Bulan dan bintang Adalah teman di waktu malam Ketika kita berasa sunyi Yang harus dijaga Agar kerdipannya terang benderang Sehidup semati. CARILAH SESUATU YANG LUAR BIASA DARI BLOG SAYA YANG BIASA-BIASA INI.
Friday, December 16, 2011
Bulan dan Bintang (Saya dan Para Sahabat)
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
Malam yang hening ini, untuk kali kali keduanya saya bercerita mengenai bulan dan bintang. Sebelum ini dalam entri yang terdahulu saya mengarang kisah saya, bulan dan satelit. Maka malam ini saya akan membawa anda membaca kisah tentang saya, bulan dan bintang.
Saat ini saya berada di kota metropolitan. Duduk di beranda rumah kakak saya walaupun masa semakin meningkat naik. Tetapi demi ciptaan Allah swt yang teragung ini, saya lupakan tentang masa itu. Nak tahu, dari ruang beranda saya boleh melihat dengan jelas hamparan langit yang luas, saujana mata memandang. Sayup-sayup dari kejauhan kelihatan lampu kapal terbang berkelip-kelip, entah arah mana yang ditujunya. Di sebelah lain pula, masih kelihatan bekas asap sebuah kapal terbang yang dipanggil jet (betul ke tekaan saya ni). Asap putih itu semakin membesar dan tidak lama lagi saya jamin ia akan hilang dilanda angin yang berada di atas awan.
Dari sini juga, saya boleh nampak beberapa butir bintang yang kebanyakannya memancar terang, jelas dengan saiznya yang besar. Berkedip-kedip dengan pelbagai warna yang indah, cuba menyaingi lampu kapal terbang yang sedang berada di sekitarnya. Dalam hati, saya mengandaikan kemungkinan bintang-bintang yang saya lihat sekarang ini adalah bintang yang baru lahir. Sebenarnya agak jarang saya dapat melihat bintang yang mempunyai saiz yang agak besar dan jelas. Kalau adapun ianya tidak dapat dicari disebabkan begitu banyak bintang yang pelbagai saiz bertaburan di angkasa (waktu di kampung).
Saya kira bintang-bintang yang mengetuk pintu hati saya itu satu-persatu. 1, 2, 3, 4, ya ada empat semuanya. Satu berada di barat, satu di utara, satu di timur dan satu lagi ada di selatan. Jaraknya antara satu sama lain sangatlah jauh tapi yang menariknya, ia membentuk satu buruj yang sangat cantik dan bermanfaat ketika kita berada di lautan. Ya, itulah buruj yang dinamakan Pari. Tapi jangan salah sangka, bintang-bintang ini bukanlah buruj Pari ye, bentuknya saja macam buruj pari. Kalau buruj Pari yang betul-betul, jarak satu bintang dengan bintang yang lain sangatlah dekat ibarat sejengkal jari kita.
Di suatu penjuru langit pula, menjelmalah satu-satunya bulan yang Allah swt khaskan untuk sang bumi, melengkapkan segala kekurangannya. Itulah bulan yang sering kita nampak pada malam hari walau di mana kita berada. Kalau planet lain mempunyai dua hingga tiga buah bulan, bumi pula mempunyai sebuah bulan. Ada hikmah mengapa Allah swt berikan bumi kita ini sebuah bulan sahaja. Salah satunya kerana Allah swt itu Maha Rahman dan Maha Rahim.
Allah swt tidak mahu kita keliru dalam mencari ilmu-Nya kelak walaupun Allah swt boleh saja mencipta sebuah lagi bulan untuk bumi. Walaupun bumi mempunyai kekurangan tapi bumi juga mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Dalam banyak-banyak planet di galaksi Bima Sakti ini, hanya bumi sahaja yang boleh diduduki oleh semua golongan makhluk Allah swt (planet lain Allahualam). Pelbagai jenis pula tu. Sebab itu, kita diwajibkan untuk sentiasa bersyukur kepada-Nya. Ucapkan Alhamdulillah sebagai tanda syukur kita jika menerima atau memberi sesuatu yang bernilai.
Baiklah kita kembali kepada tajuk asal kita, bulan. Ya, bulan. Bulan tetapi begitu, bulat. Bahang cahayanya memantul ke seluruh pelosok negara yang waktu malamnya sama dengan Malaysia. Sambil menikmati keindahannya, benak saya teringat satu perkara, Sidratul Muntaha (Langit ketujuh). Sebelum mengetahui makna sebenar Sidratul Muntaha ini, saya fikir Sidratrul Muntaha itu ada di bulan hinggakan tiap kali saya melihat ke arahnya, saya pasti akan mencari di manakah Sidratul Muntaha itu berada (walaupun tidak tahu apa itu Sidratul Muntaha).
Selalu juga benak saya ini menganggap kawasan hitam di sekeliling bulan itu adalah Sidratul Muntaha (sebenarnya kawah). Bila mengetahui makna sebenarnya, saya terus buang teka- teki itu dari otak tapi timbul pula keinginan untuk melihat kawah-kawah tersebut seperti yang dikatakan oleh ahli astronomi. Mereka kata bulan mempunyai begitu banyak kawah yang besar dan dalam akibat hempasan meteor.
Hmmm, bila lagilah saya boleh melihat gerhana bulan ye. Gerhana bulan yang berlaku minggu lalu 10 Dis 2011 (Sabtu) pun saya tidak dapat melihatnya disebabkan hujan dan masalah lupa (waktu itu saya masih berada luar dari KL). Dulu masa di kampung memang selalu nampak gerhana bulan (sudah lama tidak tengok gerhana Matahari. Hanya nampak sekali saja itupun ketika darjah dua. Ingin sekali mengulangi kegembiraan tersebut tatkala dunia menjadi gelap tiba-tiba walhal waktu itu adalah waktu pagi)
“ Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah! Segala puji bagi Allah yang menguasai seluruh alam.” meniti puji-pujian ini dari bibir.
Melihat bulan dan bintang-bintang tersebut, saya berasa mahu menjadi seorang angkasawan supaya boleh melihat angkasa raya, boleh melihat bintang, dapat menjejak bulan, dapat melihat belahan di atas bulan seperti yang disebut dalam al-Quran dan yang paling penting ianya menambahkan keyakinan dan kepercayaan saya bahawa Allah swt itu benar, al-Quran itu benar, Malaikat itu benar, nabi itu benar,akhirat itu benar dan Qada dan Qadar itu benar. Islam itu adalah agama yang benar. Sesungguhnya Allah itu satu, tiada Tuhan selain-Nya.
Sebenarnya saya selalu mengumpamakan bulan itu adalah saya/anda dan bintang-bintang di sekitarnya adalah sahabat-sahabat saya/anda. Langit pula adalah ruang lingkup kehidupan saya/anda. Dalam kehidupan yang bertali arus ini seorang demi seorang sahabat bulan meninggalkannya sendirian, menuju ke destinasi mereka yang seterusnya. Mungkin tidak lama lagi, bulan juga akan meninggalkan bintang-bintang yang masih setia di sampingnya. Mereka sentiasa di sisi tetapi bila tiba waktu mereka akan meninggalkan bulan. Bulan dapat rasakan kehadiran mereka tetapi ianya sangat jauh.
Kornea matanya hanya dapat menangkap kelibat sahabatnya yang berbalam-balam dari kejauhan. Kadang-kadang berkedip, kadang-kadang tidak, kadang-kadang nampak, kadang-kadang tidak, menandakan kuasa mereka untuk mengembirakan bulan semakin berkurang. Kemudian muncul pula bintang baru menggantikan bintang yang dahulu, baru lahir, masih kuat dan terang pula cahayanya hingga orang yang rabun pun boleh nampak. Mereka bersama-sama membantu bulan berkerja kepada bumi namun bulan tahu bila sampai masanya, sahabat-sahabat barunya itu juga akan pergi. Begitulah rutin hariannya sejak azali, menunggu dan menerima adalah perkara biasa baginya namun bulan tidak pernah mengeluh kerana sepanjang hidupnya dia ditakdirkan untuk itu hingga ajalnya tiba.
Bulan sedar walaupun cahayanya mampu menerangi bumi tetapi hidupnya kosong dan tidak lengkap jika bintang tiada. Bumi tetap akan suram tanpa warna-warni dari bintang. Maka inilah yang dikatakan bahawa setiap benda di dunia ini Allah swt jadikan berpasang-pasangan contohnya Lelaki dengan perempuan, bulan dengan bintang, tanah dengan air, lautan dengan daratan, benua dengan pulau, laut dengan lautan, jantan dengan betina, langit dengan bumi, hujan dengan pelangi, guruh dengan petir, malam dengan siang, angin dengan awan, timur dengan barat,negara dengan negeri, dalam negara dengan luar negara, bukit dengan gunung, pokok dengan buah, bunga dengan kumbang, matahari dengan cahayanya, sini dengan sana, selalu dengan jarang-jarang/ kadang-kadang, sedikit dengan banyak, tinggi dengan rendah,belakang dengan hadapan dan udara dengan graviti (kalau tulis semua, seminggu belum tentu habis. Habis kot kalau tiada idea ataupun mungkin tak akan habis-habis kalau bab kelentong dah naik ke otak).
Insya Allah, cukup setakat di sini saja. Nantikan sambungannya ya (Insya Allah kalau ada masa)dalam episode II nanti. Oh Ya lupa nak bagi tahu, sebenarnya cerita ni saya dah tulis lima hari yang lalu tapi disebabkan kekangan masa dan keadaan maka baru hari ini saya masukkannya ke dalam blog saya.
# Gambar tu kawan saya ambil, bukan gambar bulan di Kota metropolitan nuh. kami ambil sebelum saya pergi ke sana. jadi maknanya masa kat sana saya tak ambil apa-apa gambar pun cuma sebagai tanda maka saya coretkan coretkan kisah ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment