Saturday, October 15, 2011

Tuhan, Izinkan Aku Berjumpa Dengannya


Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum, Malam ini saya tergerak untuk melantunkan pena saya di sini, blog yang biasa-biasa ini. Sebenarnya terdapat banyak perkara yang ingin saya luahkan dan kongsikan kepada anda semua. Tentang hati dan fikiran saya. Banyak, memang banyak! Bukankah hidup ini dipenuhi dengan peristiwa, dipenuhi dengan persoalan dan dipenuhi dengan jawapan? Tapi saya tak mampu mengadun kesemuanya di sini dalam satu-satu masa kerana saya hanyalah hamba-Nya yang juga punya akal yang tidak sempurna. Tidak mampu menyimpan segala maklumat dan juga tak mampu mencerna idea untuk menulis dan mencoretkannya dalam kertas mahupun dalam Microsoft word ataupun melakarnya dalam bentuk lukisan ataupun menulis lirik lagu untuk menyampaikan segala yang termaktub dalam otak dan nurani saya.

Maafkan saya kerana lebih banyak bermukadimah berbanding isinya (seperti kata sahabat-sahabat). Tak apa, nak baca, baca! Tak nak baca. Tak payah. Simple bukan? Saya tidak memaksa orang membaca ‘karangan’ saya ini. Saya tidak kisah jika hanya ada seorang sahaja yang membaca dari berpuluh-puluh bahkan mungkin beratus-ratus pengembara yang mengembara di sini dan saya juga tidak kisah jika tidak ada seorang pun yang membacanya. Kerana saya sudah katakan, nak baca? Baca. Tak nak, tak payah. Anda yang menentukan segalanya. Tapi saya juga ada hak iaitu hak saya untuk menulis di sini. Mencipta blog dan mengisinya dengan perkara-perkara yang saya rasa perlu.

Okey sambung cerita. Kisah nyata? Ya, kisah yang diadun daripada hati dan hasil pemerhatian, penghayatan, pemahaman dan pengalaman dalam kehidupan saya suatu ketika dulu. Saya tergerak hati untuk berkongsi dengan anda semua walaupun saya tahu dalam dunia ini anda juga turut mengalaminya selain saya walaupun bezanya adalah masa, tempat dan keadaan.

Saya lahir dari keluarga yang sederhana. Hidup saya dikelilingi oleh alam dan makhluk Allah yang lain yang tentu sahaja binatang peliharaan kerana memang sejak saya lahir keluarga saya sudah pun memelihara binatang ternak. Kambing, itik, angsa, kucing, burung, ayam, arnab, kerbau, ikan…semualah. Bak kata saya sendiri keluarga saya memang suka memelihara dan menternak haiwan-haiwan ini untuk tujuan-tujuan tertentu. (saya nak cerita tentang inilah sebenarnya…)nak tahu apa tujuannya? Ini dia…

Ayah dan ibu saya menternak kambing, itik, angsa, ikan, ayam, arnab, dan ikan untuk menjadi santapan kami di masa-masa tertentu. Jika kami menginginkan daging kambing, seekor akan disembelih, contohnya begitu. Kerbau pula di ternak untuk membajak sawah padi kami yang berekar-ekar itu. burung pula? Hmmm, di atas atap di luar rumah kami ada sebuah sarang burung pipit yang dihuni oleh dari satu generasi ke satu genarasi makhluk ini. Ayah dan ibu saya sengaja tidak menyentuh dan membiarkannya di situ (sekarang sudah tiada). Macam mana pula haiwan kesayangan rasulullah? Ya, kucing pula untuk menangkap tikus yang datang ke rumah serta untuk menceriakan hidup kami sekeluarga. Lalu di sinilah kisah seriusku bermula…..bacalah jika anda mahu membacanya.

Keluargaku memang sudah membela kucing sejak dari dulu sejak anak sulung keluarga kami lahir. Dalam kampungku ini rasanya rumah kamilah yang paling banyak bela kucing hingga berpuluh-puluh ekor dalam satu-satu masa. ibuku memang sukakan kucing sehingga sebahagian anak-anaknya sukakan kucing. Termasuk aku? ya, termasuk aku. Aku suka bermain dengan anak-anak kucing yang comel-comel itu. Kadang-kadang kami akan berkejaran sesama sendiri. Rasanya hidup tidak cukup bahagia jika tidak ada si haiwan kesayangan nabi ini. Aku cukup suka melihat wajah dan telatahnya. Si comel ini telah banyak membuka hati, akal dan mataku untuk terus mencintai ciptaan Allah SWT. Subhanallah!!! Setelah sekian lama, sejak aku membesar aku memang dambakan seekor kucing yang akan menjadi kucing kesayanganku selama-lamanya walaupun begitu banyak kucing yang terdahulu tapi aku tetap menyayangi kucing ini sama rata. Kadang-kadang aku cemburu apabila melihat adik-adikku bermain dengan kucing kesayangan mereka. Tapi aku? Namun aku percaya suatu hari nanti aku pasti akan mendapat apa yang aku hajatkan. Allah pasti akan memberikan aku. ya, pasti! Akhirnya setelah aku menunggu bertahun-tahun, lalu ketika usiaku mencecah usia remaja, akhirnya Allah perkenaankan harapanku. Alhamdulillah…

Di suatu pagi yang bening, dari perut seekor ibu kucing berwarna putih diberi nama cuki, lahirlah seekor anak kucing yang sangat comel berwarna keperang-perangan. Dia anak tunggal. Hanya seekor. Tidak ada adik-beradiknya. Seumur hidupku tidak pernah aku melihat seekor ibu kucing melahirkan seekor anak. Tidak dua atau tiga atau enam, seperti yang selalu aku lihat. Mungkin inilah anugerah yang Allah berikan khas untukku. Alhamdulillah, syukur. Aku bersyukur kepada-Nya. Secara tiba-tiba juga Allah lahirkan suatu perasaan di dalam hati aku untuk memilikinya. Menjadikanya sebagai Makhluk Tuhan yang paling aku sayang di dunia. Aku ingin menyayanginya seperti mana Rasulullah menjaga dan menyayangi kucing kesayangannya.

Si anak kucing ini aku namakan ‘Perang’ kerana melihat kepada warna bulunya. Perang membesar seperti mana anak kucing yang lain. Cukup lincah dan cukup manja. Kerana kerap dipanggil dengan nama perang akhirnya dia sudah sebati dengan namanya. Jika aku panggil namanya, dia akan terus menoleh dan berlari kepadaku. Begitu juga jika orang lain memanggil namanya. Aku juga selalu tidur bersamanya. Tidak berenggang sedikit pun. Kadang-kadang si perang akan mendaki tubuhku ini saat aku sedang menyulam mimpi indah. Kadang-kadang juga apabila aku tersedar esok paginya, dia tidur dengan lena di ribaanku. Aku pun tidak tahu macam mana dia boleh masuk ke dalam selimut. Tapi aku tidak marah. Setiap kali dia tidur di ribaanku, aku akan tersenyum. Mengusap tubuhnya yang lembut hingga terlena. Aku cukup suka melihat matanya yang berwarna perang dan ekornya yang kontot kerana ekornya yang bengkok.

Malah dia cukup suka bergayut di bahuku apabila aku dan keluargaku pergi ke bendang. Aku akan membawanya bersama-sama. Kadang-kadang aku biarkan dia berjalan sendiri. Sanggup menunggu di sana dari pagi hingga petang. Dia juga pandai merajuk. Jika aku memukulnya, dia tidak akan tidur bersamaku hinggalah aku memujuknya.

Tidak keterlaluan aku katakan, perang juga kucing kesukaan keluargaku kerana mudah diurus dan tidak senakal kucing-kucing yang lain. Tapi ini tidak bermakna aku tidak sayang dengan yang lain. Aku tetap sayangkan mereka semua kerana merekalah yang membahagiakan aku, menceriakan hidupku, melindungi keluargaku dan yang paling penting melembutkan hati aku dan adik-beradiku untuk menyayangi binatang. Kucing-kucing ini juga punya banyak sejarah dalam hidup keluargaku cuma di sini aku hanya tulis dan tumpukan tentang kisah si perang. Ada satu perkara yang membuatkan perang cukup istemewa di hatiku, dia tidak akan sesekali-kali pergi meninggalkan anak-anaknya sebelum mereka kenyang walau macam mana keadaannya. Dia juga tidak pernah tidak menyusui anak-anak walaupun sekali setiap kali dia melahirkan zuriatnya. Serta dia tidak akan memindahkan anak-anaknya ke tempat lain setelah bosan dengan tempat asalnya. Perang tetap melahirkan anak-anaknya di situ, di tempat yang disediakan hinggalah mereka membesar, pandai berlari dan bermain.

Suatu hari aku mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran jauh ke bumi semenanjung. Aku meninggalkan si perang bersama adik-adikku. Malah sebelum aku pergi, aku sempat memberi ceramah kepada adik-adikku supaya menjaga si perang sebaik-baiknya. Adik-adikku setuju dan aku berasa lega. Hati aku tidak perlu risau lagi. Aku percaya dengan adik-adikku. Berbulan-bulan lamanya aku tidak berjumpa dengannya walaupun rindu sering melingkari hatiku. Aku juga tidak nafikan, selalu aku tidak terfikir langsung tentangnya kerana seronok bersama rakan-rakan di sini. Tapi setiap kali aku balik kampung aku pasti akan mencarinya. Masuk sahaja di rumah, perang adalah insan pertama yang aku cari hinggalah…

Suatu hari, aku balik kampung untuk kesekian kalinya. Aku tidak nampak perang tapi aku tidak pula mengsyaki apa-apa. Seminggu di kampung, aku tidak nampak batang hidungnya dan aku pula tidak bertanya. Masuk minggu kedua aku bertanya kepada adik-adikku. Di mana perang? Aku menangis semahu-mahunya apabila mendengar khabar daripada adikku bahawa si’ Hurairah’ku ini telah meninggalkan dunia fana ini selama-lamanya, dimakan oleh anjing peliharaan jiranku. Di depan adik-adikku, aku tidak menangis. Aku cuba menabahkan diri. Selama sebulan aku memaksa diri untuk tidak menangisi si perangku, tetapi apabila aku kembali ke sini, di kolejku, aku tidak mampu menahan kesedihanku. Saat itu aku kembali mengenangkan semua saat-saat indah aku bersamanya. Saat tragis aku bersamanya. Bagaimana dia mampu kembali ke rumah sendirian walaupun keluargaku sudah membuangnya jauh ke dalam hutan. Meninggalkan saudara-saudaranya berjuang sendirian di hutan rimba itu. Di sini juga terdapat peristiwa hitam yang tak mampu aku kongsikan. Dalam tiap sujudku, aku memohon kepada-Nya agar memberikan aku keizinan untuk menatapnya buat kali terakhir walaupun juah di sudut hatiku, aku harap sangat khabar itu tidak benar. Mana mungkin Perang sudah mati. Aku mahu menunggunya pulang ke rumah. Tapi ya, aku terpaksa akur juga dengan takdir illahi. Perangku, si ‘syamimi’ ku sudah tiada.

Aku teringat tahun lalu ketika aku balik ke kampung, aku melihat si perangku ini telah banyak berubah. Badannya sudah kurus. Dia juga tidak lagi menoleh tatkala aku memanggil namanya. Aku juga teringat beberapa minggu sebelum khabar berita ini sampai padaku, aku bermimpi berjumpa dengannya. Dalam mimpiku, aku bermain dengan banyak kucing tetapi dalam banyak-banyak kucing aku tetap setia dengan si perang. Aku memeluknya kemudian melepaskannya. Setelah itu dia pergi tanpa menoleh ke arahku lagi. Aku memanggil namanya tapi dia tetap pergi. Jauh, jauh dan terus jauh dariku. Saat aku terjaga, pelbagai perasaan melandaku. Sedih, pilu dan gembira. Akhirnya aku berjumpa juga dengannya walaupun kami dipisahkan oleh lautan dan benua.

Tetapi, tidak sangka mimpi itu punya maksud yang tersirat. Mimpi itu merupakan petanda bahawa Perang tidak akan kembali lagi ke dunia ini. Bertahun-tahun lamanya aku memujuk hatiku, hingga saat ini tetapi sampai akhir hayatku aku tidak akan pernah melupakannya. Perang, adalah kucing pinjaman Allah SWT yang pertama dan terakhir untukku. Kekadang apabila aku membaca kisah tentang kucing, aku pasti akan teringatkan perang. Aku teringat kisah seorang anak yang teringin mahu berjumpa dengan kucing kesayangnya bernama putih yang sudah mati. Akhirnya Allah perkenaankannya apabila dia pergi ke tanah suci bersama ibunya. Di tanah suci dia berjumpa dengan putih yang berjalan di celah-celah ribuan manusia kemudian hilang sekelip mata. Kisah ini membuatku menangis dan yakin bahawa aku juga pasti akan bertemu dengan perang. Kucing yang aku sayang sepenuh hatiku. Jika bukan di dunia aku berharap agar Allah izinkan aku untuk berjumpa dengannya di akhirat kelak. Selalu, apabila aku sendirian aku akan terbayang bagaimana kehidupan perang di alam sana. Sekarang sudah hampir tiga tahun perang meninggalkan aku namun aku tidak akan pernah melupakannya. Perang…..

Ya Allah, Ya Khalik,…Tuhanku, aku sangat merindui ‘kesayanganku’ ini. Izinkan aku untuk berjumpa dengannya…

# Saat aku menulis kisahku dengan perang, air mataku mengalir, mengingat semua kenangan aku bersamanya.

# Aku sangat merinduinya. Tuhan! Tolong izinkan aku untuk bertemu dengannya walaupun hanya dalam mimpi.

# Ya Allah, pertemukanlah aku dengan ‘Hurairah’ku ini di saat aku menghadapi kehidupan di sana nanti.

# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka.

14 Oktober 2011 (Sabtu)

No comments:

Post a Comment