Monday, August 1, 2016

Ku Renung Bintang Di Korpus Angkasa



Bismillahirahmanirrahim

Malam yang dingin
sepanjang perjalanan
dari Johor ke Tanjung Malim
ku renung bintang di korpus angkasa
berkerdipan cantik sekali
seperti tersenyum Menyambut
kedatangan malam jagat raya.

Sesekali, malam yang dingin
ku renung bintang di korpus angkasa
tanpa teman, sang bulan
memancar, bersinar dan bercahaya
indah sekali
sesekali kucari
di manakah bintang kejora
ke manakah bintang komet
di antara berjuta-juta kerdipan itu?

Sesekali dalam perjalananku
pawana sang angin begitu mendamaikan
mengelus lembut badan kakuku
dan terbuai daku dengan kelembutannya
seketika cuma
bersama mewarnai bintang di angkasa
bersama mengulit mimpi
tentang cerita sang sufi.

Sesekali dalam arus kepulanganku
dari Johor ke Tanjung Malim
satu kembara yang mengasyikan
kurenung bintang di korpus angkasa
beribu bintang bersinar memancar
saling bersaing sesama sendiri
dan hatiku amat menyukainya
lalu keluarlah minda berkata
“ Ya Allah, Subhanallah
cintakanlah aku kepada alamMu
selain kasihku padaMu.”

Ketika merenung itu
tiba-tiba kusedari
semakin jauh perjalanan
semakin hampir aku ke detik
kehilangan sang bintang
tadinya
bintang begitu banyak
sekarang bintang
semakin berkurang
dan mindaku berkata lagi
“ Ke manakah hilangnya engkau
wahai temanku dan teman sang bulan?”

Semakin hampir ke destinasi
semakin hatiku menguak kehibaan
engkau sudah semakin kurang
dan akhirnya menghilang begitu sahaja
lalu buat kali terakhir
ku renung sebutir bintang di korpus angkasa
yang masih tabah mengusap Sang langit
di balik bibir Sang awan pekat
bersama mindaku yang semakin ganas
mengalunkan kata-kata

“ Gagahlah dikau wahai temanku
kembangkan sinarmu
biar menerangi bumi
biar memancar indah dari lampu neon
kerna sesungguhnya
engkaulah lampu alam
yang aku cintai, sepenuh hatiku.”

S. Hana AK
UPSI

No comments:

Post a Comment