Saturday, November 13, 2010

KISAH TELADAN - KISAHKU DENGAN 4 EKOR KUCING DAN BERATUS-RATUS MANUSIA

Saya ada satu kisah. Kisahku dengan empat ekor kucing dan erti menjaga perasaan. Begini, tengah hari tadi, saya terdengar anak kucing mengiau agak kuat di dalam kolej saya. Kemudian terdengar pula ibunya membalas panggilan anaknya. Ketika itu saya berada di dalam bilik dan seperti biasa saya tidak menghiraukannya. Ketika saya pergi membeli makanan saya nampak semua lubang di dalam kolej kami telah ditutup oleh bata. Maknanya tak ada chanlah kucing nak masuk ke dalam kolej kami yang mempunyai sembilan tingkat ini. Saya buat tidak kisah dengan apa yang saya lihat.

Ketika maghrib, suara kucing mengiau tidak kedengaran tetapi selepas Isyak, suara anak kucing mengiau kembali bergema di segenap ruang bangunan ini. Agak kuat dan jelas disusuli pula sahutan ibunya. Mendengar suara itu, saya jadi terfikir, mesti ada sesuatu yang tidak kena ini? mungkin ibu kucing itu tidak dapat masuk ke dalam disebabkan semua lubang sudah ditutup. Ketika ini, saya terfikir tentang lubang-lubang yang saya nampak tengah hari tadi. Bila saya amati, sah, anak kucing itu berada di dalam manakala ibunya berada di luar. Entah kenapa, tiba-tiba, saya tergerak hati untuk menyiasatnya dan menolong anak kucing itu jika benar mereka berada dalam kesusahan. Maka saya memakai baju dan tudung lantas mencari di manakah anak kucing itu berada. Akhirnya, Alhamdulillah, saya dapat juga jumpa anak kucing tersebut. Ada tiga ekor dan semuanya sangat comel. Dengan mata yang besar dan bersinar seakan meminta simpati kepada saya untuk membantu mereka. Tapi yang bersuara tadi cuma seekor sahaja. Rupanya anak kucing itu dekat saja dengan rumah saya (berada di rumah hadapan). Tadi punyalah saya mencari hingga ke tingkat empat, rupanya mereka berada di depan mata.

“ tunggu ye” entah kenapa saya cakap macam ni macamlah kucing tu faham. Saya turun ke bawah mencari ibunya. Di hujung tangga tepi kafeteria, saya ternampak ibunya sedang duduk. Setia menunggu jika ada insan yang sudi menolong untuk menemukan dia dengan anaknya yang tersayang. Saya angkat badannya. Ya Allah, puting susunya sudah mengeras dan membengkak kerana air susunya sudah lama tidak disusui oleh anak-anaknya. Dalam fikiran saya, mesti ibu kucing ini berasa sakit apabila puting susunya dipegang. Tapi saya tidak ada pilihan dan terpaksa memegangnya. Bila saya angkat sambil kedua tangan saya menyentuh susunya, saya berasa hairan kerana ibu kucing ini tidak mengerang tanda kesakitan padahal setahu saya bila susu membengkak kerana tidak disusui seharian, mesti akan berasa sakit tidak kira manusia atau binatang. Entah mengapa, tiba-tiba saya jadi bersemangat untuk membantunya.

Saya lantas membawanya ke dalam untuk berjumpa dengan anak-anaknya. Orang di sekitar saya hanya memandang saya tetapi saya tidak hiraukan mereka. Biarkanlah, jika mereka geli dengan apa yang mereka lihat saya tidak kisah. Bila saya bawa ibu kucing ini jumpa dengan anak-anaknya tiba-tiba ketiga-tiga anak kucing itu mengeram bagaikan ibu kucing itu sangat asing di sisi mereka. Ibu kucing itu juga turut mengeram sama menandakan anak-anak kucing itu bukan anaknya. Saya jadi buntu. Aduh macam mana ni. Rupanya tanggapan saya salah dan saya perlu mencari anaknya yang sebenar sampai dapat. Mungkin anak kucing itu sekarang ada ibu di dalam rumah itu. Otak saya sudah mula memikirkan yang bukan-bukan walhal saya tahu rumah depan rumah saya ini tidak ada penghuni.

Lantas saya bawa ibu kucing ini ke tingkat atas. Suara anak kucing mengiau sudah lama hilang. Keadaan menjadi sunyi sepi. Saya sudah hilang arah untuk mencari keluarganya kerana petunjuknya sudah tidak ada. Entah berapa tingkat saya naik, tiba-tiba ibu kucing ini melepaskan diri dari tangan saya dan berlari ke tengah koridor dan mendaki penghalang antara koridor dengan tempat jemuran pakaian. Sekarang ibu kucing itu berada di atas dan matanya melihat ke bawah. Dalam masa yang sama, anak kucing yang berada di bawah mengiau dan dibalas oleh ibu kucing ini. Ibu kucing ini sudah tidak tentu arah. Akhirnya saya dapat tahu bahawa ibu kucing ini adalah ibu kepada anak-anak kucing yang berada di depan rumah saya. Saya pun membawanya ke arah anak-anaknya. Cuma dalam hati saya berasa hairan, kenapa ketika mereka berjumpa tadi, masing-masing seperti tidak mengenali antara satu sama lain? Hmm, entahlah, saya pun tidak tahu. Hanya keluarga si kucing ini sahaja yang tahu.

Apabila si ibu dekat dengan anak-anaknya, dengan manja dan riang ria, ketiga-tiga anak kucing itu terus meluru ke arah ibu mereka dan mengomol susu ibunya. Menghisap puting susu ibu mereka yang sudah sehari tidak dihisap. Si ibu pula menjilat manja belakang anak-anaknya satu persatu. Hati saya tersentuh. Rasanya air mata ini mahu luruh jatuh ke pipi jika saya tidak menahannya. Perasaan saya juga berasa lega bercampur gembira bila melihat pertemuan yang indah ini. Kala ini saya kembali terbayang wajah si anak kucing ini ketika pertama kali saya melihat wajahnya tadi. Di sebalik kecomelan mereka, ada sesuatu yang tersembunyi. Ya, ingin minta dikasihani dan orang yang mengasihani itu adalah yang bernama manusia. Siapa lagi bukan jika bukan manusia.

Kerana kucing tidak boleh masuk ke dalam, maka saya meminta rakan serumah saya membantu saya membawa keluarga si kucing ini ke bawah. Semoga Allah s.w.t merahmati sahabat saya ini dan membalas budi dan jasanya. Kami membawa mereka berempat ke bawah bangunan dan meletakkan di suatu sudut berdekatan dengan tempat si ibu menunggu tadi. Berdekatan dengan tangga di hujung bangunan. Kami membaringkan si ibu kucing dan anak-anaknya menghisap susunya dengan rakus. lapar, kerana seharian tidak menjamah nasi dan susu. Saya dapat melihat kegembiraan di mata si keluarga kucing ini serta melalui tingkah laku mereka. Melihat gelagat mereka, sekali lagi saya jadi terharu.

Saya berasa kekuasaan Allah yang menciptakan makhluk-makhluknya dan melahirkan kasih sayang dalam setiap makhluknya. Saya raba puting susu si ibu kucing itu. Susunya yang bengkak tadi, sudah mengecil dan lembik. Saya tersenyum. Gembira. Ketika inilah, saya teringatkan kucing kesayangan saya bernama “Perang” yang telah meninggal dunia setahun yang lalu di kampung. Mengingatkan itu, saya berasa sedih. Ya Allah, aku betul-betul merinduinya. Kemudian satu-satu ingatan saya memfokus kepada anak-anak kucing keluarga saya di kampung yang dibuang oleh keluarga saya yang entah ke mana tempatnya. Yang tinggal hanya ibunya sahaja. “ Ya Allah, alangkah kejamnya kami ketika itu.” Saya mahu menangis mengenangkannya tetapi apabila melihat Sahabat saya ada di sebelah, saya cuba menahan air mata ini dari mengalir keluar dari kolam mata.

Sahabat saya kembali ke rumah, dan saya pula menonton tv di bawah. Bila teringat anak kucing dan si ibu kucing itu, saya pergi semula ke tempat mereka. Saya belai bulu si ibu dan si anak yang comel itu. Saya cium si ibu itu. Saya tidak kisah dia kotor atau tidak kerana ketika di kampung dulu pun, saya ada banyak kucing yang sama keadaannya seperti si kucing ini. Biarlah mereka kotor atau tidak, yang penting saya tetap sayangkan binatang kesayangan Baginda Rasulullah ini. Ketika saya dan sahabat saya mengangkat mereka ini tadi pun, saya tahu, ada antara penonton drama sebabak ini yang berasa geli. Saya tak kisah. Sebenarnya haiwan inilah yang banyak mematangkan kita dan mengajar kita tentang erti kasih sayang sesama makhluk. Jika anda semua berada di tempat saya ketika ini pun, pasti anda juga akan merasai apa yang saya dan sahabat saya rasa. Pasti. Yakin. Ia bukan datang secara terpaksa tetapi dengan rela, perasaan itu akan hadir dalam diri anda semua, para pembaca kisah saya ini. Drama sebabak.

Bila saya balik ke rumah, saya gembira kerana tiada lagi suara anak dan ibu kucing mengiau bagaikan meminta simpati dari orang ramai untuk menemukan mereka menjadi satu keluarga semula. Saya gembira kerana saya telah melakukan satu tindakan yang betul. Menemukan sebuah keluarga yang bahagia kembali bersatu. Saya tahu, si ibu dan anak-anaknya, mahu mengucapkan terima kasih cuma mereka tidak dapat bercakap seperti manusia tetapi dari renungan mata mereka, saya tahu apa yang ada di hati mereka. Tahukah anda semua, kejadian ini telah membuatkan saya terfikir sesuatu. Walaupun baru beberapa jam peristiwa itu berlaku tetapi saya telah mendapat sesuatu yang hendak saya kongsikan kepada anda semua untuk kita sama-sama fikirkannya. Ya, antara menjaga hati seekor makhluk Allah s.w.t yakni binatang dengan manusia. Yang mana perlu didahulukan? Jika saya biarkan ibu dan anak kucing itu tinggal dalam bangunan, bagaimana pula dengan perasaan pekerja-pekerja kolej yang bertungkus lumus mencari bata dan jaring untuk menutup lubang di seluruh bangunan ini supaya kucing tidak masuk? Tapi, jika saya biarkan si kucing ini tinggal di luar, di manakah mereka akan tinggal dalam keadaan hujan dan ribut di luar itu? Dengan kesejukan alam dan hujan yang turun tentu mereka tidak ada tempat yang selesa untuk tidur.

Tetapi jika saya biarkan mereka tidur di dalam pula tentu ada penghuni kolej yang tidak suka dan senang kerana, si makhluk Allah s.w.t ini suka membuang kotoran dalam badan mereka merata tempat. Perasaan manakah yang perlu dijaga? Keluarga si kucing ini atau perasaan pekerja kolej dengan penghuni-penghuni kolej yang berjumlah beratus-ratus orang itu? hati manakah yang perlu dijaga? Apakah tindakan saya betul? Membiarkan si haiwan lemah ini tidur di luar tanpa ada sebuah kotak atau sehelai kain untuk memanaskan badan mereka yang kesejukan? Yang manakah hati yang perlu dijaga?

Persoalan saya ini saya tanyakan pada anda semua, para pembaca kisah saya ini. Kalau anda, yang mana hati yang perlu dijaga? Si kucing itu atau insan yang bernama manusia?

S. Hana Ak
05 November 2010 (Jumaat)
12.12 Pm
KHAR, UPSI

No comments:

Post a Comment