Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum
dan selamat sejahtera,
Hari
ini tiba-tiba saya teringat mak saya. Gemulah ibu. Yang sudah pergi menghadap
Illahi berbelas tahun yang lalu, saat saya berumur 10 tahun. Sebenarnya saya
rindukan masakan ibu. Saya rindu ibu masak ikan talapia garing. Masakannya cukup
mudah tapi sangat sedap. Letak ikan dalam kuali, letak perencah dan air
kemudian biarkan beberapa minit hingga air itu kering dan ikan itu terasa
garing lembut. Masa kecil-kecil dulu,
inilah lauk yang cukup sedap. Saya tahu ibu dan ayah cukup suka dengan cara
macam ini. Ibu cukup pandai dalam memasak. Walaupun sangat ringkas dan mudah
tapi bagi saya itulah makanan yang paling sedap sekali di dunia.
Kadang-kadang
cukup letak garam dan ajinomoto pun, bagi saya ia sudah cukup membuat selera
saya bertambah. Makan nasi tidak cukup sepinggan. Mesti bertambah. Pernah sekali,
kami dapat ikan sebesar dua telapak tangan orang dewasa. Ayah memotongnya cukup
untuk kesemua anak-anaknya dan ibu kemudian menggorengnya. Sampai sekarang saya tidak tahu adakah ibu dan
ayah juga ada bahagian mereka sendiri? Atau mereka rela makan nasi tanpa lauk
untuk membuatkan perut kami kenyang. Hari ini saya mengaplikasikan seperti mana
cara ibu dan ayah buat dulu. Semalam saya beli enam ekor ikan talapia kerana
sudah lama saya mengidamkannya. Rasanya?
Hmm, kena banyak berlatih lagi.
Sesungguhnya
banyak kenangan saya bersama gemulah ibu. Pernah suatu hari saat ibu masih
sihat ke sana sini, saya ikut ibu pergi mencari kerbau yang lari dari tambatan
di sebuah tempat yang jauh dari rumah. Saya pernah katakan dulu bahawa ibu
seorang wanita yang rajin. Sangat rajin. Itulah ibu saya. Bahkan saat
kepergiannya, begitu ramai yang terasa kehilangan ibu. Ibu tinggalkan saya di
suatu tempat dengan pesanan “ Tunggu sini, jangan pergi mana-mana. Kejap lagi
saya datang.” Ketika itu hujan turun dengan lebat.
Namun
Ibu tetap mencari kerbaunya dan saya menunggu kedatangan ibu dalam ketakutan
ditinggalkan keseorangan dengan keadaan cuaca yang mula menggelap. Kepulangan
ibu bersama kerbaunya saya sambut dengan tangisan kegembiraan. Dan sampai
sekarang saya tidak tahu macam mana ibu boleh cari kerbau itu seorang diri. Boleh
dikatakan ibu punya kepakaran dalam menangani apa-apa juga keadaan. Benar. Sampai
sekarang kebenaran itu saya akui. Bahkan hingga hujung nyawa saya.
Zaman
saat bersama ibu sangat indah untuk dikenang. Memori-memori itu terakam kejap
di minda saya. Suatu hari yang sangat indah untuk diingat kembali adalah saat
ibu dan ayah membawa saya, seorang kakak saya dan adik saya pergi ke Kota
Kinabalu. Kami bertiga memakai baju yang sama. Sekali imbas bagaikan kami
adalah saudara kembar. Itu kata orang lain yang melihat kami masa itu. Warnanya
hijau berbunga kecil. Ibu yang menjahitnya. Ibu memang mahir dalam menjahit
baju. Bahkan ibu juga mahir dalam bidang kraftangan dan anyaman. Itulah ibu
saya. Ibu yang saya sayang sepenuh hati. Dunia dan akhirat. Moga ibu sentiasa
bahagia di syurganya Allah. Itu doa saya pada ibu. Moga Allah SWT izinkan saya
untuk bertemu ibu walau hanya di alam mimpi. Dan suatu hari nanti moga saya
akan bertemu ibu di sana nanti. Saat dunia saya sudah berbeza dari yang
sekarang. Dunia alam abadi.
Jika dihitung satu persatu, tiada satu pun saat bersama ibu terasa
pahit. Semuanya manis dan kekadang apabila mengimbas kembali air mata akan
berderai satu-satu. Sungguh terasa dengan kehilangannya. Namun kata orang bersabarlah
atau bertahanlah ketika orang yang kita sayang akan meninggalkan kita. Bahkan suatu
hari nanti diri ini juga akan pergi. Seperti mana kita rasakan saat kehilangan
orang yang disayang, begitu juga orang lain akan rasakan nanti. Maka hadapilah
seadanya. Kehilangan ibu telah merubah hidup saya dan adik beradik seratus
peratus.
Tiada lagi yang ikhlas membasuh baju kami, tiada lagi yang ikhlas
menyediakan makan minum kami, tiada lagi yang ikhlas membebel itu dan ini saat
kami bermain hujan di laman. Malah tiada lagi kelibat ibu yang setiap pagi
bersama ayah akan keluar rumah untuk menyediakan makanan kepada ayam, itik,
ikan kerbau, angsa dan binatang ternakan lain. Bahkan tanaman seperti ubi kayu dan
padi juga pasti akan merindui ibu. Hutan belantara juga pasti tertunggu-tunggu
kedatangan ibu mengutip kayu api demi kelangsungan hidup. Dan kami, ayah,
kakak, adik, abang dan saya telah kehilangan cinta hati yang paling banyak
berjasa. Paling banyak berkorban. Paling banyak itu dan ini. Sungguh, kenangan
pahit di sebalik manisnya adalah apabila ibu pergi dari hidup kami sekeluarga.
Masih terbayang-bayang di minda ini hari ibu pulang ke rumah
setelah beberapa minggu berada di hospital. Hari ibu pulang dalam keadaan ibu
tidur dengan tenang sekali. Subhanallah, mengingatinya bagaikan baru semalam
ibu menasihati saya, berpesan kepada saya supaya jangan suka pergi main, nanti
sakit, kalau sakit tiada siapa yang nak hantar ke rumah sakit. Tapi, hakikatnya
ibu sudah tiada. Dan saya hanya memandang jasad ibu dalam keadaan antara
percaya atau tidak. Dalam keadaan memikirkan kehidupan selepas ketiadaan ibu
nanti.
Dalam usia sekecil itu saya tidak tahu kenapa saya turut memikirkan masa depan. Dan sekarang, dengan usia saya sekarang ini, adakalanya saya beremosi apabila mengenang anak-anak yang kehilangan ibu mereka. Kehilangan ibu sangat berbeza apabila kita kehilangan ayah. Dua perbezaan yang ketara. Itulah yang saya rasakan dan perhatikan sepanjang saya membesar. Pengalaman dan teori tidak sama. Tapi adakalanya ia boleh jadi serupa apabila keduanya bersatu.
Dalam usia sekecil itu saya tidak tahu kenapa saya turut memikirkan masa depan. Dan sekarang, dengan usia saya sekarang ini, adakalanya saya beremosi apabila mengenang anak-anak yang kehilangan ibu mereka. Kehilangan ibu sangat berbeza apabila kita kehilangan ayah. Dua perbezaan yang ketara. Itulah yang saya rasakan dan perhatikan sepanjang saya membesar. Pengalaman dan teori tidak sama. Tapi adakalanya ia boleh jadi serupa apabila keduanya bersatu.
Walauapapun bak kata orang…Life
must go on. Hadapi dengan tenang bersandarkan kepada Allah SWT. Bertahanlah.
Berbahagialah, Berdoalah, moga orang yang kita sayang juga akan turut
berbahagia di sana. Jadikan semua nostalgia itu menjadi inspirasi kita untuk
terus menjalani kehidupan seharian.
Saya sayang Ibu
Kekal abadi selamanya
Moga Jannah untuk mu Ibu.
Insya Allah, aminn.
Catatan anakmu…Sujana Kondorid
# gambar bukan hak milik saya
No comments:
Post a Comment