Wednesday, September 21, 2011

Suatu Kisah Di Sebuah Sumur Pada Zaman Rasulullah



Bismillahirahmanirrahim

Hari itu Nabi dikelilingi oleh para sahabatnya yang mulia. Nabi menceritakan satu kisah yang indah kepada mereka. Ada seorang lelaki yang melalui gurun yang sangat panas dalam keadaan dahaga amat sangat. Di tengah perjalanan dia menemui sebuah sumur. Lantas dia turun masuk ke dalam dan minum sepuas-puaanya untuk menghilangkan dahaganya. Ketika dia keluar dari sumur itu, dia melihat seekor anjing yang telah kehilangan seluruh kekuatannya kerana kehausan dan dari riaknya memohon belas. Anjing itu mengendus-enduskan hidungnya ke tanah.

Lelaki itu melihat anjing malang tersebut sangat menderita kerana kehausan. Dia pun merasa kasihan dan terharu melihatnya. Dia baru sahaja dicengkam kehausan, seperti yang dirasakan anjing itu. Kemudian dia memutuskan untuk memberinya air. Setelah itu dia turun semula ke dalam sumur dan memenuhkan sepatunya dengan air. Dia naik ke atas membawa air yang ada di sepatunya dengan menggigitnya, kerana kedua tangan dan kakinya dia gunakan untuk memanjat dinding sumur itu. Dia meletakkan sepatunya yang berisi air itu di depan anjing tadi yang hampir mati kerana kehausan. Anjing itu minum hingga puas. Allah mengampunkan seratus-peratus dosanya sebagai balasan atas kebaikan yang dia lakukan.

“ Para sahabat bertanya kepada Nabi SAW, ‘apakah kita boleh memperoleh pahala daripada Tuhan dengan berbuat baik kepada binatang.’ Beliau menjawab: Ya, engkau akan diberi pahala kerana berbuat baik kepada setiap makhluk hidup.”

Assalamualaikum, semua wahai pengembara blog saya. Anda sudah membaca kisah di atas? Apa perasaan anda setelah membacanya. Kisah ini saya petik dari sebuah buku kegemaran saya iaitu novel ‘Dalam Mihrab Cinta’ karya Habiburrahman el-Shirazy. Dalam novel ini ada satu lagi cerita yang berkisar tentang agungnya jasa dan doa seorang ibu hingga anaknya berjaya dalam hidupnya yang berlaku di China suatu ketika dahulu. Kisah ini adalah kisah benar. Dan kisah di atas juga adalah kisah benar.

Menyentuh tentang kisah di atas, pertama kali saya membacanya, saya berasa satu perasaan yang sukar digambarkan mengalir dalam tubuh saya. Hati saya menangis membacanya. Saya dapat bayangkan bagaimana orang itu bersusah-payah turun-naik ke sumur semata-mata mahu menyelamatkan nyawa seekor binatang. Tidakkah kalian terharu dengan pengorbanan lelaki itu? Dengan menggunakan kedua kaki dan tangannya dia naik semula ke atas sambil membawa air yang dimasukkan ke dalam sepatunya kemudian sepatu itu digigit lantas membawanya kepada anjing tadi. Lihatlah, betapa besarnya keikhlasan yang dia lakukan untuk secebis kebaikan. Tidakkah kalian dapat membayangkan bagaimana keadaan lelaki itu. Kesusahan dan kesukaran yang ditanggungnya untuk menikmati satu kebaikan dan sebagai balasannya, Allah mengampunkan segala dosa yang dilakukannya sepanjang usianya waktu itu (membaca ayat ini membuatkan hati saya terus menangis…menangis… dan menangis kegembiraan).

Ya Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Penyayang serta Maha Pengampun. Satu yang saya fikir saat habis membacanya ialah jika saya melakukan kebaikan terhadap seekor semut misalnya memberinya sekeping roti tanpa bersusah payah seperti yang ditanggung oleh lelaki dalam kisah tadi, apakah Allah juga akan mengampunkan semua dosa-dosa saya? Padahal untuk mencapai rahmat Allah SWT dan kasih sayang-Nya, saya mesti menanggung segala kesusahan dan mencapai keikhlasan seperti yang dialami oleh lelaki tadi.

Apabila mengingat kasih sayang yang diberikan Allah kepada Hamba-hamba-Nya, saya teringat satu lagi kisah betapa Allah itu lebih Maha Mengetahui siapa yang mendapat limpah rahmat-Nya. Kisah yang saya baca dari sebuah majalah yang kebanyakan orang sekarang tidak suka membacanya kerana sebab-sebab tertentu. Kisah yang meruntun jiwa yang membacanya termasuk saya. Memang sepanjang membaca kisah ini juga hati saya menangis dan empangan mata saya akhirnya pecah. Kisah seorang anak yang sepanjang hidupnya sering disumpah oleh ibunya, digelar anak sial, kalau mati tidak akan mencium bau syurga, air susu ibunya tidak dihalalkan dan juga sering disumpah supaya lekas mati.

Tapi tahukah kalian, kerana tidak dapat menahan tekanan hidup yang dialaminya, maka anak gadis ini menamatkan hidupnya dengan meminum racun. Tentu kalian terfikir, pasti orang yang membunuh diri tidak akan diterima oleh Allah dan neraka adalah tempatnya bukan? Jika itu andaian kalian, lupakanlah andaian itu kerana kalian tentu tidak percaya, di saat ambang maut menjemput, gadis itu sempat mengucap kalimah syahadah, membaca surah al-fatihah dan surah al-ikhlas beberapa kali. Malah wajahnya begitu tenang dan berseri sekali saat malaikat maut mencabut nyawanya. Tengoklah, lihatlah dan carilah pengajaran yang tersirat di sini. Sesungguhnya, Allah lebih tahu siapa insan yang berhak mendapat rahmat dan redha-Nya. Apabila membaca kisah ini saya teringat satu firman Allah yang berbunyi begini:

“ Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
( Surah al-Baqarah: ayat 216)

Tinta Penulis: Setiap kebaikan ada balasannya, carilah kebaikan itu walaupun kita terpaksa bersaing dengan insan lain. Setiap orang berhak mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah SWT andai kita berani mencari kebaikan itu walaupun sebesar virus. Percayalah, berbuat baik kepada makhluk yang lemah yakni binatang dan alam sangat besar ganjarannya di sisi Allah seperti mana ganjaran yang kita dapat apabila melakukan kebaikan sesama manusia.

No comments:

Post a Comment