Saturday, July 21, 2012

Catatan Di Bulan Ramadhan


Bismillahirahmanirrahim

Assalamulaikum

Hai pengembara blog saya? Apa khabar semua? Harap kalian semua berada dalam keadaan yang sihat selamanya. Amin…

Hari ini adalah hari kedua kita menyambut bulan ramadhan, semoga kita berani dan yakin serta istiqamah dalam mengharungi cabaran yang akan Allah swt turunkan kepada kita sepanjang bulan ramadhan ini, lebih-lebih lagi ujian nafsu (mata, hati, bibir, telinga, hidung dan yang berkaitan dengannya) amin…

Cuba teka dalam al-Quran, berapa kali perkataan ‘Ramadhan’ disebut oleh Allah? (sumber: dari radio IKIMFM) kalau nak tahu jawapannya, selaklah al-Quran ye ataupun tanyalah kawan-kawan yang arif tentang al-Quran.

Baiklah, habis pasal teka-teki, sekaarang ni beralih pula kepada perkara yang ingin saya sampaikan. Berbicara tentang ramadhan atau puasa ini, ia mengingatkan saya tentang kisah silam. Selama 25 tahun saya hidup di dunia ini, saya dan mungkin anda semua telah mengalami empat kali suasana ramadhan yang berbeza tempat, masa dan rupa iaitu ketika zaman masih kecil, remaja, ketika belajar di university dan setelah hidup di alam pekerjaan.

Dulu, ketika saya masih budak hingusan, saya teringat, masa bulan puasa, orang lain puasa penuh sehari tapi saya hanya setengah hari, kononnya tak tahan. Kemudian tahun depan pula cubalah nak puasa penuh tapi biasalah zaman budak, perut asyik kena angin jadi terpaksalah mak suruh buka tengah hari.

“ mak, dapat pahala tak kalau kita puasa sampai tengah hari je?”

“ dapat, kamu masih budak lagi, kalau tak tahan tunggu sampai petang, sampai tengah hari pun dah cukup. Nanti esok kalau tahan buatlah sampai petang.”

Kesimpulannya tengah hari itu perut saya jadi kenyang-sekenyangnya. Kemudian esoknya cuba puasa penuh walaupun sengsara menunggu pukul 6 petang tapi kerana adanya motivasi dari keluarga maka akhirnya dapatlah saya satu hari puasa penuh.

“ mak, saya nak makan lah, lapar!”

“ ai, dah pukul 3 ni, tahanlah sekejap, tak lama lagi nak buka.”

“ pukul berapa?”

“ pukul 6 lah, takkan itu pun tak boleh tahan. Saya pun puasa tau.” Kakak saya memang suka menyampuk. Emak hanya tersenyum.

Kemudian bila dah biasa puasa penuh perkara ini pula yang berlaku.

“ kak, boleh ke kita telan air liur masa puasa?”

“ mana boleh, batal kalau telan air liur.”

“ jadi macam mana,”

“ ludahkan saja. Jangan telan, nanti batal, sia-sia je puasa satu hari.” kerana takut batal puasa, maka hampir setiap minit asyik meludah sahaja hinggakan air liur pun kering.

Bila air liur kering satu masalah pula sampai iaitu dahaga. Bila ini berlaku, seksa nak tahan nafsu minum tu memang terasa akhirnya jalan penyelesaian ialah tidur. Harap-harap bila bangun dah pukul 6, boleh terus berbuka. Tapi kadang-kadang lain pula jadinya, bila bangun je dari tidur yang mulanya dari pukul 11 pagi dan bangunnya pukul 3 petang, rasa seksa pula nak tunggu untuk berapa jam. maka pergilah mandi dulu, ketika nak mandi, dalam hati berdoa harap-harap terminum air tanpa sengaja. Walaupun sedikit jadilah.

Masa nak solat tarawih pula ada juga kenangan yang terindah, sampai sekarang tak boleh lupa, kalau ingat balik memang lucu. Rasa kelakar pula bila mengingatkan kenakalan masa kecil-kecil bila bulan ramadhan menjelang tiba.

Selalunya waktu solat tarawih di surau kampung saya yang tak berapa besar dan berdindingkan papan, kanak-kanak akan duduk di saf belakang sekali, jadi makmum. Kalau perempuan di bahagian perempuan, kalau lelaki di bahagian lelaki. Masa orang tua khyusuk sembahyang tiba-tiba, keluarlah bunyi dan bau yang tidak menyenangkan, yang tuannya tidak diketahui, maka kami yang berada di belakang sekali adalah orang pertama sekali yang akan gelak. Kadang-kadang masa orang tua sujud pun kami tak sujud, lebih suka tengok punggung imam dan makmum lelaki. Masa itu memang macam-macam warna kami boleh nampak. Seringkali juga, lebih suka bermain sambil solat. Habis solat terawih, ada pula moreh, dan inilah sebenarnya yang saya dan kengkawan tunggu. Rajinnya nak solat tarawih itu kerana faktor inilah.

Apabila badan dah bertambah naik, umur pula dah meningkat remaja dan tahu sedikit pasal hukum hakam bab puasa dan solat tarawih ini, maka saya lebih menghargai setiap puasa dan solat tarawih yang ditunaikan sebaik mungkin. Kalau boleh mahu puasa penuh sebulan. Tiada lagi peristiwa masa kanak-kanak dahulu. Pasal air liur itu pun sebenarnya boleh telan bukannya diludah. Kalau boleh tidak mahu cuti seminggu (hanya untuk perempuan) tapi terpaksalah kalau Allah swt dah tentukan. Rasanya perkara-perkara lucu akan berlaku apabila berada di sekolah. Zaman remaja merupakan zaman di mana kita akan memperolahi maklumat daripada alam sekeliling, kawan-kawan, bahan bacaan, guru dan macam-macam lagi. Walaupun masih terkurung ibarat ‘katak di bawah tempurung’ tapi keadaan ilmu yang diperolehi dan suasananya sudah pun berbeza.

Kemudian apabila dapat menyambung pelajaran di universiti pula, suasana bulan ramadhan lagilah berbeza. Rasanya zaman ini merupakan kegemilangan ramadhan buat saya. Walaupun berjauhan dari keluarga, kampung halaman dan sebagainya tapi saya rasakan bulan ramadhan ketika itu adalah ramadhan saya yang paling indah sehingga saya merinduinya sampai sekarang (inilah yang mendorong saya untuk menukilankan kisah ini) bagaikan terbayang di hadapan mata, saat solat tarawih beramai-ramai di dataran kolej yang berbumbungkan langit, bertemankan bulan dan bintang, bersahabat dengan pokok dan angin, solat tarawih bersama rakan-rakan, saudara seagama. Kadangkala membuatkan saya berasa berada di hadapan Kaabah. Indah dan suci.

Masih ternyiang-nyiang suara muazin mengumandangkan azan dengan penuh merdu, alunan suara imam mengalunkan surah-surah al-Quran dengan lenggok dan melodi yang cukup merdu dan mendayu-dayu serta doa-doa yang di bacakan oleh imam dan diaminkan oleh kami sebagai makmumnya bersama titis air mata yang jatuh ke telapak tangan saat menadah tangan berdoa dan mengaminkannya. Sungguh, saya merindui saat-saat begini. Saya rindukan doa yang membawa saya dan para sahabat mendekati Allah swt. Saya rindukan tangisan imam yang begitu ikhlas mendoakan kesejahteraan saudara-saudaranya di dunia bahkan akhirat. Saya rindukan keadaan di mana saat imam menangis sewaktu membacakan doa, kami sebagai makmum-makmumnya juga turut menangis sambil mengaminkan, memohon supaya Allah makbulkan doa kami. Bagaikan waktu ini kami sama-sama mengharapkan keredhaan Allah, mengharapkan agar Allah ampunkan segala dosa hamba-hamba-Nya. Mengharapkan agar Allah memberkati dan meredhai setiap kehidupan hamba-hamba-Nya.

Saya juga terkenangkan suasana waktu berbuka puasa di mana rakan serumah tidak kira bangsa akan berbuka bersama-sama. Sedekah-menyedekah bersama-sama. Bergelak tawa bersama-sama, mengeratkan silaturrahim saudara seagama walau dari bangsa yang berlainan. Kadang-kadang, juadah berbuka juga turut disedekahkan kepada rakan bukan muslim., makan bersama mereka. Saling menghormati antara satu sama lain. Alangkah indahnya waktu itu. 6 tahun lamanya titi kehidupan ramadhan saya gemilang sebelum ianya pelahan-lahan berubah kepada sesuatu keadaan yang saya sendiri tidak pasti tapi akan kekal selagi saya masih hidup.

Sekarang, ramadhan kali ini adalah ramadhan pertama buat saya setelah berakhirnya era belajar dan bermulanya era pekerjaan. Memang fenomenanya agak berlainan. Sekarang saya akan melalui ramadhan ini dengan rakan serumah (suasana berbuka sama), Cuma yang bezanya ialah ketika solat tarawih di mana saya berada di tengah-tengah ruang lingkup manusia yang mempunyai pelbagai peringkat umur, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Sekali pandang ia bagaikan kesimpulan titi kehidupan saya. Saya tertunggu-tunggu, tangisan imam sewaktu dia membacakan doanya yang akan mengoncangkan emosi saya sebagai makmum dan manusia namun rupanya saya tersilap. Sebelum solat witir saya sudah pun keluar dari surau kerana bilangan rakaat yang dikerjakannya agak banyak iaitu 20 rakaat berbanding ketika saya masih di universiti dahulu iaitu hanya 8 rakaat. Kerana sudah biasa solat tarawih 8 rakaat kemudian solat witir 3 rakaat, saya tidak mampu menunggu sampai 20 rakaat dan solat witir 3 rakaat. Makanya saya ambil keputusan untuk mengerjakan solat witir di rumah sahaja.

Tapi saya bersyukur kerana saya masih dapat menjalankan ibadah ini sekaligus doa saya dimakbulkan oleh Allah Swt. Semoga saya dapat menjalani ramadhan ini dengan penuh istiqamah. Doakan saya ye. Tapi lebih baik kita sama-sama berdoa untuk saudara dan diri sendiri. Amin…