Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Friday, December 2, 2011
Yang Tersirat Di Sebalik Air Mata Alam
Bismillahirrahamnirahim
Assalamualaikum
Apa khabar pengembara blog saya? Harap anda semua bahagia hendaknya. Hari ini, dari petang hingga malam senyuman sentiasa terukir di bibir saya. Nak tahu kenapa? Rasanya hari ini adalah hari-hari yang sangat membahagiakan. Emmm, rupanya Allah swt sentiasa memerhatikan gelagat kita ya. Hai kenapalah saya tak beritahu punca kenapa saya berasa gembira saat ini kan. Baiklah nak tahu kan? Kalau tak nak tahu pun tak apa sebab memang saya akan beritahu juga. Biasalah inikan blog saya.
Sebenarnya, saat saya menulis bicara ini, kolam di atas langit masih melimpahkan air matanya di atas muka bumi ini. Ya, itulah hujan, hujan rahmat yang Allah turunkan kepada Hamba-Hamba-Nya. Teringat satu lagu (lagu di zaman kecil, mungkin kalian pernah mendengarnya ataupun tidak)
Hujan rintik-rintik
Ombak ombak ombak
Mama kasi duit
Saya pergi sekolah
Selalu juga nyanyi lagu ni waktu kecil-kecil tidak kiralah sekadar gurauan kepada rakan-rakan mahupun sekadar nyanyian yang tidak memberi apa-apa makna. Cuma selalunya lagu ini kami akan nyanyikan apabila bergurau dengan datuk kami sebab namanya sama dengan salah satu dari perkataan yang ada dalam lirik lagu ni. Bila datuk saya dengar lagu ni mesti dia ambil kayu terus kejar kami yang waktu itu masih mahu mendengar ceritanya. Apalagi kami pun larilah. Kalau tak lari alamat pergi sekolah esok mata jadi biru, bukan kerana terkena badi Mat Saleh tapi kerana badi mengumpat. tapi kalau jadi keajaiban pun tak apa juga kan (Macam 7 keajaiban dunia tu kan, cuba teka apa 7 keajaiban dunia yang yang terbaru tahun 2011 ni.) Memang terus jadi tip top lah di Malaysia ni. Menduduki carta kucing bermata biru yang paling popular di Malaysia, kalah popularti pemain bola sepak Malaysia. Kasihan datuk saya. Rasa bersalah pula. Hmmm, tapi balasannya berhari-hari kami tak dapat dengar cerita datuk, kononnya merajuk tapi lepas tu datuk bercerita lagi bila rajuknya dah surut. Sebabnya abang-abang dan sepupu saya ni memang pandai memujuk (bodek sebenarnya). Tak tahu macam mana mereka boleh melembutkan hatinya.
Baiklah, sambung cerita pasal hujan. Sejak akhir-akhir ini hujan memang selalu turun. Hujan rahmat kerana hujanlah maka tumbuhan yang hampir layu akan subur kembali. Kerana hujanlah, kolam yang hampir kering akan penuh kembali, sampai ikan pun boleh berenang kuak lentang di sana. Kerana hujanlah, maka tahan-tanah yang merekah akan basah kembali, cacing pun boleh beranak pinak sebelum jadi umpan untuk ikan dan kerana hujan jualah, semua makhluk-Nya dapat hidup di dunia ini, Itupun dengan izin Allah swt juga.
Kata alim ulama, salah satu waktu yang doanya mustajab dimakbulkan ialah ketika hujan turun membasahi bumi sewaktu kemarau melanda. Mengingatkan itu, saya pun berdoa (doanya biarlah rahsia) dengan harapan agar Allah swt makbulkan doa saya. Mungkin orang lain pun berdoa juga, sebab tu saya nak jadi pesaing mereka bak kata cendekiawan, kalau bersaing untuk mendapatkan sesuatu yang baik, itu tidak mengapa. Tapi kalau mahu bersaing untuk mendapatkan sesuatu yang buruk kita wajib menjauhinya.
Saya teringat satu kisah pada zaman Nabi Yusuf a.s yang mana Nabi Yusuf a.s telah mentafsirkan mimpi aneh seorang raja yang memerintah sebuah negeri di Mesir (lupa namanya). Nabi Yusuf a.s menyatakan bahawa mimpi baginda itu memberi petanda bahawa negerinya akan hidup makmur selama tujuh tahun sahaja lagi kemudian tujuh tahun berikutnya negeri tersebut akan dilanda kemarau yang sangat teruk sehingga semua tanaman musnah. Ternyata tafsiran Nabi Yusuf a.s itu benar. selepas kemarau hujan turun dengan lebat hingga semua kawasan dilanda banjir menyebabkan penduduknya berdoa agar Allah swt menghentikan hujan tersebut. Doa mereka diperkenankan oleh Allah dan akhirnya negeri itu kembali subur. Kalian nak tahu kenapa Allah swt perkenankan doa penduduk di negeri itu? sebabnya mereka tetap beriman walaupun dilanda penderitaan yang agak panjang. Saya rasa kalau Allah swt berikan kita ujian seperti mereka, belum tentu iman kita kuat. Bahkan ujian yang sedikit pun kita sudah mengeluh apalagi ujian yang besar ini.
Sememangnya saya memang sukakan hujan. Hujan dapat mengembalikan kenangan-kenangan yang lalu, malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita dengan Izin Allah swt. Dalam membahaskan ini tanpa diduga saya teringat satu mutiara kata yang saya karang sendiri. Nak baca, bacalah kalau berminat ye.
“ Kadangkala manusia terlalu mengejar pelangi, padahal hujan yang turun sebelum pelangi muncul lebih bererti daripada pelangi yang berwarna-warni itu. Kadangkala manusia terlalu mencintai kekasih, padahal keluarga dan sahabat lebih bererti dari kekasihnya. Dan kadangkala manusia selalu lupa untuk beruzlah seketika dengan kenikmatan yang dimiliki atas limpah kurnia Illahi.”
Memang tidak dinafikan, ada masa kita tidak suka hujan turun di saat kita tidak memerlukannya tetapi kita kena faham bahawa bukan kita sahaja di dunia ini yang bergelar hamba Allah. Seringkali hati mahupun bibir kita mengeluh dan menyumpah kerana hal ini. Mungkin kita tidak perlukannya tapi bagaimana pula dengan Hamba-Nya yang lain yang memerlukannya. persoalannya siapa hamba Allah itu? nak tahu, cuba kita renungi kalam-kalam Illahi ini:
1. Ayat 164 surah Al Baqarah, yang artinya, "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang berlayar di laut dengan muatan yang bermanfaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkan-Nya bumi setelah mati(kering), dan dia tebarkan di dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin yang dikendalikan antara langit dan bumi, semua itu sungguh merupakan tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mengerti"
2. Ayat 99 surah Al An'aam, yang artinya "Dan Dia-lah yang menurunkan air dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak, dan dari mayang kurma, mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. perhatikanlah buahnya pada waktu berbuah, dan menjadi masak. Sungguh pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."
3. Ayat 57 surah Al A'raf yang artinya"Dia lah yang meniupkan angin sebagai pembawa kabar gembira, mendahului kedatangan rahmat-Nya(hujan), sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian kami tumbuhkan dengan hujan itu berbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran."
Persoalannya lagi, kenapa Allah tidak turunkan hujan tu kepada hamba-Nya yang memerlukan sahaja. Hmmm, nak tahu kenapa sebabnya bukankah kita berada di dalam kawasan yang memerlukan hujan? untuk lebih jelas, saya bagi satu contoh, misalnya kita berada di sebuah kota yang di dalamnya terkandung beberapa pokok kayu yang hidup di pinggir jalan selain kita. Katakanlah kita berdoa supaya hujan tidak turun selama sebulan kerana kita mahu melaksanakan konsert di kawasan itu. pernahkah kita terfikir tentang pokok yang ada di sekitarnya. akarnya yang terbatas tidak mampu mencari sumber air yang jauh apabila air di sekitarnya habis. Maka salah satu cara mereka ialah berdoa kepada Allah agar menurunkan hujan supaya mereka dapat bekalan air. Kalau kita bolehlah, sebab sumber banyak di kawasan lain. Itu baru satu contoh, belum contoh-contoh yang lain.
Kerana itu bersangka baiklah apabila Allah swt menurunkan hujan kepada kita. Allah Maha Mengetahui apa yang kita tidak tahu seperti firman-Nya:
"...Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah: 216)
Hmmm, teringat saya tentang guru sastera saya yang memang suka menulis novel, cerpen dan puisi. Jawapan yang dia berikan waktu saya menyoalnya tentang hujan masih ternyiang-nyiang di telinga saya hingga sekarang.
“ Cikgu, cikgu suka hujan tak?” Tanya saya.
“ Suka.” jawabnya.
“ Saya pun suka hujan. Kalau cikgu suka, kenapa cikgu suka hujan?”
“ Sebab dia dapat mengembalikan kenangan-kenangan silam kita.” jawab cikgu saya. Saya terdiam, dalam hati berkata.
“ hmmm, betul juga. Hujan juga adalah penghapus dosa dan bukti kebesaran Allah.”
Uhhh, sebenarnya kalau berbicara tentangnya memang idea tak akan habis. Rasa nak luahkan semuanya tapi susah pula jadinya. Takut nanti keluar pula bahasa yang merapu-rapu. Lagi takut kalau ada unsur yang tidak benar di dalamnya. Tapi rasanya kalau sekali-sekali kita ikut logik akal fikiran pun tak apa juga kan. Baiklah, setakat di sini saja ye pena saya hari ini. Insya Allah, kalau kalian tak bosan kita jumpa lagi di waktu yang berbeza tapi tajuk yang sama. Salam…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment