Wednesday, August 31, 2016

Tinta Kata

Bismillahirahmanirrahim

Kenangan-kenangan itu terlalu sukar untuk dilupakan. Kekadang ia seperti mimpi yang terus mengekori setiap waktu. Seringkali terbit di hati untuk berdoa agar Allah SWT membimbingnya menemui peleraian sebuah cerita yang tiada permulaan, tiada pengakhiran bagaikan dibawa bayu malam yang berhembus tanpa jejak.

Hati berbolak-balik dalam menidakkan sebuah pertemuan aneh tapi nyata. Pertemuan yang diiringi oleh bunyian nafari kebahagiaan yang fana seperti semua yang ada di dunia ini. Sesungguhnya agak susah mahu membuang semua rasa apabila dia masih tetap berada di depannya walau kekadang tak terlihat namun apabila sekali-sekala bersua muka maka segalanya mungkin berada di kotak fikir.

Kau tahu, aku seringkali cuba menafsirkan semua yang berlaku antara kita, aku cuba sedaya upaya meluahkan semua rasaku kepadamu dalam bentuk gerak laku yang mungkin bukan seperti yang kau bayangkan atau tidak pernah terjadi sepanjang hidupmu di dunia ini. Aku cuba semampuku. Selama beberapa tahun hidupku sentiasa dipenuhi dengan bunga-bunga harapan dan impian untuk terus setia denganmu.

Jujurnya, doa untuk bersamamu tidak terlafaz ketika aku bersujud kepada Tuhan. Banyak perkara yang aku kena fahami namun rasaku sentiasa ada padamu. Kau tahu, dalam beberapa waktu ini, aku selalu memujuk diriku sendiri agar aku tidak terlalu bersedih akan kehilanganmu. Setiap kali namamu meniti di fikiranku, aku membuangnya dengan melakukan apa saja perkara yang boleh melenyapkan langsung namamu dari kotak fikir ini.

Tapi kenapa hati ini? Kenapa ia masih menyimpan namamu?

Moga kau bahagia dengan insan-insan yang kau sayang. 

Yang menyayangimu,
Hamba Allah SWT



Friday, August 19, 2016

Puisi Sang Pencinta


Bismillahirahmanirrahim

Dia telah pergi, membawa seluruh jiwa ke suatu daerah yang paling kecil lalu meninggalkanku yang masih bertatih mencari makna semua yang berlaku. Inginku katakan selamat tinggal kepadanya, namun belum sempat ia menjadi kalam, dia sudah pun menuturkannya dalam gerak yang aku fahami isyaratnya.

Dia meninggalkan sejuta kenangan yang masih hangat bersimpuh di sanubari dan terkadang, terdetik di hati untuk membuangnya jauh ke hujung dunia tapi tiba-tiba datanglah sang pujangga menghalang semua hajat yang terpatri di sudut hati.

Aku membilang hari-hariku dengan doa dan harapan yang tak pernah sirna lantas membawaku ke dunia baru yang penuh dengan cita-cita dan impian tentunya. Menikmati kebahagiaan di kolam pengabdian bertemankan seribu kupu-kupu cinta dan sejuta kali tali angan-angan.

Dan bila tiba saat itu, hari ini setelah segalanya tersurat, aku benamkan semua kedukaan lalu menggumpul kekuatan untuk menjalani hari-hari hidupku, sebuah perjalanan yang tak bernoktah bersama tekad agar aku kuat dalam meniti kehidupan sebagai hamba yang berusaha menjadi insan kamil di sisi-Nya.


#Sebuahpuisipengubatluka

Tuesday, August 9, 2016

Bicara Kata

Bismillahirahmanirrahim



Jauh.
jauh. 
semakin jauh.
malah terlalu jauh.
terlalu sukar untuk kembali.
Mohon padaNya.
moga hilang segala rasa.
selamat tinggal,
harapan!


Mendung pagi ini
tapi hujan tak turun
dan mentari tetap bersinar
sunyi dunia tanpa
nyanyian beburung 
dan unggas bercanda ria
di taman mahligai.



Aku rindukannya
Nyanyian beburung di rimba seni
deruan terjunan di pinggir bukit
sungguh aku rindukannya
curahan mata air dari telaga alam
olengan pawana dari sang maharaja
kerinduan ini selalu benar menyiksaku
mengekoriku di setiap detik, saat dan waktu.