Tuesday, September 20, 2011

SI ULAT LIMAU



Bismillahirahmanirrahim

Pada keluaran Mastika bulan yang terdahulu, keluaran bulan Mei 2011, saya terbaca satu tajuk yang sangat aneh yang membuatkan arus elektrik dalam tubuh badan saya naik mendadak. Tajuk ini bercerita tentang keajaiban Allah SWT dalam merancang sesuatu kejadian. Ya, berkenaan dengan ‘ulat hijau’ oleh Zulkarnain Zakaria, wartawan Mastika. Bila membaca tajuk ini, saya kembali merentas masa, kembali ke zaman lampau. Ketika saya masih bergelar’ pucuk muda’. Tapi bukan itu yang saya kisahkan. Zaman itu biarlah berlalu bersama kenangan yang tak mungkin akan padam dari lubuk ingatan saya. Bukan juga saya hendak menyimpulkan tulisan yang dikarang oleh wartawan Mastika ini. Bukan itu. Ini kisah saya yang saya tulis sendiri. Kisah zaman sekarang. Zaman menuju wawasan 2020. Tidak disadur oleh mana-mana ‘buku mahupun majalah’ kerana saya ada buku dan majalah sendiri. Dan boleh jadi juga saya adalah buku dan majalah.

Semalam, pada petangnya saya terbuka hati melihat laman bunga kakak saya. Bunga yang menghiasi rumah mereka yang kecil itu. Saya pergi kearah sebatang pokok limau. Pokok yang selalunya dijadikan perencah tom yam. Sedang asyik memerhati, tiba-tiba terpandang seekor ulat hijau sedang beristerehat di dahan. Tidak berkutik sedikit pun. Tidur agaknya. Bisik saya. Saya merenungnya agak lama. Dalam merenung itu saya teringat kisah Zulkarnain Zakaria dan zaman muda saya. Dalam satu kenyataan wartawan Mastika itu ialah bagaimana ulat yang kecil ini boleh menghabiskan daun-daun yang berada di sekelilingnya dalam masa yang singkat dan juga bagaimana ulat ini setelah cukup usia dia akan berubah menjadi kepompong dan kemudian dari kepompong itulah muncul seekor rama-rama atau kupu-kupu yang sangat cantik.

Saya sentuh sang ulat limau ini. Ulat berwarna hijau dan diasimilasi sedikit dengan warna putih. Dia tetap tidak bergerak walaupun saya mengusap badannya. Entah mengapa dalam menghayati keindahan dan kecomelan bentuk badannya, saya dilanda dengan pelbagai perasaan. Dia hanya seekor. Tidak ada kawan. Hidup sendirian tanpa perlukan sokongan rakan-rakan yang lain. Berjuang sendirian, melindungi tubuhnya jika datang musuh-musuh durjana. Musuh yang selalu merobek perutnya hingga keluar segala lendir, darah, hati dan usus adalah tidak lain tidak bukan tangan-tangan manusia. Dan tangan itu pastinya jika bukan kanak-kanak yang selalu melewati rumah kakak saya itu, pasti tangan kakak saya sendiri.

Mengingatkan itu, saya berdoa agar mereka tidak akan melihat si ulat limau ini. Saya berdoa agar tangan-tangan itu tidak akan mencapai sudip lantas melaram dengan bunga kerana jika sudip sudah di tangan boleh jadi pokok limau ini akan menjadi mangsa. Pasti juga si dia akan kempunan menjadi kepompong walhal sebelum ini dia berkorban apa saja untuk meneruskan kehidupannya sebagai rama-rama kelak. Saya membayangkan si ulat limau ini suatu hari nanti akan berubah menjadi seekor kupu-kupu yang sangat cantik terbang membelah langit biru.

Dengan sayapnya yang berkilau, berwarna-warni dan beraneka ragam coraknya, memegunkan setiap mata yang memandang. Mengepak-ngepakkan sayapnya meninggalkan kepompongnya lalu melayang ke udara untuk menghirup nyamannya udara ciptaan Tuhan, menyedut manisnya madu bunga,tinggi…dan terus tinggi. Kalau boleh saya ingin melihat porses kematangannya. Saya cuba cari matanya disebalik wajahnya yang comel tapi hampa kerana saya tidak tahu di mana terletaknya mata si dia ini. Saya tinggalkan dia sendirian dengan tekad akan melihatnya semula kemudian nanti.

Ketika waktu sudah menjelang zohor, saya tunaikan tekad saya untuk melihat si ulat limau itu lagi. Niat, mahu melihatnya makan daun-daun hijau. Saya mula mencarinya di segenap pokok limau ini. Agak susah untuk mencarinya kerana badannya menyerupai warna daun. Setelah agak lama, akhirnya kornea mata saya menangkap seekor makhluk Allah SWT sedang enak menikmati hidangan tengah harinya di tempat yang berbeza. Kali ini dia menggayutkan sebahagian badannya ke bawah manakala kepalanya disuakan di atas sehelai daun yang tinggal batangnya sahaja.

Memang, si ulat limau ini sangat pelahap. Tidak padan dengan tubuhnya yang kecil gebu itu. saya senyum gembira kerana dia masih lagi menghirup udara segar. Saya pun pegang badannya, dia menggeliat sedikit terus mendiamkan diri seketika kemudian kembali dengan rutin hariannya. Makan, makan dan terus makan. Apabila disentuh, dia akan mendiamkan diri. Saya tertawa sendirian. Rupanya berkawan dengan makhluk seperti si ulat ini lebih mendamaikan. Hati lebih tenang. Hati lebih seronok dan jiwa tidak kacau.

Dalam tersengih-tersengih inilah

“ Makcik buat apa tu?” tegur anak buah saya yang tidak tahu dari mana datangnya. Saya hanya diam, terus berdiri dan masuk ke dalam rumah.

“Esok nak balik, saya tak dapat tengok lagilah engkau membesar wahai si ulat limau. Moga engkau akan terus berjuang melawan pencarobah yang datang. Moga engkau akan menjadi si rama-rama yang cantik yang mengindahkan alam ini. Moga engkau akan menjadi pedoman dan tauladan bagi mereka yang tahu berfikir. Ya Allah, lindungilah dia dari musuh-musuhnya supaya dia akan menjadi sebahagian dari hamba-hamba-Mu yang bertasbih dan berzikir kepada-Mu setiap masa. “

Harapan dan impian saya yang penuh pengertian terhadap si kecil ini. Esoknya saya balik di sini, di tempat saya menulis sekarang tanpa menjengguk si ulat limau itu lagi. Entah macam mana keadaannya sekarang ini dan nanti bagaimanapula keadaannya. Esok..esok dan esoknya. Saya tidak tahu. Tapi mungkin dia sudah pergi meninggalkan tanah airnya jika saya akan kembali lagi ke sana. Dan mungkin juga saya akan melihat generasinya kembali mendiami pohon limau kakak saya itu, menjalani hari-hari yang pernah dilalui oleh nenak moyang mereka yang terdahulu. Kalau begitu….

SELAMAT JALAN TEMAN!!! TETAPLAH BERJUANG, MOGA KITA BERTEMU KEMBALI…..

No comments:

Post a Comment