Friday, April 16, 2010

SELAUT IMPIAN SEGUNUNG HARAPAN

Pernahkan anda menonton filem Laksamana Do Re Mi? Filem yang dibintangi oleh P. Ramlee bersama dua rakannya iaitu A. R. Tompel dan Ibrahim Din. Filem yang mengisahkan tentang pengembaraan tiga orang sahabat ke serata negeri semata-mata mahu membantu mencari seorang puteri raja iaitu anak kepada Raja Pasir Dua Butir. Malah jasa mereka juga menyebabkan mereka bertiga dinobatkan sebagai Laksamana. Pernahkah anda semua menontonnya? Mesti pernah bukan. Siapa yang tak kenal dengan P. Ramlee, seniman agung negara yang dinobatkan sebagai Tan Sri P. Ramlee walaupun beliau sudah menjadi Allahyarham. Kalau pernah, ada sebuah Teater yang diadakan pada 9 – 10 April 2010 yang diadakan di Panggung Bandaraya DBKL. Teater yang diadaptasi dari filem ini. Para pelakonnya sangat berbakat dan dikenali ramai dan saya jamin, teater ini akan memecah panggung dengan jumlah penontonnya yang terlalu ramai.

Tapi nanti, sebenarnya bukan pasal filem itu yang saya nak ceritakan. Ataupun pasal pelakon dan penontonnya tetapi pasal saya dan rakan-rakan saya. Tentang impian dan harapan kami. Lihatlah tajuk di atas, ‘ selaut impian segunung harapan.’ Ataupun tajuk asalnya ‘ kembara Do Re Mi’. Kembara yang melucukan dan membuat wajah kami semua merah merona. Ini belum lagi dimasukkan pasal hati. Jika berbicara tentang hati, maknanya hati kami semua hancur berkecai bersama dengan segunung harapan dan selaut impian. Semuanya kerana Laksamana Do Re Mi. Nak dijadikan cerita, inilah ceritanya. Saya harap kamu semua menjadi pendengar yang baik dan setia.

Awal-awal lagi, kami diberitahu tentang Teater laksamana Do Re Mi ni oleh pensyarah kami iaitu Dr. Talib. Katanya teater ini diadakan di panggung Istana Budaya. Lalu dengan keseronokan yang ada tepat pada pukul 6 petang 9 hb April, saya, Wani, dan Aidi sudah tercongak di perhentian bas Kolej kami, kolej KHAR. Menunggu kedatangan pensyarah kami Dr Talib yang katanya mahu mengambil kami semua di situ. Sambil menunggu kami berbual-bual.

“ eh, saya dah tak sabar nak tengok teater tu. Mesti best kan.” Kata saya.
“ saya pun tak sabar nak tengok.” Ujar Wani pula.

“ eh, muat ke kita ni. Bagaimana kalau Dr ada bawa seseorang?” tanya Aidi pula.

“ alaa muat. Janganlah bimbang.”

“ dr bawa kereta apa ye?” tanya saya lagi. Soalan yang ditujukan khas untuk Wani.

“ pesonalah. Kereta yang dulu tu.”

“ kereta Dr warna biru kan.” Tanya Aidi.

“ ha,ah, kereta cash.”

“Cash, apa maksudnya?” tanya saya pula.

“ alaa, kereta yang dibayar secara terus lah.” Jawab Wani.

“ hah tu pun Dr dah datang.” Kata Aidi sambil tangannya menunjuk ke arah sebuah kereta berwarna biru yang sedang bergerak menuju ke arah kami. Sah, Dr sudah datang apabila kereta itu semakin dekat.

“ eh, Dr bawa seseorang lah.” Kata Aidi.

“ mungkin Yahya kot.”

“ ha ah, mungkin Yahya. Kan Dr singgah ambil Yahya dulu.” kata Wani pula. Tetapi andaian kami tersasar dari jawapan yang sebenar apabila mendapat tahu lelaki di depan itu bukan Yahya tetapi seorang lelaki. Sahabat Dr. Talib.

“ kita ambil Yahya dulu. Tadi saya tak nampak dia.” Ujar Dr Talib sebaik kami bertiga masuk ke dalam keretanya. Kami semua bergerak dan singgah sebentar mengambil Yahya yang sedang menunggu Dr di Taman U. Sebaik sahaja Yahya masuk ke dalam kereta, ini menandakan permulaan kepada pengembaraan kami ke KL. Kami terpaksa berhimpit empat orang di belakang. Nasib baiklah kami semua kecil-kecil belaka. Dapatlah duduk walaupun tak selesa dan saya terpaksa ke depan sikit untuk memberi ruang kepada yang lain. Sepanjang perjalanan kami semua berbual-bual untuk menghilangkan rasa bosan duduk di dalam kereta selama sejam lebih. Sesekali gelak tawa kami semua melantun ke segenap ruang korpus kereta Pesona ini. Waktu maghrib kami berhenti sebentar di tempat perhentian untuk solat kemudian meneruskan perjalanan lagi.

“ laaa, jem rupanya. Hmm,” kata saya merungut. Di depan, kiri, kanan dan belakang, banyak kereta yang kadang-kadang tak bergerak dan kadang-kadang bergerak perlahan.

“ mereka balik kampung kot.” Kata Dr. Talib kepada kawan di sebelahnya. Kawannya mengiakan.

“ Itulah mengapa saya tak suka duduk di KL.” Ujar Wani.

“ mengapa pula.” Tanya saya.

“ asyik jem saja. Susah kereta nak jalan. Sibuk sangat.” Jawabnya.

Sedang kami berbual-bual, datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang polis. Saya sudah mula takut apabila polis itu menahan kami. Pelbagai persoalan dan andaian bermain di fikiran saya. Sempat lagi saya terfikir, kalau polis tu minta IC kami, saya akan beri IC saya yang kadang-kadang saya tak bawa jika mahu ke mana-mana tetapi hari ini saya bawa. Namun sekali lagi sangkaan saya meleset apabila mendapat tahu rupanya polis tu minta kami beri laluan kepada Vip-Vip kehormat.

“ Jom kita ikut perarakan tu.” kata Dr Talib dan dia terus mengikut kereta Vip-Vip tersebut dari belakang.

“ boleh ke?” tanya saya kepada Dr Talib.

“ boleh...mereka bukan tahu siapa kita.” Jawab Dr. Talib.

“ ya, cepat sikit.” Kata kawan Dr Talib. Maklumlah kami mahu mengejar masa ke Panggung Budaya yang tinggal beberapa minit lagi teater akan bermula.

Akhirnya kami berjaya juga keluar dari lautan kereta tersebut di jalan raya. Kereta kami terus meluncur laju menuju ke Istana Budaya. Sampai di sana, keseronokan yang tadinya bergema di ruang hati kami semua bertukar menjadi perasaan lucu apabila mendapat tahu di Istana Budaya itu diadakan persembahan Opera orang Cina. Sebenarnya Teater itu diadakan di Panggung Bandaraya DBKL. Lalu dengan kelucuan dan malu yang sedikit kami pun bergerak ke Panggung Budaya DBKL.

“ ingatkan di sini. Tak tengok betul-betul.” Kata Dr Talib. Kami semua ketawa.

“ excited sangat nak pergi. Rupa-rupanya Opera.” Kata Yahya pula sambil ketawa.

Apabila kami sampai di Panggung Bandaraya itu, sekali lagi impian dan harapan kami hancur berkecai apabila mendapat tahu tiket sudah habis. Tinggallah kami melonggo di sana. Sempat juga meminta simpati supaya gadis penjaga tiket itu membenarkan kami masuk.

“ kami datang dari Tanjong Malim cik.”

“ ye ke. Kesiannya...tapi minta maaf sebab kami tak dapat menolong.” Jawab gadis cantik itu. Sepertinya gadis itu berasal dari Sabah menerusi pelat Sabahnya.

“ tak apalah. Dah nasib badan.”

Lalu untuk menghilangkan malu kami, kami sengaja tengok pameran yang ada disitu sebelum pergi. Sempat mengambil pamplet.

“ tak dapat tengok Teater, dapat pampletnya pun dah cukup.” Kata Yahya. Kami semua ketawa mendengarnya.

“ bagus kita pergi ke Rawang. Ambil buku Mutiara Akal.” Kata Dr Talib.
Kami seterusnya bergerak menuju ke Rawang dan nasib baiklah hotel itu masih dibuka dan dapatlah kami mengambil buku Mutiara Akal itu. Buku yang membuahkan seribu kenangan kepada saya kerana di dalam buku itu, terlakarnya dua buah sajak saya. Kami meneruskan perjalanan ke Tanjong Malim dan singgah makan sekejap di sebuah warung di tepi-tepi jalan. Kami sampai di Kolej sekitar jam 2 pagi.

Hmm, sekianlah cerita saya untuk anda semua. Walaupun kecewa dengan apa yang kami lalui namun saya tak akan jemu menghadiri teater di lain waktu. Saya akan menganggap kekecewaan saya ini merupakan satu ujian bagi saya.

Nukilan:
S. Hana AK
15 04 10 ( Khamis)
18.58 Pm
KHAR, UPSI

No comments:

Post a Comment