Thursday, November 3, 2011

KEPENTINGAN MENGEMBARA BAGI SEORANG PENULIS


P/S bacalah jika anda mahu membacanya

Bagi seorang penulis, mengembara dapat memperluaskan minda dan hati penulis tentang kejadian yang berlaku di tempat lain. Hal ini penting dilakukan untuk kaum penulis dalam membuat perbandingan dan penilitian dalam pelbagai aspek kehidupan. Malah agama Islam sendiri pun menganjurkan umatnya melancong atau bertebaran di muka bumi untuk melihat dengan mata kepala sendiri, pelbagai kisah hidup manusia yang ada di tempat lain selain tempat sendiri.

Kita lihat penulis yang paling hampir dengan kita, yang banyak menulis novel serta banyak menulis buku motivasi kepada masyarakat di luar sana iaitu Dr. HM Tuah Iskandar. Antara buku motivasinya yang terkenal ialah buku berjudul “ Nak Ke Tak Nak” yang menceritakan bagaimana mahu berjaya dalam kehidupan. Contoh yang lain ialah Sasterawan Negara Shaharom Husain yang sering berkunjung ke luar negara semasa zaman mudanya sehingga menghasilkan sejumlah karya yang bercorak rakaman perjalanan dan kunjungan ke luar negara. Baca dan hayatilah karya-karyanya seperti Melihat Australia 1 (1949), Melihat Australia 11 (1949) dan Berita Hiburan Dari Australia (bersama Ahmad Abdullah) (1950). Semua ini berkisarkan tentang pengembaraannya ketika berada di Australia.

Di samping itu mengembara juga penting supaya dapat mematangkan pengalaman, persepsi dan pemikirannya tentang alam dan manusia dan memperkayakan ilmu pengetahuan. Bagi seorang penulis baru yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan dan kritikan, mereka boleh mengambil iktibar daripada penulis dan pengkritik dari luar negara bagaimana mereka menulis dan mengkritik sesebuah buku. Antara penulis luar negara yang paling terkenal di dunia dan dikagumi oleh dunia kerana karya-karyanya ialah Leo Tolstoy yang berasal dari Russia, Enid Blyton yang terkenal dengan novel penyiasatannya dan William Sheakspear yang terkanal dengan novel kemasyarakatannya.

Sasterawan Negara Datuk Dr. A. Samad Said yang menghasilkan buku Warkah Eropah adalah kesan daripada kunjungan beliau ke beberapa buah negara di Eropah. Pengalaman tersebut telah memperkaya pengalaman sekaligus meningkatkan ilmu pengetahuannya. Begitu juga buku-buku seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838), Hikayat Abdullah (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1920) tidak akan terhasil sekiranya Abdullah Munsyi tidak mengunjungi atau melawat pelbagai negeri Melayu sewaktu era penjajahan Inggeris dahulu dan mencatat apa-apa yang dilihatnya menerusi kaca matanya sendiri. Beliau telah memanfaatkan pengembaraan ini untuk menghasilkan karya itu sebagai rujukan kita pada hari ini.

Kembara ke pelbagai tempat dalam suasana kehidupan yang serba moden ini boleh sahaja dilakukan dengan menaiki bas, kereta api, kapal terbang, motobot, motosikal atau kereta. Teknologi moden kini memungkinkan kita sampai ke destinasi yang dituju untuk melihat sendiri kehidupan sesuatu bangsa tertentu. Misalnya mereka yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan di kawasan pedalaman. Malah pengembaraan di dalam hutan juga amat berguna kepada kita kerana di sana terdapat pelbagai kehidupan dari makhluk Tuhan yang lain yang boleh kita jadikan ilham untuk berkarya. Pengembaraan seumpama ini dapat merangsang dan mencambahkan minda untuk mencari idea-idea baharu untuk diterapkan dalam karya. Seorang penulis yang juga seorang pensyarah di sebuah pengajian tinggi tempatan telah menghasilkan buku berjudul Menjelajah Negeri Sabah ( 1986) yang ada kaitan dengan pengembaraan dan pengalaman hidupnya yang dialami di Sabah suatu ketika dulu. Penulis tersebut adalah Dr. Talib Samat. Menerusi buku ini, penulis mencoretkan pengembaraan ke pelbagai tempat di Sabah meliputi kawasan pedalaman, kota, pantai dan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

“ saya mengembara ke seluruh Sabah dengan menggunakan jalan darat, udara dan laut sambil cuba mendapatkan gambaran yang jelas tentang ciri-ciri masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam, kepercayaan dan cara hidup, pengalaman tersebut tidak akan saya alami jika saya tidak merantau ke Sabah.”
Penulisan buku ini sebenarnya terilham sewaktu Talib Samat bertugas di Sabah sebagai pegawai kerja pertahanan di Markas 5 Bridge Kem Lok Kawi, Kot Kinabalu dan di Kementerian Pertahanan Cawangan Sabah sehingga tarikh 1983. Pada masa cuti hujung minggu dan cuti kelepasan umum Talib Samat gunakan masa itu untuk berkunjung dan melawat pelbagai ceruk rantau negeri Sabah yang sememangnya indah.

Seorang lagi penulis muda yang berbakat iaitu Zaid Akhtar yang berasal dari Segamat, Johor berpeluang menuntut di sebuah universiti di Jordan. Zaid terdorong untuk merakamkan cebisan-cebisan hidupnya di Jordan menerusi dua buah novel remajanya iaitu Sesegar Nailofar (2001) dan Rona Bhosporus (2004). Malah ia juga turut memenangi Penilaian Hadiah Kategori Remaja anjuran Kumpulan Utusan Melayu bagi tahun 2000 dan 2003 bagi kedua-dua novelnya itu.

Malah penulis novel pembangun jiwa, Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih yang terkenal pada era ini, berasal dari Indonesia iaitu Habiburrahman El-Shirazy juga mendapat Ilham untuk menulis kedua-dua novelnya itu setelah beliau melalui pengalaman hidup ketika berada di Mesir selama beberapa tahun di sana sebagai penuntut di Universiti Al Azhar, Kaherah. Kedua-dua novel beliau ini telah diadaptasi kepada Filem yang telah mendapat perhatian dari ribuan peminat setianya sehingga nama beliau terkenal sebagai penulis novel keagamaan yang terkenal. Habiburrahman El- Shirazy merupakan Pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 dan Pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favorite Book 2005 melalui novelnya, Ayat-ayat Cinta.

Seterusnya, bagi seseorang penulis, dia tidak sewajarnya memerapkan dirinya di kampung-kampung atau di negerinya sahaja dan bergantung kepada pembacaan buku semata-mata tetapi sesekali-sekala atau beberapa kali dalam hidupnya, penulis itu perlu mengembara atau melancong ke tempat orang atau daerah lain. Sekiranya ada persatuan penulis atau institusi tertentu yang menganjurkan lawatan ke sesuatu tempat bersejarah sama ada di dalam atau di luar negara, seorang penulis patut menyertai kembara itu. Dengan mengembara seorang penulis akan mendapat sesuatu idea atau pengalaman baharu yang tidak ada dalam buku atau kadangkala tidak pernah difikirkan sebelum ini sekaligus dapat menyuntik semangat baru kepada penulis untuk memantapkan lagi mutu penulisannya.

Perlu diingat bahawa, seorang penulis yang baik ialah dia mampu mencampurgaulkan segala kekreatifan, pengalaman, pengetahuan, penghayatan, pemerhatian dan imanigasinya dalam setiap karyanya. Dengan itu, karya-karyanya akan lebih menarik, bermutu dan berkesan. Malah jika karya-karyanya yang baik dan memenangi setiap pertandingan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, ia mampu menyuntik semangat kepada penulis tersebut untuk terus menulis. Salah seorang penullis baru yang mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang penulisan ialah Faisal Tehrani yang menulis novel 1515.

Selain itu, Pengalaman di luar negara mampu mendewasakan seorang penulis. Worldview atau pandangannya juga mungkin akan berubah setelah beliau dapat melihat dan mengalami sendiri perbezaan budaya, nilai serta fahaman yang mereka alami di luar negara. Paling penting, setelah berada jauh dari tanah air, penulis itu akan mempunyai satu perspektif yang baru (yang mungkin lebih adil dan matang) tentang negaranya sendiri (atau negara yang dilawatinya).

Perhatikan sahaja karya Rehman Rashid yang bertajuk A Malaysian Journey (seorang penulis yang banyak menghabiskan masanya di luar Malaysia). Bagi pengkaji, ini adalah satu karya klasik yang patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia atau mereka yang mahu mengenali dengan lebih dekat tentang negara ini. Jarang benar dapat membaca satu karya yang begitu ikhlas, yang telah ditulis tentang Malaysia. Tulisan Rehman Rashid penuh kritis. Ada kalanya sukar untuk ditelan. Bukan kerana tulisannya sukar dibaca, tetapi seperti biasa, kebenaran tentang diri kita sendiri terlalu berat dan pedih untuk diterima. Seorang penulis luar negara iaitu Nailpaul yang dibesarkan di Trinidad, Karya pertamanya adalah buku Among the Believers.

Buku ini adalah mengenai pengembaraannya ke negara-negara Islam di luar tanah Arab. Di antara negara-negara yang dilawatinya adalah Pakistan, Malaysia dan Indonesia. Dalam bukunya ini, beliau ada menyebutkan tentang Anwar Ibrahim. Naipaul mahu melihat Malaysia dari kaca matanya, tetapi sayang Anwar Ibrahim pada ketika itu terlalu sibuk untuk melayannya. Beyond Belief pula adalah sambungan kepada buku yang saya sebutkan. Bagi pengkaji, pengembaraan yang paling penting adalah pengembaraan seorang anak watan yang pulang ke negaranya, lantas dalam proses pengembaraannya ini, beliau dapat menyelami hatinya sendiri. Mungkin beliau akan dapat melihat dengan jelas segala kemajuan, ketidakadilan, dan penipuan yang berlaku di hadapannya (yang sebelum ini tidak dapat dilihatnya). Kemudian beliau akan menulis tentang penemuannya ini dengan nafas yang ikhlas, walaupun menyakitkan.

Pengembaraan ke suatu tempat juga boleh merubah kehidupan seseorang. Segala pendirian yang pernah berada dalam jiwanya selama ini akan berubah apabila berada di tempat tersebut. Misalnya Buku The Road to Mecca ini karya Muhammaad Asad, merupakan salah satu buku yang cukup menyentuh hati. Di dalamnya ada perjalanan spiritual Muhammad Asad, sebelum dan ketika masuk ke dalam pelukan Islam. Nama asli beliau adalah Leopold Weiss. Awalnya, beliau merupakan wartawan Yahudi yang lahir dan besar di Polandia. Beliau mengunjungi Timur Tengah dalam rangka melaksanakan tugas kewartawanannya. Selama masa pengembaraannya di Timur Tengah itulah rupanya, beliau mengalami pengembaraan jiwa yang jauh lebih intens daripada pengembaraan fisiknya.

Salah satu cerita beliau di dalam buku ini yang benar-benar membuat pembaca tersentuh adalah percakapan beliau dengan salah seorang imam masjid di Yerussalem. Hal ini terjadi sebelum keislaman beliau. Kepada imam masjid itu, Muhammad Asad bertanya, apakah orang tua itu benar-benar percaya bahwa Allah mengharapkannya memperlihatkan penghormatan dengan membungkuk, bersujud dan duduk berkali-kali, dan untuk apakah maksud segala gerak badan itu. Imam masjid itu lalu menjawabnya dengan suara yang tegas namun lembut, “Dengarlah, akan saya terangkan kepada Anda mengapa kaum Muslim bersembahyang sebagaimana kami lakukan. Kami menghadap ke arah Ka’bah, rumah ibadah suci Allah di Mekkah, karena mengetahui bahwa wajah seluruh kaum Muslim, di manapun mereka berada, menghadap ke sana manakala sedang bersembahyang. Dan kami bagaikan satu tubuh, dengan hanya Dia sebagai pusat perhatian.” Akhirnya Muhammad Asad memeluk Islam dan menulis buku The Road to Mecca ini.

No comments:

Post a Comment