Showing posts with label Sepohon nastolgia. Show all posts
Showing posts with label Sepohon nastolgia. Show all posts

Tuesday, September 20, 2011

SI ULAT LIMAU



Bismillahirahmanirrahim

Pada keluaran Mastika bulan yang terdahulu, keluaran bulan Mei 2011, saya terbaca satu tajuk yang sangat aneh yang membuatkan arus elektrik dalam tubuh badan saya naik mendadak. Tajuk ini bercerita tentang keajaiban Allah SWT dalam merancang sesuatu kejadian. Ya, berkenaan dengan ‘ulat hijau’ oleh Zulkarnain Zakaria, wartawan Mastika. Bila membaca tajuk ini, saya kembali merentas masa, kembali ke zaman lampau. Ketika saya masih bergelar’ pucuk muda’. Tapi bukan itu yang saya kisahkan. Zaman itu biarlah berlalu bersama kenangan yang tak mungkin akan padam dari lubuk ingatan saya. Bukan juga saya hendak menyimpulkan tulisan yang dikarang oleh wartawan Mastika ini. Bukan itu. Ini kisah saya yang saya tulis sendiri. Kisah zaman sekarang. Zaman menuju wawasan 2020. Tidak disadur oleh mana-mana ‘buku mahupun majalah’ kerana saya ada buku dan majalah sendiri. Dan boleh jadi juga saya adalah buku dan majalah.

Semalam, pada petangnya saya terbuka hati melihat laman bunga kakak saya. Bunga yang menghiasi rumah mereka yang kecil itu. Saya pergi kearah sebatang pokok limau. Pokok yang selalunya dijadikan perencah tom yam. Sedang asyik memerhati, tiba-tiba terpandang seekor ulat hijau sedang beristerehat di dahan. Tidak berkutik sedikit pun. Tidur agaknya. Bisik saya. Saya merenungnya agak lama. Dalam merenung itu saya teringat kisah Zulkarnain Zakaria dan zaman muda saya. Dalam satu kenyataan wartawan Mastika itu ialah bagaimana ulat yang kecil ini boleh menghabiskan daun-daun yang berada di sekelilingnya dalam masa yang singkat dan juga bagaimana ulat ini setelah cukup usia dia akan berubah menjadi kepompong dan kemudian dari kepompong itulah muncul seekor rama-rama atau kupu-kupu yang sangat cantik.

Saya sentuh sang ulat limau ini. Ulat berwarna hijau dan diasimilasi sedikit dengan warna putih. Dia tetap tidak bergerak walaupun saya mengusap badannya. Entah mengapa dalam menghayati keindahan dan kecomelan bentuk badannya, saya dilanda dengan pelbagai perasaan. Dia hanya seekor. Tidak ada kawan. Hidup sendirian tanpa perlukan sokongan rakan-rakan yang lain. Berjuang sendirian, melindungi tubuhnya jika datang musuh-musuh durjana. Musuh yang selalu merobek perutnya hingga keluar segala lendir, darah, hati dan usus adalah tidak lain tidak bukan tangan-tangan manusia. Dan tangan itu pastinya jika bukan kanak-kanak yang selalu melewati rumah kakak saya itu, pasti tangan kakak saya sendiri.

Mengingatkan itu, saya berdoa agar mereka tidak akan melihat si ulat limau ini. Saya berdoa agar tangan-tangan itu tidak akan mencapai sudip lantas melaram dengan bunga kerana jika sudip sudah di tangan boleh jadi pokok limau ini akan menjadi mangsa. Pasti juga si dia akan kempunan menjadi kepompong walhal sebelum ini dia berkorban apa saja untuk meneruskan kehidupannya sebagai rama-rama kelak. Saya membayangkan si ulat limau ini suatu hari nanti akan berubah menjadi seekor kupu-kupu yang sangat cantik terbang membelah langit biru.

Dengan sayapnya yang berkilau, berwarna-warni dan beraneka ragam coraknya, memegunkan setiap mata yang memandang. Mengepak-ngepakkan sayapnya meninggalkan kepompongnya lalu melayang ke udara untuk menghirup nyamannya udara ciptaan Tuhan, menyedut manisnya madu bunga,tinggi…dan terus tinggi. Kalau boleh saya ingin melihat porses kematangannya. Saya cuba cari matanya disebalik wajahnya yang comel tapi hampa kerana saya tidak tahu di mana terletaknya mata si dia ini. Saya tinggalkan dia sendirian dengan tekad akan melihatnya semula kemudian nanti.

Ketika waktu sudah menjelang zohor, saya tunaikan tekad saya untuk melihat si ulat limau itu lagi. Niat, mahu melihatnya makan daun-daun hijau. Saya mula mencarinya di segenap pokok limau ini. Agak susah untuk mencarinya kerana badannya menyerupai warna daun. Setelah agak lama, akhirnya kornea mata saya menangkap seekor makhluk Allah SWT sedang enak menikmati hidangan tengah harinya di tempat yang berbeza. Kali ini dia menggayutkan sebahagian badannya ke bawah manakala kepalanya disuakan di atas sehelai daun yang tinggal batangnya sahaja.

Memang, si ulat limau ini sangat pelahap. Tidak padan dengan tubuhnya yang kecil gebu itu. saya senyum gembira kerana dia masih lagi menghirup udara segar. Saya pun pegang badannya, dia menggeliat sedikit terus mendiamkan diri seketika kemudian kembali dengan rutin hariannya. Makan, makan dan terus makan. Apabila disentuh, dia akan mendiamkan diri. Saya tertawa sendirian. Rupanya berkawan dengan makhluk seperti si ulat ini lebih mendamaikan. Hati lebih tenang. Hati lebih seronok dan jiwa tidak kacau.

Dalam tersengih-tersengih inilah

“ Makcik buat apa tu?” tegur anak buah saya yang tidak tahu dari mana datangnya. Saya hanya diam, terus berdiri dan masuk ke dalam rumah.

“Esok nak balik, saya tak dapat tengok lagilah engkau membesar wahai si ulat limau. Moga engkau akan terus berjuang melawan pencarobah yang datang. Moga engkau akan menjadi si rama-rama yang cantik yang mengindahkan alam ini. Moga engkau akan menjadi pedoman dan tauladan bagi mereka yang tahu berfikir. Ya Allah, lindungilah dia dari musuh-musuhnya supaya dia akan menjadi sebahagian dari hamba-hamba-Mu yang bertasbih dan berzikir kepada-Mu setiap masa. “

Harapan dan impian saya yang penuh pengertian terhadap si kecil ini. Esoknya saya balik di sini, di tempat saya menulis sekarang tanpa menjengguk si ulat limau itu lagi. Entah macam mana keadaannya sekarang ini dan nanti bagaimanapula keadaannya. Esok..esok dan esoknya. Saya tidak tahu. Tapi mungkin dia sudah pergi meninggalkan tanah airnya jika saya akan kembali lagi ke sana. Dan mungkin juga saya akan melihat generasinya kembali mendiami pohon limau kakak saya itu, menjalani hari-hari yang pernah dilalui oleh nenak moyang mereka yang terdahulu. Kalau begitu….

SELAMAT JALAN TEMAN!!! TETAPLAH BERJUANG, MOGA KITA BERTEMU KEMBALI…..

Thursday, September 15, 2011

Sepohon Nostalgia = Lagu-lagu anak-anak suria


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum

Hai pengembara blog saya. Kali ini saya ingin mengajak kalian untuk melihat atau mengimbau zaman kecil-kecil kita dahulu. Maksud saya adalah lagu-lagu yang kita selalu dengar di zaman lucu kita. Lagu yang tak akan pudar selamanya di dalam hati selagi kita tidak membuangnya terus dalam kehidupan kita. Ia tetap bersemadi di hati kita dulu, hari ini, esok bahkan selama-lamanya. Sekarang bila ingat lagu-lagu ini dan mendengarnya di youtube, saya seperti ingin berada pada zaman dahulu ketika lagu-lagu ini begitu popular dalam kalangan anak-anak sekolah waktu itu, waktu saya dan anda masih bergelar anak-anak suria. Antara lagu-lagu yang selalu saya dengar dan ingat hingga sekarang ialah ( ada sebahagian yang saya tulis liriknya kerana tidak ingat tajuk)

1. Anak itik Tok Wi (lagu paling popular zaman saya)
2. Rasa sayang eh rasa sayang-sayang eh
3. Rumah kecil ku sayang
4. Bintang kecil (lagu Indonesia)
5. Ibu, ibu engkaulah ratu hatiku
6. Twinkle-twinkle little star
7. Bangau oh bangau
8. Lagu tiga kupang
9. Burung kakak tua
10. Sayonara (satu-satunya lagu yang berunsurkan bahasa jepun)
11. Buah cempedak di luar pagar
12. Rak-rak rum guruh berbunyi
13. Gelang si paku gelang
14. Tepuk amai-amai
15. Chan mali chan
16. Jong-jong inai
17. Ikan kekek
18. Jet-jet semut
19. Lompat si katak lompat
20. Bapaku pulang dari kota
21. Air pasang pagi surut pukul lima
22. Bila rasa gembira tepuk tangan
23. Five little two little three little fingers
24. Kereta kebal di bukit nenas
25. Sungguh senang
26. Anaklah ayam,anaklah ayam
27. Tinggi-tinggi si matahari (lirik lagu ni ingat-ingat lupa sebab ni adalah lagu yang paling susah saya nak hafal dulu)

Haiii, ingatkan sikit sahaja lagu kanak-kanak yang saya tahu, rupanya banyak juga. Tidak sangka sikit lagi akan sampai ke angka 30. Mungkin ada lagi lagu lain yang saya lupa. Kalau ada itu harap maaflah ye. Tapi saya rasa ada, seperti terdengar-dengar di telinga saya sekarang ini tapi tak ingat tajuk dan liriknya bak kata orang sipi-sipi. Di antara banyak-banyak lagu ini lagu ’bintang kecil’ lah yang sangat memberi kesan kepada saya apabila diperdengarkan kembali oleh pak cik youtube. Ia mengingatkan saya kepada impian, visi dan misi saya dalam hidup. Ia membuatkan saya berasa bersemangat untuk mencintai bintang alam seperti mana saya abadikannya ke dalam blog saya ini “BULAN DAN BINTANG”.

Bintang kecil di langit yang tinggi
Amat banyak menghiasi angkasa
Aku ingin terbang dan menari
Jauh tinggi ke tempat kau berada

Dulu, saya tidak tahu lagu ini kepunyaan Negara Indonesia, tapi sekarang, setelah dewasa barulah saya tahu dan juga barulah saya tahu bahawa ada banyak lagi lagu kanak-kanak mengikut negeri di Negara kita ini dan lagu kanak-kanak mengikut Negara di dunia ini.

Cuma yang saya terkilan sedikit adalah apabila lagu asli kanak-kanak dahulu telah dimodenkan muziknya sehingga ia membuatkan orang seperti saya yang sudah biasa dengan muzik asli tradisionalnya berasa sedih dan kecewa.

Walaupun begitu saya seronok mendengarnya kembali. Kepada anda semua yang tidak pernah lagi mendengar lagu popular zaman muda kita, marilah bersahabat dengan pak cik youtube dan carila tajuk-tajuk yang saya sebut di atas ini. Saya yakin anda pasti akan seronok untuk mendengarnya bahkan mungkin akan mengulangnya berkali-kali.
Baiklah sampai sini sahaja bicara kata saya hari ini. Sampai jumpa lagi wahai sahabatku semua. Salam untuk diri dan anda semua….Hanako

P/S: Sebenarnya ini adalah entry yang ketiga dari saya pada hari ini. Tak nak buat entry yang banyak dalam satu-satu masa tapi kerana saya merasakan bahawa entry ini agak menarik bagi saya (tak tahulah bagi anda pula) maka, saya pun kirimkannya ke dalam blog ini. Blog yang biasa-biasa sahaja.

Wednesday, August 24, 2011

Kampungku oh Kampungku



Masuk bulan ini genaplah usia lima tahun aku di bumi perantauan, Tanjung Malim Perak untuk menimba ilmu dan kehidupan. Selama lima tahun jugalah aku meninggalkan desaku yang terpencil dan indah itu. kadang-kadang bila aku balik, keadaan kampungku masih seperti sewaktu aku meninggalkannya. Dikelilingi bukit, pokok getah, hutan rimba, sawah padi, jalan raya, rumah penduduk kampung dan sungai. Kadang-kadang juga bila aku balik, aku sengaja bangun di waktu pagi untuk melihat keindahan dan kesegaran pawana pagi di kampungku yang mendamaikan dan dikelilingi oleh embun yang rakus meratah puncak bukit. Aku masih ingat sewaktu aku masih kecil, pernah beberapa kali mataku ini melihat kabus pagi yang menggerunkan. Mengelilingi kampungku sehingga rumah dan segala macam yang ada tidak kelihatan dengan pandangan kasar. Menggantikan embun yang selalu setia suatu ketika dulu. sehingga sekarang aku sangat rindu untuk mengalaminya sekali lagi. Selalunya jika berkabus aku akan keluar rumah dan melukis sesuatu di atas tanah bersama-sama dengan adik adik-adikku. Ibu dan ayahku pula masih setia dengan tugasnya masing-masing.

Walau macam mana sekalipun cuacanya, mereka berdua masih tetapi bertekad untuk turun sawah jika kabus itu tidak surut juga.Tapi sekarang kabus sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin sewaktu aku tiada dia akan muncul tapi setahuku sewaktu aku meningkat besar, kabus pagi sudah jarang berlaku. Kebiasaannya kabus pagi membantutkan kerja penduduk kampungku untuk turun ke sawah kecuali ayah dan ibuku. Apabila matahari naik, kabus itu akan mula menipis kemudian hilang begitu saja. Pelahan-lahan kampungku kembali ceria dan terang. Nampak pokok kayu, nampak hutan rimba, nampak bukit bukau, nampak sawah padi, nampak sungai yang merintangi kampungku ini yang terletak di pinggir bukit dan nampak segala-galanya. Langit mula ceria dan bercahaya. Membiru nan indah. Matahari pula memancar amatlah terik. Kala inilah orang kampungku yang tidur mati menunggu kabus hilang akan keluar menuju ke bendang masing-masing ataupun pergi ke kebun getah untuk menoreh. Kala inilah, kedengaran pelbagai bunyi-bunyian dan tahulah aku bahawa orang kampungku sudah bangun pagi dan menuju ke tempat kerja masing-masing.

Aku masih ingat lagi, ketika aku masih kecil-kecil aku akan mengikut ibuku, abang dan kakakku turun ke sawah. Kebiasaannya bendang penduduk kampungku letaknya di tepi sungai supaya senang mendapatkan bekalan air. Ketika mereka sibuk membuat batas di sawah, aku pula sibuk mencari belalang di sekeliling pondok kami yang dibuat oleh ayah dan ibuku suatu ketika dulu. kadang-kadang kalau belalang yang ditangkap tidak dapat aku akan mengejarnya dan menangkapnya dengan tangan walaupun begitu banyak belalang lain. Entahlah aku sendiri tidak tahu mengapa aku begitu peka dengan belalang. aku tahu di mana belalang yang ingin aku tangkap itu tersadai walaupun di sekelilingnya begitu banyak sahabatnya yang melompat sana sini ketika aku mengejar belalang yang aku suka itu. mataku ini sangat teliti dalam menelusuri belalang tersebut. bila aku dapat menangkapnya aku akan letakkan ke dalam sebuah botol dan membiarkannya tanpa berjaga sehingga mati. Alangkah berdosanya aku waktu itu tapi waktu aku masih kecil-kecil aku tak pernah tahu apa itu dosa dan pahala kerana aku belum ke sekolah lagi. Apabila aku sudah besar dan belajar agama barulah aku merubah tabiatku terhadap belalang. belalang yang aku tangkap aku akan mengurungnya tetapi akan dilepaskan setelah aku puas bermain dengannya.

Kadangkala keseronokan menangkap belalang ini dikongsi bersama dengan sepupu-sepupuku, kakak dan abangku serta adik –adikku yang masih budak-budak seperti aku. Puas bermain dengan belalang kami akan beralih kepada pepatung pula. Kebiasaannya pepatung ini susah untuk ditangkap kerana mereka akan terbang dan sangat peka pula dengan keadaan sekeliling. Hanya mereka yang mahir sahaja yang boleh menangkapnya dan mereka itu adalah abang-abangku dan sepupuku. Ada kalanya kami akan mencarinya sehingga ke hujung bukit di kampungku.
Biasanya juga makhluk ini sangat suka bersiram di waktu pagi tatkala matahari mula menjejakkan cahayanya ke muka bumi. sewaktu orang kampungku mula menanam cangkul di batas sawah. Sewaktu aku dan adik-adikku sibuk beristerehat di pondok buruk hak milik keluargaku. Sewaktu ibu dan ayahku sudah menyelesaikan sebuah batas sawah di bendang. Waktu inilah pepatung itu sangat suka bercengkerama dan membuatkan aku cemburu dan tercabar untuk menangkapnya. Kerana tidak tahan melihat lenggokkan mereka itulah aku meninggalkan pondok burukku dan mengejar mereka hingga pepatung itu tercunggap-cunggap kepenatan seiring dengan hela pernafasanku juga. Apabila penat aku akan berhenti mengejarnya kemudian kembali ke pondok semula. ternyata pepatung bukan lawanku untuk bertarung. Dia adalah lawan kepada abang-abangku. Orang yang mahir dalam bab menangkap makhluk ini dengan hanya menggunakan tangan sahaja.

Kampungku dikelilingi oleh bukit bukau yang dipenuhi dengan hutan rimba. Ada kalanya pelanduk akan tersesat masuk kedalam kampungku ini. bila ini berlaku maka riuhlah seluruh penduduk kampungku yang mahu mengejarnya. Masa inilah binatang itu cuba melarikan diri namun kekecohan orang kampung yang mahu mengejarnya membuatkan jiwanya tidak tenteram. Langkahnya akan sumbang dan arah tujunya tidak tentu arah maka saat inilah pelanduk itu akan terperangkap dalam kepungan manusia yang mendambakan dagingnya yang lazat jika digoreng atau dipanggang. Sepanjang hidup aku keriuhan ini berlaku dua kali sahaja di kampungku. Sebelum aku lahir banyak kali binatang hutan akan tersesat masuk di kampungku dan tidak pulang-pulang lagi ke tempat asal mereka kerana menjadi hidangan di rumah orang-orang kampungku.

Kadang kala aku terfikir, bagaimana dengan keluarga haiwan tersebut? kenapa orang kampungku sangat suka memburu binatang tanpa usul periksa sama ada haiwan yang diburu itu sudah berkeluarga atau belum? Orang kampungku memang suka berburu binatang dan haiwan yang sering menjadi kegilaan ketika berburu adalah pelanduk, tupai, kijang, tenggeling dan macam-macam lagi. tak terkira banyaknya. Keadaan hutan rimba di daerahku ini yang masih indah dan suci menjadi tempat pertarungan antara manusia dan binatang terutama orang kampungku. Kebiasaannya mereka akan memburu pada waktu malam ketika bulan dan bintang sedang bercahaya di atas langit. Ayahku sendiri pun sangat suka berburu. Hampir tiap malam ayahku akan masuk hutan dan pagi esoknya ayahku tidak pernah keempunan pulang dengan tangan kosong. buruan ayahku itulah yang akan menjadi santapan kami anak beranak.

Tunggu Sambungannya di Episod akan datang kalau ada waktulah...salam

Saturday, November 14, 2009

Sepohon nostalgia

salam,

hmmm, sekarang ni saya nak mengenangkan kembali kenangan-kenangan saya masa sekolah dulu. dah tajuk titipan saya kali ini 'sepohon kenangan' maka saya pasti akan menyisipkannya dengan kenangan atau memori saya suatu masa dulu.

kalau nak tahu, masa saya kecik-kecik saya selalu kena rotan ngan ayah dan ibu saya. sebab mungkin saya ni nakal dan tak dengar cakap orang tua.saya masih ingat saya saya pernah dikejar oleh ayah saya kerana melawan cakapnya. saya dan adik beradik yang lain lari pergi jalan raya. itulah cara yang paling simple untuk mengelakkan dari dipukul. maklumlah ayah saya ni lain sikit. dia tak suka anaknya lari masa kena pukul tu sebab kalau kami lari lagilah dia akan kejar dan kalau dapat kantoilah rotan singgah di punggung. tapi kalau tak lari pun rotang tetap singgah. jadi jalan terbaik lari dan membawa diri sehingga marah ayah hilang. dah sejuk marah ayah tu baru kami balik rumah. tak sampai malam pun. alih-alih hanya 4 jam membawa diri.

malah saya juga pernah kena rotan oleh pak cik saya kerana mandi di kolamnya yang dihuni oleh beratus-ratus ikan talapia, ikan sepat, ikan sembilang, haruan belut, ikan merah dan banyak lagilah. tak mampu nak adunkannya kat sini. masa mandi tu saya bersama-sama dengan abang, kakak, adik, dan sepupu. kolam pakcik kami ada tujuh buah jadi ketuju-tuju kolem tu kami mandi dalam masa 3 jam. airnya yang macam milo kami tak kira, yang penting dapat mandi kolam. nasib baik ikan-ikannya tak mati. kalau mati.....

hmm, banyak juga kenangan lama saya mas kecil-kecil. tak terkira banyaknya cuma hanya sebahagian saja saya titipkan di sini. saya, abang, kakak, dan adik saya serta sepupu saya pernah pergi memancing ikan di kolem pak cik saya. banyak kali jugalah. dapatlah dua tiga ekor. pak cik saya tak marah. dia buat muka biasa saja. lagipun anak-anak dia pun memancing juga. tinggallah suatu hari tu dia buat notis dan tampal di reban ayam tempat kami lalu selalu. ni notis dia. masih ingat lagi ni:

DILARANG MEMANCING
i kilo Rm 60 ringgit
BATANGKAN BERAPA BANYAK KERUGIAN.

sejak itu kami tak pergi lagi memancing. kasihan dan takut serta rasa bersalah saling bercampur antara satu sama lain di jiwa ini.sejak berhenti memancing ni aktiviti saya dan geng-geng saya yang terdiri dari adik beradik saya dan sepupu saya berpindah kepada aktiviti mencipta replika binatang dan benda dari tanah liat. bentuk binatang yang paling popular ialah kerbau.manakala bentuk benda pula ialah tembikar atau gong. tanah liat ni kami ambil dari sawah. kerbau dan tembikar yang siap dibentuk akan dikerangkan di bawah panas mentari. kemudian haiwan itu akan dilagakan antara satu sama lain. malah ada juga yang disimpan kerana sayang.

jemu dengan aktiviti ini kami akan berpindah kepada mencari biji getah dan dilagakan antara satu sama lain. seluruh kampung kami round semata-mata mahu cari biji getah yang terbaik. abang saya dan sepupu saya yang lelaki, diorang main tipu muslihat iaitu mereka buka isi biji getah itu dan masukkan lilin di dalamnya. kantoilah siapa yang mahu berlawan dengan diorang. siapa biji getah dia habis dulu makan dia lah yang kalah. perempuan dengan lelaki sama saja sikap masa tu.

jika hari ini main biji getah, esok pula main tembak menembak. kawasan rumah saya sering jadi sasaran untuk permainan ini kerana dipenuhi dengan pokok buah-buahan dan luas pula. geng lelaki akan ada satu kawasan tertentu manakala geng perempuan akan ada kawasan tertentu. saya dan kawan-kawan-kawan yang lain akan menyerang kumpulan lelaki yang terdiri daripada abang-abang saya dan sepupu saya. siapa kumpulan yang mati duluan akan dikira sebagai kalah. selalunya geng perempuan yang mati duluan sebab kami ni ni berani. yelah kami je yang terhegeh-hegeh mencari mangsa manakala yang lelaki pula hanya bersembunyi dan menunggu kemunculan kami semua. oh ya, senapang kami terdiri dari kayu yang dibentuk menjadi senapang dan pistol. masa tu saya terror juga buat senapang dan pistol.

lepas tu kami yang terdiri dari orang yang sama juga akan pergi ke padang yang berdekatan dengan rumah untuk main baling tin, kejar-kejaran, main bola, main galah, main bola randersdan macam-macam lagilah.emm, banyak jugalah kenangan saya masa kecil-kecil dulu. tak terkira banyaknya. ada yang masih ingat dan ada yang saya dah lupa. cuma yang pastinya saya rindu dengan zamam saya kecil-kecil dulu.

oh ya, nanti saya imbas kembali pula kenangan saya masa di sekolah di lain masa k. sampai sini saja cerita yang boleh saya kongsikan kepada anda semua. salam....