan tapi adalah satu kelebihan bagi mereka yang mahu berfikir. 

Baiklah para sahabat semua, sampai di sini sahaja yang mampu saya kongsikan kepada kalian semua. Sampai jumpa lagi. salam...

Wednesday, July 16, 2014

Tinggalkan Dunia, Mulakan Akhirat

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum sahabat-sahabatku? Semoga kita semua sihat dan mendapat keberkatan daripada-Nya sepanjang hidup kita di dunia ini. Hari ini, saat ini, detik ini izinkan saya untuk mengirim sebuah sajak yang saya karang sendiri. Sajak? hmmm, rasanya bukan sajak tapi sekadar luahan nurani yang mana mudah-mudahan ia mampu mengingatkan kita agar sentiasa melihat hidup ini dengan sebuah pandangan yang sentiasa berbeza.

Tinggalkan dunia, mulakan akhirat
selama ini kusia-siakan hidupku
Bukan sesaat, sehari tapi bertahun-tahun
bahkan berpuluh tahun
akhirnya bila sampai detik itu
baru kumula mencari jalan pulang
mencari Jannah
yang selama ini kubiarkan
terbiar kaku dilorong kegelapan
mencari Mardiah
di balik ranting kesabaran dan keteguhan
yang selama ini kupandang
dengan hanya sebelah mata.

Tinggallah dunia, mulalah akhirat
pasti di sana nanti
kujenuh mencari syurga
namun tak berjumpa
bila pintu kebaikan
tidak kucari sepanjang hayatku.

Tinggallah dunia, mulalah akhirat.


Sebenarnya saya karang sajak ini sekadar suka-suka dengan memberi makna yang berlainan. Tapi saya tidak menyangka interpretasi orang lain berlainan dengan interpretasi saya sendiri. Apabila saya mengirimnya sebagai status saya di laman sosial Face book, ia mendapat respon yang tidak dijangka hingga membuatkan saya menilainya dari sudut yang berlainan pula dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengambil kira penilaian orang lain berbanding penilaian saya sendiri.

Sahabat-sahabatku, sajak ini telah mengingatkan saya pada sebuah sajak yang dicipta oleh seorang penulis yang sangat saya kagumi dan sanjungi dalam bidang sastera. Falsafah yang diterapkan ke dalam setiap karya-karyanya menjadi mimpi indah bagi saya untuk terus mencintai dunia sastera. Mungkin lebih elok sekiranya saya kirimkan sajak beliau itu di sini. Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaatnya. aminn

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya
kita datang ini kosong tangan dada
bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
bawalah bakti mesra kepada Tuhan pada insan
kepada tetamu yang datangdan lupa jalan pulang
usahlah derhaka pula kepada Tuhan pada insan.

Bila kita lihat manusia lupa tempat
atau segera sesat puja darjat, puja pangkat
segera kita insaf kita ini punya kiblat
segera kita ingat kita ini punya tekad.

Bila kita lihat manusia terbiar larat
hingga mesti merempat ke laut biru ke kuning darat
harus kita lekas sedar penuh pada tugas
harus kita tegas sembah seluruh rasa belas.

Kita datang ini satu roh, satu jasad
bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
kita pulang ini satu roh, satu jasad
bila pulang nanti bawa bakti padat berkat.


Bagaimana rasanya hati sahabat semua? Barangkali rasa kita sama seusai mendeklamasikan dan menilai sajak ini. Sebenarnya kita adalah 'tetamu senja' seperti yang diungkapkan di dalam sajak ini. Bila tiba waktu kita pergi, maka kita kena pergi. Analogi yang paling mudah dan tidak memerlukan kita berfikir panjang ialah, anggaplah kita menjadi tetamu istimewa kepada sebuah keluarga di rumah mereka.Sebagai tetamu, tentunya kita tahu peranan dan adab kita sewaktu berada di rumah orang. Sikap positif yang ditonjolkan sepanjang berada di rumah itu akan memberi reaksi positif daripada tuan rumah dan kesannya bila mana kita pulang nanti maka mereka akan memberikan kita bekalan atau buah tangan sebagai tanda penghargaan ataupun nama kita akan tersimpan di hati mereka sepanjang hayat. Jika sebaliknya? saya biarkan sahabat semua memikirkannya.

Baiklah, cukuplah setakat ini. Mudah-mudahan kita mendapat sesuatu daripada kedua-dua sajak tersebut. aminnn, salam....