Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Wednesday, December 14, 2011
Menyusuri pantai kenangan melalui kisah-kisah teladan
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
Hai pengembara blog saya? Masih sudi singgah di blog saya ini? terima kasih kerana mengembaranya walau seketika sekalipun sebahagian dari kalian tidak membaca sebarang perkara yang saya coretkan di blog saya ini. Baiklah hari ini saya mahu membawa kalian mengimbas kembali cerita-cerita zaman dahulu (tak kiralah zaman mana-mana pun, zaman kecil ke, zaman Nabi ke atau Zaman Kesultanan Melayu Melaka ke ataupun zaman Portugis, British mahupun P. Ramlee). Cuma yang pastinya saya tidak akan membawa kalian untuk melalui kesemua zaman ini. Terserah kepada kalian di mana kalian mahu pergi. Saya baru sahaja habis membaca sebuah buku cerita khas untuk kanak-kanak yang bertajuk ‘Selamat Malam Anakku, Cerita-cerita menarik daripada Al-Quran untuk si Kecil’ yang dikarang oleh Saniyasnain Khan dan diterjemahkan oleh Roslinah Daud kemudian diterbitkan oleh penerbit Nickleodeon Book (M) Sdn. Bhd.
Buku ini menceritakan kisah-kisah yang terdapat dalam Al-Quran seperti kisah Nabi-nabi, orang biasa dan binatang-binatang serta kisah Al-Khidr (kisah Al-Khidr ini ada dalam surah al-Khaf 18:60-82). Kisah-kisah ni sebenarnya sudah biasa kita dengar Cuma saya tertarik dengan kisah Al-Khidr ini. Kalian tentu pernah mendengar ceritanya ataupun belum. Kalau belum, biar saya ceritakan serba sedikit pasal kisah ini. Pada Zaman Nabi Musa a.s, baginda bersama-sama dengan anak muridnya Yusha bin Nun telah bertemu dengan al-Khidr di suatu tempat. Nabi Musa a.s meminta izin daripada al-Khidr untuk mengikutnya dan al-Khidr pun bersetuju tetapi dengan syarat Nabi Musa a.s tidak boleh bertanya apa-apa kepadanya sehinggalah dia sendiri yang membuka mulut memberitahu. Nabi Musa a.s bersetuju lantas baginda mengikut al-Khidr menaiki sebuah kapal. Namun Nabi Musa a.s melanggar syarat tersebut apabila al-Khidr membuat satu lubang di dalam kapal tersebut, dan Nabi Musa a.s bertanya mengapa dia melakukannya. Dalam setiap perjalanan Nabi Musa a.s tidak dapat mengawal keinginan untuk bertanya tatkala al-Khidr melakukan suatu perkara yang pelik hinggalah akhirnya al-Khidr menyatakan bahawa mereka harus berpisah kerana Nabi Yusuf a. s tidak boleh menahan sabar untuk melihat serta mengetahui cerita sebenar . Namun sebelum berpisah al-Khidr sempat menceritakan perkara sebenar mengapa beliau melakukan perkara tersebut.
Kisah ini mengingatkan saya tentang kekeliruan yang sering melanda fikiran saya di suatu masa dulu, ketika masih muda remaja. Buku kisah nabi-nabi dan sahabat-sahabat mereka memang sering menjadi kegilaan saya waktu itu. Dalam sesetengah buku, ada yang menyatakan al-Khidr ini seorang nabi dan menurut pandangan dari artikel-artikel yang saya baca, al-Khidr ini hanyalah wali Allah (persoalan ini sudah lama timbul hinggalah ia terbiar begitu lama dan buku-buku ataupun artikel-artikel yang saya maksudkan ini, hanya samar-samar berada dalam ingatan saya) dan hari ini kekeliruan dan ingin tahu saya semakin membara apabila buku ini tidak menyatakan secara jelas siapa sebanarnya al-Khidr itu. Ia hanya menjelaskan al-Khidr itu kemungkinan malaikat dalam bentuk manusia. Namun, tidak apalah, Insya Allah, suatu hari nanti saya pasti mendapat jawapannya. Mungkin ini merupakan petunjuk Allah swt kepada saya agar mencari kebenarannya melalui al-Quran kerana sebelum ini saya jarang sekali membaca kisah-kisah ini dari sana tetapi terus membacanya melalui buku-buku yang ada di kedai-kedai. Insya Allah, Jika diizinkan-Nya saya pasti akan mendapat kebenarannya.
Sebenarnya kisah ini hanya secubit dari begitu banyak kisah yang ada dalam ingatan saya. Kisah dalam buku ini menjadikan saya seperti seorang pengembara pada suatu masa dahulu, zaman 1990-an, 20 tahun yang lalu. Sewaktu saya dan mungkin anda para pembaca masih berada di bawah ketiak ibu dan ayah. 15 tahun yang lalu sewaktu saya berada dalam darjah 1-6 , cerita tentang Nabi Isa a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Muhammad saw, al-Khidr ( tidak berani menulis nabi di pangkal namanya), Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi-nabi yang lain serta 25 malaikat memang selalu menjadi santapan rohani kami tatkala tibanya waktu mata pelajaran Pendidikan Islam.
Kadang-kadang sebelum belajar Ustazah yang mengajar kami akan bercerita terlebih dahulu tidak kiralah kisah peribadinya semasa di Mekah ataupun kisah-kisah para Nabi. Tapi selalunya dia akan bercerita semasa mengajar dan selepas belajar. Ada kalanya pembelajaran kami akan diganti dengan cerita-cerita ini. Memang kami tidak pernah bosan walaupun kisah yang disampaikan diulang berkali-kali malah kami pula yang menyuruh ustazah kami ini bercerita sampai habis. Selagi ceritanya tidak habis, kami tidak akan balik ke kelas maka terpaksalah ustazah kami ini bercerita hingga selesai. Namun yang sangat menarik bagi saya ialah cerita yang disampaikan oleh ustazah kami berkaitan-rapat dengan isi pelajaran yang diajar.
Masa itu, Jika ditanya bab bercerita ini saya memang nombor satu, mendahului rakan-rakan sekelas saya yang lain. Selalu juga kisah dongeng, kisah binatang, kisah sains, kisah penyiasatan saya baca termasuklah kisah nabi ini.Malah disebabkan inkuiri yang tinggi saya rela menyelak buku pendidikan Islam yang kesemuanya berhuruf jawi walaupun pada masa itu bacaan jawi saya tidak begitu lancar. Malah saya juga turut meminjam buku di pusat sumber tidak kiralah buku itu tebal ke atau tidak hanya kerana tujuan itulah, mahu membaca kisah dongeng, binatang dan sebagainya. Kerana keobsesan saya terhadap cerita-cerita inilah akhirnya adakalanya cerita itu terbawa-bawa dalam mimpi dan angan-angan saya. Tetapi mimpi dan angan-angan saya itulah yang telah membawa saya menggapai cita-cita saya (hanya tinggal impian saja lagi yang belum dicapai). Cuma kadang-kadang waktu itu, saya selalu juga terfikir, betul ke cerita ni (maksudnya cerita ini pernah terjadi ke dalam dunia ini?). Adakalanya mahu sahaja saya pergi ke dunia rekaan tersebut, mahu menikmati pemandangannya yang dikatakan cantik dan indah, mahu menikmati keindahan wajah putera dan puteri kayangan.
Sekarang, saya masih ingat jalan ceritanya cuma saya lupa tajuknya. Nak tahu ke tajuk-tajuknya? Hmm, antaranya Hikayat Malim Deman, Bunga Bakawali, Bawang Putih Bawang Merah, Pokok Angsana, Si Buruk dan Si Cantik, Anak Itik yang Hodoh, Kura-Kura Terbang Dengan Bangau, dan lain-lain lagi. termasuk juga kisah Sang Kancil dan kisah Si Burung Gagak (hanya sebahagian saja). Cuma saya teringat satu kisah, siapa yang pernah baca kisah dongeng ini mungkin bisa menolong saya mengingat semula tajuknya. Kisahnya berkenaan dengan dua beradik yang kehilangan ibu, kemudian ayah mereka berkahwin dengan seorang perempuan yang jahat. Dua beradik ini telah ditinggalkan di dalam hutan oleh ayah dan ibu tiri mereka. Semasa mencari jalan pulang, mereka bertemu dengan sebuah rumah yang diperbuat daripada ais kirim. Kemudian mereka tinggal di rumah itu bersama nenek kebayan yang mendiaminya. Namun salah seorang dari mereka menjadi mangsa santapan nenek kebayan tersebut dengan mengurung kakak si adik supaya dia gemuk sebelum dimakan. Tetapi akhirnya mereka berdua berjaya melepaskan diri dan nenek itu sendiri terbunuh di atas sebuah jambatan ketika mengejar mereka. Dua beradik ini berjaya pulang ke rumah dan mendapat tahu bahawa ibu tiri mereka sudah mati dimakan harimau.
Kisah ini memang sentiasa berada dalam ingatan saya hingga sekarang kerana saya tertarik dengan jalan cerita, rumah kediaman nenek kebayan itu dan suasana yang digambarkan oleh si penglipur lara. Malah ia juga mempunyai mesej yang sangat banyak dan menarik. Mungkin disebabkan minat membaca buku cerita dan kisah-kisah teladan inilah, saya suka menulis tidak kiralah di buku latihan ataupun buku yang memang saya khaskan untuk menulis. Malah kadang-kadang saya juga menyimpan idea dan ilham di dalam otak sebelum mengeluarkannya ke dalam kertas. Dulu suka menulis menggunakan pensil, tidak tahu kenapa. Mudah-mudahan Allah izinkan otak, hati, akal, idea, imaginasi, pancaindera, tangan dan semua anggota tubuh badan saya ini untuk terus bersatu serta berkerjasama dalam menghasilkan tulisan-tulisan yang mungkin bermanfaat untuk orang lain dan bermanfaat bagi diri saya. Mungkin bukan sekarang tapi suatu hari nanti yang Dia sendiri tentukan. Insya Allah, doakan saya ye. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Amin…
Baiklah pergi kepada cerita tentang Nabi-nabi. Sebenarnya jika berbicara pasal kisah-kisah ini, ia mengingatkan saya kepada seorang Mualim yang sangat bermakna dalam hidup saya iaitu ustazah saya sendiri. Namanya ustazah Khamisah, berasal dari semenanjung, bertahi lalat besar di kening (kalau tidak silap), asal Melaka kalau tidak silap, dan masa dia ajar kami, Ustazah Khamisah ini hampir mahu pencen. Saya sempat menjadi anak muridnya sehingga darjah Lima sebelum digantikan dengan seorang Ustaz dan sejak hari itu saya tidak pernah berjumpa dengannya lagi.
Sebelum ustaz yang baru datang memang Ustazah saya ini pernah memberitahu kami dalam kelas Pendidikan Islam bahawa dia akan digantikan oleh seorang ustaz untuk mengajar kami. Waktu kelas terakhir saya dengannya, dia tidak memberitahu pasal ini, mungkin dia kira kami faham maksudnya dahulu. Kalau dikatakan perasaan saya waktu itu, memang sedih sebabnya saya dan rakan-rakan tidak akan lagi berjumpa dengannya, tidak dapat lagi mendengar cerita tentang Mekah dan kisah Nabi-Nabi serta Malaikat-malaikat, tentang Allah swt, tentang Islam dan yang penting kami akan kehilangan seorang guru sekaligus ustazah yang sentiasa tersenyum, peramah, gigih, menyuruh kami membersihkan kelas sebelum belajar, bertanggungjawab dan mengajar kami hanya kerana Allah swt.
Cerita-ceritanya itulah yang selalu menjadi motivasi kepada saya dan rakan-rakan. Ceritanya berbekas di hati hingga saat ini. Malah dialah insan pertama dalam hidup saya yang mengajar saya untuk mengenali para nabi dan para rasul pilihan Allah swt. Dia jugalah insan pertama yang mengenal saya tentang Baitullah dan kisah-kisah menarik di Mekah sehingga acapkali saya berkeinginan untuk ke sana, mahu mengalami sendiri kisah-kisah aneh seperti yang diceritakannya. Selepas dia, saya tidak dapat lagi mendengar cerita-cerita seperti itu daripada ustaz kami yang baru. Dari ustaz baru ini, saya melalui pengalaman lain iaitu bagaimana mahu mengaplikasikan perkara-perkara wajib agama Islam dalam kehidupan seharian seperti solat dan memandikan jenazah. Dan kerana kerinduan saya terhadap ustazah saya inilah, maka saya berhajat untuk pergi ke sini (tanah Semenanjung) suatu hari nanti selain mahu menuntut Ilmu, mengembara, dan menghayati keindahan alam. Saya juga berharap dapat berjumpa dengannya. Saya tidak kisah jika dia tidak mengenali saya.
Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya kerana melalui kegigihan dan pengorbanannya mengajar kami itulah, saya menjadi seperti sekarang. Berada di sini, bumi semenanjung dengan bermatlamatkan tiga perkara (alam, kembara, Ilmu. Tapi saya sedih kerana masih belum diizinkan oleh Allah untuk bertemu dengannya walaupun sudah lebih lima tahun saya di sini. Malah mungkin saya akan meninggalkan tanah besar ini tidak lama lagi sekiranya tuntutan kerja akan datang kepada saya. Dan mungkinkah kisah benar dari sebuah akhbar temnpatan tidak lama dulu iaitu kisah seorang anak murid yang bertemu dengan gurunya selepas 20 tahun lebih tidak berjumpa akan terjadi kepada saya? Mungkin juga kepada insan-insan yang senasib dengan saya. Malah mungkin kami tidak akan bersua hingga akhir hayat. Allahualam…
Di akhir bicara, kata orang, Jika mahu berjaya jangan sesekali kita memandang lagi ke belakang sesudah kita memandang ke depan, Lupakan masa silam dan tempuhilah masa depan kita. Tapi kata saya, jika kita mahu mencapai kesempurnaan di dunia dan akhirat, selalulah memandang ke belakang dan sentiasalah menempuhi kehidupan di hadapan. Bak kata pepatah, Jangan jadi seperti Kacang lupakan kulit. Sebenarnya kisah silamlah yang membuatkan kita masih berada di sini, sekarang ini dan kisah silam jugalah yang menjadikan kita terus meniti kehidupan di masa hadapan hingga sampai waktu yang dijanjikan oleh Allah swt. Tapi kerana kisah silam jugalah kita akan meniti kehidupan lain di alam lain seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada kita. Maka kerana itu bersyukurlah, bukan mengeluh dan menidakkanya. Cuba kita fikir, jika masa dan kehidupan kita tidak berubah ataupun bergerak, pegun sahaja. Apa akan jadi? Boleh kalian bayangkan?
Baiklah, sampai sini sahaja wahai saudara-saudaraku. Sampai jumpa lagi di masa akan datang. Salam dari saya Hanako…salam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment