Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Monday, December 5, 2011
Tiga perkara ( Kembara, Alam, Ilmu) yang terpenting dalam satu kehidupan kita.
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
Masa semakin menginjak ke angka tengah malam tapi saya masih ligat memerhatikan korpus angkasa yang dibelenggu dengan asakan beberapa butir bebintang yang masih tabah memancarkan jalur cahayanya ke segenap alam. Seperti hari-hari yang sudah, inilah rutin yang menjadi sebahagian dari hidup saya, menyaksikan alam yang terbentang luas di depan mata, menghayati, memahami rahsia di sebalik kejadiannya dan memikirkan apakah hikmah di sebalik ciptaan Allah SWT yang Maha Agung ini. Sesekali rengekan ungas malam yang terjaga dari tidur diselangi dengan tiupan lembut pawana malam adakalanya menjadi teman malam saya yang paling menyenangkan. Bunyian alam memang mengasyikkan berbanding dengan bunyian buatan manusia yang agak menyakitkan telinga tatkala mendengarnya. Jika boleh diumpamakan perbezaannya, seperti ketika kita berada di dalam sebuah hutan yang dikelilingi oleh burung-burung, unggas, binatang liar, air terjun, sungai, angin, dan laut dengan ketika kita berada di sebuah kota yang dipenuhi oleh pelbagai jenis kenderaan, kilang-kilang, bangunan tinggi dan manusia. Sudah tentu amat besar beza perasaan yang kita alami semasa kita berada dalam dua tempat ini bukan?
Sebenarnya, jika kita menghayati dan menelusuri, merenung alam persekitaran kita, ia akan membawa kita menelusuri kalam-kalam Illahi swt dalam al-Quran. Memang terdapat banyak surah-surah yang membicarakan tentang alam, mengajak dan mendorong kita untuk terus berfikir tentang sesuatu kejadian itu Misalnya dalam surah al-Baqarah:164, Al-Imran:190, Surah An-Nur:44, dan surah al-Furqan: 62. Sememangnya tidak dapat dinafikan betapa jika kita melihat, memahami, kemudian memikirkan apa yang ada di sekeliling pasti jiwa akan menjadi tenang dan mengingatkan kita betapa kerdilnya kita di sisi Allah s.w.t. Cuma terdapat segelintir manusia yang tidak mahu mempedulikan apa yang ada di sekitarnya. Kuasa Allah meliputi segalanya, di langit dan di bumi. Ini merupakan salah satu cara Allah yang paling halus untuk mengajak kita mengenali-Nya dan mendekatkan diri kepada-Nya, seperti Firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 164:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
Dan dalam surah al-Furqan ayat 62 pula Allah s. w. t berfirman, mahfumnya:
Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).
Namun, Allah juga memberikan kita kebebasan untuk mencari kekuasaannya dengan cara kita sendiri. Begitu juga Allah memberikan kita kebebasan untuk mendekatkan diri kita pada-Nya dengan cara kita sendiri. Tapi bagaimana? Maka kerana itu, Allah berfirman :
Katakanlah (Muhammad):” Berpergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).” (Surah Ar-Rum, Ayat 42.)
Dalam surah ini Allah menyatakan kepada kita bagaimana sesuatu kerajaan yang dulunya berkuasa akhirnya musnah sekelip mata disebabkan sikap mereka yang jahil. Kerana itulah, Allah menggalakkan kita supaya mengembara atau berjalan ke tempat lain tidak kira dalam negeri atau luar negara kerana dengan cara inilah kita akan mengetahui betapa luasnya rahmat dan kuasa Allah dalam menjadikan sesuatu itu dengan hanya sekali lafaz, ‘Jadilah’, maka terjadilah sesuatu itu dengan izin-Nya. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak punya keinginan untuk melihat dunia luar. Dengan mengembara juga kita bukan saja dapat meluaskan pandangan tetapi juga dapat menimba pengetahuan. Sebab itulah Rasulullah sendiri menggalakkan kita supaya pergi menuntut ilmu tak kira di mana dan siapa saja seperti yang diriwayatkan oleh Muslim r.a :
“ Barang Siapa yang menjalani satu jalan untuk meuntut ilmu, nescaya Allah mudahkan baginya satu jalan syurga.”
Maknanya menuntut ilmu dengan mengembara sama ada dekat atau jauh lebih mulia dan memudahkan jalan ke syurga berbanding hanya terperap di tempat yang sama. Ilmu itu tidak akan datang kepada seseorang melainkan seseorang itu mestilah mendatanginya. Saya berikan masa kepada anda untuk memahami kata-kata di bawah ini. Renungkan dan fikirkanlah…
“Jika kita mencintai ilmu, maka ilmu akan mencintai kita. Tapi jika kita tidak mencintai ilmu, ilmu juga tidak akan pernah mencintai kita. Begitu juga jika kita membaca walau sebaris ayat, ilmu akan menjadi milik kita. Tapi jika kita langsung tidak membaca, mana mungkin ilmu itu kita miliki. Ilmu pengetahuan tidak akan hadir dalam hidup jika kita sendiri tidak menghadirkannya. “
Ayuh, cubalah kita lihat betapa ramai manusia di dunia ini yang sanggup berjalan jauh semata-mata mahu menuntut ilmu dan mencari pengalaman yang jarang sekali dinikmati oleh orang lain. Kadang-kala, pengembaraan yang bermakna kita kongsikan kepada orang lain melalui lisan mahupun tulisan, lalu terbentuklah kalimat-kalimat yang keluar dari hati kita yang tulus suci yang mampu mencairkan hati manusia yang keras seperti batu kepada selembut sutera agar mengikut jejak langkah kita. Pernahkah kita mendengar kisah tokoh-tokoh islam yang terkenal di dunia seperti Hussain Ibn Abdallah (Ibnu Sina) 981-1037M, Abu Nasr Muhammad bin Muhammad (Al-Farabi) 257 H / 870 M dan Syeikh Jamaluddin al-Afghani 1838 Masihi. Tokoh-tokoh ini merupakan sebahagian dari beratus-ratus manusia yang telah mengembara jauh beribu-ribu kilometer semata-mata mahu mencari dan menguasi Ilmu hingga akhirnya mereka menjadi orang ilmuwan dan falsafah serta perjuangan mereka akhirnya menjadi rujukan oleh generasi masa kini.
Ibnu Sina misalnya telah mengembara ke Juran dan bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni. Kemudian beliau berhijrah pula ke Hamadan. Di Hamadan, beliau mengarang kitab al-Qanun fit Tibb untuk mengubati Raja Hamdan iaitu Shams al-Daulah. Dari Hamadan beliau menuju pula ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang. Beliau telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam bidang perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis "psychosomatic medicine". Syeikh Jamaluddin al-Afghani pula telah mengembara ke beberapa tempat seperti Najaf, India, Makkah, Tehran dan Khurasan dan beliau mendalami beberapa disiplin ilmu seperti hadis, falsafah, mantik, usuluddin, perubatan, dan ilmu kalam ketika berada di Najaf. Ketika beliau merantau ke India, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu moden seperti sains dan matematik.
Untuk lebih adil, biarlah saya memberi contoh terdekat iaitu diri saya sendiri, bukan untuk bermegah jauh sekali mahu menunjuk-nunjuk, hanya sekadar berkongsi pengalaman. Saya adalah orang seberang, lahir dan membesar di tanah borneo, kemudian meninggalkan kampung halaman yang dicintai untuk pergi ke seberang laut cina selatan iaitu bumi semenanjung dengan hati yang gembira dan rela, tanpa ada paksaan. Sebagai manusia yang tidak lari dari tuntutan fitrah manusia yang punya semangat inkuiri dalam diri, tentu sahaja saya mahu melihat dunia luar, mahu melihat keadaan matahari terbit dan terbenam di langit yang berbeza, mahu melihat berapa banyak bintang yang akan muncul di malam hari, adakah sama bilangannya dengan bintang di kampung sendiri ataupun adakah pemandangannya jauh lebih indah dan menarik. Bagaimanakah pula corak hidup, masyarakatnya, budayanya, dan bahasanya, apakah sama atau tidak.
Malah untuk memenuhi tuntutan yang lebih tinggi iaitu tuntutan dalam menimba ilmu dunia dan akhirat maka akhirnya saya mengambil keputusan untuk berada jauh dari keluarga, jauh dari tempat kelahiran saya bahkan jauh dari kehidupan asal saya. Bukanlah saya mahu katakan bahawa duduk di tempat sendiri, belajar dan tinggal di tempat yang sama itu tidak baik tapi seboleh-bolehnya cubalah keluar sekejap, mengalih angin kata orang. Jangan telampau berjimat-cermat untuk melakukan sesuatu kebajikan hanya disebabkan takut miskin atau hilang sesuatu yang dimilikinya. Itu bermakna kita tidak yakin dengan janji-janji Allah s. w. t, kerana Rasulullah s. a.w pernah bersabda, maknanya:
“Tiga perkara yang mencelakakan: Sifat sangat kedekut, hawa nafsu yang dituruti dan sikap hanya berbangga dengan pendapat sendiri.” (Riwayat Imam al-Tabrani di dalam al-aswat dari Anas Ibn Malik r. a dan Abdullah Ibn Umar r. a)
Dalam beberapa hadis Rasulullah s. a. w yang lain juga membicarakan sifat tercela ini antaranya “ sifat paling buruk yang ada pada seseorang ialah: sangat kedekut dan sangat penakut.” Hadis riwayat Imam Ahmad Ibn Hanbal dan al- Baihaqi dari Abu Hurairah r. a.
Persoalannya, bagaimana dengan mereka yang miskin, tidak mampu dari segi kewangan? Persoalan ini memang biasa terjadi kepada penduduk luar bandar ataupun penduduk bandar yang kos hidupnya meningkat tidak seiring dengan pendapatan bulanan mereka. Makanya, di sini saya berikan pendapat saya (mungkin pendapat kita berbeza) bahawa hidup ini perlukan usaha dan beramal, bukan mempersoalkan takdir, kerana Allah tidak akan mengubah seseorang jika kita sendiri tidak mengubah diri kita. Maknanya, kita disuruh berusaha dengan cara yang halal.
Firman Allah di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11: “...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”
Jelas, ayat ini menyuruh kita agar mengubah diri dan kehidupan dengan usaha yang berterusan atau Istiqamah dalam melaksanakannya. Maka inilah yang saya maksudkan iaitu bersungguh-sungguhlah dalam mencari wang atau apa sahaja yang boleh membantu kita dalam mencapai hasrat tapi dengan syarat ianya mestilah cara yang diredhai Allah swt. Kalam ini bukan sahaja menuntut kita agar berusaha dalam mencari rezeki tetapi juga berusaha mengubah semua sikap-sikap mazmumah dan aspek kehidupan kita yang buruk kepada yang lebih baik.
Alangkah ruginya manusia yang diberi peluang hidup di dunia ini untuk melihat keindahan alam, menambah amal untuk bekal ke akhirat tetapi tidak menggunakannya sebaik mungkin. Alangkah ruginya manusia yang diberi kesihatan yang panjang tetapi tidak dijadikan alasan untuk mencari kesempurnaan dan kepuasan dalam hidup. Lihatlah berapa ramai sahabat-sahabat kita di dunia ini yang semasa sihatnya tidak pernah mengendahkan cahaya matahari, tidak pernah mengendahkan negara jiran, tidak pernah mahu mencari makrifat akhirnya terkedang di rumah saat semua nikmat kesihatan itu dikembalikan pada-Nya. Meniti sisa-sisa hidup dengan hanya mendengar bunyi kicauan burung tanpa mampu melihatnya, hanya mampu melihat cahaya bulan dari jauh tapi tidak mampu menggapainya. Tatkala itulah timbulnya penyesalan namun perbuatan masa lalunya tidak mampu diundur kembali bak kata peribahasa melayu ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Semasa sihatnya digunakan untuk berlibur, tidak sedikit pun terfikir untuk mencari rahsia di sebalik kejadian-kejadian alam dan perkara-perkara yang sangat dituntut dalam Islam.
Apakah perkara-perkara tersebut? Perkara yang saya maksudkan ini ialah merenung dan menghayati alam sekitar, kembara atau berjalan dan mencari ilmu pengetahuan padahal secara umumnya ketiga-tiganya saling berkaitan antara satu sama lain. Untuk mencari bukti siapakah Allah itu sebenarnya, pandanglah sekeliling anda dari permukaan tanah hinggalah langit yang menjadi rumah bagi segala bintang dan planet-planet. Untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat, maka timbalah ilmu sebanyak mana kamu terdaya dan tambahkanlah yang sedia. Ingat, di dunia ini untuk mencapai kesempurnaan hidup yang paling penting adalah melalui ilmu manakala untuk mencapai kesempurnaan di akhirat adalah iman dan takwa kita. Tapi untuk mendapatkan yang lebih baik maka kita hendaklah berjalan bagai seorang musafir, bermusafir ke segenap dunia ini kerana seperti yang saya katakan, jauh berjalan luas pemandangan. Bukan setakat pemandangan saja tapi juga pengalaman bahkan pengetahuan. Ada masa kita akan nampak sesuatu yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini.
Konklusinya, setiap kita punya kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jika kita mewarnai hidup kita dengan penuh kebijaksanaan maka hasilnya ibarat pelangi yang berwarna-warni itu, penuh dengan keindahan, penuh dengan keseronokan, penuh dengan kebahagiaan dan yang penting lorong untuk mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat jauh lebih mudah dan luas jika kita tahu bagaimana mahu mengorak langkah menuju ke sana. Gunakanlah kekuatan dan kelemahan kita itu sebagai satu anjakan paradigma kehidupan ke arah yang lebih baik dengan melihat kepada tiga perkara di atas. Sekali lagi, apakah tiga perkara itu? ya, tentunya Alam, Kembara dan Ilmu. Sesungguhnya, kita punya hak untuk memilih, mahu terus-menerus menjadi hamba kepada kehidupan ataupun kehidupan yang menjadi hamba kepada kita. Tanya hati anda sendiri, jangan tanya orang lain kerana jawapan mereka tentunya ‘ tidak tahu’. Sekali lagi dari saya, tanya diri anda sendiri, jangan tanya orang lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment