Monday, May 16, 2016

Cebisan ayat demi ayat (SELAMAT HARI GURU)



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. moga kita semua sentiasa mendapat hidayah dan rahmat daripada Allah SWT. Hari ini 16 Mei 2016, adalah sambutan hari guru seluruh Malaysia. Sudah empat tahun saya meraikannya bersama sahabat-sahabat seperjuangan saya. Tiap tahun mesti ada temanya. Tahun ini sekolah bertemakan tahun 60-an. Tahun lalu tema ‘back to school’. Memang meriah sambutan yang diadakan. Teruja saya dibuatnya.  Teringat masa sekolah dulu, saya tidak pernah bagi guru-guru saya hadiah sejak tadika hinggalah masuk universiti. Ketika sahabat-sahabat menghadiahkan guru-guru kesayangan mereka hadiah, saya hanya turut memeriahkannya tanpa ada hadiah untuk diberi.

Hanya ucapan keramat itu sahaja yang mampu saya luahkan. Kalau mahu beri hadiah, kena ada wang untuk membelinya (pemikiran masa itu). Tak pernah terfikir untuk memberi cikgu-cikgu saya hadiah lain tanpa perlu mengeluarkan modal. Dalam otak hanya tertulis, duit. Namun nak mendapatkan duit itulah yang susah. Nak cari mana. Keluarga saya bukannya ada duit sangat. Sedangkan nak beli keperluan lain pun payah inikan pula nak beli hadiah. Makanya saya hanya berdoa untuk guru-guru saya.

Walaubagaimanapun, saya selalu berdoa agar suatu hari nanti saya akan membanggakan guru-guru yang pernah mengajar saya. Ketika tingkatan 6, saya berdoa kepada Allah SWT agar saya dapat memberikan keputusan yang terbaik untuk guru saya masa STPM nanti. Lebih-lebih lagi subjek sastera. Bagi saya itulah hadiah terbaik untuk semua cikgu-cikgu yang mengajar saya selama ini. Masa sekolah dulu, saya sangat sayang kepada seorang cikgu saya ni. Orangnya tinggi lampai, berasal dari semenanjung emas. Mengajar saya subjek sastera. Namanya cikgu Azlina Haron. Dia sangat baik orangnya. Masa hari guru saya berdoa supaya saya mahu dapatkan keputusan A untuk subjek ni, hadiah khas dari saya. Maka saya pun berdoa agar masa STPM nanti saya dapat A untuk sastera. 

Alhamdulillah, akhirnya doa saya dimakbulkan Allah SWT. Saya sangat gembira, begitu juga dengan Cikgu Azlina. Malah atas saranan yang diberikan jugalah akhirnya saya dapat masuk UPSI dengan opsyen Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Perjalanan saya pun akhirnya berakhir dengan menjadi seorang guru di sebuah sekolah yang menempatkan 3000 lebih orang pelajar pada tahun 2012 hinggalah sekarang. Sungguh saya terhutang budi kepadanya. Bagaimana tidak, ketika kepala ini tengah serabut memikirkan hala tuju selepas tamat STPM, cikgu Azlina menelefon saya dan masa itulah saya tanya kepadanya. Minta nasihat dan akhirnya Alhamdulillah, jadilah saya seorang guru seperti sekarang. sekarang akhirnya merasa apa yang guru-guru saya dulu rasakan. Perasaan menjadi guru, jika dihitung satu persatu tak terkira banyaknya. Moga saya dan kalian menjadi guru yang terbaik. Sebenarnya saya selalu menganggap, semua manusia adalah guru untuk diri dan orang lain. Maka, selamat hari guru semua...

Sampai jumpa lagi sahabat semua. salam untuk diri dan anda. Salam…

Guruku
Engkaulah permata
Seribu bayangan
Di timbunan kaca
Moga jasa baktimu
Tetap tersemat
Di kalbu hati
SELAMAT HARI GURU
Ku inspirasikan
Buat kalian
Agar terus berjuang
Di medan bakti.
Selamat hari guru.

# Saya sayang guru-guru saya

# Guru Pembina Negara bangsa 2016

# gambar bukan milik saya

No comments:

Post a Comment