Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts

Tuesday, January 5, 2016

Janji Allah itu benar



Malam Rabu 13 Oktober 2007, seorang wanita berpakaian serba putih dan bertelekung muncul di hadapan saya. Wajah wanita itu sungguh cantik, manis dan berseri-seri. Di dahinya terpancar satu cahaya bersinar. Bau badannya begitu mengharum.

Siapa wanita itu? Saya tidak pernah melihatnya sepanjang hayat. Wanita itu menegur saya dan memberi salam.

“ Assalamualaikum! Lela nak jumpa mak? Mari ikut saya,” pelawa wanita itu.

Mendengar pelawaannya, saya sangat gembira. Saya amat rindu pada ibu. Ibu meninggal 44 hari lalu ketika berusia 66 tahun. Sejak itu saya sering berdoa agar Allah memperlihatkan keadaan ibu di alam barzakh. Saya saying ibu, saya mahu dia bahagia di sana.

Saya tidak sabar untuk bertemu ibu. Selepas beberapa ketika, wanita itu membawa saya menunggang seekor burung yang sangat besar. Bulu burung itu putih bersih.

Kami terbang begitu jauh. Saya dapat lihat gunung-gunung dan sungai-sungai yang mengalir. Semakin lama terbang semakin jauh saya dibawanya.

Akhirnya saya tiba di sebuah tempat. Saya tidak tahu di mana tempat itu. Lutut saya menggeletar. Badan saya berpeluh-peluh.

Sekitar kawasan itu saya lihat lantainya daripada api merah yang menggelegak seperti lahar gunung berapi. Kalau diletakkan besi, nescaya cair. Suhunya sangat panas.

Di situ, bergema suara berjuta-juta manusia terpekik meminta tolong. Jeritannya amat menggerunkan. Saya lihat, beribu-ribu orang wanita sedang menarik-narik rambut mereka sendiri hingga tertanggal kulit kepala.

Bila tertanggal, rambut mereka tumbuh semula dan kulit bercantum kembali. Perbuatan yang sama dilakukan berulang kali.

Saat itu, mereka meraung-raung memohon ampun kepada Allah. Saya Tanya, kenapa mereka jadi begitu? Wanita yang membawa saya beritahu, itulah seksaan kepada wanita yang tidak menutup aurat.

Saya berpaling kea rah lain. Di suatu tempat, saya lihat ada beribu-ribu orang lelaki berjalan menggunakan tangan, kepala ke bawah dan kaki ke atas dalam keadaan bogel. Kepala mereka menggelegak akibat haba lantai yang panas.

Lelaki berbogel itu terlolong-lolong memohon ampun kepada Allah. “ Ampunkan aku ya Allah, ampunkan hamba-Mu!” pekik mereka.

Mendengarnya badan saya terus menggigil. Hati saya menjadi takut. Saya menangis, tidak sanggup melihat azab yang begitu dahsyat.

Wanita tadi memberitahu, itulah seksaan kepada lelaki yang melakukan zina. Seksaannya sangat dahsyat, saya tidak mampu melihatnya lagi.

Sekeliling saya masih bergema suara manusia menjerit dan meraung-raung meminta tolong. Saya lihat, beribu-ribu lelaki bertempiaran lari kerana dikejar oleh seekor ular berwarna hitam ang sangat besar.

Apabila lelaki-lelaki ini tidak berdaya lagi untuk berlari, ular besar itu terus membaham tubuh mereka. Ular itu merenyuk-renyuk tubuh mereka sehingga hancur sebelum menelannya.

Di saat itu terdengarlah pekikan mereka memohon ampun kepada Allah kerana dosa mengambil rasuah ketika di dunia.

Badan saya menggeletar. Langkah saya berasa lemah. Seksaan yang ditunjukkan itu amat menakutkan. Tiba-tiba, saya terdengar seorang lelaki memanggil nama saya.

“ Lela tolong! Aku terseksa! Tolong aku, Lela! Sakittttt!!!” pekik lelaki itu.
Saya cuba mencari suara itu, tapi tak jumpa. Tapi suara ity saya kenal. Lelaki itu budak kampong saya yang meninggal dunia beberapa tahun dahulu. Berkali-kali suara itu memberitahu, dia diseksa. Azabnya terlalu pedih.

“ Lela, tolong! Aku tak tahan diseksa! Pedih!Sakit!Tolong!!!” pekik lelaki itu pada saya.

Saya menangis lagi. Saya amat takut melihat azab yang diterimanya. Kalau boleh memang saya mahu menyelamatkan budak itu, tapi saya tidak tahu dia di mana. Hanya suaranya saja yang dapat saya dengar.

Kemudian, saya diperlihatkan lagi pemandangan beribu-ribu manusia sedang minum nanah seperti lahar gunung berapi yang menggelegak. Apabila mereka minum, hancur leburlah segala isi tubuh. Jasad mereka kembali seperti asal dan perbuatan itu diulang-ulang.

Saya tidak berani bertanya kenapa mereka diseksa seperti itu. Tapi saya rasakan itulah seksaan kepada mereka yang minum arak.

Di suatu tempat lain, saya melihat beribu-ribu wanita mencucuk besi panas ke mulut merekahingga tembus kepala. Mereka terjerit-jerit meminta ampun kepada Allah. Saya diberitahu, itulah seksaan kepada mereka yang memfitnah dan mengumpat.

Badan saya menggeletar. Saya menangis. Saya tidak mampu bertahan lagi, apatah lagi di suatu sudut, saya nampak ada seorang wanita yang berperut buncit sedang mecakar-cakar perutnya hingga terburai segala isi di dalamnya.

Ketika itu, keluar seorang bayi dari perut wanita berkenaan dan terus mencakar-cakar tubuhnya hingga hancur. Wanita itu hanya mampu terpekik terlolong menahan sakit. Saya diberitahu, itulah azab perempuan yang melahirkan anak luar nikah.

Di suatu kawasan lain, saya melihat pula beribu-ribu orang lelaki dan perempuan sedang menyebat tubuh sendiri menggunakan rantai dari api hingga hancur segala isi tubuh. Mereka melakukannya berulang kali sambil memohon ampun kepada Allah.

Saya tidak berdaya lagi untuk melihatnya. Di situ terlalu ramai wanita yang diseksa berbanding lelaki. Seksaannya amat dahsyat dan mengerikan. Mereka melolong serta terpekik-pekik kesakitan. Badan saya dibasahi peluh. Saya menggigil dan….!!!

Saya tersedar dari mimpi. Saya amat takut. Muka saya pucat. Badan saya menggeletar. Suami saya hairan melihat kelakuan saya. Dia bertanya, apa yang berlaku sampai saya menggigil ketakutan.

Saya beritahu suami, tadi saya bermimpi diperlihatkan manusia yang berdosa diseksa. Tapi dalam mimpi itu, saya belum bertemu ibu. Adakah ibu juga sedang diseksa?

Sebenarnya ibu saya meninggal dunia pada 31 Ogos 2007. Malam itu, merupakan malam ke-44, kematian ibu. Malam itu pula, saya bermimpi melihat manusia diazab. Adakah mimpi tadi merupakan tanda-tanda ibu saya juga sedang diseksa?

Saya berdoa agar Allah ampunkan segala dosa ibu. Janganlah ibu diseksa kerana saya amat menyayangi ibu. Berilah kebahagiaan dan keseronokan kepada ibu.

“ ya Allah selamatkan ibuku. Ampunkan segala dosanya,” berkali-kali saya berdoa kepada Allah. Saya ketakutan, saya bimbangkan nasib ibu di sana…

ESOKNYA, MALAM KHAMIS, saya bermimpi yang sama. Wanita itu, masih membawa saya ke tempat manusia menerima seksaan. Tapi di mana ibu? Saya Tanya wanita brkenaan, di mana ibu saya ditempatkan? Adakah ibu juga diseksa? Tapi wanita itu hanya diam. Saya tersedar dari mimpi.

Lusa, malam Jumaat, wanita cantik itu muncul lagi dalam mimpi saya dan mahu membawa saya ke tempat yang sama, namun saya menolak ajakannya. Saya tidak sanggup melihat manusia diseksa.

Ketika itu, barulah wanita berkenaan berjanji membawa saya berjumpa ibu. Apabila dia berkata begitu, barulah saya setuju mengikutnya. Dalam mimpi itu, saya dibawa ke suatu tempat yang amat cantik.

Keindahannya tak terucap dengan kata-kata. Tiada perkataan yang mampu melukiskan betapa indah tempat tersebut. Tiada pemandangan di dunia ini sepertinya.

Sungainya mengalir jernih. Ada sungai berwarna putih mengalir seperti susu. Sekitarnya ditumbuhi pohon-pohon rendang. Buahnya begitu lebat. Burung-burung berwarna putih bebas terbang.

Segala yang ada di situ semuanya boleh dimakan. Apabila kita terlintas untuk makan sesuatu, tiba-tiba muncullah apa yang difikirkan.

Tapi, saya masih tercari-cari ibu. Adakah ibu saya ditempatkan di taman yang permai ini? Ketika sedang mencari-cari itu, tiba-tiba saya lihat ada beberapa orang lelaki sedang bergurau senda di bawah sepohon pokok rendang.

Mereka diapit oleh gadis cantik bak bidadari. Dahi gadis itu luas dan bercahaya. Bibir mereka merah seperti digincu dan berkilauan.

Pakaian mereka semuanya berwarna putih dan bercahaya. Apabila lelaki memakainya, mereka kelihatan begitu tampan.

Di bawah pokok rendang tersebut, saya lihat seorang lelaki sedang berbual-bual dengan bidadari. Lelaki itu sangat saya kenal. Dia merupakan bekas imam di kampong saya.

Peliknya, wajah imam itu tidak dimakan usia. Wajahnya sekitar 30tahun. Mukanya bersinar-sinar. Imam itu hanya tersenyum kea rah saya. Dia kelihatan begitu bahagia dan gembira.

Saya terus berjalan mencari ibu. Dari jauh, saya lihat ada seorang wanita maju kea rah saya. Makin lama makin dekat. Saya terkejut. Sah! Wanita itu adaah ibu saya. Peliknya, wajah ibu  muda, berseri serta bersinar-sinar. Ibu tersenyum manis memanggil saya.

“ Lela, mari dekat mak,” panggil ibu kepada saya.

Kami berpelukan. Saya amat rindu pada ibu. Ibu beritahu saya tak perlu risau, dia bahagia di alam barzakh. Ibu berpesan pada saya, sekiranya mahu datang ke situ, ikut segala perintah Allah. Jangan tinggal sembahyang, puasa dan berpegang kuat pada al-Quran.

“ Nak, ingat janji Allah itu benar belaka. Syurga dan neraka itu benar. Janji al-Quran itu benar. Balasan pahala dan dosa itu benar. Ikut segala perintah Allah. Tinggalkan segala larangan-Nya,” pesan ibu pada saya.

Selepas berbual, ibu minta diri dan berlalu pergi. Saya cuba mengejar, tapi ibu terus hilang dan saya tersedar daripada mimpi.

MALAM ITU sekali lagi saya menangis terharu. Saya gembira bertemu ibu. Saya juga gembira mendapat tahu ibu bahagia di alam barzakh.

Sebagai anak paling rapat, saya tahu semasa hayatnya, ibu selalu bersedekah, menolong jiran-jiran apabila kesulitan. Ibu juga suka memberi nasihat. Ibu seorang yang kuat beribadah.

Mungkin sebagai balasan atas segala ibadah yang dilakukan itu, Allah bahagiakan ibu di alam barzakh. Segala pesan ibu supaya taat oada erintah Allah dan menjauhi larangannya akan saya turutkan.

Saya juga mahu sampaikan pesanan ibu kepada semua manusia. Ingat! Janji Allah itu benarbelaka! Syurga neraka itu benar. Balasan dosa dan pahala itu benar.


Ikutilah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangannya. Insya-Allah, kita semua akan mendapat tempat yang bahagia di alam barzakh. Kalau kita mencari syurga, ikutlah lorong menuju syurga…

# Salah sebuah kisah yang dimuatkan dalam buku seperti gambar di atas "Tunjukkan aku jalan ke syurga"

# Buku yang turut berada dalam simpanan saya. Sangat memberi pengajaran dan seronok untuk dibaca.

# Moga kita termasuk salah seorang daripada hamba-hamba Allah swt yang mendapat Rahmat-Nya sahabat sekalian. Insya Allah, aminn

# Moga kita menjadi penghuni Syurga yang dijanjikan oleh Allah swt. Insya Allah, aminn

Saturday, December 24, 2011

Siapa Orang Tua Di Raudah


Sejak belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selepas memeluk Islam pada 1984, saya memang berhajat hendak mendalami ajaran Islam di Mekah al-Mukarramah. Setelah mencukupkan belanja pada 1993, bersama seorang rakan bernama Mat Salleh, saya akhirnya berpeluang juga menjejakkan kaki ke sana.

Setibanya di Jeddah, kami berdua menaiki teksi menuju ke Madinah. Walaupun cuaca tengah hari di bulan Syaaban itu sungguh panas namun kerana telampau letih, acap kali saya terlelap dalam perjalanan. Hinggalah beberapa kilometer sebelum memasuki bandar Madinah, saya yang ketika itu dalam keadaan tidur-tidur ayam terkejut apabila seorang lelaki tua berjanggut panjang dan berserban putih tiba-tiba muncul di sebelah saya.

Wajahnya bersih dan bercahaya. Dia melirikkan senyuman dan menyuakan ke mulut saya sesudu cecair. Apabila saya menelannya, terasa seperti minyak sapi. Tetapi setelah itu dalam sekelip mata, orang tua tersebut terus lenyap dari pandangan. Saya tersentak daripada lamunan. Apabila ditoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata tiada orang lain kecuali kawan saya dan pemandu teksi.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak menceritakannya kepada sesiapa. Namun hati saya tertanya-tanya, siapakah lelaki tua itu?

Semasa di Madinah saya banyak menghabiskan waktu di Masjid Nabawi untuk bersembahyang berjemaah. Masuk malam ketiga, sekali lagi orang tua itu muncul di hadapan saya. Walaupun sudah dua kali bertemu, namun dia tidak memperkenalkan dirinya. Kali ini dia menyuruh saya mengambil satu barang yang diletakkannya di sebalik sebatang tiang di Raudah yang terletak di antara mimbar Masjid Nabawi dan makam Rasulullah. Tetapi kerana gamam saya terlupa bertanya apakah barang itu.

Kemudian orang tua tersebut mengajar saya sepotong ayat al-Quran. Saya mendengarnya dengan teliti. Sebaik menghabiskan kata-katanya, orang tua itu pun beredar. Hati saya semakin berdebar. Siapakah sebenarnya orang tua ini dan kenapa dia menyuruh saya mengambil barang yang ditinggalkannya?

Keesokannya selepas solat Subuh, saya membelek helaian al-Quran untuk mencari ayat yang dimaksudkan. Setelah diperikasa dengan teliti didapati ayat berkenaan terdapat di dalam surah al-Baqarah: 26.

Firman Allah itu bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah tiada malu membuat perbandingan apa sahaja, seperti (dari sekecil) nyamuk hingga ke sesuatu yang lebih daripadanya. Kalau orang beriman, mereka mengetahui perbandingan itu benar dari Tuhan dan kalau orang kafir, mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini?

“ Tuhan menjadikan ramai orang sesat dengan perbandingan itu dan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya. Dan Tuhan tidak menyesatkan dengan sebab perbandingan itu kecuali orang fasik.”

Saya masih tidak faham kenapa ayat itu diajarkan kepada saya. Memandangkan kejadian tersebut begitu ganjil, saya mengambil keputusan menceritakannya kepada Mat Salleh.

“ Mat, masa kita naik teksi hari itu, kau perasaan tak ada orang tua berjanggut dan berserban putih?” tanya saya.

“ Orang tua? Mana ada…Li. Kita berdua aja yang naik teksi tu. Mengarutlah kau ni,” ujar Mat Salleh sambil ketawa kecil.

“ Betul Mat, ada orang tua datang jumpa aku. Dia bagi aku minum minyak sapi,” kata saya.

Mat Salleh masih tidak percaya. Lantaran itu saya jadi keberatan hendak menceritakannya kepada orang lain. Bagaimanapun saya yakin ada sesuatu yang orang tua itu mahu tunjukkan pada saya. Harap-harap biarlah perkara yang baik.

Hati saya semakin mendesak agar memenuhi permintaan orang tua itu. Justeru saya segera ke Raudah. Sampai di sana hati saya terasa sungguh tenang. Belum pernah saya setenang itu. saya mengambil kesempatan melakukan solat sunat dan berdoa.

Suka diggambarkan juga betapa nikmat dan khyusuk semasa beribadah di Raudah. Suasananya yang aman dan sejuk membuatkan badan saya terasa ringan. Sejak hari itu setiap kali ke masjid saya mesti bersembahyang di Raudah. Hinggalah hari kelapan, saya menunaikan 40 solat fardu secara jemaah. Namun saya masih gagal menemui barang yang dikatakan orang tua itu.

Hari berikutnya saya dan Mat Salleh bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Di sana, saya tinggal di rumah wakaf Tuan Guru Haji Salleh Penanti yang berasal dari Pulau Pinang bersama dua orang pelajar. Setelah beberapa hari di Tanah Suci, suatu malam, orang tua yang sama muncul sekali lagi. kali ini pesanannya makin jelas. “ Kau pergilah ke Raudah. Di sana ada satu kolam. Aku tertinggal payung dalam kolam. Tolonglah ambilkan payung aku itu,” kata orang tua tersebut beberapa kali.

Sejurus itu dia lenyap meninggalkan saya keseorangan. Mulanya sukar saya mempercayai katanya bahawa terdapat sebuah kolam di Raudah. Sedangkan sepanjang beribadah di situ sebelum ini saya tidak temui sebarang kolam, sebagaimana didakwa orang itu. Namun oleh kerana sudah tiga kali dia muncul dan bersungguh-sungguh agar permintaannya dipenuhi menyebabkan saya bergegas ke Madinah malam itu juga.

Kata-kata orang tua itu terbukti benar. Setiba di sana, saya terpegun melihat sebuah kolam renang terbentang luas. Airnya sangat jernih hingga saya dapat melihat dasarnya dnegan jelas. Saya dapati payung yang dikatakan orang tua itu memang ada di dalam kolam tersebut.

Kebetulan ada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun berdiri di situ. Lantas saya menghulurkan wang sebanyak lima rial, memintanya mengambilkan payung itu. Kanak-kanak tersebut gembira menerimanya. Tanpa melengahkan masa dia menyelam ke dasar dan membawa naik paying tersebut. Sesudah mengucapkan terima kasih kepadanya saya segera membawa paying itu pulang ke Mekah.

Beberapa ketika kemudian saya tersentak. Saya meraba ke sekeliling. Saya terkejut apabila mendapati payung itu tidak ada di sisi. Saya termenung seketika, memikirkan peristiwa itu. seperti pertemuan saya dengan orang tua itu beberapa kali sebelum ini, perjalanan ke Madinah pada malam tersebut sebenarnya terjadi antara sedar dengan tidak.

Walaupun begitu saya bersyukur kerana dapat menyempurnakan permintaan orang tua tersebut. Semenjak hari itu dia tidak lagi muncul. Malah hinggalah kini saya tidak tahu siapakah sebenarnya lelaki tua itu. pun begitu yang paling memberikan kesan mendalam dalam kepada diri saya ialah kewujudan sebuah kolam di Raudah. Keindahan kolam itu memang terpahat di ingatan saya. Belum ada lagi kolam secantik itu di dunia ini.

Saya ceritakan kisah ini bukanlah ingin membesarkan diri tetapi apa yang terjadi banyak menginsafkan saya tentang kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. Dalam satu hadis Nabi pernah bersabda, “Di antara mimbar dan rumahku adalah satu taman dari taman syurga. Dan mimbarku berada di atas telagaku (AL-Haud). (Riwayat Muslim)

Selepas kejadian itu juga barulah saya faham kenapa orang tua berkenaan membacakan ayat 26 surah al-Baqarah. Ayat itu sebenarnya berkait rapat dengan kekuasaan Allah melakukan sesuatu yang Dia kehendaki. Secara zahirnya memang tiada kolam di Raudah tetapi pada hakikat ia telah lama wujud. Saya yakin apa yang disebut oleh Rasulullah bahawa mimbar masjid Nabawi didirikan di atas kolam di dalam taman syurga itu betul.

Ini kerana Allah mampu mencipta apa sahaja termasuk perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Oleh itu kita perlu insaf bahawa tidak semua perkara agama boleh difikirkan dengan akal. Saya yang masih lagi ‘jahil’ ini tetap akan menerima dan patuh dengan kebenaran al-Quran dan al-Hadis walaupun ada segelintir mendakwa tidak sesuai dengan zaman.

Saya percaya perkara ghaib kerana ia sebahagian sifat orang mukmin. Peristiwa itu telah menambahkan keimanan dan keyakinan saya pada islam.

Malah kejadian itu juga seolah-olah memberitahu tentang istemewanya dapat beribadah di Raudah. Kerana di situlah terdapat taman syurga dan kolam Nabi.

“ Iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan rezeki yang kami berikan kepada mereka.” Al-Baqarah: 3

# Sumber: Koleksi Terbaik ' Cerita Dari Mekah' Mastika.

# Diceritakan oleh Haji Mohd. Razali Lu Abdullah

# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka. Dan yang penting ia bukan hak milik saya. Terima kasih dan minta maaf kepada pemilik gambar ini kerana mengambilnya tanpa kebenaran.

# Harap kita sama-sama mendapat manfaatnya. Salam...

Wednesday, December 14, 2011

Menyusuri pantai kenangan melalui kisah-kisah teladan


Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum

Hai pengembara blog saya? Masih sudi singgah di blog saya ini? terima kasih kerana mengembaranya walau seketika sekalipun sebahagian dari kalian tidak membaca sebarang perkara yang saya coretkan di blog saya ini. Baiklah hari ini saya mahu membawa kalian mengimbas kembali cerita-cerita zaman dahulu (tak kiralah zaman mana-mana pun, zaman kecil ke, zaman Nabi ke atau Zaman Kesultanan Melayu Melaka ke ataupun zaman Portugis, British mahupun P. Ramlee). Cuma yang pastinya saya tidak akan membawa kalian untuk melalui kesemua zaman ini. Terserah kepada kalian di mana kalian mahu pergi. Saya baru sahaja habis membaca sebuah buku cerita khas untuk kanak-kanak yang bertajuk ‘Selamat Malam Anakku, Cerita-cerita menarik daripada Al-Quran untuk si Kecil’ yang dikarang oleh Saniyasnain Khan dan diterjemahkan oleh Roslinah Daud kemudian diterbitkan oleh penerbit Nickleodeon Book (M) Sdn. Bhd.

Buku ini menceritakan kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Quran seperti kisah Nabi-nabi, orang biasa dan binatang-binatang serta kisah Al-Khidr (kisah Al-Khidr ini ada dalam surah al-Khaf 18:60-82). Kisah-kisah ni sebenarnya sudah biasa kita dengar Cuma saya tertarik dengan kisah Al-Khidr ini. Kalian tentu pernah mendengar ceritanya ataupun belum. Kalau belum, biar saya ceritakan serba sedikit pasal kisah ini. Pada Zaman Nabi Musa a.s, baginda bersama-sama dengan anak muridnya Yusha bin Nun telah bertemu dengan al-Khidr di suatu tempat. Nabi Musa a.s meminta izin daripada al-Khidr untuk mengikutnya dan al-Khidr pun bersetuju tetapi dengan syarat Nabi Musa a.s tidak boleh bertanya apa-apa kepadanya sehinggalah dia sendiri yang membuka mulut memberitahu. Nabi Musa a.s bersetuju lantas baginda mengikut al-Khidr menaiki sebuah kapal. Namun Nabi Musa a.s melanggar syarat tersebut apabila al-Khidr membuat satu lubang di dalam kapal tersebut, dan Nabi Musa a.s bertanya mengapa dia melakukannya. Dalam setiap perjalanan Nabi Musa a.s tidak dapat mengawal keinginan untuk bertanya tatkala al-Khidr melakukan suatu perkara yang pelik hinggalah akhirnya al-Khidr menyatakan bahawa mereka harus berpisah kerana Nabi Yusuf a. s tidak boleh menahan sabar untuk melihat serta mengetahui cerita sebenar . Namun sebelum berpisah al-Khidr sempat menceritakan perkara sebenar mengapa beliau melakukan perkara tersebut.

Kisah ini mengingatkan saya tentang kekeliruan yang sering melanda fikiran saya di suatu masa dulu, ketika masih muda remaja. Buku kisah nabi-nabi dan sahabat-sahabat mereka memang sering menjadi kegilaan saya waktu itu. Dalam sesetengah buku, ada yang menyatakan al-Khidr ini seorang nabi dan menurut pandangan dari artikel-artikel yang saya baca, al-Khidr ini hanyalah wali Allah (persoalan ini sudah lama timbul hinggalah ia terbiar begitu lama dan buku-buku ataupun artikel-artikel yang saya maksudkan ini, hanya samar-samar berada dalam ingatan saya) dan hari ini kekeliruan dan ingin tahu saya semakin membara apabila buku ini tidak menyatakan secara jelas siapa sebanarnya al-Khidr itu. Ia hanya menjelaskan al-Khidr itu kemungkinan malaikat dalam bentuk manusia. Namun, tidak apalah, Insya Allah, suatu hari nanti saya pasti mendapat jawapannya. Mungkin ini merupakan petunjuk Allah swt kepada saya agar mencari kebenarannya melalui al-Quran kerana sebelum ini saya jarang sekali membaca kisah-kisah ini dari sana tetapi terus membacanya melalui buku-buku yang ada di kedai-kedai. Insya Allah, Jika diizinkan-Nya saya pasti akan mendapat kebenarannya.

Sebenarnya kisah ini hanya secubit dari begitu banyak kisah yang ada dalam ingatan saya. Kisah dalam buku ini menjadikan saya seperti seorang pengembara pada suatu masa dahulu, zaman 1990-an, 20 tahun yang lalu. Sewaktu saya dan mungkin anda para pembaca masih berada di bawah ketiak ibu dan ayah. 15 tahun yang lalu sewaktu saya berada dalam darjah 1-6 , cerita tentang Nabi Isa a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Muhammad saw, al-Khidr ( tidak berani menulis nabi di pangkal namanya), Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi-nabi yang lain serta 25 malaikat memang selalu menjadi santapan rohani kami tatkala tibanya waktu mata pelajaran Pendidikan Islam.

Kadang-kadang sebelum belajar Ustazah yang mengajar kami akan bercerita terlebih dahulu tidak kiralah kisah peribadinya semasa di Mekah ataupun kisah-kisah para Nabi. Tapi selalunya dia akan bercerita semasa mengajar dan selepas belajar. Ada kalanya pembelajaran kami akan diganti dengan cerita-cerita ini. Memang kami tidak pernah bosan walaupun kisah yang disampaikan diulang berkali-kali malah kami pula yang menyuruh ustazah kami ini bercerita sampai habis. Selagi ceritanya tidak habis, kami tidak akan balik ke kelas maka terpaksalah ustazah kami ini bercerita hingga selesai. Namun yang sangat menarik bagi saya ialah cerita yang disampaikan oleh ustazah kami berkaitan-rapat dengan isi pelajaran yang diajar.

Masa itu, Jika ditanya bab bercerita ini saya memang nombor satu, mendahului rakan-rakan sekelas saya yang lain. Selalu juga kisah dongeng, kisah binatang, kisah sains, kisah penyiasatan saya baca termasuklah kisah nabi ini.Malah disebabkan inkuiri yang tinggi saya rela menyelak buku pendidikan Islam yang kesemuanya berhuruf jawi walaupun pada masa itu bacaan jawi saya tidak begitu lancar. Malah saya juga turut meminjam buku di pusat sumber tidak kiralah buku itu tebal ke atau tidak hanya kerana tujuan itulah, mahu membaca kisah dongeng, binatang dan sebagainya. Kerana keobsesan saya terhadap cerita-cerita inilah akhirnya adakalanya cerita itu terbawa-bawa dalam mimpi dan angan-angan saya. Tetapi mimpi dan angan-angan saya itulah yang telah membawa saya menggapai cita-cita saya (hanya tinggal impian saja lagi yang belum dicapai). Cuma kadang-kadang waktu itu, saya selalu juga terfikir, betul ke cerita ni (maksudnya cerita ini pernah terjadi ke dalam dunia ini?). Adakalanya mahu sahaja saya pergi ke dunia rekaan tersebut, mahu menikmati pemandangannya yang dikatakan cantik dan indah, mahu menikmati keindahan wajah putera dan puteri kayangan.

Sekarang, saya masih ingat jalan ceritanya cuma saya lupa tajuknya. Nak tahu ke tajuk-tajuknya? Hmm, antaranya Hikayat Malim Deman, Bunga Bakawali, Bawang Putih Bawang Merah, Pokok Angsana, Si Buruk dan Si Cantik, Anak Itik yang Hodoh, Kura-Kura Terbang Dengan Bangau, dan lain-lain lagi. termasuk juga kisah Sang Kancil dan kisah Si Burung Gagak (hanya sebahagian saja). Cuma saya teringat satu kisah, siapa yang pernah baca kisah dongeng ini mungkin bisa menolong saya mengingat semula tajuknya. Kisahnya berkenaan dengan dua beradik yang kehilangan ibu, kemudian ayah mereka berkahwin dengan seorang perempuan yang jahat. Dua beradik ini telah ditinggalkan di dalam hutan oleh ayah dan ibu tiri mereka. Semasa mencari jalan pulang, mereka bertemu dengan sebuah rumah yang diperbuat daripada ais kirim. Kemudian mereka tinggal di rumah itu bersama nenek kebayan yang mendiaminya. Namun salah seorang dari mereka menjadi mangsa santapan nenek kebayan tersebut dengan mengurung kakak si adik supaya dia gemuk sebelum dimakan. Tetapi akhirnya mereka berdua berjaya melepaskan diri dan nenek itu sendiri terbunuh di atas sebuah jambatan ketika mengejar mereka. Dua beradik ini berjaya pulang ke rumah dan mendapat tahu bahawa ibu tiri mereka sudah mati dimakan harimau.

Kisah ini memang sentiasa berada dalam ingatan saya hingga sekarang kerana saya tertarik dengan jalan cerita, rumah kediaman nenek kebayan itu dan suasana yang digambarkan oleh si penglipur lara. Malah ia juga mempunyai mesej yang sangat banyak dan menarik. Mungkin disebabkan minat membaca buku cerita dan kisah-kisah teladan inilah, saya suka menulis tidak kiralah di buku latihan ataupun buku yang memang saya khaskan untuk menulis. Malah kadang-kadang saya juga menyimpan idea dan ilham di dalam otak sebelum mengeluarkannya ke dalam kertas. Dulu suka menulis menggunakan pensil, tidak tahu kenapa. Mudah-mudahan Allah izinkan otak, hati, akal, idea, imaginasi, pancaindera, tangan dan semua anggota tubuh badan saya ini untuk terus bersatu serta berkerjasama dalam menghasilkan tulisan-tulisan yang mungkin bermanfaat untuk orang lain dan bermanfaat bagi diri saya. Mungkin bukan sekarang tapi suatu hari nanti yang Dia sendiri tentukan. Insya Allah, doakan saya ye. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Amin…

Baiklah pergi kepada cerita tentang Nabi-nabi. Sebenarnya jika berbicara pasal kisah-kisah ini, ia mengingatkan saya kepada seorang Mualim yang sangat bermakna dalam hidup saya iaitu ustazah saya sendiri. Namanya ustazah Khamisah, berasal dari semenanjung, bertahi lalat besar di kening (kalau tidak silap), asal Melaka kalau tidak silap, dan masa dia ajar kami, Ustazah Khamisah ini hampir mahu pencen. Saya sempat menjadi anak muridnya sehingga darjah Lima sebelum digantikan dengan seorang Ustaz dan sejak hari itu saya tidak pernah berjumpa dengannya lagi.

Sebelum ustaz yang baru datang memang Ustazah saya ini pernah memberitahu kami dalam kelas Pendidikan Islam bahawa dia akan digantikan oleh seorang ustaz untuk mengajar kami. Waktu kelas terakhir saya dengannya, dia tidak memberitahu pasal ini, mungkin dia kira kami faham maksudnya dahulu. Kalau dikatakan perasaan saya waktu itu, memang sedih sebabnya saya dan rakan-rakan tidak akan lagi berjumpa dengannya, tidak dapat lagi mendengar cerita tentang Mekah dan kisah Nabi-Nabi serta Malaikat-malaikat, tentang Allah swt, tentang Islam dan yang penting kami akan kehilangan seorang guru sekaligus ustazah yang sentiasa tersenyum, peramah, gigih, menyuruh kami membersihkan kelas sebelum belajar, bertanggungjawab dan mengajar kami hanya kerana Allah swt.

Cerita-ceritanya itulah yang selalu menjadi motivasi kepada saya dan rakan-rakan. Ceritanya berbekas di hati hingga saat ini. Malah dialah insan pertama dalam hidup saya yang mengajar saya untuk mengenali para nabi dan para rasul pilihan Allah swt. Dia jugalah insan pertama yang mengenal saya tentang Baitullah dan kisah-kisah menarik di Mekah sehingga acapkali saya berkeinginan untuk ke sana, mahu mengalami sendiri kisah-kisah aneh seperti yang diceritakannya. Selepas dia, saya tidak dapat lagi mendengar cerita-cerita seperti itu daripada ustaz kami yang baru. Dari ustaz baru ini, saya melalui pengalaman lain iaitu bagaimana mahu mengaplikasikan perkara-perkara wajib agama Islam dalam kehidupan seharian seperti solat dan memandikan jenazah. Dan kerana kerinduan saya terhadap ustazah saya inilah, maka saya berhajat untuk pergi ke sini (tanah Semenanjung) suatu hari nanti selain mahu menuntut Ilmu, mengembara, dan menghayati keindahan alam. Saya juga berharap dapat berjumpa dengannya. Saya tidak kisah jika dia tidak mengenali saya.

Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana melalui kegigihan dan pengorbanannya mengajar kami itulah, saya menjadi seperti sekarang. Berada di sini, bumi semenanjung dengan bermatlamatkan tiga perkara (alam, kembara, Ilmu. Tapi saya sedih kerana masih belum diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengannya walaupun sudah lebih lima tahun saya di sini. Malah mungkin saya akan meninggalkan tanah besar ini tidak lama lagi sekiranya tuntutan kerja akan datang kepada saya. Dan mungkinkah kisah benar dari sebuah akhbar temnpatan tidak lama dulu iaitu kisah seorang anak murid yang bertemu dengan gurunya selepas 20 tahun lebih tidak berjumpa akan terjadi kepada saya? Mungkin juga kepada insan-insan yang senasib dengan saya. Malah mungkin kami tidak akan bersua hingga akhir hayat. Allahualam…

Di akhir bicara, kata orang, Jika mahu berjaya jangan sesekali kita memandang lagi ke belakang sesudah kita memandang ke depan, Lupakan masa silam dan tempuhilah masa depan kita. Tapi kata saya, jika kita mahu mencapai kesempurnaan di dunia dan akhirat, selalulah memandang ke belakang dan sentiasalah menempuhi kehidupan di hadapan. Bak kata pepatah, Jangan jadi seperti Kacang lupakan kulit. Sebenarnya kisah silamlah yang membuatkan kita masih berada di sini, sekarang ini dan kisah silam jugalah yang menjadikan kita terus meniti kehidupan di masa hadapan hingga sampai waktu yang dijanjikan oleh Allah swt. Tapi kerana kisah silam jugalah kita akan meniti kehidupan lain di alam lain seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada kita. Maka kerana itu bersyukurlah, bukan mengeluh dan menidakkanya. Cuba kita fikir, jika masa dan kehidupan kita tidak berubah ataupun bergerak, pegun sahaja. Apa akan jadi? Boleh kalian bayangkan?

Baiklah, sampai sini sahaja wahai saudara-saudaraku. Sampai jumpa lagi di masa akan datang. Salam dari saya Hanako…salam

Saturday, October 15, 2011

Tuhan, Izinkan Aku Berjumpa Dengannya


Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum, Malam ini saya tergerak untuk melantunkan pena saya di sini, blog yang biasa-biasa ini. Sebenarnya terdapat banyak perkara yang ingin saya luahkan dan kongsikan kepada anda semua. Tentang hati dan fikiran saya. Banyak, memang banyak! Bukankah hidup ini dipenuhi dengan peristiwa, dipenuhi dengan persoalan dan dipenuhi dengan jawapan? Tapi saya tak mampu mengadun kesemuanya di sini dalam satu-satu masa kerana saya hanyalah hamba-Nya yang juga punya akal yang tidak sempurna. Tidak mampu menyimpan segala maklumat dan juga tak mampu mencerna idea untuk menulis dan mencoretkannya dalam kertas mahupun dalam Microsoft word ataupun melakarnya dalam bentuk lukisan ataupun menulis lirik lagu untuk menyampaikan segala yang termaktub dalam otak dan nurani saya.

Maafkan saya kerana lebih banyak bermukadimah berbanding isinya (seperti kata sahabat-sahabat). Tak apa, nak baca, baca! Tak nak baca. Tak payah. Simple bukan? Saya tidak memaksa orang membaca ‘karangan’ saya ini. Saya tidak kisah jika hanya ada seorang sahaja yang membaca dari berpuluh-puluh bahkan mungkin beratus-ratus pengembara yang mengembara di sini dan saya juga tidak kisah jika tidak ada seorang pun yang membacanya. Kerana saya sudah katakan, nak baca? Baca. Tak nak, tak payah. Anda yang menentukan segalanya. Tapi saya juga ada hak iaitu hak saya untuk menulis di sini. Mencipta blog dan mengisinya dengan perkara-perkara yang saya rasa perlu.

Okey sambung cerita. Kisah nyata? Ya, kisah yang diadun daripada hati dan hasil pemerhatian, penghayatan, pemahaman dan pengalaman dalam kehidupan saya suatu ketika dulu. Saya tergerak hati untuk berkongsi dengan anda semua walaupun saya tahu dalam dunia ini anda juga turut mengalaminya selain saya walaupun bezanya adalah masa, tempat dan keadaan.

Saya lahir dari keluarga yang sederhana. Hidup saya dikelilingi oleh alam dan makhluk Allah yang lain yang tentu sahaja binatang peliharaan kerana memang sejak saya lahir keluarga saya sudah pun memelihara binatang ternak. Kambing, itik, angsa, kucing, burung, ayam, arnab, kerbau, ikan…semualah. Bak kata saya sendiri keluarga saya memang suka memelihara dan menternak haiwan-haiwan ini untuk tujuan-tujuan tertentu. (saya nak cerita tentang inilah sebenarnya…)nak tahu apa tujuannya? Ini dia…

Ayah dan ibu saya menternak kambing, itik, angsa, ikan, ayam, arnab, dan ikan untuk menjadi santapan kami di masa-masa tertentu. Jika kami menginginkan daging kambing, seekor akan disembelih, contohnya begitu. Kerbau pula di ternak untuk membajak sawah padi kami yang berekar-ekar itu. burung pula? Hmmm, di atas atap di luar rumah kami ada sebuah sarang burung pipit yang dihuni oleh dari satu generasi ke satu genarasi makhluk ini. Ayah dan ibu saya sengaja tidak menyentuh dan membiarkannya di situ (sekarang sudah tiada). Macam mana pula haiwan kesayangan rasulullah? Ya, kucing pula untuk menangkap tikus yang datang ke rumah serta untuk menceriakan hidup kami sekeluarga. Lalu di sinilah kisah seriusku bermula…..bacalah jika anda mahu membacanya.

Keluargaku memang sudah membela kucing sejak dari dulu sejak anak sulung keluarga kami lahir. Dalam kampungku ini rasanya rumah kamilah yang paling banyak bela kucing hingga berpuluh-puluh ekor dalam satu-satu masa. ibuku memang sukakan kucing sehingga sebahagian anak-anaknya sukakan kucing. Termasuk aku? ya, termasuk aku. Aku suka bermain dengan anak-anak kucing yang comel-comel itu. Kadang-kadang kami akan berkejaran sesama sendiri. Rasanya hidup tidak cukup bahagia jika tidak ada si haiwan kesayangan nabi ini. Aku cukup suka melihat wajah dan telatahnya. Si comel ini telah banyak membuka hati, akal dan mataku untuk terus mencintai ciptaan Allah SWT. Subhanallah!!! Setelah sekian lama, sejak aku membesar aku memang dambakan seekor kucing yang akan menjadi kucing kesayanganku selama-lamanya walaupun begitu banyak kucing yang terdahulu tapi aku tetap menyayangi kucing ini sama rata. Kadang-kadang aku cemburu apabila melihat adik-adikku bermain dengan kucing kesayangan mereka. Tapi aku? Namun aku percaya suatu hari nanti aku pasti akan mendapat apa yang aku hajatkan. Allah pasti akan memberikan aku. ya, pasti! Akhirnya setelah aku menunggu bertahun-tahun, lalu ketika usiaku mencecah usia remaja, akhirnya Allah perkenaankan harapanku. Alhamdulillah…

Di suatu pagi yang bening, dari perut seekor ibu kucing berwarna putih diberi nama cuki, lahirlah seekor anak kucing yang sangat comel berwarna keperang-perangan. Dia anak tunggal. Hanya seekor. Tidak ada adik-beradiknya. Seumur hidupku tidak pernah aku melihat seekor ibu kucing melahirkan seekor anak. Tidak dua atau tiga atau enam, seperti yang selalu aku lihat. Mungkin inilah anugerah yang Allah berikan khas untukku. Alhamdulillah, syukur. Aku bersyukur kepada-Nya. Secara tiba-tiba juga Allah lahirkan suatu perasaan di dalam hati aku untuk memilikinya. Menjadikanya sebagai Makhluk Tuhan yang paling aku sayang di dunia. Aku ingin menyayanginya seperti mana Rasulullah menjaga dan menyayangi kucing kesayangannya.

Si anak kucing ini aku namakan ‘Perang’ kerana melihat kepada warna bulunya. Perang membesar seperti mana anak kucing yang lain. Cukup lincah dan cukup manja. Kerana kerap dipanggil dengan nama perang akhirnya dia sudah sebati dengan namanya. Jika aku panggil namanya, dia akan terus menoleh dan berlari kepadaku. Begitu juga jika orang lain memanggil namanya. Aku juga selalu tidur bersamanya. Tidak berenggang sedikit pun. Kadang-kadang si perang akan mendaki tubuhku ini saat aku sedang menyulam mimpi indah. Kadang-kadang juga apabila aku tersedar esok paginya, dia tidur dengan lena di ribaanku. Aku pun tidak tahu macam mana dia boleh masuk ke dalam selimut. Tapi aku tidak marah. Setiap kali dia tidur di ribaanku, aku akan tersenyum. Mengusap tubuhnya yang lembut hingga terlena. Aku cukup suka melihat matanya yang berwarna perang dan ekornya yang kontot kerana ekornya yang bengkok.

Malah dia cukup suka bergayut di bahuku apabila aku dan keluargaku pergi ke bendang. Aku akan membawanya bersama-sama. Kadang-kadang aku biarkan dia berjalan sendiri. Sanggup menunggu di sana dari pagi hingga petang. Dia juga pandai merajuk. Jika aku memukulnya, dia tidak akan tidur bersamaku hinggalah aku memujuknya.

Tidak keterlaluan aku katakan, perang juga kucing kesukaan keluargaku kerana mudah diurus dan tidak senakal kucing-kucing yang lain. Tapi ini tidak bermakna aku tidak sayang dengan yang lain. Aku tetap sayangkan mereka semua kerana merekalah yang membahagiakan aku, menceriakan hidupku, melindungi keluargaku dan yang paling penting melembutkan hati aku dan adik-beradiku untuk menyayangi binatang. Kucing-kucing ini juga punya banyak sejarah dalam hidup keluargaku cuma di sini aku hanya tulis dan tumpukan tentang kisah si perang. Ada satu perkara yang membuatkan perang cukup istemewa di hatiku, dia tidak akan sesekali-kali pergi meninggalkan anak-anaknya sebelum mereka kenyang walau macam mana keadaannya. Dia juga tidak pernah tidak menyusui anak-anak walaupun sekali setiap kali dia melahirkan zuriatnya. Serta dia tidak akan memindahkan anak-anaknya ke tempat lain setelah bosan dengan tempat asalnya. Perang tetap melahirkan anak-anaknya di situ, di tempat yang disediakan hinggalah mereka membesar, pandai berlari dan bermain.

Suatu hari aku mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran jauh ke bumi semenanjung. Aku meninggalkan si perang bersama adik-adikku. Malah sebelum aku pergi, aku sempat memberi ceramah kepada adik-adikku supaya menjaga si perang sebaik-baiknya. Adik-adikku setuju dan aku berasa lega. Hati aku tidak perlu risau lagi. Aku percaya dengan adik-adikku. Berbulan-bulan lamanya aku tidak berjumpa dengannya walaupun rindu sering melingkari hatiku. Aku juga tidak nafikan, selalu aku tidak terfikir langsung tentangnya kerana seronok bersama rakan-rakan di sini. Tapi setiap kali aku balik kampung aku pasti akan mencarinya. Masuk sahaja di rumah, perang adalah insan pertama yang aku cari hinggalah…

Suatu hari, aku balik kampung untuk kesekian kalinya. Aku tidak nampak perang tapi aku tidak pula mengsyaki apa-apa. Seminggu di kampung, aku tidak nampak batang hidungnya dan aku pula tidak bertanya. Masuk minggu kedua aku bertanya kepada adik-adikku. Di mana perang? Aku menangis semahu-mahunya apabila mendengar khabar daripada adikku bahawa si’ Hurairah’ku ini telah meninggalkan dunia fana ini selama-lamanya, dimakan oleh anjing peliharaan jiranku. Di depan adik-adikku, aku tidak menangis. Aku cuba menabahkan diri. Selama sebulan aku memaksa diri untuk tidak menangisi si perangku, tetapi apabila aku kembali ke sini, di kolejku, aku tidak mampu menahan kesedihanku. Saat itu aku kembali mengenangkan semua saat-saat indah aku bersamanya. Saat tragis aku bersamanya. Bagaimana dia mampu kembali ke rumah sendirian walaupun keluargaku sudah membuangnya jauh ke dalam hutan. Meninggalkan saudara-saudaranya berjuang sendirian di hutan rimba itu. Di sini juga terdapat peristiwa hitam yang tak mampu aku kongsikan. Dalam tiap sujudku, aku memohon kepada-Nya agar memberikan aku keizinan untuk menatapnya buat kali terakhir walaupun juah di sudut hatiku, aku harap sangat khabar itu tidak benar. Mana mungkin Perang sudah mati. Aku mahu menunggunya pulang ke rumah. Tapi ya, aku terpaksa akur juga dengan takdir illahi. Perangku, si ‘syamimi’ ku sudah tiada.

Aku teringat tahun lalu ketika aku balik ke kampung, aku melihat si perangku ini telah banyak berubah. Badannya sudah kurus. Dia juga tidak lagi menoleh tatkala aku memanggil namanya. Aku juga teringat beberapa minggu sebelum khabar berita ini sampai padaku, aku bermimpi berjumpa dengannya. Dalam mimpiku, aku bermain dengan banyak kucing tetapi dalam banyak-banyak kucing aku tetap setia dengan si perang. Aku memeluknya kemudian melepaskannya. Setelah itu dia pergi tanpa menoleh ke arahku lagi. Aku memanggil namanya tapi dia tetap pergi. Jauh, jauh dan terus jauh dariku. Saat aku terjaga, pelbagai perasaan melandaku. Sedih, pilu dan gembira. Akhirnya aku berjumpa juga dengannya walaupun kami dipisahkan oleh lautan dan benua.

Tetapi, tidak sangka mimpi itu punya maksud yang tersirat. Mimpi itu merupakan petanda bahawa Perang tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Bertahun-tahun lamanya aku memujuk hatiku, hingga saat ini tetapi sampai akhir hayatku aku tidak akan pernah melupakannya. Perang, adalah kucing pinjaman Allah SWT yang pertama dan terakhir untukku. Kekadang apabila aku membaca kisah tentang kucing, aku pasti akan teringatkan perang. Aku teringat kisah seorang anak yang teringin mahu berjumpa dengan kucing kesayangnya bernama putih yang sudah mati. Akhirnya Allah perkenaankannya apabila dia pergi ke tanah suci bersama ibunya. Di tanah suci dia berjumpa dengan putih yang berjalan di celah-celah ribuan manusia kemudian hilang sekelip mata. Kisah ini membuatku menangis dan yakin bahawa aku juga pasti akan bertemu dengan perang. Kucing yang aku sayang sepenuh hatiku. Jika bukan di dunia aku berharap agar Allah izinkan aku untuk berjumpa dengannya di akhirat kelak. Selalu, apabila aku sendirian aku akan terbayang bagaimana kehidupan perang di alam sana. Sekarang sudah hampir tiga tahun perang meninggalkan aku namun aku tidak akan pernah melupakannya. Perang…..

Ya Allah, Ya Khalik,…Tuhanku, aku sangat merindui ‘kesayanganku’ ini. Izinkan aku untuk berjumpa dengannya…

# Saat aku menulis kisahku dengan perang, air mataku mengalir, mengingat semua kenangan aku bersamanya.

# Aku sangat merinduinya. Tuhan! Tolong izinkan aku untuk bertemu dengannya walaupun hanya dalam mimpi.

# Ya Allah, pertemukanlah aku dengan ‘Hurairah’ku ini di saat aku menghadapi kehidupan di sana nanti.

# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka.

14 Oktober 2011 (Sabtu)

Tuesday, October 11, 2011

Berfikir Sesaat Lebih Baik Daripada Beribadat 70 Tahun


Suatu hari seorang sahabat Nabi SAW, Miqdad Ibnu Al-Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah r. a, lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad: “ Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu terlebih baik daripada beribadat setahun”

Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad “ Aku mendengar bahawa rasulullah SAW memberitahu kepadaku, barang siapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun.”

Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi, kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza. Lantas baginda mengadukan hal ini kepada baginda Nabi SAW. Baginda mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas berjumpa dengannya, baginda bertanya kepada Abu Hurairah: “ Bagaimana cara engkau berfikir?” Jawab Abu Hurairah: “ Aku memikirkan tentang tujuh petala langit dan bumi (mendatangkan rasa keagungan kepada Allah dalam diri)”.

Maka jawab baginda: “ Benar, engkau mendapat berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.” Sabdanya lagi, “ Telah turun al-Quran kepadaku, rugilah bagi mereka yang membaca al-Quran tapi tidak memikirkannya.”

Lalu baginda bertanya pula kepadan Ibnu Abbas tentng apa yang difikirkannya. Jawab Ibnu Abbas: “ Aku memikirkan tentang kematian dan huru-haranya saat itu.” Lalu baginda menjawab: “Benar, berfikir begitu maka engkau mendapat kelebihan sesaat berfikir maka terlebih baik daripada beribadat 7o tahun.”

Wednesday, September 21, 2011

Suatu Kisah Di Sebuah Sumur Pada Zaman Rasulullah



Bismillahirahmanirrahim

Hari itu Nabi dikelilingi oleh para sahabatnya yang mulia. Nabi menceritakan satu kisah yang indah kepada mereka. Ada seorang lelaki yang melalui gurun yang sangat panas dalam keadaan dahaga amat sangat. Di tengah perjalanan dia menemui sebuah sumur. Lantas dia turun masuk ke dalam dan minum sepuas-puaanya untuk menghilangkan dahaganya. Ketika dia keluar dari sumur itu, dia melihat seekor anjing yang telah kehilangan seluruh kekuatannya kerana kehausan dan dari riaknya memohon belas. Anjing itu mengendus-enduskan hidungnya ke tanah.

Lelaki itu melihat anjing malang tersebut sangat menderita kerana kehausan. Dia pun merasa kasihan dan terharu melihatnya. Dia baru sahaja dicengkam kehausan, seperti yang dirasakan anjing itu. Kemudian dia memutuskan untuk memberinya air. Setelah itu dia turun semula ke dalam sumur dan memenuhkan sepatunya dengan air. Dia naik ke atas membawa air yang ada di sepatunya dengan menggigitnya, kerana kedua tangan dan kakinya dia gunakan untuk memanjat dinding sumur itu. Dia meletakkan sepatunya yang berisi air itu di depan anjing tadi yang hampir mati kerana kehausan. Anjing itu minum hingga puas. Allah mengampunkan seratus-peratus dosanya sebagai balasan atas kebaikan yang dia lakukan.

“ Para sahabat bertanya kepada Nabi SAW, ‘apakah kita boleh memperoleh pahala daripada Tuhan dengan berbuat baik kepada binatang.’ Beliau menjawab: Ya, engkau akan diberi pahala kerana berbuat baik kepada setiap makhluk hidup.”

Assalamualaikum, semua wahai pengembara blog saya. Anda sudah membaca kisah di atas? Apa perasaan anda setelah membacanya. Kisah ini saya petik dari sebuah buku kegemaran saya iaitu novel ‘Dalam Mihrab Cinta’ karya Habiburrahman el-Shirazy. Dalam novel ini ada satu lagi cerita yang berkisar tentang agungnya jasa dan doa seorang ibu hingga anaknya berjaya dalam hidupnya yang berlaku di China suatu ketika dahulu. Kisah ini adalah kisah benar. Dan kisah di atas juga adalah kisah benar.

Menyentuh tentang kisah di atas, pertama kali saya membacanya, saya berasa satu perasaan yang sukar digambarkan mengalir dalam tubuh saya. Hati saya menangis membacanya. Saya dapat bayangkan bagaimana orang itu bersusah-payah turun-naik ke sumur semata-mata mahu menyelamatkan nyawa seekor binatang. Tidakkah kalian terharu dengan pengorbanan lelaki itu? Dengan menggunakan kedua kaki dan tangannya dia naik semula ke atas sambil membawa air yang dimasukkan ke dalam sepatunya kemudian sepatu itu digigit lantas membawanya kepada anjing tadi. Lihatlah, betapa besarnya keikhlasan yang dia lakukan untuk secebis kebaikan. Tidakkah kalian dapat membayangkan bagaimana keadaan lelaki itu. Kesusahan dan kesukaran yang ditanggungnya untuk menikmati satu kebaikan dan sebagai balasannya, Allah mengampunkan segala dosa yang dilakukannya sepanjang usianya waktu itu (membaca ayat ini membuatkan hati saya terus menangis…menangis… dan menangis kegembiraan).

Ya Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Penyayang serta Maha Pengampun. Satu yang saya fikir saat habis membacanya ialah jika saya melakukan kebaikan terhadap seekor semut misalnya memberinya sekeping roti tanpa bersusah payah seperti yang ditanggung oleh lelaki dalam kisah tadi, apakah Allah juga akan mengampunkan semua dosa-dosa saya? Padahal untuk mencapai rahmat Allah SWT dan kasih sayang-Nya, saya mesti menanggung segala kesusahan dan mencapai keikhlasan seperti yang dialami oleh lelaki tadi.

Apabila mengingat kasih sayang yang diberikan Allah kepada Hamba-hamba-Nya, saya teringat satu lagi kisah betapa Allah itu lebih Maha Mengetahui siapa yang mendapat limpah rahmat-Nya. Kisah yang saya baca dari sebuah majalah yang kebanyakan orang sekarang tidak suka membacanya kerana sebab-sebab tertentu. Kisah yang meruntun jiwa yang membacanya termasuk saya. Memang sepanjang membaca kisah ini juga hati saya menangis dan empangan mata saya akhirnya pecah. Kisah seorang anak yang sepanjang hidupnya sering disumpah oleh ibunya, digelar anak sial, kalau mati tidak akan mencium bau syurga, air susu ibunya tidak dihalalkan dan juga sering disumpah supaya lekas mati.

Tapi tahukah kalian, kerana tidak dapat menahan tekanan hidup yang dialaminya, maka anak gadis ini menamatkan hidupnya dengan meminum racun. Tentu kalian terfikir, pasti orang yang membunuh diri tidak akan diterima oleh Allah dan neraka adalah tempatnya bukan? Jika itu andaian kalian, lupakanlah andaian itu kerana kalian tentu tidak percaya, di saat ambang maut menjemput, gadis itu sempat mengucap kalimah syahadah, membaca surah al-fatihah dan surah al-ikhlas beberapa kali. Malah wajahnya begitu tenang dan berseri sekali saat malaikat maut mencabut nyawanya. Tengoklah, lihatlah dan carilah pengajaran yang tersirat di sini. Sesungguhnya, Allah lebih tahu siapa insan yang berhak mendapat rahmat dan redha-Nya. Apabila membaca kisah ini saya teringat satu firman Allah yang berbunyi begini:

“ Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
( Surah al-Baqarah: ayat 216)

Tinta Penulis: Setiap kebaikan ada balasannya, carilah kebaikan itu walaupun kita terpaksa bersaing dengan insan lain. Setiap orang berhak mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah SWT andai kita berani mencari kebaikan itu walaupun sebesar virus. Percayalah, berbuat baik kepada makhluk yang lemah yakni binatang dan alam sangat besar ganjarannya di sisi Allah seperti mana ganjaran yang kita dapat apabila melakukan kebaikan sesama manusia.

Saturday, November 13, 2010

KISAH TELADAN - KISAHKU DENGAN 4 EKOR KUCING DAN BERATUS-RATUS MANUSIA

Saya ada satu kisah. Kisahku dengan empat ekor kucing dan erti menjaga perasaan. Begini, tengah hari tadi, saya terdengar anak kucing mengiau agak kuat di dalam kolej saya. Kemudian terdengar pula ibunya membalas panggilan anaknya. Ketika itu saya berada di dalam bilik dan seperti biasa saya tidak menghiraukannya. Ketika saya pergi membeli makanan saya nampak semua lubang di dalam kolej kami telah ditutup oleh bata. Maknanya tak ada chanlah kucing nak masuk ke dalam kolej kami yang mempunyai sembilan tingkat ini. Saya buat tidak kisah dengan apa yang saya lihat.

Ketika maghrib, suara kucing mengiau tidak kedengaran tetapi selepas Isyak, suara anak kucing mengiau kembali bergema di segenap ruang bangunan ini. Agak kuat dan jelas disusuli pula sahutan ibunya. Mendengar suara itu, saya jadi terfikir, mesti ada sesuatu yang tidak kena ini? mungkin ibu kucing itu tidak dapat masuk ke dalam disebabkan semua lubang sudah ditutup. Ketika ini, saya terfikir tentang lubang-lubang yang saya nampak tengah hari tadi. Bila saya amati, sah, anak kucing itu berada di dalam manakala ibunya berada di luar. Entah kenapa, tiba-tiba, saya tergerak hati untuk menyiasatnya dan menolong anak kucing itu jika benar mereka berada dalam kesusahan. Maka saya memakai baju dan tudung lantas mencari di manakah anak kucing itu berada. Akhirnya, Alhamdulillah, saya dapat juga jumpa anak kucing tersebut. Ada tiga ekor dan semuanya sangat comel. Dengan mata yang besar dan bersinar seakan meminta simpati kepada saya untuk membantu mereka. Tapi yang bersuara tadi cuma seekor sahaja. Rupanya anak kucing itu dekat saja dengan rumah saya (berada di rumah hadapan). Tadi punyalah saya mencari hingga ke tingkat empat, rupanya mereka berada di depan mata.

“ tunggu ye” entah kenapa saya cakap macam ni macamlah kucing tu faham. Saya turun ke bawah mencari ibunya. Di hujung tangga tepi kafeteria, saya ternampak ibunya sedang duduk. Setia menunggu jika ada insan yang sudi menolong untuk menemukan dia dengan anaknya yang tersayang. Saya angkat badannya. Ya Allah, puting susunya sudah mengeras dan membengkak kerana air susunya sudah lama tidak disusui oleh anak-anaknya. Dalam fikiran saya, mesti ibu kucing ini berasa sakit apabila puting susunya dipegang. Tapi saya tidak ada pilihan dan terpaksa memegangnya. Bila saya angkat sambil kedua tangan saya menyentuh susunya, saya berasa hairan kerana ibu kucing ini tidak mengerang tanda kesakitan padahal setahu saya bila susu membengkak kerana tidak disusui seharian, mesti akan berasa sakit tidak kira manusia atau binatang. Entah mengapa, tiba-tiba saya jadi bersemangat untuk membantunya.

Saya lantas membawanya ke dalam untuk berjumpa dengan anak-anaknya. Orang di sekitar saya hanya memandang saya tetapi saya tidak hiraukan mereka. Biarkanlah, jika mereka geli dengan apa yang mereka lihat saya tidak kisah. Bila saya bawa ibu kucing ini jumpa dengan anak-anaknya tiba-tiba ketiga-tiga anak kucing itu mengeram bagaikan ibu kucing itu sangat asing di sisi mereka. Ibu kucing itu juga turut mengeram sama menandakan anak-anak kucing itu bukan anaknya. Saya jadi buntu. Aduh macam mana ni. Rupanya tanggapan saya salah dan saya perlu mencari anaknya yang sebenar sampai dapat. Mungkin anak kucing itu sekarang ada ibu di dalam rumah itu. Otak saya sudah mula memikirkan yang bukan-bukan walhal saya tahu rumah depan rumah saya ini tidak ada penghuni.

Lantas saya bawa ibu kucing ini ke tingkat atas. Suara anak kucing mengiau sudah lama hilang. Keadaan menjadi sunyi sepi. Saya sudah hilang arah untuk mencari keluarganya kerana petunjuknya sudah tidak ada. Entah berapa tingkat saya naik, tiba-tiba ibu kucing ini melepaskan diri dari tangan saya dan berlari ke tengah koridor dan mendaki penghalang antara koridor dengan tempat jemuran pakaian. Sekarang ibu kucing itu berada di atas dan matanya melihat ke bawah. Dalam masa yang sama, anak kucing yang berada di bawah mengiau dan dibalas oleh ibu kucing ini. Ibu kucing ini sudah tidak tentu arah. Akhirnya saya dapat tahu bahawa ibu kucing ini adalah ibu kepada anak-anak kucing yang berada di depan rumah saya. Saya pun membawanya ke arah anak-anaknya. Cuma dalam hati saya berasa hairan, kenapa ketika mereka berjumpa tadi, masing-masing seperti tidak mengenali antara satu sama lain? Hmm, entahlah, saya pun tidak tahu. Hanya keluarga si kucing ini sahaja yang tahu.

Apabila si ibu dekat dengan anak-anaknya, dengan manja dan riang ria, ketiga-tiga anak kucing itu terus meluru ke arah ibu mereka dan mengomol susu ibunya. Menghisap puting susu ibu mereka yang sudah sehari tidak dihisap. Si ibu pula menjilat manja belakang anak-anaknya satu persatu. Hati saya tersentuh. Rasanya air mata ini mahu luruh jatuh ke pipi jika saya tidak menahannya. Perasaan saya juga berasa lega bercampur gembira bila melihat pertemuan yang indah ini. Kala ini saya kembali terbayang wajah si anak kucing ini ketika pertama kali saya melihat wajahnya tadi. Di sebalik kecomelan mereka, ada sesuatu yang tersembunyi. Ya, ingin minta dikasihani dan orang yang mengasihani itu adalah yang bernama manusia. Siapa lagi bukan jika bukan manusia.

Kerana kucing tidak boleh masuk ke dalam, maka saya meminta rakan serumah saya membantu saya membawa keluarga si kucing ini ke bawah. Semoga Allah s.w.t merahmati sahabat saya ini dan membalas budi dan jasanya. Kami membawa mereka berempat ke bawah bangunan dan meletakkan di suatu sudut berdekatan dengan tempat si ibu menunggu tadi. Berdekatan dengan tangga di hujung bangunan. Kami membaringkan si ibu kucing dan anak-anaknya menghisap susunya dengan rakus. lapar, kerana seharian tidak menjamah nasi dan susu. Saya dapat melihat kegembiraan di mata si keluarga kucing ini serta melalui tingkah laku mereka. Melihat gelagat mereka, sekali lagi saya jadi terharu.

Saya berasa kekuasaan Allah yang menciptakan makhluk-makhluknya dan melahirkan kasih sayang dalam setiap makhluknya. Saya raba puting susu si ibu kucing itu. Susunya yang bengkak tadi, sudah mengecil dan lembik. Saya tersenyum. Gembira. Ketika inilah, saya teringatkan kucing kesayangan saya bernama “Perang” yang telah meninggal dunia setahun yang lalu di kampung. Mengingatkan itu, saya berasa sedih. Ya Allah, aku betul-betul merinduinya. Kemudian satu-satu ingatan saya memfokus kepada anak-anak kucing keluarga saya di kampung yang dibuang oleh keluarga saya yang entah ke mana tempatnya. Yang tinggal hanya ibunya sahaja. “ Ya Allah, alangkah kejamnya kami ketika itu.” Saya mahu menangis mengenangkannya tetapi apabila melihat Sahabat saya ada di sebelah, saya cuba menahan air mata ini dari mengalir keluar dari kolam mata.

Sahabat saya kembali ke rumah, dan saya pula menonton tv di bawah. Bila teringat anak kucing dan si ibu kucing itu, saya pergi semula ke tempat mereka. Saya belai bulu si ibu dan si anak yang comel itu. Saya cium si ibu itu. Saya tidak kisah dia kotor atau tidak kerana ketika di kampung dulu pun, saya ada banyak kucing yang sama keadaannya seperti si kucing ini. Biarlah mereka kotor atau tidak, yang penting saya tetap sayangkan binatang kesayangan Baginda Rasulullah ini. Ketika saya dan sahabat saya mengangkat mereka ini tadi pun, saya tahu, ada antara penonton drama sebabak ini yang berasa geli. Saya tak kisah. Sebenarnya haiwan inilah yang banyak mematangkan kita dan mengajar kita tentang erti kasih sayang sesama makhluk. Jika anda semua berada di tempat saya ketika ini pun, pasti anda juga akan merasai apa yang saya dan sahabat saya rasa. Pasti. Yakin. Ia bukan datang secara terpaksa tetapi dengan rela, perasaan itu akan hadir dalam diri anda semua, para pembaca kisah saya ini. Drama sebabak.

Bila saya balik ke rumah, saya gembira kerana tiada lagi suara anak dan ibu kucing mengiau bagaikan meminta simpati dari orang ramai untuk menemukan mereka menjadi satu keluarga semula. Saya gembira kerana saya telah melakukan satu tindakan yang betul. Menemukan sebuah keluarga yang bahagia kembali bersatu. Saya tahu, si ibu dan anak-anaknya, mahu mengucapkan terima kasih cuma mereka tidak dapat bercakap seperti manusia tetapi dari renungan mata mereka, saya tahu apa yang ada di hati mereka. Tahukah anda semua, kejadian ini telah membuatkan saya terfikir sesuatu. Walaupun baru beberapa jam peristiwa itu berlaku tetapi saya telah mendapat sesuatu yang hendak saya kongsikan kepada anda semua untuk kita sama-sama fikirkannya. Ya, antara menjaga hati seekor makhluk Allah s.w.t yakni binatang dengan manusia. Yang mana perlu didahulukan? Jika saya biarkan ibu dan anak kucing itu tinggal dalam bangunan, bagaimana pula dengan perasaan pekerja-pekerja kolej yang bertungkus lumus mencari bata dan jaring untuk menutup lubang di seluruh bangunan ini supaya kucing tidak masuk? Tapi, jika saya biarkan si kucing ini tinggal di luar, di manakah mereka akan tinggal dalam keadaan hujan dan ribut di luar itu? Dengan kesejukan alam dan hujan yang turun tentu mereka tidak ada tempat yang selesa untuk tidur.

Tetapi jika saya biarkan mereka tidur di dalam pula tentu ada penghuni kolej yang tidak suka dan senang kerana, si makhluk Allah s.w.t ini suka membuang kotoran dalam badan mereka merata tempat. Perasaan manakah yang perlu dijaga? Keluarga si kucing ini atau perasaan pekerja kolej dengan penghuni-penghuni kolej yang berjumlah beratus-ratus orang itu? hati manakah yang perlu dijaga? Apakah tindakan saya betul? Membiarkan si haiwan lemah ini tidur di luar tanpa ada sebuah kotak atau sehelai kain untuk memanaskan badan mereka yang kesejukan? Yang manakah hati yang perlu dijaga?

Persoalan saya ini saya tanyakan pada anda semua, para pembaca kisah saya ini. Kalau anda, yang mana hati yang perlu dijaga? Si kucing itu atau insan yang bernama manusia?

S. Hana Ak
05 November 2010 (Jumaat)
12.12 Pm
KHAR, UPSI

Monday, October 4, 2010

KISAH TELADAN-Hamba Badwi Dengan Rasulullah s.a.w

Pada suatu masa, ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang tawaf di Kaabah, baginda mendengar seseorang di hadapannya bertawaf sambil berzikir: "Ya Karim! Ya Karim!". Rasulullah s.a.w meniru zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!". Orang itu berhenti di satu sudut Kaabah dan menyebutnya lagi "Ya Karim! Ya Karim!" Rasulullah yang berada di belakangnya menyebutnya lagi "Ya Karim! Ya Karim!".

Orang itu merasa dirinya di perolok-olokkan, lalu menoleh ke belakang dan di lihatnya seorang lelaki yang sangat tampan dan gagah yang belum pernah di lihatnya. Orang itu berkata "Wahai orang tampan, apakah engkau sengaja mengejek-ngejekkanku, kerana aku ini orang badwi?.Kalaulah bukan kerana ketampanan dan kegagahanmu akan ku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah".

Mendengan kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w tersenyum lalu berkata: "Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?".

"Belum" jawab orang itu.

"Jadi bagaimana kamu beriman kepadanya?"

"Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya walaupun saya belum pernah bertemu dengannya" jawab orang Arab badwi itu.

Rasulullah s.a.w pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab, ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat"

Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya lalu berkata, "Tuan ini Nabi Muhammad"

"Ya" jawab Nabi s.a.w.

Dengan segera orang itu tunduk dan mencium kedua-dua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu Rasulullah s.a.w menarik tubuh orang Arab badwi itu seraya berkata "Wahai orang Arab, janganlah berbuat seperti itu. Perbuatan seperti itu biasanya di lakukan oleh seorang hamba sahaya kepada tuannya. Ketahuilah, Allah mengutuskanku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang minta di hormati atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya".

Ketika itulah turun Malaikat Jibril a.s untuk membawa berita dari langit, dia berkata "Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Katakan kepada orang Arab itu, agar tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di Hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil maupun yang besar".

Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Orang Arab itu pula berkata "Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya". Orang Arab badwi berkata lagi "Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maqhfirahNya, Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa luasnya pengampunanNya. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanNya".

Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu sehingga air mata meleleh membasahi janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata:

"Ya Muhammad, Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Berhentilah engkau dari menangis, sesungguhnya kerana tangismu , penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia bergongcang. Sekarang katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan menperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampunkan semua kesalahannya dan akan menjadi temanmu di syurga nanti"
Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengan berita tersebut. Ia menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya.

Wednesday, September 29, 2010

KISAH TELADAN-KISAH NABI SALLEH A.S DAN UNTA DARI BATU KARANG

Nabi Salleh a.s sedar akan tentangan akan kaumnya yang menuntut bukti daripadanya berupa mukjizat itu, adalah bertujuan untuk menghilangkan pengaruhnya dan mengikis habis kewibawaannya di mata kaumnya terutama para pengikutnya. Bila ia gagal memenuhi tuntutan tersebut, Nabi Salleh membalas tentangan mereka dengan menuntut janji dari mereka, bila ia berhasil mendatangkan mukjizat yang mereka minta, bahwa mereka akan meninggalkan agama dan penyembahan mereka dan akan mengikut Nabi Salleh dan beriman kepadanya.


Sesuai dengan permintaan dan petunjuk pemuka-pemuka kaum Tsamud, berdoalah Nabi Salleh a.s memohon kepada Allah agar memberikan suatu mukjizat kebenearan risalahnya dan sekaligus mematahkan perlawanan dan tentangan kaumnya yang masih degil itu. Ia memohon dari Allah dengan kekuasasan-Nya menciptakan seekor unta betina, dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang terdapat di sisi sebuah bukit yang mereka tunjuk.

Maka sejurus kemudia, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta, terbelahlah batu karang yang ditunjuk itu keluar dari perutnya seekor unta betina. Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut batu karang. "Inilah dia unta Allah, janganlah kamu ganggu dan biarkan giliran untuk mendapatkan air minum bagimu dan bagi ternakanmu juga dan ketahuilah bahwa Allah akan menurunkan azab-Nya bila kamu sampai mengganggu binatang ini."


Syahdan, maka bekeliaranlah sang unta di ladang-ladang memakan rumput sesauka hatinya tanpa mendapat gangguan. Dan disaat giliran minumnya tiba, pergilah unta itu ke sebuah perigi dan minumlah sepuas hatinya. Dan pada hari-hari giliran unta Nabi Salleh a.s datang minum, tiada seekor binatang lain menghampirinya, hal mana menimbulkan rasa tidak senang pada pemilik-pemilik binatang-binatang itu yang makin hari makin merasa bahwa adanya unta Nabi Salleh di tengah-tengah mereka itu merupakan gangguan. Laksana duri yang melintang di dalam kerongkong.


Dengan berhasilnya Nabi Salleh a.s mendatangkan mukjizat yang mereka tuntut, gagallah pemuka kaum Tsamud dalam usahanya menjatuhkan kehormatan dan menghilangkan pengaruh Nabi Salleh, bahkan sebaliknya telah menambah tebal kepercayaan para pengikutnya dan menghilangkan keraguan dari kaumnya. Maka dihasutlah oleh mereka pemilik-pemilik ternak yang merasa jengkel dan tidak senang dengan adanya unta Nabi Salleh yang bermaharajalela di ladang dan kebun-kebun mereka serta ditakuti oleh binatang-binatang peliharaannya.


"Barangsiapa segan mengikuti jejak sunnahku, maka tiadalah ia termasuk dalam golonganku." Hadith Riwayat Muslim

Tuesday, September 21, 2010

KISAH TELADAN-Rabiah Al Adawiyah: Perindu Kecintaan Allah

Rabiah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabiah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.

Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabiah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:

Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.

Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.

Rabiah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

Setiap malam begitulah keadaan Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.

Seperkara menarik tentang diri Rabiah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.

Rabiah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.

Rabiah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?

Kecintaan Rabiah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.

Begitulah keadaan kehidupan Rabiah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.

Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.