Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Friday, October 28, 2011
Terkejut Didatangi Sidratulmuntaha
Bismillahirrahmanirahim
Sementara menunggu waktu Maghrib, saya merayau-rayau di bazar sekitar Majidilharam semasa mengerjakan ibadat umrah. Daripada satu kedai ke satu kedai saya singgah. Jumpa jubah dibelek, kemudian beg tangan, perhiasan manik, jam tangan, barang kemas. Pendek kata semuanya menarik minat.
Setelah penat merayau, saya masuk ke dalam masjid melalaui Babul Salam. Mata saya melingkas mencari emak. Setelah pasti lokasinya, saya mendapatkannya. Saya kemudian memandang jemaah yang mundar-mandir. Semuanya saya perhatikan, daripada pakaian, telekung hinggakan cara berjalan pun menarik minat.
“ Issy…asyik melingas memandang orang aja. Cuba bawa mengaji,” Emak menghulurkan senaskah al-Quran.
Saya buat-buat tak endah apa yang emak cakap. Mungkin disebabkan terlalu lama duduk, timbul rasa boring. Saya pegang Quran tadi dan letakkan di sejadah. Kemudian saya buka sehelai demi sehelai namun tidak ada satu pun yang dapat saya baca kerana tumpuan saya sebenarnya pada Kaabah.
“ Kalau dapat tawaf, best ni! Tapiii tak ada kawan,” Saya merungut sendirian.
“ Apa yang dirungutkan?” emak menoleh apabila mendengar rungutan saya. “ Kalau dah nak… pergi ajalah,” Emak menyuruh saya tawaf sendirian.
“ Tak naklah! Ramai orang. Jomlah Kita pergi mak,” kata saya. Tetapi emak tidak menjawab sebaliknya hanya menjeling. Saya sedikit kecewa.
“ Assalamualaikum ya hajah!” tiba-tiba seorang jemaah memberi salam dari sebelah kiri saya. Entah bila dia datang saya pun tidak menyedarinya.
“ Waalaikumsalam…” jawab saya sambil menghadiahkan sebutir senyuman.
Saya kemudian memandang ke arah Kaabah lagi. Hati saya semakin mendesak untuk melakukan tawaf. Ketika perasaan saya berperang itulah, terasa paha kiri dicuit. Saya menoleh pada perempuan Arab tadi, dia bertanya sepatah, “Tawaf…?”
Saya pandang mukanya. Dia hanya tersenyum seperti mengerti apa yang bermain di fikiran. Senyumannya cukup memikat. Tidak pernah saya nikmati senyuman semanis itu. Belum pernah saya lihat wanita secant itu seumur hidup. Hidungnya mancung, kulit putih melepak hingga nampak berbayang urat hijau halus di pipinya, mata bulat bersinar dan alisnya lentik.
“ You mean, tawaf?” saya bertanya sambil menunjukkan isyarat dengan jari melakar bulatan. Perempuan itu mengangguk.
“ Can you speak English?” saya menyambung lagi. perempuan itu hanya menggeleng. Jadi untuk mudah, setiap kali bercakap saya menggunakan isyarat. Dia pula membalas dalam bahasa Arab, disertai isyarat tangan. Dia kemudian menghulurkan tangan, lalu saya genggam erat. Kami berjalan beriringan.
“ Eh…sejuknya!” saya separuh terkejut, spontan melepaskan pegangan. Dia hanya tersenyum seolah-olah tahu apa yang saya fikirkan. Kemudian dihulurkan lengannya pula dan menunjukkan isyarat supaya saya memegangnya. Saya ikut saja apa yang disuruh.
Ketika tiba di garisan permulaan dan setelah memasang niat kami mula melakukan ibadat sunat malam itu. sebaik saya mula melangkah, jemaah yang ramai mengelilingi Kaabah tidak kelihatan langsung. Yang terbentang di depan mata hanya lorong lapang, seolah-olah hanya kami berdua sedang tawaf ketika itu. Terlalu mudah…tidak ada yang melanggar atau tersanggul orang lain. Tawaf selesai, kami beriringan mendapatkan emak. Dalam hati sentiasa mahu bertanya namanya, namun tiada kesempatan.
“ Tak apalah nanti lepas sembahyang boleh Tanya,” Bisik saya untuk menyedapkan hati. Selesai solat Maghrib dia sambung pula dengan sunat kemudian mengaji. Tidak ada kesempatan langsung untuk saya menegurnya. Saya cuit lengan emak: “ Mak, tu kawan saya yang ajak tawaf tadi,” Emak menoleh, melihat perempuan yang saya maksudkan itu.
“ Cantiknya, mana Ana kenal dia?” Tanya emak.
“ Kat sinilah, dia datang terus duduk sebelah Ana tadi,” Saya terangkan pada emak.
“ Siapa namanya?” Tanya emak lagi.
“ Tak tau, Ana tak Tanya lagi,” jawab saya ringkas.
Azan Isyak mula berkumandang. Saya bangun apabila melihat wanita itu bangun sambil membetul-betulkan jubahnya. Ketika itulah saya ambil kesempatan memperkenalkan diri dan bertanya namanya. Tetapi wanita itu tidak menjawab. Dia Cuma tersenyum. Melalui isyarat tangan, dia minta saya bersabar.
“ Solah, solah,” Hanya itu jawabnya. Apa yang saya faham dia mengajak saya sembahyang Isyak dan berhenti bercakap. Setiap kali habis bercakap senyumannya tidak pernah lekang. Saya terus memasang niat menunaikan Isyak. Semasa member salam, saya masih dap-at rasakan paha kanannya menghimpit paha kiri saya. Namun apabila saya menoleh ke kiri untuk salam kedua, wanita Arab itu tiada.
Saya lantas berdiri, memusing-musingkan kepala mencarinya. Saya hanya nampak dia berjalan pantas di tengah-tengah jemaah lain. Walaupun dari belakang, saya kenal benar, itulah orangnya. Zuhur esoknya saya menunggu dia di tempat semalam. Namun dia tidak muncul. Waktu asar saya masih belum nampak kelibatnya. Saya cukup kecewa ketika itu. Namun jauh di sudut hati saya berdoa agar Allah ketemukan saya lagi dengannya.
“ Tak apalah…aku tunggu lagi. Mungkin maghrib nanti dia datang,” Saya memujuk diri.
Saya tinggalkan kain telekung. “ Mak…Ana nak keluar kejap,” saya memberitahu emak.
Saya tinggalkan emak di masjid, terus merayau dari satu kedai ke satu kedai bagi menghilangkan perasaan jemu. Ketika hampir Maghrib saya datang semula ke tempat emak. Saya duduk di sebelah emak. Tiba-tiba terasa seperti angin bertipu di sebelah kiri saya. Spontan saya menoleh. Ya Allahhh…dia tersimpu di sebelah kiri sambil tersenyum.
“ Tawaf?” soalnya. Saya sambut dengan senyuman dan bangun mengekorinya.
“ Ana Diana…” saya menunjukkan name tag pemberian agensi yang tergantung di leher.
“ Diana!” katanya, kemudian tersenyum.
“ Ente?” Tanya saya lagi, hanya itu yang saya tahu. Sekali lagi dia tersenyum. Sambil mempercepatkan langkahnya dia menjawab: Sidratulmuntaha.”
“ Apa? Langit ketujuh,” terpancul daripada mulut saya perkataan itu dalam bahasa Melayu. Kemudian saya menyebut nama itu berulang-ulang kali seperti terkejut sambil menunjukkan tangan ke langit. Sidratulmuntaha hanya tersenyum dan tersenyum sambil mengangguk-angguk.
“ Dari mana?” sekali lagi saya tersasul menyoalnya dalam bahasa Melayu. Sidratulmuntaha hanya mengangkat bahu, tanda tidak memahami soalan saya.
Seperti semalam, tawaf berjalan dengan lancer walaupun terdapat ramai jemaah lain yang berpusu-pusu. Laluan untuk saya lapang dan mudah sahaja. Kejadian yang berlaku semalam berulang lagi. apabila saya menoleh ke kiri sebaik member salam, sidratulmuntaha sudah pergi jauh. Seperti rebut dia dating, seperti rebut juga dia pergi!
Selama tujuh hari di Mekah, Sidratulmuntaha setiap hari menemani saya antara waktu Maghrib dan Isyak. Masuk hari kelapan, sementara menunggu Isyak saya ajak seorang jemaah dalam kumpulan saya – ustazah dari Kelantan yang fasih bahasa Arab – menemui wanita itu.
Saya hulurkan kertas kepada Sidratulmuntaha, meminta alamatnya. Dia mencapai kertas itu dan mengambil pen yang saya hulurkan, lalu menulis namanya. Cantik tulisan Arabnya, bagaikan tulisan seni khat. Apabila dieja, benar bunyinya Sidratulmuntaha.
“ Ustazah, tolong tanyakan di mana dia tinggal dan alamat rumahnya?” ustazah itu bertanya Sidratulmuntaha sebagaimana saya kehendaki di dalam bahasa Arab. Dengan senyum Sidratulmuntaha menjawab.
“ Saya tak tinggal di mana-mana. Saya tak ada alamat rumah,” jawabnya dalam bahasa Arab juga.
“ Ustazah, cakap pada dia saya nak tulis surat nanti,” sambung saya memandang ustazah.
Sidratulmuntaha menggelengkan kepala: “ Ada umur kita akan jumpa lagi di sini,” katanya.
Saya terpinga-pinga dengan jawapan itu. dia menggengam tangan saya sebelum minta diri. Didakapnya saya, semerbak bau wanginya menusuk hidung. Apa jenisnya tidak dapat saya teka kerana baunya terlalu enak. Saya ekori perjalananya dengan pandangan sayu. Tanpa sedar air mata saya meleleh, terlalu hiba perasaan saya. Emak yang duduk di sebelah termangu-mangu.
Setelah dia hilang dari pandangan, saya baca tulisan namanya berkali-kali. Lalu cebisan kertas itu saya simpan elok-elok di dalam poket beg tangan.
Tiga hari kemudian, selepas Subuh saya berkemas, siap sedia untuk ke Lapangan Terbang Jeddah. Semua ahli rombongan sibu bersiap sama. Fikiran saya asyik memikirkan Sidratulmuntaha.
Lebih kurang sejam di udara, saya teringat pada kertas yang tertulis nama Sidratulmuntaha di dalam beg. Saya keluarkan kertas putih berlipat sebesar dua ringgit itu.
Kertas itu saya buka pelahan-lahan. “ Ehhhh!!! Mana perginya?” saya bersuara sambil memusing-musing kertas di tangan. Kosong! Tulisan itu tak ada.
Saya tonggeng beg tangan atas riba. Habis berterabur sikat, gincu, bedak dan lain-lain.
“ Engkau ni kenapa Ana?” Tanya emak apabila melihat saya resah bagai kucing nak beranak.
“ Kertas yang ada tulis nama Sidratulmuntaha. Kertasnya ada tapi tulisan tak ada,” saya hulurkan kertas kosong kepada mak.
Emak menyambut dan membelek-belek: Betul ke ni kertasnya? Kamu salah letak kut?”
“ Tak mak. Itulah kertasnya yang Ana masukkan dalam beg. Takkanlah Ana tak tahu, cara lipatanya pun Ana Ingat,” kata saya lagi.
Saya ambil balik kertas daripada tangan emak. Kemudian membelek-beleknya lagi, memang tiada kesan tulisan di situ. Hanya kertas putih yang kosong.
Sampai ke tanah air fikiran saya buntu. Beberapa hari saya rasa tak menentu, asyik teringatkan wanita itu. walaupun sudah lama berlalu, Sidratulmuntaha kerap muncul dalam ingatan.
Siapa sebenarnya Sidratulmuntaha, tidak saya ketahui. Yang saya rasa, sepanjang bersamanya dia sentiasa berbau wangi yang tidak pernah saya hidu selama ini. Senyumannya juga akan tetap saya ingat sampai ke akhir hayat!
# Assalamualaikum, Ini adalah kisah benar yang saya kongsikan kepada anda semua. Kisah benar yang berlaku kepada seorang Hamba Allah bernama Diana Mokhtar ketika dia pergi menunaikan umrah. Tidak pula dinyatakan tahunnya. Nak tahu dari mana saya dapat kisah yang sungguh menarik dan mengagumkan ini? Ini Dia bukunya...
# Inilah buku itu, buku yang memaparkan pengalaman aneh para jemaah yang pernah menunaikan ibadah umrah dan haji. Memang bagus untuk dibaca oleh kita sekarang.
# Kalau anda membacanya, anda pasti tidak akan rugi dan bosan. Kisah-kisah yang dipaparkan membuatkan anda tidak sedar yang anda sudah habis membacanya.
# Mungkin buku ini tidak lagi dijual kerana keluarannya agak terhad. Saya beli buku ini pun tahun 2009. Sampai sekarang, saya sudah membacanya berkali-kali.
# Kisah Diana@ Ana di atas adalah salah satu kisah atau cerita yang tak pernah saya lupa dan menarik sekali bagi saya. Ada lagi dua kisah yang juga membuatkan saya sangat suka ialah cerita 'Siapa Orang Tua Di Raudah?' dan 'Selepas Asar Di Tiang 251'.
# Oleh itu, kalau nak baca, carilah buku ini. Pasti ada!!! Berusaha mencarinya ye.
# Membaca pengalaman mereka, membuatkan saya teringin untuk ke Mekah dan melalui pengalaman pelik seperti ini.
# Nak sangat jumpa dengan Sidratulmuntaha. Mungkin dia bidadari Syurga? Allahualam...
# Carilah buku ini, jika anda mahu memiliki, membaca dan mengetahui kisah para jemaah kita.
# Carilah, jika anda mahu membacanya...
Monday, October 24, 2011
Misteri Keajaiban Dunia
# Buku yang saya sedang baca sekarang. Berusaha menghabiskannya walaupun terdapat banyak istilah sains di dalamnya. Tapi disebabkan perasaan inkuiri tentang keanehan dunia maka saya berusaha memahami makna istilah-istilah sains tersebut. Buat masa ini saya berada di fasa akhir pembacaan dan Insya Allah, tidak lama lagi (mungkin beberapa jam) saya dapat menghabiskannya. Insya Allah...
# Sebenarnya Buku ini saya pinjam dari kawan serumah. Jadi habis sahaja saya mengkhatamkannya, saya wajib memulangkannya.
# Apa yang saya boleh katakan di sini, jika anda membaca, memahami, dan menghayatinya pasti anda akan berasa satu perasaan luar biasa yang lahir dari hati nurani. Saya sudah merasakannya dan akan merasakannya sekali lagi.
# Juga dapat menambahkan Pengetahuan kita tentang susuatu benda atau perkara yang kita tidak tahu selama ini.
# Bacalah, jika anda mahu membacanya...
Sunday, October 23, 2011
Sumber Santapan Rohani, Minda dan Emosi
# Buku yang ditulis oleh penulis Indonesia, Habiburrahman El-Shirazy
# Menjadi Koleksi simpanan saya kecuali novel 'Pudarnya Pesona Cleopatra' dan 'Di Atas Sajadah Cinta.'
# Sangat sesuai dibaca oleh golongan remaja, dan dewasa. Tapi kalau golongan kanak-kanak dan golongan tua nak baca pun tak apa.
# Merupakan novel pembangun jiwa, kerana berunsurkan islamik dan jalan cerita yang lain dari novel di pasaran serta gaya bahasa yang mudah difahami.
# Berlatarbelakangkan negara Timur Tengah dan Asia. Jadi sangat seronok ditelusuri bagi penggemar novel islamik.
# Dikarang oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain
# Juga berada dalam simpanan saya.
# Memaparkan kehidupan tiga bangsa di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India
# Gaya bahasanya sangat mudah dan ada juga bahasanya yang kita tidak pernah terfikirkannya. Bagi mereka yang sukakan penulisan bahasa Melayu baku, bacalah novel ini.
# Kisah fiksyen yang berunsurkan Sejarah
# Menjadi koleksi simpanan saya.
# Memaparkan perjuangan Serikandi Melayu Pertama yang berjaya menawan Lisbon, Portugal yang selama ini tidak pernah kita tahu kisahnya.
# Mengajak pembaca menelusuri kembali sejarah zaman silam, ketika Portugis datang ke Asia Tenggara.
Tinta penulis:
Buku-buku cerita ini merupakan sumber idea untuk menghasilkan karya-karya bermutu bagi mereka yang berminat menjadi penulis bertemakan kemasyarakatan dan keislaman.
# Buku yang saya cari-cari. Sampai sekarang tak dapat-dapat.
# Mahu mencari novel 'Pudarnya Pesona Cleopatra' dan ' Di Atas Sajadah Cinta'.
Thursday, October 20, 2011
Rahsia Disebalik Doa Antara Dua Sujud
Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum
Di sini saya ingin berkongsi kepada anda semua tentang rahsia bacaan duduk antara 2 sujud. rasanya ramai yang hanya membaca kerana wajib tetapi tidak mengetahui maksudnya bukan? kalau begitu berikut adalah maknanya:
1. “Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)”
Diam sejenak, hayatilah maksud ini semasa membuat bacaan. Buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil. Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah. Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan.
Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,
2. “Warhamni (sayangi aku)”
Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima. Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup.
Kemudian, berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.
3. “Wajburnii (tutuplah aib-aibku)”
4. “Warfa’nii (angkatlah darjatku)”
5. “Warzuqnii (berilah aku rezeki)”
6. “Wahdinii (berilah aku petunjuk)”
7. “Wa’Aafinii (sihatkan aku)”
8. “Wa’fuannii (maafkan aku)”
Moga kita bersama-sama mendapat manfaatnya. Salam...
#Dipetik daripada blog seseorang
http://tip-untuk-semua.blogspot.com/2011/02/rahsia-disebalik-doa-antara-2-sujud.html
Labels:
Cinta Sejati dan Cinta Hakiki
Apabila Cahayanya Semakin Pudar
Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apabila cahayanya semakin pudar
maka hilanglah seri indahnya
Apabila cahayanya semakin sirna
maka gugurlah idea dari pohon ilham
walau ilham mencapai angkasa
tapi jika akal gagal mencerna idea
maka ilham itu hanya mampu menjejak tanah
tak mampu menggapai angin
tak mampu mencapai awan
tak mampu mencapai angkasa...
Sastera,
walaupun kita dididik dengan sastera
tapi jika tidak dikembangkan tetap akan hilang sasteranya.
walaupun jenuh kita mencari ilmunya
tapi kalau tidak menghasilkannya tetap akan hilang sasteranya.
walaupun puas kita menulis hatta hanya puisi sekalipun
tapi jika tidak diasah sasteranya maka tetap akan hilang sasteranya.
walaupun puas berbahas tentangnya
tapi kalau tidak mahu memilikinya tetap akan hilang sasteranya.
sebab itulah,
sastera itu perlu dikembangkan, dihasilkan, diasah dan dimiliki
supaya nikmat sastera itu tidak akan pudar bahkan hilang begitu sahaja.
sekian...
#Untuk Insan yang hidupnya dipenuhi dengan sastera
Saturday, October 15, 2011
Tuhan, Izinkan Aku Berjumpa Dengannya
Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum, Malam ini saya tergerak untuk melantunkan pena saya di sini, blog yang biasa-biasa ini. Sebenarnya terdapat banyak perkara yang ingin saya luahkan dan kongsikan kepada anda semua. Tentang hati dan fikiran saya. Banyak, memang banyak! Bukankah hidup ini dipenuhi dengan peristiwa, dipenuhi dengan persoalan dan dipenuhi dengan jawapan? Tapi saya tak mampu mengadun kesemuanya di sini dalam satu-satu masa kerana saya hanyalah hamba-Nya yang juga punya akal yang tidak sempurna. Tidak mampu menyimpan segala maklumat dan juga tak mampu mencerna idea untuk menulis dan mencoretkannya dalam kertas mahupun dalam Microsoft word ataupun melakarnya dalam bentuk lukisan ataupun menulis lirik lagu untuk menyampaikan segala yang termaktub dalam otak dan nurani saya.
Maafkan saya kerana lebih banyak bermukadimah berbanding isinya (seperti kata sahabat-sahabat). Tak apa, nak baca, baca! Tak nak baca. Tak payah. Simple bukan? Saya tidak memaksa orang membaca ‘karangan’ saya ini. Saya tidak kisah jika hanya ada seorang sahaja yang membaca dari berpuluh-puluh bahkan mungkin beratus-ratus pengembara yang mengembara di sini dan saya juga tidak kisah jika tidak ada seorang pun yang membacanya. Kerana saya sudah katakan, nak baca? Baca. Tak nak, tak payah. Anda yang menentukan segalanya. Tapi saya juga ada hak iaitu hak saya untuk menulis di sini. Mencipta blog dan mengisinya dengan perkara-perkara yang saya rasa perlu.
Okey sambung cerita. Kisah nyata? Ya, kisah yang diadun daripada hati dan hasil pemerhatian, penghayatan, pemahaman dan pengalaman dalam kehidupan saya suatu ketika dulu. Saya tergerak hati untuk berkongsi dengan anda semua walaupun saya tahu dalam dunia ini anda juga turut mengalaminya selain saya walaupun bezanya adalah masa, tempat dan keadaan.
Saya lahir dari keluarga yang sederhana. Hidup saya dikelilingi oleh alam dan makhluk Allah yang lain yang tentu sahaja binatang peliharaan kerana memang sejak saya lahir keluarga saya sudah pun memelihara binatang ternak. Kambing, itik, angsa, kucing, burung, ayam, arnab, kerbau, ikan…semualah. Bak kata saya sendiri keluarga saya memang suka memelihara dan menternak haiwan-haiwan ini untuk tujuan-tujuan tertentu. (saya nak cerita tentang inilah sebenarnya…)nak tahu apa tujuannya? Ini dia…
Ayah dan ibu saya menternak kambing, itik, angsa, ikan, ayam, arnab, dan ikan untuk menjadi santapan kami di masa-masa tertentu. Jika kami menginginkan daging kambing, seekor akan disembelih, contohnya begitu. Kerbau pula di ternak untuk membajak sawah padi kami yang berekar-ekar itu. burung pula? Hmmm, di atas atap di luar rumah kami ada sebuah sarang burung pipit yang dihuni oleh dari satu generasi ke satu genarasi makhluk ini. Ayah dan ibu saya sengaja tidak menyentuh dan membiarkannya di situ (sekarang sudah tiada). Macam mana pula haiwan kesayangan rasulullah? Ya, kucing pula untuk menangkap tikus yang datang ke rumah serta untuk menceriakan hidup kami sekeluarga. Lalu di sinilah kisah seriusku bermula…..bacalah jika anda mahu membacanya.
Keluargaku memang sudah membela kucing sejak dari dulu sejak anak sulung keluarga kami lahir. Dalam kampungku ini rasanya rumah kamilah yang paling banyak bela kucing hingga berpuluh-puluh ekor dalam satu-satu masa. ibuku memang sukakan kucing sehingga sebahagian anak-anaknya sukakan kucing. Termasuk aku? ya, termasuk aku. Aku suka bermain dengan anak-anak kucing yang comel-comel itu. Kadang-kadang kami akan berkejaran sesama sendiri. Rasanya hidup tidak cukup bahagia jika tidak ada si haiwan kesayangan nabi ini. Aku cukup suka melihat wajah dan telatahnya. Si comel ini telah banyak membuka hati, akal dan mataku untuk terus mencintai ciptaan Allah SWT. Subhanallah!!! Setelah sekian lama, sejak aku membesar aku memang dambakan seekor kucing yang akan menjadi kucing kesayanganku selama-lamanya walaupun begitu banyak kucing yang terdahulu tapi aku tetap menyayangi kucing ini sama rata. Kadang-kadang aku cemburu apabila melihat adik-adikku bermain dengan kucing kesayangan mereka. Tapi aku? Namun aku percaya suatu hari nanti aku pasti akan mendapat apa yang aku hajatkan. Allah pasti akan memberikan aku. ya, pasti! Akhirnya setelah aku menunggu bertahun-tahun, lalu ketika usiaku mencecah usia remaja, akhirnya Allah perkenaankan harapanku. Alhamdulillah…
Di suatu pagi yang bening, dari perut seekor ibu kucing berwarna putih diberi nama cuki, lahirlah seekor anak kucing yang sangat comel berwarna keperang-perangan. Dia anak tunggal. Hanya seekor. Tidak ada adik-beradiknya. Seumur hidupku tidak pernah aku melihat seekor ibu kucing melahirkan seekor anak. Tidak dua atau tiga atau enam, seperti yang selalu aku lihat. Mungkin inilah anugerah yang Allah berikan khas untukku. Alhamdulillah, syukur. Aku bersyukur kepada-Nya. Secara tiba-tiba juga Allah lahirkan suatu perasaan di dalam hati aku untuk memilikinya. Menjadikanya sebagai Makhluk Tuhan yang paling aku sayang di dunia. Aku ingin menyayanginya seperti mana Rasulullah menjaga dan menyayangi kucing kesayangannya.
Si anak kucing ini aku namakan ‘Perang’ kerana melihat kepada warna bulunya. Perang membesar seperti mana anak kucing yang lain. Cukup lincah dan cukup manja. Kerana kerap dipanggil dengan nama perang akhirnya dia sudah sebati dengan namanya. Jika aku panggil namanya, dia akan terus menoleh dan berlari kepadaku. Begitu juga jika orang lain memanggil namanya. Aku juga selalu tidur bersamanya. Tidak berenggang sedikit pun. Kadang-kadang si perang akan mendaki tubuhku ini saat aku sedang menyulam mimpi indah. Kadang-kadang juga apabila aku tersedar esok paginya, dia tidur dengan lena di ribaanku. Aku pun tidak tahu macam mana dia boleh masuk ke dalam selimut. Tapi aku tidak marah. Setiap kali dia tidur di ribaanku, aku akan tersenyum. Mengusap tubuhnya yang lembut hingga terlena. Aku cukup suka melihat matanya yang berwarna perang dan ekornya yang kontot kerana ekornya yang bengkok.
Malah dia cukup suka bergayut di bahuku apabila aku dan keluargaku pergi ke bendang. Aku akan membawanya bersama-sama. Kadang-kadang aku biarkan dia berjalan sendiri. Sanggup menunggu di sana dari pagi hingga petang. Dia juga pandai merajuk. Jika aku memukulnya, dia tidak akan tidur bersamaku hinggalah aku memujuknya.
Tidak keterlaluan aku katakan, perang juga kucing kesukaan keluargaku kerana mudah diurus dan tidak senakal kucing-kucing yang lain. Tapi ini tidak bermakna aku tidak sayang dengan yang lain. Aku tetap sayangkan mereka semua kerana merekalah yang membahagiakan aku, menceriakan hidupku, melindungi keluargaku dan yang paling penting melembutkan hati aku dan adik-beradiku untuk menyayangi binatang. Kucing-kucing ini juga punya banyak sejarah dalam hidup keluargaku cuma di sini aku hanya tulis dan tumpukan tentang kisah si perang. Ada satu perkara yang membuatkan perang cukup istemewa di hatiku, dia tidak akan sesekali-kali pergi meninggalkan anak-anaknya sebelum mereka kenyang walau macam mana keadaannya. Dia juga tidak pernah tidak menyusui anak-anak walaupun sekali setiap kali dia melahirkan zuriatnya. Serta dia tidak akan memindahkan anak-anaknya ke tempat lain setelah bosan dengan tempat asalnya. Perang tetap melahirkan anak-anaknya di situ, di tempat yang disediakan hinggalah mereka membesar, pandai berlari dan bermain.
Suatu hari aku mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran jauh ke bumi semenanjung. Aku meninggalkan si perang bersama adik-adikku. Malah sebelum aku pergi, aku sempat memberi ceramah kepada adik-adikku supaya menjaga si perang sebaik-baiknya. Adik-adikku setuju dan aku berasa lega. Hati aku tidak perlu risau lagi. Aku percaya dengan adik-adikku. Berbulan-bulan lamanya aku tidak berjumpa dengannya walaupun rindu sering melingkari hatiku. Aku juga tidak nafikan, selalu aku tidak terfikir langsung tentangnya kerana seronok bersama rakan-rakan di sini. Tapi setiap kali aku balik kampung aku pasti akan mencarinya. Masuk sahaja di rumah, perang adalah insan pertama yang aku cari hinggalah…
Suatu hari, aku balik kampung untuk kesekian kalinya. Aku tidak nampak perang tapi aku tidak pula mengsyaki apa-apa. Seminggu di kampung, aku tidak nampak batang hidungnya dan aku pula tidak bertanya. Masuk minggu kedua aku bertanya kepada adik-adikku. Di mana perang? Aku menangis semahu-mahunya apabila mendengar khabar daripada adikku bahawa si’ Hurairah’ku ini telah meninggalkan dunia fana ini selama-lamanya, dimakan oleh anjing peliharaan jiranku. Di depan adik-adikku, aku tidak menangis. Aku cuba menabahkan diri. Selama sebulan aku memaksa diri untuk tidak menangisi si perangku, tetapi apabila aku kembali ke sini, di kolejku, aku tidak mampu menahan kesedihanku. Saat itu aku kembali mengenangkan semua saat-saat indah aku bersamanya. Saat tragis aku bersamanya. Bagaimana dia mampu kembali ke rumah sendirian walaupun keluargaku sudah membuangnya jauh ke dalam hutan. Meninggalkan saudara-saudaranya berjuang sendirian di hutan rimba itu. Di sini juga terdapat peristiwa hitam yang tak mampu aku kongsikan. Dalam tiap sujudku, aku memohon kepada-Nya agar memberikan aku keizinan untuk menatapnya buat kali terakhir walaupun juah di sudut hatiku, aku harap sangat khabar itu tidak benar. Mana mungkin Perang sudah mati. Aku mahu menunggunya pulang ke rumah. Tapi ya, aku terpaksa akur juga dengan takdir illahi. Perangku, si ‘syamimi’ ku sudah tiada.
Aku teringat tahun lalu ketika aku balik ke kampung, aku melihat si perangku ini telah banyak berubah. Badannya sudah kurus. Dia juga tidak lagi menoleh tatkala aku memanggil namanya. Aku juga teringat beberapa minggu sebelum khabar berita ini sampai padaku, aku bermimpi berjumpa dengannya. Dalam mimpiku, aku bermain dengan banyak kucing tetapi dalam banyak-banyak kucing aku tetap setia dengan si perang. Aku memeluknya kemudian melepaskannya. Setelah itu dia pergi tanpa menoleh ke arahku lagi. Aku memanggil namanya tapi dia tetap pergi. Jauh, jauh dan terus jauh dariku. Saat aku terjaga, pelbagai perasaan melandaku. Sedih, pilu dan gembira. Akhirnya aku berjumpa juga dengannya walaupun kami dipisahkan oleh lautan dan benua.
Tetapi, tidak sangka mimpi itu punya maksud yang tersirat. Mimpi itu merupakan petanda bahawa Perang tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Bertahun-tahun lamanya aku memujuk hatiku, hingga saat ini tetapi sampai akhir hayatku aku tidak akan pernah melupakannya. Perang, adalah kucing pinjaman Allah SWT yang pertama dan terakhir untukku. Kekadang apabila aku membaca kisah tentang kucing, aku pasti akan teringatkan perang. Aku teringat kisah seorang anak yang teringin mahu berjumpa dengan kucing kesayangnya bernama putih yang sudah mati. Akhirnya Allah perkenaankannya apabila dia pergi ke tanah suci bersama ibunya. Di tanah suci dia berjumpa dengan putih yang berjalan di celah-celah ribuan manusia kemudian hilang sekelip mata. Kisah ini membuatku menangis dan yakin bahawa aku juga pasti akan bertemu dengan perang. Kucing yang aku sayang sepenuh hatiku. Jika bukan di dunia aku berharap agar Allah izinkan aku untuk berjumpa dengannya di akhirat kelak. Selalu, apabila aku sendirian aku akan terbayang bagaimana kehidupan perang di alam sana. Sekarang sudah hampir tiga tahun perang meninggalkan aku namun aku tidak akan pernah melupakannya. Perang…..
Ya Allah, Ya Khalik,…Tuhanku, aku sangat merindui ‘kesayanganku’ ini. Izinkan aku untuk berjumpa dengannya…
# Saat aku menulis kisahku dengan perang, air mataku mengalir, mengingat semua kenangan aku bersamanya.
# Aku sangat merinduinya. Tuhan! Tolong izinkan aku untuk bertemu dengannya walaupun hanya dalam mimpi.
# Ya Allah, pertemukanlah aku dengan ‘Hurairah’ku ini di saat aku menghadapi kehidupan di sana nanti.
# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka.
14 Oktober 2011 (Sabtu)
Tuesday, October 11, 2011
Kalam Indah-Nya
Sesungguhnya Allah SWT mengajak kita untuk selalu bertafakur pada kekuasaan dan kebesaran-Nya melalui kitab suci al-Karim (Al-Quran):
Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).
(Surah Al-Yunus: Ayat 101)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;
(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.
(Surah Al-’Imran: Ayat 190-191)
Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).
(Surah Al-Yunus: Ayat 101)
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;
(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.
(Surah Al-’Imran: Ayat 190-191)
Berfikir Sesaat Lebih Baik Daripada Beribadat 70 Tahun
Suatu hari seorang sahabat Nabi SAW, Miqdad Ibnu Al-Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah r. a, lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad: “ Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu terlebih baik daripada beribadat setahun”
Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad “ Aku mendengar bahawa rasulullah SAW memberitahu kepadaku, barang siapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun.”
Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi, kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza. Lantas baginda mengadukan hal ini kepada baginda Nabi SAW. Baginda mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas berjumpa dengannya, baginda bertanya kepada Abu Hurairah: “ Bagaimana cara engkau berfikir?” Jawab Abu Hurairah: “ Aku memikirkan tentang tujuh petala langit dan bumi (mendatangkan rasa keagungan kepada Allah dalam diri)”.
Maka jawab baginda: “ Benar, engkau mendapat berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.” Sabdanya lagi, “ Telah turun al-Quran kepadaku, rugilah bagi mereka yang membaca al-Quran tapi tidak memikirkannya.”
Lalu baginda bertanya pula kepadan Ibnu Abbas tentng apa yang difikirkannya. Jawab Ibnu Abbas: “ Aku memikirkan tentang kematian dan huru-haranya saat itu.” Lalu baginda menjawab: “Benar, berfikir begitu maka engkau mendapat kelebihan sesaat berfikir maka terlebih baik daripada beribadat 7o tahun.”
Monday, October 3, 2011
Suatu Ketika
Subscribe to:
Posts (Atom)