Monday, September 26, 2011

P. Ramlee – Filem dan lagunya membuatkan saya ingin kembali ke zaman silam



Kali pertama saya menonton Tv ialah semasa Tv kami masih tidak berwarna. Ketika itu saya masih kecil sekitar darjah dua ataupun tiga (saya sudah tidak ingat bila kali pertama saya menonton Tv). Kala itu, tayangan Hindustan masih gah di persada seni tempatan yang ditayangkan hampir setiap hari. Saya masih ingat heronya masa itu adalah Govinda, pelakon terkenal masa itu. Asal tengok filem Hindustan, mesti heronya adalah lelaki ini. Kemudian TV 1 juga menyiarkan filem-filem P. Ramlee. Waktu itu jika Goyinda berlakon dan filem-filem P. Ramlee ditayangkan, saudara-mara saya lebih rela membawa selimut dan bantal ke rumah kami semata-mata mahu menonton filem kesukaan kami ini.

Sejak kecil lagi, apabila menonton filem P. Ramlee, saya sangat suka melihatnya tapi saya hanya suka menontonnya tapi tidak tahu nama pelakon-pelakonnya. Yang saya tahu kala itu ialah saya akan ikut ketawa apabila sampai ke adegan yang lucu sebaris dengan orang-orang dewasa di sekeliling saya. Kala itu orang-orang tua dan dewasa sibuk memperkatakan bakat P. Ramlee yang luar biasa malah lagu-lagunya juga turut dijadikan bahan hiburan tika sibuk berkerja di bendang mahupun kerja lain. Dalam banyak-banyak pelakon, saya pula sibuk mencari siapa sebenarnya P. Ramlee, nama yang selalu diperkatakan sini saya. Akhirnya saya tahu juga siapa P. Ramlee tapi pengetahuan saya terhadapnya agak sedikit sehingga saya ingin sekali mahu berjumpa dengannya. Tidak tahu bahawa orang yang saya minat itu sudah pun meninggal belasan tahun yang dulu.

Semasa saya di sekolah menengah saya masih mencari latar belakangnya yang sebenar. Sudah jenuh saya mencari apa-apa maklumat tentang P. Ramlee di pusat sumber sekolah namun masih tidak ketemu, hinggalah suatu hari saya jumpa sebuah buku berwarna merah yang terpampang di muka hadapannya wajah P. Ramlee dan nama seninya. Waktu itu ada pameran buku di sekolah dan sayangnya duit yang saya ada hanya cukup-cukup untuk membeli sebuah buku yang diwajibkan oleh guru saya. Saya sangat kecewa dan marah dengan diri sendiri kerana pergi melihat pameran itu di saat-saat akhir. Tapi saya pujuk hati supaya suatu hari nanti saya akan dapat juga membeli buku itu hinggalah saya memasuki universiti, buku itu tetap tidak ditemui sehingga sekarang, saat saya menulis karangan ini.

Namun sekarang saya sudah tidak kisah saya dapat jumpa buku itu ataupun tidak kerana, ketika belajar di universiti saya lebih banyak mendapat maklumat latar belakangnya di internet dan sedikit maklumat di perpustakaan. Akhirnya tahulah saya nama sebenar P. Ramlee ialah Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih dan dilahirkan pada 1929. Beliau tidak suka ke sekolah tetapi sangat meminati seni muzik. Beliau juga seorang pengarah filem, penggubah lagu, pelakon, penulis lirik dan sebagainya. Filem-filem dan lagu-lagunya sangat menyentuh dan menusuk jauh ke sukma jika kita menonton dan mendengar lagu-lagunya. Beliau berjaya mengubah saya untuk menjadi manusia yang suka dengan kekunoan ataupun klasik. Benar kata sesetengah orang, lagu-lagu P. Ramlee sangat fleksibel, sesuai dinyanyikan sehingga zaman sekarang, zaman moden ini.

Beberapa buah lagu yang sangat bagus lirik dan bahasanya ialah ‘ Itulah Sayang’, ‘ Tiada Kata Secantik Bahasa’, ‘Berkorban Apa Saja’, ’Resam Dunia’, ‘ Kalau Kaca Menjadi Intan’, ‘Janganlah Adik angan-angan’, Malam Bulan Dipagar Bintang’ dan ‘ Anak Dara Rindu.’ Filem-filemnya juga merentasi masa depan serta sarat dengan mesej yang dibuat secara tersirat bagi menjadikan masyarakat berfikir tentang setiap kisah yang dilakonkan kemudian dinilai untuk dijadikan pedoman dan panduan. Beberapa buah filem yang mengandungi sarat pengajaran ialah filem ‘Ibu Mertuaku’ ‘Anakku Sazali’, ‘ Tiga Abdul’, ‘ Musang Berjanggut’, ‘ Nujum Pak Belalang’, ‘Ahmad Albab’ dan ‘Hang Tuah’. Sebenarnya banyak lagi filem-filemnya yang mengandungi mesej yang tersirat tetapi hanya ini sahaja yang mampu saya tuliskan, hanya sekadar contoh.
Berbicara tentang P. Ramlee dan karya seninya saya masih ingat seorang guru sejarah yang bergelar professor menyatakan kepada kami (merujuk kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang turut mendengar waktu itu)

“ P. Ramlee adalah orang yang paling genius. Dia membawa kita melihat masa depan.”

Apabila mendengar kata-katanya membuatkan saya terfikir, bagaimana seorang yang berpendidikan tinggi dan berpangkat besar mampu mengeluarkan kata-kata keramat itu terhadap seorang insan yang berpendidikan rendah dan tidak mempunyai gelaran apa-apa. Ingat, gelaran Tan Sri itu hanya diperolehi P. Ramlee setelah beliau sudah pergi meninggalkan dunia ini dan bagi saya gelaran itu tidak mencerminkan ketinggian keintelektuan beliau dalam pendidikan. Ia cuma mencerminkan jasa beliau dalam Negara dan masyarakat dunia serta ketinggian keintelektualan beliau dalam membudayakan masyarakat.

Dari sini kekaguman saya terhadap Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih semakin mencerlang. bukan untuk menjadikannya idola, memujanya dengan taksub, bukan itu! kekaguman saya terhadapnya tidak melebihi apa yang diperintah oleh Allah SWT kepada Hamba-Hamba-Nya. Saya mengaguminya tidak berlebihan, sekadar suka dengan kegeniusannya atau keintelektualannya. Bukan seperti setiap yang dilakukannya dijadikan pegangan ataupun sehinggakan menjadikannya idola ataupun pujaan.

Saya juga tidak menafikan, wajahnya yang manis salah satu faktor yang membuatkan saya tertarik padanya di samping suara yang merdu dan bahasa puitis lagu-lagu yang dinyanyikannya. Saya suka melihat senyuman P. Ramlee yang diserikan dengan kumis nipisnya. Benar kata sesetengah peminat, wajah P. Ramlee ada seri tapi di mana? Jawapan saya ialah seri wajahnya dapat dilihat tatkala beliau tersenyum. Ini adalah jawapan saya, tidak tahu bagi kalian pula. Ia bergantung pada penilaian seseorang.
Sehingga sekarang, saya masih suka menonton filem dan mendengar lagu-lagunya walaupun sudah berdekad-dekad lamamnya filem dan lagu-lagu itu dibuat. Lagu-lagunya sangat puitis dan bagi saya agak sukar untuk membuat lagu yang menyerupai puisi pantun mahupun syair dan gurindam. Kemudian diasimilasikan dengan alam sehingga menampakkan ketinggian bahasa Melayu itu sendiri sebagai contoh lagu’ Malam Bulan Dipagar Bintang’, ‘ Itulah Sayang’ ‘Janganlah Adik Angan-angan’ dan ‘Gurindam Jiwa’ serta’ Tiada Kata Secantik Bahasa.’ Semoga karya-karya besar P. Ramlee, masih terus segar dalam ingatan masyarakat sekarang tidak kira orang muda atau orang tua.

Maka kerana itulah, apabila menyebut nama ini: P. Ramlee
– Filem dan lagunya membuatkan saya ingin kembali ke zaman silam

No comments:

Post a Comment