Friday, August 7, 2009

Kehilangan

Angin malam berhembus pelahan. Mesin taip memecah kesunyian malam. Sepasang tangan kecil kelihatan menari-nari di atas huruf-huruf yang comel itu.
“ Ya Allah, berikanlah hambamu ini kekuatan, ketabahan untuk menghadapi dugaanmu ya Allah.” Air matanya megiringi doanya.
“ Ya Allah. aku redha dengan diriku.” Tangannya menekup wajahnya.


Tubuh kecilnya ditolak kasar oleh emak. Tubuhnya yang kecil beralih tempat. Dia menangis sendu. Namun emak tidak menghiraukan makna air matanya. kaki kecilnya ditendang dengan kuat. Dia menjerit kesakitan. Emak berlalu meninggalkan dirinya yang dirundung malang. Dia menangis teresak-esak. Tangan kanannya merayap di atas kakinya yang sakit. Aca teringatkan emaknya. Sungguhkah emak membencinya. Kenapa emak begitu membencinya. Apakah kerana dia tidak dilahirkan seperti orang lain. Aca cacat kaki sebelah. Aca tidak dapat berjalan lurus macam orang lain. Dia berjalan terjengket-jengket. Bukan Aca tidak berusaha untuk menjadi seperti anak gadis yang lain. Berusaha untuk berjalan normal tapi Aca tidak dapat melakukanya. Hanya Aca sahaja yang menyedari dan merasai keperitan kakinya yang sakit. Maka hanya keadaannya yang tidak sempurna emak membencinya. Aca tidak disayangi, tidak seperti kak Zah.
Aca akui kak Zah memang cantik, sempurna, berpendidikan tinggi dan baik hati. Kak Zah punya segala-galanya. Sebab itulah kak Zah disayangi dan dimanjai oleh emak. Aca memang dah lama tarik diri dengan kak Zah. Kak Zah ada teman lelaki. Emak tidak marah kalau Kak Zah keluar dengan temannya. Emak tak marah kalau kak Zah balik lewat malam. Kalau kak Zah ada barang kemas emak tak pernah tanya itu ini. Mungkin kalau Kak Zah berbohong emak tak pernah akan tahu. Emak memang percaya sangat dengan kak Zah. Mungkin emak sebenarnya tidak bersedia menerima kehadirannya. Tapi Kak Zah baik dengannya. Aca memang minat dengan buku. Kak Zah selalu membeli buku cerita untuknya. Kak Zah juga selalu membelinya bahan bacaan dan majalah adalah kegemaranya. Kebaikan Kak Zah membuatkan Aca selalu termenung jauh di hamparan langit yang indah. Siapa sebenarnya yang berhak ke atas dirinya? Emak atau kak Zah. Ayah! Aca yakin ayah ada hak tentang dirinya kerana ayah tidak seperti emak. Ayah selalu memberikannya semangat. Mengajarnya erti kehidupan. Ayah pandai bercerita. Ayah selalu bercerita tentang kisah tokoh Hang Tuah dan Hang Jebat. Ayah juga bercerita tentang cerita klasik seperti Cinderella, Beauty and the Beast dan Sleeping Beauty. Aca akan membenamkan dan mengolahkan cerita ayah jauh di sempadan. Aca pernah berangan-angan suatu hari nanti dia akan pergi ke tempat puteri tersebut. Tentu seronok.
Tapi sampai sekarang angan-angannya tidak pernah kesampaian. Ayah menyatakan kepadanya angan-angan tidak menjamin apa-apa. Angan-angan hanya menjadikan dia seperti pungguk rindukan bulan. Mulanya Aca tidak faham tapi bila ayah menerangkannya Aca mula faham. Kata ayah cita-cita dan impian adalah kunci masa depan. Tanpa cita-cita hidup ini kosong. Tanpa impian Aca tidak mungkin mengecapi kegembiraan. Aca pun tukar angan-angan menjadi impian. Tapi Aca tidak tahu apa cita-cita Aca. Aca hanya tahu impiannya adalah hendak berjumpa dengan ayah tapi sampai sekarang impiannya tidak pernah kesampaian.


“Sial. Tak tahu malu. Siapa yang nak baca cerita bodoh kau ni. Cerita konon. Huh, cerita ni hanya layak jadi sampah buruk. Awak tu cacat. Kalau cacat anggota, otak pun cacat tahu tak.”
Aca memungut helaian kertas di kaki lantai. Jiwanya merana. Hatinya seperti ditusuk sesuatu. Air matanya tumpah di lantai. Kata-kata emak bagai keris yang tertacak di ulu jantungnya. Aca menangis kerana emak tidak menghargai usahanya. Aca merana kerana emak tidak menyayanginya. Emak menghinanya. Sialkah dirinya? Aca cuba menjelaskan pada emak bahawa hati dan otaknya tidak sama cacat degan kakinya. Tapi suara itu seperti tersekat dikerongkong. Sumbang. Aca berasa tubuh kecilnya dihempas sesuatu benda keras. Sungguh memeritkan. Aca terjerit bersama curahan air matanya. Aca tidak dapat menangkap helaian kertas di depannya. Tangannya memegang kaki bangku. Kaki kecilnya cuba mencari perlindungan dari menjadi mangsa rotan emak.
“ Mak…jangan mak… sakit mak..”
“ Tak perlu. Anak tak tahu malu. Anak sial. Kerana kaulah orang pandang serong kat aku. Kerana kaulah ayah kau mati dihempap pokok. Dan sekarang kau nak bawa orang lain celaka pula hah. Nak bagi malu keluarga hah!”
“ Ya Allah…itu kecelakaan mak. Bukan kerana sial mak…tolong.” Aca tersembam di bawah meja.
Emak berlalu sesudah puas memukul tubuh kudratnya. Aca cuba meluruskan badannya. Dia tidak berdaya. Kakinya sakit. Badannya tersebam kembali. Wajah ayah muncul di fikirannya. Kalaulah ayah masih hidup tentu dirinya tidak macam ini. Ayah sayang padanya. Ayahlah yang mengajarnya supaya menjadi peka terhadap alam. Aca hanya sekolah sampai darjah enam. Aca berhenti setakat itu. Emak meminta ayah supaya memberhentikannya. Ayah mengikut kata emak tanpa meminta pandapatnya terlebih dahulu, itulah perbuatan ayah yang paling dikesalimya. Bila ditanya kenapa dia diberhenti sekolah, ayah menjelaskan tidak ada duit. Aca tahu ayah bohong kerana kak Zah dapat teruskan sekolahnya. Namun Aca rela berhenti. berkorban demi keluarga. Aca mahu jadi anak yang baik walaupun semangatnya untuk belajar masih kukuh dalam dirinya. Waktu itu dia masih tidak mengetahui apa-apa. Di sekolah Aca banyak kawan. Aca tak perlukan simpati. Aca berkawan dengan mereka yang jujur nak berkawan dengannya. Aca juga banyak musuh tapi Aca tidak memusuhi mereka, mereka yang memusuhinya.
Aca diejek, dipermainkan dan dimarah tapi Aca hanya diam. Aca tidak lawan kerana dia tahu siapa dirinya. Aca dilindungi oleh kawan rapatnya iaitu Linda, Julia dan Sofia. Merekalah yang menjadi bodyguardnya kalau diganggu. Kalau mereka tiada Aca seorang sajalah yang berdepan dengan orang yang memusuhinya. Sekarang dia sudah berhenti, bukan dia yang mahu tapi emak dan ayah yang mahu. Aca tidak berdendam dengan kak Zah yang masih bersekolah walaupun Aca sudah ‘pencen’. Tapi kak Zah tetap mengajarnya. Kak Zah sayang padanya. Cuma emak sahaja yang bersikap dingin. Bila kak Zah tamat tingkatan lima, kak Zah masuk tingkatan enam. Aca juga sudah beusia lima belas tahun. Kak Zah dan ayah tetap menyayanginya. Emak tetap dingin dengannya.


Aca masih ingat lagi suatu hari ayah meninggal kerana dihempap pokok semasa pergi mengambil kayu untuk kenduri khawin di rumah kawannya, Linda. Kematian ayah menyebabkan orang kampung menuding jari ke arahnya. Aca dianggap sial. Kematian ayah adalah angkaranya. Aca sangat sedih tapi Aca tetap sabar. Selama ini bila ada kematian dia tidak pernah dilibatkan. Tetapi selepas ayah tiada ramai orang kampung menghinanya. Ada saja kematian yang pelik Acalah yang menjadi mangsa angkaranya. Bagi kematian yang disebabkan penyakit mereka anggap biasa. Tapi bila kematian yang pelik Acalah yang dikatakan dalang kejadian tersebut. Kerana tidak tahan tomahan emak pun membenci Aca. Emak sudah berubah. Dia tiada tempat mengadu untuk menghalang hinaan emak kepadanya. Dia cuma ada kak Zah. Tapi kak Zah hanya akan balik masa cuti panjang. Kak Zah masuk asrama. Kalau kak Zah ada emak tidak berani memukul Aca. Kak Zah memang berani lawan emak kalau emak memukulnya. Kak Zah akan kata pada emak bahawa Aca tetap adiknya. Bila kak Zah tiada emak sedikit pun tidak lepaskan peluang untuk mencari kesalahan Aca.
Kadang-kadang Aca hairan dengan sikap emak terhadapnya. Kenapa emak tidak membunuhnya sahaja. Kenapa emak membiarkan dia menderita. Apa salahnya yang sebenar. Dia bingung dengan sikap emak. Mungkin dia bukan anak emak. Dia hanya anak ayah. Aca sayang ayah, kak Zah dan emak. Walaupun emak sering memukulnya tetapi dia tidak pernah membenci emak. Dia cuma berharap suatu hari nanti emak akan menyayanginya sama seperti emak menyayangi kak Zah.
Aca memang pandai mengarang. Tunjuk ajar kak Zah banyak membantunya dalam mencari idea yang bernas. Falsafah ayah tentang alam mengajarnya menjadi pujangga yang istemewa. Keberanian ayah menjadi idolanya. Kebencian emak terhadapnya mendidiknya menjadi orang yang sabar, tabah dan gigih. Kak Zah menghadiahkanya sebuah mesin taip supaya memudahkannya untuk mengarang. Aca tidak tahu dari mana Kak Zah dapat duit untuk membeli barang yang bernilai ratusan ringgit itu. Aca hanya agak Kak Zah mendapatkan wang dari biasiswanya. Aca memang arif tentang itu. Seorang yang ingin meneruskan pengajiannya ke universiti tentulah Kak Zah memohon biasiswa. Namun ketika Aca baru memulakan karyanya emak menjadi penghalang. Emak memarahinya tanpa mempedulikan hatinya yang luka. Emak memukul tubuhnya yang kecil. Emak tidak suka hasil karynya. Kata emak kepadanya emak akan tambah malu kalau orang membeli karyanya. Emak tidak mahu orang dapat sial bila membaca karyanya nanti. Lantas emak melepaskan amarahnya dengan tubuh kecil Aca. Aca cuba melidunginya kakinya daripada menjadi mangsa namun apalah sangat kudratnya berbanding dengan emak yang besar. Tanpa rasa simpati emak terus memukul, menendang dan merotan tanpa mempedulikan raungannya. Aca lihat emak seperti singa lapar. Terus dan terus memukul Aca. Akhirnya Aca tidak berdaya untuk mengelak lagi.
Aca mula merasa tidak enak badan. Badan Aca mula lemah. Bisa luka mula menunjukkan taringnya. Bibir Aca mula pecah kebiruan. Kulitnya pucat. Tangannya merayap ke seluruh tubuhnya. Matanya terpejam rapat. Aca ternampak ayah muncul di depannya. Ayah pakai pakaian ihram. Muka ayah berseri-seri tersenyum memandangnya. Aca menjerit memanggil nama ayah yang mengapaikan tangan ke arahnya seperti menyuruhnya untuk mengikut jejak langkahnya. Semakin lama kelibat ayah makin jauh. Di belakang ayah kelihatan sejalur cahaya putih. Ayah semakin menjauh sambil tanggannya mengapai ke arahnya. Aca berusaha bangun untuk mengejar ayah yang menuju ke arah cahaya tersebut. Dia berasa hairan mendapati kakinya tidak cacat lagi. Aca dapat berlari normal. Dengan wajah gembira dia berlari mengejar kearah ayahnya. Di hujung cahaya putih sebelum menghilang kelihatan dua tangan bersatu erat lalu kedua tubuh itu melangkah kearah jalur putih lalu menghilang bersama-sama.
Di suatu sudut sebuah mesin taip terperesok berdekatan dengan meja tulis. Dan pawana menerbangkan helaian-helaian kertas di tangan kaku itu. Angin semakin kencang. Kertas putih di tangan Aca semakin berkurangan.
Emak menanggil namanya sambil tangannya menggerakkan tubuh itu. Tiada tindak balas. Emak cuba lagi sambil mulutnya memanggil dengan kuat. Bila menyedari sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Emak mula gementar. Angin semakin kencang. Segala apa yang ada di bilik itu habis diterbangkannya. Dalam keadaan itu emak mula menjerit-jerit tak tentu arah bersama alunan angin yang semakin menggila. Emak sudah tidak kenal dirinya lagi. Emak ketawa, menangis dan menjerit-jerit dalam kedinginan itu.

Hakcipta terpelihara
S. Hana Ak

No comments:

Post a Comment