Friday, April 30, 2010

RINTIK-RINTIK HUJAN

pagi tadi saya duduk di balkoni. pukul 4 pagi. masa tu hujan turun. angin pun sejuk mendingin. hujan mencurah-curah sehingga saya terfikir ingin menulis sebuah sajak tentangnya. saya suka melihat hujan tak kira masa ia turun. lalu terlakarlah sajak Rintik-Rintik Hujan ini. bacalah, jika anda mahu membacanya....

Hujan adalah rahmat
Yang diturunkan oleh Tuhan
Yang Maha Kuasa
Lagi Maha Agung

Hujan adalah berkat
Yang diturunkan oleh Tuhan
Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Penyayang

Di kala manusia leka dan alfa
Hujan pemberi peringatan
Kepada manusia
Agar kembali ke alam realiti

Kala rintik-rintik hujan gugur
Dan jatuh ke wajah bumi
Ia mengajar kita
Untuk mengingat kembali
Dosa-dosa yang lalu
Agar nanti tak tersungkur
Di perdu kemaksiatan.

Hujan adalah citra
Bayangan ilham
Yang diturunkan oleh illahi
Kepada sang pemuja alam
Yakni para penulis berbakat
Di gerbang dunia sastera.

Hujan adalah kenangan
Buat para pencinta
Cinta pada manusia
Atau
Cinta pada alam jagat raya.

Hujan adalah pelentur
Hati yang keras bisa menjadi cair
Hati yang lembut bisa menjadi keras
Dalam mengharungi ranjau kehidupan
Sebagai musafir di bumi Illahi.

Di sebalik kedinginannya
Ada debu yang menerbang
Ada ruang yang maha luas
Ada kasih yang menunjang
Kepada bakal penghuni dunia
Agar tidak berpaling
Pada rahmat Illahi.

Nukilan:
S. Hana AK
30 April 2010 ( Jumaat)
4.00 am
KHAR, UPSI

Tuesday, April 27, 2010

Diari Kehidupan 46

bismillahirahmanirrahim
27 April 2010 (selasa)

Assalamualaikum khas buat para pengembara blog saya
hari ini satu lagi kertas peperiksaan dah terkeluar dari rutin harian saya iaitu Bahan Pendidikan. semalam juga kertas Sejarah Asia Tenggara 1900-1963 dah lepas. tinggal menunggu hari Khamis ini untuk menjawab dua kertas soalan sekaligus, pagi dan petang. kemudian 3 Mei pula ada satu lagi kertas subjek u yang akan saya jalani nanti.

sebenarnya lega sedikit hati ini apabila berjaya melepasi subjek-subjek yang agak susah untuk dijawab.namun jauh di sudut hati saya amat bersyukur kerana dapat melakukannya walaupun bukan yang terbaik. redha sajalah pada ALlah SWT. semasa menjalani peperiksaan ini pelbagai perasaan bercampur gaul dalam diri. takut, gembira, bersemangat dan macam-macam lagi akan muncul di hati saya.

hmm, harap soalan bagi subjek lain saya boleh jawab. begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. kalau boleh saya nak naikkan lagi pointer saya semester ni. tapi bukan itu sebenarnya sebab kita untuk belajar, hanya semata-mata mahu mengejar pointer tetapi belajar kerana mahu mencari ilmu dan mengamalkannya.

dalam dunia ini banyak orang berilmu tapi rata-ratanya mereka tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. buat apalah belajar tinggi-tinggi kalau ilmu yang diperolehi itu tidak diamalkan dan diaplikasikan. saya tidak mahu perkara itu terjadi dalam diri ini. maka saya perlu belajar mengenali rencah kehidupan dunia dan akhirat.

uhh, cukuplah setakan ini sahaja perkonsgsian saya untuk anda semua. sampai jumpa lagi dalam diari yang akan datang. salam wahai diri dan anda semua. salam...Hanako

Monday, April 26, 2010

Cinta yang terpendam

Ku lukiskan hati ini
Dengan rasa cinta yang abadi
Ku labuhkan jiwa ini
dengan rasa kasih yang sejati
ku luahkan rasa kasih ini
kerana cinta-Nya kepadamu.

Ku lakarkan puisi cinta ini
Kerana rasa kagumku padamu
Kerana rasa kasihku padamu
Semuanya dari hati yang tulus
Kerana Allah, segala puji bagi-Nya.

Bila cintaku padamu berbicara
Hanya nama-Nya yang terukir di bibirku
Ku labuhkan rasa kasihku
Dalam tasbih cinta Illahi.

Terukir namamu
Kala hatiku berzikir dalam sepi
Terlukis namamu
Kala malam menjengah waktu
Terlakar namamu
Kala subuh mendendangkan syair alam-Nya

Wildanku
Usahlah engkau lenyapkan rasa kasihku padamu
Usahlah engkau hilangkan rasa kagumku padamu
Jangan kau buangkan rasa cintaku padamu
Jangan
Jangan
Sekali-kali jangan
Kerana sesungguhnya
Tiap tutur katamu
Tiap tingkah lakumu
Tiap pandangan matamu
Akan membisik di kalbuku
Akan menjengah di sumur ladang sukmaku

Wildanku
Kutiplah cinta Zulaika pada Nabi Yusuf
Sematkan cinta Siti Khadijah pada Rasulullah
Cinta mereka adalah cinta yang indah
Ibarat bintang yang berkerdipan
Di alam jagat raya.

Dengarkanlah cintaku berbicara
Wildanku!

Nukilan:
S. Hana Ak
25 April 2010 (Ahad)
12.00 Pm
KHAR, UPSI

Saturday, April 24, 2010

Cinta Sang Penyair

Di malam pekat
Di bangku usang
Di atas meja kayu buruk
Sang penyair duduk termenung.

Di malam pekat
Kala sang angin bertiup lembut
Kala hujan membasahi bumi
Kala langit digumpali awan
Kala siang berganti malam
Sang penyair sibuk menari
Memintal pena, melakar puisi
Melontar kata, melantun bicara
Luahan rasa, cinta terpendam
Cinta pada kerinduan
Cinta kesetiaan
Cinta pada kesaktian
Cinta yang sejati
Cinta yang hakiki
Cinta yang abadi
Puisi cinta pada kekasih
Yang jauh di mata
Dekat di hati

Nukilan: S. Hana AK
5.39 am
24 April 2010 ( Sabtu)
KHAR, UPSI

Friday, April 23, 2010

Diari Kehidupan 45

Bismillahirahmanirrahim
23 April 2010

Assalamualaikum
hai, pengembara blog saya? macam mana hari ini? harap kehidupan anda semua bertambah baik dari sebelum-sebelumnya. tentu anda dah agak apa yang akan saya kongsikan kepada anda semua. apa lagi kalau bukan kehidupan saya pada hari ini.

hari ini, selesai sudah perjuangan saya yang pertama. apa dia? teka...gapo dio? yelah, apalagi kalau bukan peperiksaan Sejarah Malaysia 1900-kini yang bertempat di TMNU 6 pada pukul 3 petang tadi. tak usahlah cerita lebih lanjut lagi pasal itu kerana yang pasti kertas ini dah terkeluar dari rutin harian saya.

tinggal lima kertas lagi saya nak habiskan. emmm, perjuangan sebenarnya belum selesai. walaupun dah habis peperiksaan nanti tetapi saya rasa ia belum selesai selagi keputusannya tak keluar. di situlah macam-macam perasaan ada. gembira, sedih dan kecewa akan mengintai diri ini. di mana saya berada pada ketika itu, biarlah Allah sahaja yang mengetahuinya.

pagi tadi rasa nak tidur saja. takut, bersemangat kedua-duanya bercampur dalam hati ini. takut untuk menghadapi peperiksaan tetapi dalam masa yang sama bersemangat untuk menempuh peperiksaan. hmm, rasanya tak sabar nak habiskan kertas-kertas ini semua. kepada anda semua, saya mohon doa anda agar saya berjaya menempuhnya. terima kasih. kepada mereka yang menjalani peperiksaan, saya doakan agar anda semua berjaya dalam menempuhnya.

baiklah, sampai sini sahaja diari saya pada hari ini. sampai jumpa lagi di lain waktu. salam buat anda dan diri sendiri. salam...Hanako

Wednesday, April 21, 2010

Mutiara kata

Buku adalah sahabat yang terbaik. Bergaullah dengan buku. bersahabatlah dengan ilmu dan bertemanlah dengan makrifat.

Sunday, April 18, 2010

Mutiara Kata

" Alangkah indahnya mencintai seorang sahabat daripada mencintai seorang kekasih. Sahabat, dia akan tetap menjadi teman. tetapi kekasih, dia akan pergi setelah cintanya hilang."

Friday, April 16, 2010

SELAUT IMPIAN SEGUNUNG HARAPAN

Pernahkan anda menonton filem Laksamana Do Re Mi? Filem yang dibintangi oleh P. Ramlee bersama dua rakannya iaitu A. R. Tompel dan Ibrahim Din. Filem yang mengisahkan tentang pengembaraan tiga orang sahabat ke serata negeri semata-mata mahu membantu mencari seorang puteri raja iaitu anak kepada Raja Pasir Dua Butir. Malah jasa mereka juga menyebabkan mereka bertiga dinobatkan sebagai Laksamana. Pernahkah anda semua menontonnya? Mesti pernah bukan. Siapa yang tak kenal dengan P. Ramlee, seniman agung negara yang dinobatkan sebagai Tan Sri P. Ramlee walaupun beliau sudah menjadi Allahyarham. Kalau pernah, ada sebuah Teater yang diadakan pada 9 – 10 April 2010 yang diadakan di Panggung Bandaraya DBKL. Teater yang diadaptasi dari filem ini. Para pelakonnya sangat berbakat dan dikenali ramai dan saya jamin, teater ini akan memecah panggung dengan jumlah penontonnya yang terlalu ramai.

Tapi nanti, sebenarnya bukan pasal filem itu yang saya nak ceritakan. Ataupun pasal pelakon dan penontonnya tetapi pasal saya dan rakan-rakan saya. Tentang impian dan harapan kami. Lihatlah tajuk di atas, ‘ selaut impian segunung harapan.’ Ataupun tajuk asalnya ‘ kembara Do Re Mi’. Kembara yang melucukan dan membuat wajah kami semua merah merona. Ini belum lagi dimasukkan pasal hati. Jika berbicara tentang hati, maknanya hati kami semua hancur berkecai bersama dengan segunung harapan dan selaut impian. Semuanya kerana Laksamana Do Re Mi. Nak dijadikan cerita, inilah ceritanya. Saya harap kamu semua menjadi pendengar yang baik dan setia.

Awal-awal lagi, kami diberitahu tentang Teater laksamana Do Re Mi ni oleh pensyarah kami iaitu Dr. Talib. Katanya teater ini diadakan di panggung Istana Budaya. Lalu dengan keseronokan yang ada tepat pada pukul 6 petang 9 hb April, saya, Wani, dan Aidi sudah tercongak di perhentian bas Kolej kami, kolej KHAR. Menunggu kedatangan pensyarah kami Dr Talib yang katanya mahu mengambil kami semua di situ. Sambil menunggu kami berbual-bual.

“ eh, saya dah tak sabar nak tengok teater tu. Mesti best kan.” Kata saya.
“ saya pun tak sabar nak tengok.” Ujar Wani pula.

“ eh, muat ke kita ni. Bagaimana kalau Dr ada bawa seseorang?” tanya Aidi pula.

“ alaa muat. Janganlah bimbang.”

“ dr bawa kereta apa ye?” tanya saya lagi. Soalan yang ditujukan khas untuk Wani.

“ pesonalah. Kereta yang dulu tu.”

“ kereta Dr warna biru kan.” Tanya Aidi.

“ ha,ah, kereta cash.”

“Cash, apa maksudnya?” tanya saya pula.

“ alaa, kereta yang dibayar secara terus lah.” Jawab Wani.

“ hah tu pun Dr dah datang.” Kata Aidi sambil tangannya menunjuk ke arah sebuah kereta berwarna biru yang sedang bergerak menuju ke arah kami. Sah, Dr sudah datang apabila kereta itu semakin dekat.

“ eh, Dr bawa seseorang lah.” Kata Aidi.

“ mungkin Yahya kot.”

“ ha ah, mungkin Yahya. Kan Dr singgah ambil Yahya dulu.” kata Wani pula. Tetapi andaian kami tersasar dari jawapan yang sebenar apabila mendapat tahu lelaki di depan itu bukan Yahya tetapi seorang lelaki. Sahabat Dr. Talib.

“ kita ambil Yahya dulu. Tadi saya tak nampak dia.” Ujar Dr Talib sebaik kami bertiga masuk ke dalam keretanya. Kami semua bergerak dan singgah sebentar mengambil Yahya yang sedang menunggu Dr di Taman U. Sebaik sahaja Yahya masuk ke dalam kereta, ini menandakan permulaan kepada pengembaraan kami ke KL. Kami terpaksa berhimpit empat orang di belakang. Nasib baiklah kami semua kecil-kecil belaka. Dapatlah duduk walaupun tak selesa dan saya terpaksa ke depan sikit untuk memberi ruang kepada yang lain. Sepanjang perjalanan kami semua berbual-bual untuk menghilangkan rasa bosan duduk di dalam kereta selama sejam lebih. Sesekali gelak tawa kami semua melantun ke segenap ruang korpus kereta Pesona ini. Waktu maghrib kami berhenti sebentar di tempat perhentian untuk solat kemudian meneruskan perjalanan lagi.

“ laaa, jem rupanya. Hmm,” kata saya merungut. Di depan, kiri, kanan dan belakang, banyak kereta yang kadang-kadang tak bergerak dan kadang-kadang bergerak perlahan.

“ mereka balik kampung kot.” Kata Dr. Talib kepada kawan di sebelahnya. Kawannya mengiakan.

“ Itulah mengapa saya tak suka duduk di KL.” Ujar Wani.

“ mengapa pula.” Tanya saya.

“ asyik jem saja. Susah kereta nak jalan. Sibuk sangat.” Jawabnya.

Sedang kami berbual-bual, datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang polis. Saya sudah mula takut apabila polis itu menahan kami. Pelbagai persoalan dan andaian bermain di fikiran saya. Sempat lagi saya terfikir, kalau polis tu minta IC kami, saya akan beri IC saya yang kadang-kadang saya tak bawa jika mahu ke mana-mana tetapi hari ini saya bawa. Namun sekali lagi sangkaan saya meleset apabila mendapat tahu rupanya polis tu minta kami beri laluan kepada Vip-Vip kehormat.

“ Jom kita ikut perarakan tu.” kata Dr Talib dan dia terus mengikut kereta Vip-Vip tersebut dari belakang.

“ boleh ke?” tanya saya kepada Dr Talib.

“ boleh...mereka bukan tahu siapa kita.” Jawab Dr. Talib.

“ ya, cepat sikit.” Kata kawan Dr Talib. Maklumlah kami mahu mengejar masa ke Panggung Budaya yang tinggal beberapa minit lagi teater akan bermula.

Akhirnya kami berjaya juga keluar dari lautan kereta tersebut di jalan raya. Kereta kami terus meluncur laju menuju ke Istana Budaya. Sampai di sana, keseronokan yang tadinya bergema di ruang hati kami semua bertukar menjadi perasaan lucu apabila mendapat tahu di Istana Budaya itu diadakan persembahan Opera orang Cina. Sebenarnya Teater itu diadakan di Panggung Bandaraya DBKL. Lalu dengan kelucuan dan malu yang sedikit kami pun bergerak ke Panggung Budaya DBKL.

“ ingatkan di sini. Tak tengok betul-betul.” Kata Dr Talib. Kami semua ketawa.

“ excited sangat nak pergi. Rupa-rupanya Opera.” Kata Yahya pula sambil ketawa.

Apabila kami sampai di Panggung Bandaraya itu, sekali lagi impian dan harapan kami hancur berkecai apabila mendapat tahu tiket sudah habis. Tinggallah kami melonggo di sana. Sempat juga meminta simpati supaya gadis penjaga tiket itu membenarkan kami masuk.

“ kami datang dari Tanjong Malim cik.”

“ ye ke. Kesiannya...tapi minta maaf sebab kami tak dapat menolong.” Jawab gadis cantik itu. Sepertinya gadis itu berasal dari Sabah menerusi pelat Sabahnya.

“ tak apalah. Dah nasib badan.”

Lalu untuk menghilangkan malu kami, kami sengaja tengok pameran yang ada disitu sebelum pergi. Sempat mengambil pamplet.

“ tak dapat tengok Teater, dapat pampletnya pun dah cukup.” Kata Yahya. Kami semua ketawa mendengarnya.

“ bagus kita pergi ke Rawang. Ambil buku Mutiara Akal.” Kata Dr Talib.
Kami seterusnya bergerak menuju ke Rawang dan nasib baiklah hotel itu masih dibuka dan dapatlah kami mengambil buku Mutiara Akal itu. Buku yang membuahkan seribu kenangan kepada saya kerana di dalam buku itu, terlakarnya dua buah sajak saya. Kami meneruskan perjalanan ke Tanjong Malim dan singgah makan sekejap di sebuah warung di tepi-tepi jalan. Kami sampai di Kolej sekitar jam 2 pagi.

Hmm, sekianlah cerita saya untuk anda semua. Walaupun kecewa dengan apa yang kami lalui namun saya tak akan jemu menghadiri teater di lain waktu. Saya akan menganggap kekecewaan saya ini merupakan satu ujian bagi saya.

Nukilan:
S. Hana AK
15 04 10 ( Khamis)
18.58 Pm
KHAR, UPSI

Monday, April 12, 2010

Sinopsis novel " Sinar Di Hujung Senja"

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya menyiapkan novel saya yang kedua setelah 4 bulan bertarung dengan masa, masalah, kerja, kemalasan dan sebagainya. kepada mereka yang mengenali saya, jika anda mahu membaca karya saya ini, bolehlah hubungi saya. kamu ada no phone saya kan. baru hari ini siap edit. baiklah, di sini ada sinopsis novel saya ini. bacalah kalau anda mahu membacanya....

Novel “Sinar Di Hujung Senja” mengisahkan kehidupan Ikram semenjak kecil hinggalah dia dewasa. Ikram, pemuda yang tidak mendapat didikan agama yang cukup semenjak kecil berusaha untuk menggapai cinta Illahi. Semasa kecil, dia yang dahagakan Ilmu agama berusaha sendiri mencari guru yang boleh mendidik dan mengajarnya tentang Islam walaupun mendapat halangan dari ayahnya. Ketika menginjak usia remaja, Ikram terlibat dengan cinta monyet di sekolahnya. Sehinggalah dia berjaya menjejak kaki ke universiti, di situ kehidupannya mula berubah.

Cintanya yang tidak kesampaian, telah membuatkan Ikram berubah secara drastik. Solat lima waktu yang sering di lakukannya dahulu sudah jarang dilaksanakan tepat pada masanya. Begitu juga solat tahajud yang selalu dilakukannya sudah ditinggalkan. Malah Ikram juga sudah berani menjejak kaki ke karoke yang menampilkan beberapa pelayan wanita yang seksi dan menghairahkan. Nasihat rakan-rakannya tidak dihiraukan sehinggalah suatu hari apabila seorang rakannya meninggal dunia akibat kemalangan dan kematian ayahnya juga telah menyebabkan Ikram kembali insaf. Kehidupan di dunia adalah sementara. Semua ini telah menyebabkan Ikram kembali menjadi Ikram yang dahulu. Seorang pemuda yang soleh. Allah telah memberikannya hidayah kembali.

Ikram bersyukur kerana mendapat Hidayah kembali. Ketika dia mengajar di sebuah sekolah di Sabah, Ikram bertemu kembali dengan wanita yang dicarinya selama ini di majlis perkahwinan rakannya. Wanita yang telah membuatkan hidupnya berubah ketika di universiti. Cinta yang sekian lama bertunas kembali mekar. Akhirnya mereka disatukan menjadi sepasang suami isteri yang sah. Tahun demi tahun berlalu, Ikram mengalami mimpi yang mengasyikkan. Rupanya mimpi itu mempunyai tanda tertentu. Akhirnya Ikram dijemput kembali oleh-Nya. Anak-anaknya menjadi yatim piatu manakala isterinya menjadi janda.

Monday, April 5, 2010

BALADA DI SELAT TEBRAU

Aku merenung langit biru yang digumpali dengan awan putih kapas itu melalui tingkap kereta pesona Dr. Talib. Baru sebentar tadi aku, Wani dan Dr. Talib berbicara tentang hujan yang tidak jatuh di Johor Bahru. Bayu Johor Bahru amat panas dek kerana pembangunan yang dilakukan di sekitarnya. Pandanganku jatuh ke arah bangunan-bangunan di kiri kanan jalan raya yang di selang-selikan dengan pokok-pokok hiasan yang menghijau tetapi agak kusam. Kami melewati Makhamah Syariah Johor Bahru, balai Polis serta Dewan Bandaraya Johor Bahru dengan hajat mahu mengelilingi bandar ini.
Setengah jam yang lalu kami sempat berhenti di Danga Bay untuk makan tengah hari. Kegembiraan jelas terbayang di wajah saat menjejaki tempat itu. Namun tidak semua restoran di situ dibuka kerana para peniaga sangat suka membuka perniagaannya di waktu malam. Entah, mengapa mereka suka sangat berniaga di malam hari. Kemungkinan kerana pemandangannya yang agak indah, dengan lampu alam dan lampu buatan manusia saling bergemerlapan di kawasan tanah rata ini. Sempat fikiranku ini berteka-teki.

Dari dekat, aku melihat pulau Singa, Kota Singapura. Aku juga melihat Selat Tebrau untuk kali pertamanya. Aku juga melihat begitu banyak pokok-pokok di pinggir-pinggir Selat Tebrau yang memisahkan negara Malaysia dan Singapura ini. Menyembunyikan kota singa ini dari pandangan rakyat Malaysia. Namun, ada satu yang menggelegak di fikiranku. Kota Singapura tidak seperti yang ku fikir selama ini. Begitu juga dengan Selat Tebrau, tidak secantik seperti yang aku fikirkan selama ini. Kota Singapura tidak ada bukit bukau, Selat Tebrau pula tidak ada pantai yang memutih pasirnya. Malah airnya juga agak keruh dan mungkin kedalamnya sangat berbahaya buat manusia.

“ Dulu, Selat Tebrau ada pantainya. Saya pernah mandi di laut tu dulu, masa kecil-kecil.” Dr. Talib membuai perasaan dukaku dengan nostalgia lamanya. Wani di belakang hanya mendengar.

“ Sekarang mana pantainya.” Aku bertanya sambil menjenguk seolah-olah mahu melihat pantai seperti yang dikatakan oleh pensyarahku ini. Beberapa kontraktor sedang sibuk berkerja menambak gigi selat itu.

“ Sekarang ni pantai dah tak ada. Kamu tengoklah kontraktor tu. Dulu, masa saya balik sini, pantai tu masih ada tapi sekarang dah dikambus dengan tanah.”

“ Bila kali terakhir Dr pulang ke sini?” Wani pula bertanya. Agak berminat kami dengan cerita pensyarah kesayangan kami ini.

“ Dua bulan yang lalu. Masa tu masih ada pantai. Diaorang buat ni masih baru lagi.” Kata Dr. Talib mengakhiri ceritanya. Aku mengeluh perlahan. Hanya di dalam hati.

Aku berasa sedih mendengar cerita itu. Aku juga tidak suka dengan penambakan Selat Tebrau tersebut. Bagiku mereka semua adalah pemusnah alam. Apa salahnya membuat pembangunan di tempat lain? Aku berasa hairan apabila Dr. Talib menyatakan kawasan Johor ini sangat kecil sehingga memaksa mereka untuk menambak Selat Tebrau itu. Aku mengutuk hati insan yang tidak menghargai keindahan dan kedamaian Selat Tebrau. Aku membuang pandangan ke kota besar singa tersebut. Melihatnya seperti menarik hatiku untuk meminta Dr. Talib menceritakan serba sedikit tentang kota Singapura tersebut. Dari pandanganku, kota ini besar juga walaupun tak sebesar mana. Sempat juga ku bandingkan daerah Tambunan yang merupakan kampungku dengan kota ini. Pandanganku tertumpu ke arah bangunan pencakar langitnya.

“ Dr pernah pergi ke Singapura kan?” Aku menyoal Dr. Talib sekali lagi. Seperti biasa dia hanya tersenyum kecil.

“ Pernah, masa pergi ke kubur Ngah Ibrahim.” Jawabnya pendek.

“ Macam mana keadaannya. Saya dengar-dengar Singapura sangat bersih. Maksud saya tak ada sampah sarap.”

“ Ya. Di sana persekitarannya bersih. Cantik saja. Dijaga dengan rapi. Kamu berdua pernah pergi ke situ ke?” Jawabnya diakhiri dengan pertanyaan. Aku dan Wani berdua menggeleng.

“ Kalau kami pernah pergi taklah saya tanya Dr....” Ujarku secara bergurau dan kami bertiga ketawa.

Kereta kami terus meluncur perlahan setanding dengan kereta lain yang ada di depan dan belakang. Sekali lagi aku terasa angin kota Johor Bahru membuak-buak panas menyapa kulitku. Sesekali disertakan juga dengan angin lembut dan sejuk yang datangnya dari arah laut. Aku ternampak beberapa orang sedang berjalan di tepi jalan raya yang aku sendiri tidak tahu tujuannya. Kereta kami berhenti berdekatan dengan sebuah menara Johor Bahru betul-betul di atas permukaan Selat Tebrau.

Di sebuah pelantar, aku melihat beberapa orang lelaki sedang memancing di kawasan tersebut. Aku melupakan seketika kedukaanku dengan mengambil gambar bersama Dr. Talib dan rakanku, Wani dengan berlatar belakangkan Selat Tebrau. Dr. Talib membeli tiga batang ice-cream dan kami makan di situ sambil-sambil menikmati pemandangan di depan mata. Sambil makan kami berbual-bual dan mengambil gambar malah sempat juga bergurau kononnya mahu buat sajak tentang makan ice-cream di hadapan Selat Tebrau. Pensyarah kami ini, Dr. Talib ataupun digelar Mawi UPSI kerana gayanya yang selamba seorang pensyarah yang agak sporting. Dia juga turut bersama-sama bergurau dengan kami berdua, anak didiknya yang agak nakal. Mungkin.

Sejam di selat Tebrau cukup memberi kesan kepadaku. Pelbagai perasaan yang melanda hatiku kala itu. Rasa duka, gembira, sedih, kecewa, marah, suka saling bercampur gaul antara satu sama lain. Di akhir masa aku sempat membuang pandangan ke arah air Selat Tebrau yang hitam legam dan memadang pemandangan untuk kali yang terakhir.

“ Adakah aku sukakan tempat ini? Tempat yang tidak memancarkan keindahan. Mahukah aku ke sini lagi setelah pertemuan pertama ku di sini membuahkan seribu macam perasaan.” Aku tertanya-tanya sambil dihambat perasaan duka dan pilu. Entahlah, aku sendiri tidak tahu dengan hasrat hatiku. Keadaan yang terjadi tidak akan berubah lagi seperti sediakala. Ia akan terus mengalami perubahan. Sampah-sarap di sepanjang perjalanan ke Selat Tebrau amat menyeksa hatiku. Di manakah harga dan maruah Selat Tebrau. Benar, aku seorang pemuja alam. Keindahan alam amat mengembirakan hatiku tetapi sekali ia berubah seperti pantai, sekali itulah ia mencacatkan kegembiraan dan keseronokan hatiku padanya. Inilah yang aku alami selama sejam di Selat Tebrau.

Kami meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah Dr. Talib kerana mengingatkan keadaan Wani yang kurang sihat. Seperti biasa, perjalanan ke rumahnya mengambil masa yang agak lama untuk sampai. Sebenarnya pagi tadi kami bertiga baru sahaja selesai menghadiri ceramah di sekolah lama Dr. Talib iaitu di sekolah Sultan Ismail. Inilah sebenarnya hajat kami datang ke Johor kerana semata-mata mahu menemani Dr. Talib untuk memberi ceramah di sekolah lamanya. Kepenatan yang menjalar di badan membuatkan tidurku agak lena sesampai sahaja di rumah.

Sebelum balik ke Tanjong Malim, aku sempat menjamu selera di sebuah restoran Mi Bandung bersama dengan Wani dan pensyarahku. Sekitar jam sembilan malam, kami bertolak dari Johor ke Tanjong Malim. Kepuasan tersinar di wajahku dengan rakanku itu. Tingkap kereta dibuka, membiarkan angin malam berebut-rebut mengusap tubuh kami bertiga. Dalam perjalanan kami berbual-bual sesekali diselangi dengan menyanyi lagu nasyid dan lagu klasik P. Ramlee.

“ Sue, tengok apa kat luar tu.” Wani bertanya kepadaku apabila aku asyik melihat ke luar.

“ Aku melihat bintang Wani. Cantik bintang tu.” Ujarku.
“ Oh.”

“ Inilah kali kedua saya melihat bintang yang banyak di sini. Masa kali pertama ketika di Kolej minggu lalu. Tahu tak kalau di Sabah, bintang-bintangnya begitu banyak sehingga tak terkira bilangannya. Nampak burujnya. Saya suka melihat bintang-bintang tersebut.” Kataku kepada Wani.

“ Memanglah di Sabah banyak bintang sebab belum dicemari.” Wani mengiakan kata-kataku sekaligus membuatkan rasa bangga bersemi di jiwaku dengan tanah tumpah darahku itu.

“ Di Sabah memang banyak bintang. Masa saya di Sabah dulu, banyak juga bintang yang saya nampak.” Tiba-tiba Dr. Talib yang sedang asyik memandu menyampuk perbualan kami. Lantas aku memandang ke arahnya.

“ Dr suka bintang?” Tanyaku. Dr. Talib hanya ketawa kecil. Tidak menjawab pertanyaanku.

Namun aku yakin dia juga amat suka dengan bintang. Masakan tidak, dia merupakan seorang penulis novel dan sajak yang karyanya banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Salah satu novelnya ialah novel Panas Salju yang dijadikan teks Komsas di sekolah-sekolah. Mengikut kefahamannku, seorang penulis tidak dapat lari dari alam untuk meminjam idea darinya. Dr Talib terus memandu dan aku pula terus melihat ke langit waktu. Angin malam terus berhembus memugar kedamaian kepada para insan yang mahu menghargainya.

Kadang-kadang aku membuai perasaan dengan tidur ayamku yang kurang lena kerana kurang selesa. Kami terus meninggalkan negeri Johor, Selat Tebrau dan kampung Felda Tebrau iaitu kampung Dr. Talib. Sempat lagi hatiku berbisik sebelum sampai di Tanjong Malim.

“ Adakah, aku akan menjejakkan kaki ke sana lagi suatu hari nanti? Bagaimanakah Selat Tebrau nanti? Adakah Selat Tebrau akan terus begitu atau sebaliknya. Mungkin Selat Tebrau akan berubah dan terus menerus berubah suatu hari nanti.”

Dan ketika aku bangun tidur keesokan harinya, aku masih tidak dapat melupakan Selat Tebrau. Aku tidak dapat melupakan alunan airnya yang bagaikan meminta simpati agar alunan lembutnya dahulu dikembalikan. Alunan kedamaian. Dalam setiap kerja yang ku lakukan, hanya Selat Tebrau sahaja yang bergentayangan di mataku. Mengapa dan kenapa, aku sendiri tidak tahu. Namun kemungkinan kerana Selat Tebrau telah mengusik hatiku dengan kekusamannya. Keindahannya telah dicemari oleh minyak dan sampah sarap. Kekusamannya telah meminggirkan jauh burung-burung camar dari mendekatinya. Yang ada adalah bot dan kenderaan yang terus menerus meluncur laju melalui Selat Tebrau menuju ke Kota Singapura ataupun dari Singapura ke Malaysia.

Di sini, di daerah Tanjong Malim, sekeping hati telah hancur lebur bersama kuntum-kuntum kenangan yang semakin jauh dan layu. Menangisi bumi yang semakin hancur akibat perbuatan manusia. Insan yang kerdil dan papa kedana itu adalah aku. Insan biasa yang tak lari dari menangisi kerakusan manusia. Kata-katanya tak mungkin dinilai dan diingati ataupun dipedulikan oleh orang lain, lalu alam dan Selat Tebrau semakin lama semakin hilang dari pandangan mata dan lukisan hati ini.

S. HANA AK
28 MAC 2010 (AHAD)
20.45 PM
UPSI