Saturday, December 24, 2011

Siapa Orang Tua Di Raudah


Sejak belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selepas memeluk Islam pada 1984, saya memang berhajat hendak mendalami ajaran Islam di Mekah al-Mukarramah. Setelah mencukupkan belanja pada 1993, bersama seorang rakan bernama Mat Salleh, saya akhirnya berpeluang juga menjejakkan kaki ke sana.

Setibanya di Jeddah, kami berdua menaiki teksi menuju ke Madinah. Walaupun cuaca tengah hari di bulan Syaaban itu sungguh panas namun kerana telampau letih, acap kali saya terlelap dalam perjalanan. Hinggalah beberapa kilometer sebelum memasuki bandar Madinah, saya yang ketika itu dalam keadaan tidur-tidur ayam terkejut apabila seorang lelaki tua berjanggut panjang dan berserban putih tiba-tiba muncul di sebelah saya.

Wajahnya bersih dan bercahaya. Dia melirikkan senyuman dan menyuakan ke mulut saya sesudu cecair. Apabila saya menelannya, terasa seperti minyak sapi. Tetapi setelah itu dalam sekelip mata, orang tua tersebut terus lenyap dari pandangan. Saya tersentak daripada lamunan. Apabila ditoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata tiada orang lain kecuali kawan saya dan pemandu teksi.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak menceritakannya kepada sesiapa. Namun hati saya tertanya-tanya, siapakah lelaki tua itu?

Semasa di Madinah saya banyak menghabiskan waktu di Masjid Nabawi untuk bersembahyang berjemaah. Masuk malam ketiga, sekali lagi orang tua itu muncul di hadapan saya. Walaupun sudah dua kali bertemu, namun dia tidak memperkenalkan dirinya. Kali ini dia menyuruh saya mengambil satu barang yang diletakkannya di sebalik sebatang tiang di Raudah yang terletak di antara mimbar Masjid Nabawi dan makam Rasulullah. Tetapi kerana gamam saya terlupa bertanya apakah barang itu.

Kemudian orang tua tersebut mengajar saya sepotong ayat al-Quran. Saya mendengarnya dengan teliti. Sebaik menghabiskan kata-katanya, orang tua itu pun beredar. Hati saya semakin berdebar. Siapakah sebenarnya orang tua ini dan kenapa dia menyuruh saya mengambil barang yang ditinggalkannya?

Keesokannya selepas solat Subuh, saya membelek helaian al-Quran untuk mencari ayat yang dimaksudkan. Setelah diperikasa dengan teliti didapati ayat berkenaan terdapat di dalam surah al-Baqarah: 26.

Firman Allah itu bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah tiada malu membuat perbandingan apa sahaja, seperti (dari sekecil) nyamuk hingga ke sesuatu yang lebih daripadanya. Kalau orang beriman, mereka mengetahui perbandingan itu benar dari Tuhan dan kalau orang kafir, mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini?

“ Tuhan menjadikan ramai orang sesat dengan perbandingan itu dan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya. Dan Tuhan tidak menyesatkan dengan sebab perbandingan itu kecuali orang fasik.”

Saya masih tidak faham kenapa ayat itu diajarkan kepada saya. Memandangkan kejadian tersebut begitu ganjil, saya mengambil keputusan menceritakannya kepada Mat Salleh.

“ Mat, masa kita naik teksi hari itu, kau perasaan tak ada orang tua berjanggut dan berserban putih?” tanya saya.

“ Orang tua? Mana ada…Li. Kita berdua aja yang naik teksi tu. Mengarutlah kau ni,” ujar Mat Salleh sambil ketawa kecil.

“ Betul Mat, ada orang tua datang jumpa aku. Dia bagi aku minum minyak sapi,” kata saya.

Mat Salleh masih tidak percaya. Lantaran itu saya jadi keberatan hendak menceritakannya kepada orang lain. Bagaimanapun saya yakin ada sesuatu yang orang tua itu mahu tunjukkan pada saya. Harap-harap biarlah perkara yang baik.

Hati saya semakin mendesak agar memenuhi permintaan orang tua itu. Justeru saya segera ke Raudah. Sampai di sana hati saya terasa sungguh tenang. Belum pernah saya setenang itu. saya mengambil kesempatan melakukan solat sunat dan berdoa.

Suka diggambarkan juga betapa nikmat dan khyusuk semasa beribadah di Raudah. Suasananya yang aman dan sejuk membuatkan badan saya terasa ringan. Sejak hari itu setiap kali ke masjid saya mesti bersembahyang di Raudah. Hinggalah hari kelapan, saya menunaikan 40 solat fardu secara jemaah. Namun saya masih gagal menemui barang yang dikatakan orang tua itu.

Hari berikutnya saya dan Mat Salleh bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Di sana, saya tinggal di rumah wakaf Tuan Guru Haji Salleh Penanti yang berasal dari Pulau Pinang bersama dua orang pelajar. Setelah beberapa hari di Tanah Suci, suatu malam, orang tua yang sama muncul sekali lagi. kali ini pesanannya makin jelas. “ Kau pergilah ke Raudah. Di sana ada satu kolam. Aku tertinggal payung dalam kolam. Tolonglah ambilkan payung aku itu,” kata orang tua tersebut beberapa kali.

Sejurus itu dia lenyap meninggalkan saya keseorangan. Mulanya sukar saya mempercayai katanya bahawa terdapat sebuah kolam di Raudah. Sedangkan sepanjang beribadah di situ sebelum ini saya tidak temui sebarang kolam, sebagaimana didakwa orang itu. Namun oleh kerana sudah tiga kali dia muncul dan bersungguh-sungguh agar permintaannya dipenuhi menyebabkan saya bergegas ke Madinah malam itu juga.

Kata-kata orang tua itu terbukti benar. Setiba di sana, saya terpegun melihat sebuah kolam renang terbentang luas. Airnya sangat jernih hingga saya dapat melihat dasarnya dnegan jelas. Saya dapati payung yang dikatakan orang tua itu memang ada di dalam kolam tersebut.

Kebetulan ada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun berdiri di situ. Lantas saya menghulurkan wang sebanyak lima rial, memintanya mengambilkan payung itu. Kanak-kanak tersebut gembira menerimanya. Tanpa melengahkan masa dia menyelam ke dasar dan membawa naik paying tersebut. Sesudah mengucapkan terima kasih kepadanya saya segera membawa paying itu pulang ke Mekah.

Beberapa ketika kemudian saya tersentak. Saya meraba ke sekeliling. Saya terkejut apabila mendapati payung itu tidak ada di sisi. Saya termenung seketika, memikirkan peristiwa itu. seperti pertemuan saya dengan orang tua itu beberapa kali sebelum ini, perjalanan ke Madinah pada malam tersebut sebenarnya terjadi antara sedar dengan tidak.

Walaupun begitu saya bersyukur kerana dapat menyempurnakan permintaan orang tua tersebut. Semenjak hari itu dia tidak lagi muncul. Malah hinggalah kini saya tidak tahu siapakah sebenarnya lelaki tua itu. pun begitu yang paling memberikan kesan mendalam dalam kepada diri saya ialah kewujudan sebuah kolam di Raudah. Keindahan kolam itu memang terpahat di ingatan saya. Belum ada lagi kolam secantik itu di dunia ini.

Saya ceritakan kisah ini bukanlah ingin membesarkan diri tetapi apa yang terjadi banyak menginsafkan saya tentang kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. Dalam satu hadis Nabi pernah bersabda, “Di antara mimbar dan rumahku adalah satu taman dari taman syurga. Dan mimbarku berada di atas telagaku (AL-Haud). (Riwayat Muslim)

Selepas kejadian itu juga barulah saya faham kenapa orang tua berkenaan membacakan ayat 26 surah al-Baqarah. Ayat itu sebenarnya berkait rapat dengan kekuasaan Allah melakukan sesuatu yang Dia kehendaki. Secara zahirnya memang tiada kolam di Raudah tetapi pada hakikat ia telah lama wujud. Saya yakin apa yang disebut oleh Rasulullah bahawa mimbar masjid Nabawi didirikan di atas kolam di dalam taman syurga itu betul.

Ini kerana Allah mampu mencipta apa sahaja termasuk perkara ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Oleh itu kita perlu insaf bahawa tidak semua perkara agama boleh difikirkan dengan akal. Saya yang masih lagi ‘jahil’ ini tetap akan menerima dan patuh dengan kebenaran al-Quran dan al-Hadis walaupun ada segelintir mendakwa tidak sesuai dengan zaman.

Saya percaya perkara ghaib kerana ia sebahagian sifat orang mukmin. Peristiwa itu telah menambahkan keimanan dan keyakinan saya pada islam.

Malah kejadian itu juga seolah-olah memberitahu tentang istemewanya dapat beribadah di Raudah. Kerana di situlah terdapat taman syurga dan kolam Nabi.

“ Iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan rezeki yang kami berikan kepada mereka.” Al-Baqarah: 3

# Sumber: Koleksi Terbaik ' Cerita Dari Mekah' Mastika.

# Diceritakan oleh Haji Mohd. Razali Lu Abdullah

# Gambar di atas hanyalah hiasan belaka. Dan yang penting ia bukan hak milik saya. Terima kasih dan minta maaf kepada pemilik gambar ini kerana mengambilnya tanpa kebenaran.

# Harap kita sama-sama mendapat manfaatnya. Salam...

No comments:

Post a Comment