Aku merenung langit biru yang digumpali dengan awan putih kapas itu melalui tingkap kereta pesona Dr. Talib. Baru sebentar tadi aku, Wani dan Dr. Talib berbicara tentang hujan yang tidak jatuh di Johor Bahru. Bayu Johor Bahru amat panas dek kerana pembangunan yang dilakukan di sekitarnya. Pandanganku jatuh ke arah bangunan-bangunan di kiri kanan jalan raya yang di selang-selikan dengan pokok-pokok hiasan yang menghijau tetapi agak kusam. Kami melewati Makhamah Syariah Johor Bahru, balai Polis serta Dewan Bandaraya Johor Bahru dengan hajat mahu mengelilingi bandar ini.
Setengah jam yang lalu kami sempat berhenti di Danga Bay untuk makan tengah hari. Kegembiraan jelas terbayang di wajah saat menjejaki tempat itu. Namun tidak semua restoran di situ dibuka kerana para peniaga sangat suka membuka perniagaannya di waktu malam. Entah, mengapa mereka suka sangat berniaga di malam hari. Kemungkinan kerana pemandangannya yang agak indah, dengan lampu alam dan lampu buatan manusia saling bergemerlapan di kawasan tanah rata ini. Sempat fikiranku ini berteka-teki.
Dari dekat, aku melihat pulau Singa, Kota Singapura. Aku juga melihat Selat Tebrau untuk kali pertamanya. Aku juga melihat begitu banyak pokok-pokok di pinggir-pinggir Selat Tebrau yang memisahkan negara Malaysia dan Singapura ini. Menyembunyikan kota singa ini dari pandangan rakyat Malaysia. Namun, ada satu yang menggelegak di fikiranku. Kota Singapura tidak seperti yang ku fikir selama ini. Begitu juga dengan Selat Tebrau, tidak secantik seperti yang aku fikirkan selama ini. Kota Singapura tidak ada bukit bukau, Selat Tebrau pula tidak ada pantai yang memutih pasirnya. Malah airnya juga agak keruh dan mungkin kedalamnya sangat berbahaya buat manusia.
“ Dulu, Selat Tebrau ada pantainya. Saya pernah mandi di laut tu dulu, masa kecil-kecil.” Dr. Talib membuai perasaan dukaku dengan nostalgia lamanya. Wani di belakang hanya mendengar.
“ Sekarang mana pantainya.” Aku bertanya sambil menjenguk seolah-olah mahu melihat pantai seperti yang dikatakan oleh pensyarahku ini. Beberapa kontraktor sedang sibuk berkerja menambak gigi selat itu.
“ Sekarang ni pantai dah tak ada. Kamu tengoklah kontraktor tu. Dulu, masa saya balik sini, pantai tu masih ada tapi sekarang dah dikambus dengan tanah.”
“ Bila kali terakhir Dr pulang ke sini?” Wani pula bertanya. Agak berminat kami dengan cerita pensyarah kesayangan kami ini.
“ Dua bulan yang lalu. Masa tu masih ada pantai. Diaorang buat ni masih baru lagi.” Kata Dr. Talib mengakhiri ceritanya. Aku mengeluh perlahan. Hanya di dalam hati.
Aku berasa sedih mendengar cerita itu. Aku juga tidak suka dengan penambakan Selat Tebrau tersebut. Bagiku mereka semua adalah pemusnah alam. Apa salahnya membuat pembangunan di tempat lain? Aku berasa hairan apabila Dr. Talib menyatakan kawasan Johor ini sangat kecil sehingga memaksa mereka untuk menambak Selat Tebrau itu. Aku mengutuk hati insan yang tidak menghargai keindahan dan kedamaian Selat Tebrau. Aku membuang pandangan ke kota besar singa tersebut. Melihatnya seperti menarik hatiku untuk meminta Dr. Talib menceritakan serba sedikit tentang kota Singapura tersebut. Dari pandanganku, kota ini besar juga walaupun tak sebesar mana. Sempat juga ku bandingkan daerah Tambunan yang merupakan kampungku dengan kota ini. Pandanganku tertumpu ke arah bangunan pencakar langitnya.
“ Dr pernah pergi ke Singapura kan?” Aku menyoal Dr. Talib sekali lagi. Seperti biasa dia hanya tersenyum kecil.
“ Pernah, masa pergi ke kubur Ngah Ibrahim.” Jawabnya pendek.
“ Macam mana keadaannya. Saya dengar-dengar Singapura sangat bersih. Maksud saya tak ada sampah sarap.”
“ Ya. Di sana persekitarannya bersih. Cantik saja. Dijaga dengan rapi. Kamu berdua pernah pergi ke situ ke?” Jawabnya diakhiri dengan pertanyaan. Aku dan Wani berdua menggeleng.
“ Kalau kami pernah pergi taklah saya tanya Dr....” Ujarku secara bergurau dan kami bertiga ketawa.
Kereta kami terus meluncur perlahan setanding dengan kereta lain yang ada di depan dan belakang. Sekali lagi aku terasa angin kota Johor Bahru membuak-buak panas menyapa kulitku. Sesekali disertakan juga dengan angin lembut dan sejuk yang datangnya dari arah laut. Aku ternampak beberapa orang sedang berjalan di tepi jalan raya yang aku sendiri tidak tahu tujuannya. Kereta kami berhenti berdekatan dengan sebuah menara Johor Bahru betul-betul di atas permukaan Selat Tebrau.
Di sebuah pelantar, aku melihat beberapa orang lelaki sedang memancing di kawasan tersebut. Aku melupakan seketika kedukaanku dengan mengambil gambar bersama Dr. Talib dan rakanku, Wani dengan berlatar belakangkan Selat Tebrau. Dr. Talib membeli tiga batang ice-cream dan kami makan di situ sambil-sambil menikmati pemandangan di depan mata. Sambil makan kami berbual-bual dan mengambil gambar malah sempat juga bergurau kononnya mahu buat sajak tentang makan ice-cream di hadapan Selat Tebrau. Pensyarah kami ini, Dr. Talib ataupun digelar Mawi UPSI kerana gayanya yang selamba seorang pensyarah yang agak sporting. Dia juga turut bersama-sama bergurau dengan kami berdua, anak didiknya yang agak nakal. Mungkin.
Sejam di selat Tebrau cukup memberi kesan kepadaku. Pelbagai perasaan yang melanda hatiku kala itu. Rasa duka, gembira, sedih, kecewa, marah, suka saling bercampur gaul antara satu sama lain. Di akhir masa aku sempat membuang pandangan ke arah air Selat Tebrau yang hitam legam dan memadang pemandangan untuk kali yang terakhir.
“ Adakah aku sukakan tempat ini? Tempat yang tidak memancarkan keindahan. Mahukah aku ke sini lagi setelah pertemuan pertama ku di sini membuahkan seribu macam perasaan.” Aku tertanya-tanya sambil dihambat perasaan duka dan pilu. Entahlah, aku sendiri tidak tahu dengan hasrat hatiku. Keadaan yang terjadi tidak akan berubah lagi seperti sediakala. Ia akan terus mengalami perubahan. Sampah-sarap di sepanjang perjalanan ke Selat Tebrau amat menyeksa hatiku. Di manakah harga dan maruah Selat Tebrau. Benar, aku seorang pemuja alam. Keindahan alam amat mengembirakan hatiku tetapi sekali ia berubah seperti pantai, sekali itulah ia mencacatkan kegembiraan dan keseronokan hatiku padanya. Inilah yang aku alami selama sejam di Selat Tebrau.
Kami meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah Dr. Talib kerana mengingatkan keadaan Wani yang kurang sihat. Seperti biasa, perjalanan ke rumahnya mengambil masa yang agak lama untuk sampai. Sebenarnya pagi tadi kami bertiga baru sahaja selesai menghadiri ceramah di sekolah lama Dr. Talib iaitu di sekolah Sultan Ismail. Inilah sebenarnya hajat kami datang ke Johor kerana semata-mata mahu menemani Dr. Talib untuk memberi ceramah di sekolah lamanya. Kepenatan yang menjalar di badan membuatkan tidurku agak lena sesampai sahaja di rumah.
Sebelum balik ke Tanjong Malim, aku sempat menjamu selera di sebuah restoran Mi Bandung bersama dengan Wani dan pensyarahku. Sekitar jam sembilan malam, kami bertolak dari Johor ke Tanjong Malim. Kepuasan tersinar di wajahku dengan rakanku itu. Tingkap kereta dibuka, membiarkan angin malam berebut-rebut mengusap tubuh kami bertiga. Dalam perjalanan kami berbual-bual sesekali diselangi dengan menyanyi lagu nasyid dan lagu klasik P. Ramlee.
“ Sue, tengok apa kat luar tu.” Wani bertanya kepadaku apabila aku asyik melihat ke luar.
“ Aku melihat bintang Wani. Cantik bintang tu.” Ujarku.
“ Oh.”
“ Inilah kali kedua saya melihat bintang yang banyak di sini. Masa kali pertama ketika di Kolej minggu lalu. Tahu tak kalau di Sabah, bintang-bintangnya begitu banyak sehingga tak terkira bilangannya. Nampak burujnya. Saya suka melihat bintang-bintang tersebut.” Kataku kepada Wani.
“ Memanglah di Sabah banyak bintang sebab belum dicemari.” Wani mengiakan kata-kataku sekaligus membuatkan rasa bangga bersemi di jiwaku dengan tanah tumpah darahku itu.
“ Di Sabah memang banyak bintang. Masa saya di Sabah dulu, banyak juga bintang yang saya nampak.” Tiba-tiba Dr. Talib yang sedang asyik memandu menyampuk perbualan kami. Lantas aku memandang ke arahnya.
“ Dr suka bintang?” Tanyaku. Dr. Talib hanya ketawa kecil. Tidak menjawab pertanyaanku.
Namun aku yakin dia juga amat suka dengan bintang. Masakan tidak, dia merupakan seorang penulis novel dan sajak yang karyanya banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Salah satu novelnya ialah novel Panas Salju yang dijadikan teks Komsas di sekolah-sekolah. Mengikut kefahamannku, seorang penulis tidak dapat lari dari alam untuk meminjam idea darinya. Dr Talib terus memandu dan aku pula terus melihat ke langit waktu. Angin malam terus berhembus memugar kedamaian kepada para insan yang mahu menghargainya.
Kadang-kadang aku membuai perasaan dengan tidur ayamku yang kurang lena kerana kurang selesa. Kami terus meninggalkan negeri Johor, Selat Tebrau dan kampung Felda Tebrau iaitu kampung Dr. Talib. Sempat lagi hatiku berbisik sebelum sampai di Tanjong Malim.
“ Adakah, aku akan menjejakkan kaki ke sana lagi suatu hari nanti? Bagaimanakah Selat Tebrau nanti? Adakah Selat Tebrau akan terus begitu atau sebaliknya. Mungkin Selat Tebrau akan berubah dan terus menerus berubah suatu hari nanti.”
Dan ketika aku bangun tidur keesokan harinya, aku masih tidak dapat melupakan Selat Tebrau. Aku tidak dapat melupakan alunan airnya yang bagaikan meminta simpati agar alunan lembutnya dahulu dikembalikan. Alunan kedamaian. Dalam setiap kerja yang ku lakukan, hanya Selat Tebrau sahaja yang bergentayangan di mataku. Mengapa dan kenapa, aku sendiri tidak tahu. Namun kemungkinan kerana Selat Tebrau telah mengusik hatiku dengan kekusamannya. Keindahannya telah dicemari oleh minyak dan sampah sarap. Kekusamannya telah meminggirkan jauh burung-burung camar dari mendekatinya. Yang ada adalah bot dan kenderaan yang terus menerus meluncur laju melalui Selat Tebrau menuju ke Kota Singapura ataupun dari Singapura ke Malaysia.
Di sini, di daerah Tanjong Malim, sekeping hati telah hancur lebur bersama kuntum-kuntum kenangan yang semakin jauh dan layu. Menangisi bumi yang semakin hancur akibat perbuatan manusia. Insan yang kerdil dan papa kedana itu adalah aku. Insan biasa yang tak lari dari menangisi kerakusan manusia. Kata-katanya tak mungkin dinilai dan diingati ataupun dipedulikan oleh orang lain, lalu alam dan Selat Tebrau semakin lama semakin hilang dari pandangan mata dan lukisan hati ini.
S. HANA AK
28 MAC 2010 (AHAD)
20.45 PM
UPSI
No comments:
Post a Comment