Friday, October 28, 2011

Terkejut Didatangi Sidratulmuntaha


Bismillahirrahmanirahim

Sementara menunggu waktu Maghrib, saya merayau-rayau di bazar sekitar Majidilharam semasa mengerjakan ibadat umrah. Daripada satu kedai ke satu kedai saya singgah. Jumpa jubah dibelek, kemudian beg tangan, perhiasan manik, jam tangan, barang kemas. Pendek kata semuanya menarik minat.

Setelah penat merayau, saya masuk ke dalam masjid melalaui Babul Salam. Mata saya melingkas mencari emak. Setelah pasti lokasinya, saya mendapatkannya. Saya kemudian memandang jemaah yang mundar-mandir. Semuanya saya perhatikan, daripada pakaian, telekung hinggakan cara berjalan pun menarik minat.

“ Issy…asyik melingas memandang orang aja. Cuba bawa mengaji,” Emak menghulurkan senaskah al-Quran.

Saya buat-buat tak endah apa yang emak cakap. Mungkin disebabkan terlalu lama duduk, timbul rasa boring. Saya pegang Quran tadi dan letakkan di sejadah. Kemudian saya buka sehelai demi sehelai namun tidak ada satu pun yang dapat saya baca kerana tumpuan saya sebenarnya pada Kaabah.

“ Kalau dapat tawaf, best ni! Tapiii tak ada kawan,” Saya merungut sendirian.

“ Apa yang dirungutkan?” emak menoleh apabila mendengar rungutan saya. “ Kalau dah nak… pergi ajalah,” Emak menyuruh saya tawaf sendirian.

“ Tak naklah! Ramai orang. Jomlah Kita pergi mak,” kata saya. Tetapi emak tidak menjawab sebaliknya hanya menjeling. Saya sedikit kecewa.

“ Assalamualaikum ya hajah!” tiba-tiba seorang jemaah memberi salam dari sebelah kiri saya. Entah bila dia datang saya pun tidak menyedarinya.

“ Waalaikumsalam…” jawab saya sambil menghadiahkan sebutir senyuman.

Saya kemudian memandang ke arah Kaabah lagi. Hati saya semakin mendesak untuk melakukan tawaf. Ketika perasaan saya berperang itulah, terasa paha kiri dicuit. Saya menoleh pada perempuan Arab tadi, dia bertanya sepatah, “Tawaf…?”

Saya pandang mukanya. Dia hanya tersenyum seperti mengerti apa yang bermain di fikiran. Senyumannya cukup memikat. Tidak pernah saya nikmati senyuman semanis itu. Belum pernah saya lihat wanita secant itu seumur hidup. Hidungnya mancung, kulit putih melepak hingga nampak berbayang urat hijau halus di pipinya, mata bulat bersinar dan alisnya lentik.

“ You mean, tawaf?” saya bertanya sambil menunjukkan isyarat dengan jari melakar bulatan. Perempuan itu mengangguk.

“ Can you speak English?” saya menyambung lagi. perempuan itu hanya menggeleng. Jadi untuk mudah, setiap kali bercakap saya menggunakan isyarat. Dia pula membalas dalam bahasa Arab, disertai isyarat tangan. Dia kemudian menghulurkan tangan, lalu saya genggam erat. Kami berjalan beriringan.

“ Eh…sejuknya!” saya separuh terkejut, spontan melepaskan pegangan. Dia hanya tersenyum seolah-olah tahu apa yang saya fikirkan. Kemudian dihulurkan lengannya pula dan menunjukkan isyarat supaya saya memegangnya. Saya ikut saja apa yang disuruh.

Ketika tiba di garisan permulaan dan setelah memasang niat kami mula melakukan ibadat sunat malam itu. sebaik saya mula melangkah, jemaah yang ramai mengelilingi Kaabah tidak kelihatan langsung. Yang terbentang di depan mata hanya lorong lapang, seolah-olah hanya kami berdua sedang tawaf ketika itu. Terlalu mudah…tidak ada yang melanggar atau tersanggul orang lain. Tawaf selesai, kami beriringan mendapatkan emak. Dalam hati sentiasa mahu bertanya namanya, namun tiada kesempatan.

“ Tak apalah nanti lepas sembahyang boleh Tanya,” Bisik saya untuk menyedapkan hati. Selesai solat Maghrib dia sambung pula dengan sunat kemudian mengaji. Tidak ada kesempatan langsung untuk saya menegurnya. Saya cuit lengan emak: “ Mak, tu kawan saya yang ajak tawaf tadi,” Emak menoleh, melihat perempuan yang saya maksudkan itu.

“ Cantiknya, mana Ana kenal dia?” Tanya emak.

“ Kat sinilah, dia datang terus duduk sebelah Ana tadi,” Saya terangkan pada emak.
“ Siapa namanya?” Tanya emak lagi.

“ Tak tau, Ana tak Tanya lagi,” jawab saya ringkas.

Azan Isyak mula berkumandang. Saya bangun apabila melihat wanita itu bangun sambil membetul-betulkan jubahnya. Ketika itulah saya ambil kesempatan memperkenalkan diri dan bertanya namanya. Tetapi wanita itu tidak menjawab. Dia Cuma tersenyum. Melalui isyarat tangan, dia minta saya bersabar.

“ Solah, solah,” Hanya itu jawabnya. Apa yang saya faham dia mengajak saya sembahyang Isyak dan berhenti bercakap. Setiap kali habis bercakap senyumannya tidak pernah lekang. Saya terus memasang niat menunaikan Isyak. Semasa member salam, saya masih dap-at rasakan paha kanannya menghimpit paha kiri saya. Namun apabila saya menoleh ke kiri untuk salam kedua, wanita Arab itu tiada.

Saya lantas berdiri, memusing-musingkan kepala mencarinya. Saya hanya nampak dia berjalan pantas di tengah-tengah jemaah lain. Walaupun dari belakang, saya kenal benar, itulah orangnya. Zuhur esoknya saya menunggu dia di tempat semalam. Namun dia tidak muncul. Waktu asar saya masih belum nampak kelibatnya. Saya cukup kecewa ketika itu. Namun jauh di sudut hati saya berdoa agar Allah ketemukan saya lagi dengannya.

“ Tak apalah…aku tunggu lagi. Mungkin maghrib nanti dia datang,” Saya memujuk diri.

Saya tinggalkan kain telekung. “ Mak…Ana nak keluar kejap,” saya memberitahu emak.

Saya tinggalkan emak di masjid, terus merayau dari satu kedai ke satu kedai bagi menghilangkan perasaan jemu. Ketika hampir Maghrib saya datang semula ke tempat emak. Saya duduk di sebelah emak. Tiba-tiba terasa seperti angin bertipu di sebelah kiri saya. Spontan saya menoleh. Ya Allahhh…dia tersimpu di sebelah kiri sambil tersenyum.

“ Tawaf?” soalnya. Saya sambut dengan senyuman dan bangun mengekorinya.

“ Ana Diana…” saya menunjukkan name tag pemberian agensi yang tergantung di leher.

“ Diana!” katanya, kemudian tersenyum.

“ Ente?” Tanya saya lagi, hanya itu yang saya tahu. Sekali lagi dia tersenyum. Sambil mempercepatkan langkahnya dia menjawab: Sidratulmuntaha.”

“ Apa? Langit ketujuh,” terpancul daripada mulut saya perkataan itu dalam bahasa Melayu. Kemudian saya menyebut nama itu berulang-ulang kali seperti terkejut sambil menunjukkan tangan ke langit. Sidratulmuntaha hanya tersenyum dan tersenyum sambil mengangguk-angguk.

“ Dari mana?” sekali lagi saya tersasul menyoalnya dalam bahasa Melayu. Sidratulmuntaha hanya mengangkat bahu, tanda tidak memahami soalan saya.

Seperti semalam, tawaf berjalan dengan lancer walaupun terdapat ramai jemaah lain yang berpusu-pusu. Laluan untuk saya lapang dan mudah sahaja. Kejadian yang berlaku semalam berulang lagi. apabila saya menoleh ke kiri sebaik member salam, sidratulmuntaha sudah pergi jauh. Seperti rebut dia dating, seperti rebut juga dia pergi!

Selama tujuh hari di Mekah, Sidratulmuntaha setiap hari menemani saya antara waktu Maghrib dan Isyak. Masuk hari kelapan, sementara menunggu Isyak saya ajak seorang jemaah dalam kumpulan saya – ustazah dari Kelantan yang fasih bahasa Arab – menemui wanita itu.

Saya hulurkan kertas kepada Sidratulmuntaha, meminta alamatnya. Dia mencapai kertas itu dan mengambil pen yang saya hulurkan, lalu menulis namanya. Cantik tulisan Arabnya, bagaikan tulisan seni khat. Apabila dieja, benar bunyinya Sidratulmuntaha.

“ Ustazah, tolong tanyakan di mana dia tinggal dan alamat rumahnya?” ustazah itu bertanya Sidratulmuntaha sebagaimana saya kehendaki di dalam bahasa Arab. Dengan senyum Sidratulmuntaha menjawab.

“ Saya tak tinggal di mana-mana. Saya tak ada alamat rumah,” jawabnya dalam bahasa Arab juga.

“ Ustazah, cakap pada dia saya nak tulis surat nanti,” sambung saya memandang ustazah.

Sidratulmuntaha menggelengkan kepala: “ Ada umur kita akan jumpa lagi di sini,” katanya.

Saya terpinga-pinga dengan jawapan itu. dia menggengam tangan saya sebelum minta diri. Didakapnya saya, semerbak bau wanginya menusuk hidung. Apa jenisnya tidak dapat saya teka kerana baunya terlalu enak. Saya ekori perjalananya dengan pandangan sayu. Tanpa sedar air mata saya meleleh, terlalu hiba perasaan saya. Emak yang duduk di sebelah termangu-mangu.

Setelah dia hilang dari pandangan, saya baca tulisan namanya berkali-kali. Lalu cebisan kertas itu saya simpan elok-elok di dalam poket beg tangan.

Tiga hari kemudian, selepas Subuh saya berkemas, siap sedia untuk ke Lapangan Terbang Jeddah. Semua ahli rombongan sibu bersiap sama. Fikiran saya asyik memikirkan Sidratulmuntaha.

Lebih kurang sejam di udara, saya teringat pada kertas yang tertulis nama Sidratulmuntaha di dalam beg. Saya keluarkan kertas putih berlipat sebesar dua ringgit itu.

Kertas itu saya buka pelahan-lahan. “ Ehhhh!!! Mana perginya?” saya bersuara sambil memusing-musing kertas di tangan. Kosong! Tulisan itu tak ada.

Saya tonggeng beg tangan atas riba. Habis berterabur sikat, gincu, bedak dan lain-lain.

“ Engkau ni kenapa Ana?” Tanya emak apabila melihat saya resah bagai kucing nak beranak.

“ Kertas yang ada tulis nama Sidratulmuntaha. Kertasnya ada tapi tulisan tak ada,” saya hulurkan kertas kosong kepada mak.

Emak menyambut dan membelek-belek: Betul ke ni kertasnya? Kamu salah letak kut?”

“ Tak mak. Itulah kertasnya yang Ana masukkan dalam beg. Takkanlah Ana tak tahu, cara lipatanya pun Ana Ingat,” kata saya lagi.

Saya ambil balik kertas daripada tangan emak. Kemudian membelek-beleknya lagi, memang tiada kesan tulisan di situ. Hanya kertas putih yang kosong.

Sampai ke tanah air fikiran saya buntu. Beberapa hari saya rasa tak menentu, asyik teringatkan wanita itu. walaupun sudah lama berlalu, Sidratulmuntaha kerap muncul dalam ingatan.

Siapa sebenarnya Sidratulmuntaha, tidak saya ketahui. Yang saya rasa, sepanjang bersamanya dia sentiasa berbau wangi yang tidak pernah saya hidu selama ini. Senyumannya juga akan tetap saya ingat sampai ke akhir hayat!

# Assalamualaikum, Ini adalah kisah benar yang saya kongsikan kepada anda semua. Kisah benar yang berlaku kepada seorang Hamba Allah bernama Diana Mokhtar ketika dia pergi menunaikan umrah. Tidak pula dinyatakan tahunnya. Nak tahu dari mana saya dapat kisah yang sungguh menarik dan mengagumkan ini? Ini Dia bukunya...


# Inilah buku itu, buku yang memaparkan pengalaman aneh para jemaah yang pernah menunaikan ibadah umrah dan haji. Memang bagus untuk dibaca oleh kita sekarang.

# Kalau anda membacanya, anda pasti tidak akan rugi dan bosan. Kisah-kisah yang dipaparkan membuatkan anda tidak sedar yang anda sudah habis membacanya.

# Mungkin buku ini tidak lagi dijual kerana keluarannya agak terhad. Saya beli buku ini pun tahun 2009. Sampai sekarang, saya sudah membacanya berkali-kali.

# Kisah Diana@ Ana di atas adalah salah satu kisah atau cerita yang tak pernah saya lupa dan menarik sekali bagi saya. Ada lagi dua kisah yang juga membuatkan saya sangat suka ialah cerita 'Siapa Orang Tua Di Raudah?' dan 'Selepas Asar Di Tiang 251'.

# Oleh itu, kalau nak baca, carilah buku ini. Pasti ada!!! Berusaha mencarinya ye.

# Membaca pengalaman mereka, membuatkan saya teringin untuk ke Mekah dan melalui pengalaman pelik seperti ini.

# Nak sangat jumpa dengan Sidratulmuntaha. Mungkin dia bidadari Syurga? Allahualam...

# Carilah buku ini, jika anda mahu memiliki, membaca dan mengetahui kisah para jemaah kita.

# Carilah, jika anda mahu membacanya...

No comments:

Post a Comment