Bismillahirahmanirrahim
Kenangan-kenangan itu terlalu sukar untuk dilupakan. Kekadang ia seperti mimpi yang terus mengekori setiap waktu. Seringkali terbit di hati untuk berdoa agar Allah SWT membimbingnya menemui peleraian sebuah cerita yang tiada permulaan, tiada pengakhiran bagaikan dibawa bayu malam yang berhembus tanpa jejak.
Hati berbolak-balik dalam menidakkan sebuah pertemuan aneh tapi nyata. Pertemuan yang diiringi oleh bunyian nafari kebahagiaan yang fana seperti semua yang ada di dunia ini. Sesungguhnya agak susah mahu membuang semua rasa apabila dia masih tetap berada di depannya walau kekadang tak terlihat namun apabila sekali-sekala bersua muka maka segalanya mungkin berada di kotak fikir.
Kau tahu, aku seringkali cuba menafsirkan semua yang berlaku antara kita, aku cuba sedaya upaya meluahkan semua rasaku kepadamu dalam bentuk gerak laku yang mungkin bukan seperti yang kau bayangkan atau tidak pernah terjadi sepanjang hidupmu di dunia ini. Aku cuba semampuku. Selama beberapa tahun hidupku sentiasa dipenuhi dengan bunga-bunga harapan dan impian untuk terus setia denganmu.
Jujurnya, doa untuk bersamamu tidak terlafaz ketika aku bersujud kepada Tuhan. Banyak perkara yang aku kena fahami namun rasaku sentiasa ada padamu. Kau tahu, dalam beberapa waktu ini, aku selalu memujuk diriku sendiri agar aku tidak terlalu bersedih akan kehilanganmu. Setiap kali namamu meniti di fikiranku, aku membuangnya dengan melakukan apa saja perkara yang boleh melenyapkan langsung namamu dari kotak fikir ini.
Tapi kenapa hati ini? Kenapa ia masih menyimpan namamu?
Moga kau bahagia dengan insan-insan yang kau sayang.
Yang menyayangimu,
Hamba Allah SWT
No comments:
Post a Comment