GELOMBANG 04
Senja itu kulewati sendirian. Di ufuk barat matahari sudah mula menyembunyikan wajahnya yang galak di celah-celah gunung. Aku memandang sekelilingku yang sudah mula gelap. Perasaanku menyatakan aku tinggal seorang diri di pantai redup ini. Para pelancong dan nelayan yang sebentar tadi tertawa riang dengan gelagat masing-masing meminggirkan diri dari tempat ini seakan-akan tidak sudi menyambut kedatangan malam di pantai ini. Hatiku terusik apabila melihat keadaan pantai yang redup dengan pemandangan yang indah. Seumur hidupku inilah kali pertama aku melihat pemandangan laut yang mengajubkan secara nyata. Selama ini aku hanya mengaguminya di dalam gambar dan lukisan sahaja dan berharap dapat menikmatinya suatu hari nanti. Aku masih duduk menghadap lautan lepas di atas pasir.
“ Subahanallah…..” Tanpa kusedari mulutku memuji pencipta alam yang Maha Agung. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan alam ini dengan segala keindahannya untuk dinikmati oleh hamba-hambanya yang kerdil. Sesungguhnya warna-warna yang terdapat pada awan menunjukkan kekuasaannya sehingga menghasilkan panorama yang sangat indah.
“ Kak Ana… buat apa tu. Kenapa tak pulang lagi. Dah nak malamlah kak..meh lah balik.” Suara Hanim berlegar di gegendang telingaku sebelum sampai ke otak. Bahu kananku ditepuknya pelahan.
“ Laaa… kejaplah akak tak puas lagi ni.” Bantahku sekaligus menghilangkan petanyaan Hanim.
“ kalau akak tak nak balik, sudah. Hanim nak balik ni.”
” balik jelah Nim. Tak payah tunggu saya kat sini. Saya boleh balik sendirilah.” Jawab hati kecilku. Hanim meninggalkanku sendirian di pantai. Aku terus leka dengan panaroma langit senja. Sehingga hari betul-betul gelap barulah aku melangkah meninggalkan pantai permai ini. Di kepalaku timbul kepuasan dan kegembiraan. Alangkah seronoknya hati saat menikmati sendiri suasana tadi. Jauh di sudut hatiku aku terfikir patutlah seseorang penulis tidak pernah bosan untuk menulis sesuatu yang dilihat dan dihayatinya. Malah kepuasaan dan kenikmatan jelas tergambar di mata mereka saat selesai menulis sesuatu di atas kertas.
Aku terkenangkan kampungku. Suasananya sama seperti apa yang kulihat tadi. Cuma disini ada lautan, di sana pula ada gunung-ganang. Bukit-bukau. Tempat berlindung sang matahari dan tempat beradu sang bulan bersama temannya. Bila malam menjelma aku sering keluar ke beranda rumah untuk melihat berjuta-juta bintang yang berkerlipan di angkasa raya. Alangkah indahnya ciptaan Tuhan. Lampu alam memang tidak dapat ditandingi walauapapun lampu di dunia ini. Kekuasaan Illahi dalam menciptakan ini semua menjadi sumber ilham para pujangga melepaskan gunung berapinya. Saat langkahku meniti bibir tangga Chalet yang kutinggal, aku menoleh kembali pemandangan di lautan segara yang amat mengajubkan itu. Hari ini sudah dua hari kami sekeluarga menginap di Chalet ini untuk melancong. Namun ada satu kemusyikilan yang sering bertandang di hati ini sepanjang dua hari aku di sini. Pertama, aku tidak tahu mengapa sekitar jam enam pantai yang indah ini akan sunyi sepi tidak seperti pantai-pantai yang lain yang pernah aku nikmati keindahan dan kepuasannya.
Ketika itu aku ternampak seorang budak perempuan sedang menyusuri pantai dengan kakinya yang tak berlapik. Hatiku serta merta terusik. Aku menjadi hairan kerana semasa aku di pantai tadi tiada seorang pun yang berada bersama-sama dengan ku. Aku tertanya-tanya apa yang dibuat oleh budak itu maghrib-maghrib begini. Kenapa dia tak pulang saja. Pelbagai andaian bertandang dalam hatiku. Mungkin dia nak ambil sesuatu yang tertainggal kot. Aku memberikan jawapan kepada persoalan yang sedang bermukim di fikiranku. Serta merta rasa tanggungjawabku sebagai seorang manusia yang dewasa mengelegak dalam diri ini. Aku segara mengekori budak perempuan itu. Hajat hati hendak menegur dan bertanya mengapa dia ke situ serta hendak menolong apa yang terdaya.
Sampai saja aku di tempat budak perempuan itu tadi aku melihat sekeliling. Kelibat budak perempuan itu tidak ada lagi. Sekali lagi hatiku tertanya-tanya mana perginya budak itu. Masakan begitu cepatnya dia menghilang padahal tiada sebarang benda pun yang boleh melindungi sesiapa di kawasan padang pasir yang meluas ini. Ish. Mana perginya budak tu. Betul ke apa yang aku nampak tadi. Aku mula ragu-ragu dengan pandangan mataku sebentar tadi. Setelah pasti tiada siapa di situ aku kembali ke Chalet. Dalam kejauhan gegendang telingaku mendengar azan maghrib dilaungkan dari masjid yang berdekatan. Aku terus masuk ke dalam dan kelihatan ayah dan emak sedang bersiap-siap untuk sembahyang berjemaah.
” hah. Ana, dah balik pun. Mak ingatkan kau tak nak balik lagi.” tegur emak. Aku hanya diam. Hanim hanya memandang ke arahku. Aku segara mandi dan sempat solat berjemaah dengan keluargaku.
Keesokan harinya ayah dan emak keluar pergi membeli kepak ayam untuk dipanggang petang nanti. Tinggal aku dan Hanim, adiku yang masih berada dalam tingkatan tiga. Aku melihat di luar menerusi jendela. Begitu banyak pelancong yang yang ada di pantai walaupun sekadar berjogging. Jam baru pukul sembilan pagi. Masih ada waktu untuk melepaskan peluh kalau mahu. Aku mengajak Hanim keluar berjogging. Adikku itu menolak. Terpaksalah aku keluar sendirian. Aku segera menyusuri pantai sambil berlari kecil. Para penghuni Chalet sudah mula keluar. Ada yang mandi laut, jalan-jalan ataupun membuat senaman ringan. Tidak kurang juga yang hanya duduk memerhatikan ahli keluarga mereka membuat hal. Kalau mereka ikut kan bagus. Kataku dalam hati.
Aku berhenti di sepohon kelapa. Melepas penat dan peluh yang menyimba. Matahari sudah memancar garang. Entah sudah pukul berapa sekarang. Aku tidak pasti. Mungkin pukul sepuluh lebih. Aku hanya meneka berdasarkan kedudukan matahari. Aku duduk di atas pangkal pohon kelapa yang tengah membuntang ini. Nun jauh di sana aku melihat sebuah keluarga kecil sedang bermain-main sesama mereka. Si ayah mengacah-acah anaknya yang masih kecil dengan barang permainan. Manakala si ibu pula hanya ketawa melihat telatah suami dan anaknya. Aku terhibur dengan gelagat mereka bertiga hingga aku terleka seketika.
” kak, Aiskrim kak.”
Aku dikejutkan dengan kedatangan seorang budak perempuan sedang menjinjing sebakul aiskrim sambil mengacahkan ke arahku. Lantas aku membeli satu dan memberikan wang. Budak perempuan itu terkial-kial mengeluarkan wang lebih dari kocek bajunya. Aku memberikan isyarat supaya tidak payah mengembalikan wang baki.
” terima kasih kak. Kakak memang baik hati.” ucap budak perempuan itu tersenyum mesra. Aku mengangguk sambil membalas senyumannya yang mesra. Kanak-kanak itu berlalu.
” Beginilah kehidupan masyarakat di tepi pantai ini. Saling berlumba antara satu sama lain. Mengejar keseronakan yang sementara. Selepas mereka pulang ke tempat asal, mereka akan terus melupakan kehidupan mereka di sini. Yaaa tak kira saudari ataupun sesiapa saja.” tiba-tiba datang pula seorang pemuda dan menghamburkan segala yang terbuku di hatinya kepadaku. Aku sungguh terkejut dengan kedatangannya yang aneh itu. Dia datang kepadaku secara tiba-tiba. Tanpa memberi salam terlebih dahulu, terus mengucapkan kata-kata. Bukankah itu aneh namanya.
” siapa yang saudara bualkan?” kataku meminta kepastian.
” siapa lagi yang ada di sini kalau bukan saudari. Jadi saudarilah tempat saya berbual kalau saudari mahu.” ujar lelaki itu lagi. Aku hanya tersengih seperti kerang busuk lalu aku menjawab.
” ohhhh. Terima kasih.” entah mengapa aku mengucapkan kata-kata itu. lelaki itu tersenyum. Memperlihatkan giginya yang sedikit tidak tersusun.
” kerja apa di sini.” soalku lagi sambil menyeka peluh yang masih belum mahu surut keluar dari arah dahi dengan telapak tangan.
” kalau saudari tengok baju yang saya pakai. Agaknya dalam fikiran saudari apa ya.” jawab lelaki muda itu. Aku melihat ke wajahnya. Lain disoal lain pula yang dijawabnya. Bisikku dalam hati. Aku mengelengkan kepala dan menjongketkan bahu. Entah kuasa apa padaku lelaki itu tersenyum mesra. Menggoda juga senyumannya tapi sayang hatiku tertutup untuk menerima senyuman seperti itu. Isk. Aku ke yang perasaan.
” saya Hafizi. Selamat berkenalan.”
Aik, soalanku belum dijawab dah nak tanya nama. Ishk...
” Panggil saya Ana. ” kataku pula.
” saudara Hafizi belum jawab soalan saya.” aku tidak melupakan ayat tanya pertama yang keluar dari mulutku sebentar tadi.
” pasal kerja tu. Itu tak penting sebenarnya kan.”
” tapi ia penting bagi saya.”
” yakah. Apa maksud saudari bertanyakan soalan itu kepadaku.”
Aku diam membisu. Tak tahu apa yang nak dijawab. Fikiranku ligat mencari soalan yang lebih sesuai dengan situasi sekarang. Sinaran matahari sudah memijak di tubuhku. Bahang panasnya sudah terasa. Aku memandang lautan yang luas. Biru merembat mataku. Ombak kelihatan bergulung-gulung menghempas pantai yang putih pasirnya.
” alangkah kayanya Tuhan dengan alam semesta. Alangkah baiknya jika manusia dapat mengecapi dan mensyukuri apa yang Tuhan bagi pada kita. Tapi manusia buta hati. Tak tahu bersyukur. Entah berapa peratus saja yang mensyukuri nikmat yang Dia berikan pada kita. Aku bukannya baik sangat. Aku mungkin berada di antara mereka ini. Orang yang tahu bersyukur dengan orang yang tak tahu bersyukur. Tapi kalau kita muhasabah diri, Kita tahu kelemahan diri kita bukan begitu saudara.” kataku. Aku menunggu respon dari Hafizi. Mana tahu dia dapat memberikan pendapat dirinya sendiri. Suasana sepi seketika. Aku terus memandang ke arah lautan tanpa melihat pemuda tadi.
” saudara Hafizi....” aku lihat ke arahnya.
laaa...patutlah tak menjawab, rupanya lelaki tadi sudah hilang dari pandangan mataku. Ke mana di pergi. Begitu cepat sekali. Aku melihat sekeliling dengan hairan. Aku mengira-ngira masa aku tidak berbual dengannya tadi. Tak sampai dua minit takkan begitu cepatnya dia menghilangkan diri. Aku mula mengukur kelogikannya. Fikiranku hanya terhenti di situ saja akibat kehabisan akal untuk memikirnya. Kesannya aku hanya mampu menjongketkan bahu.
Aku mengangkat punggung, mahu berlalu dari tempat ini. Sambil mengibas-ngibas debu yang melekat dipunggung, aku terpandang budak perempuan yang aku lihat menyusuri pantai semalam di tengah-tengah lautan manusia di tepi pantai. Kanak-kanak ini hanya melihat di tengah lautan yang membiru tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya. Mungkin melihat para pelancong yang tengah bermain kapal layar di tengah-tengah gulungan ombak itu. Entah kuasa apa aku berjalan ke arahnya.
” adik....” tegurku setelah berada di sisinya. Kanak-kanak itu seperti terkejut. Lantas dia melihat ke arahku. Aku tersenyum mesra sambil melihat wajahnya yang redup. Sayu. Aku dapat melihat bola kaca matanya yang sayu dan bersinar-sinar itu.
” mengapa sedih saja ni. Tak nak bermain ke seperti rakan-rakan tu.” kataku sambil menunjuk ke arah beberapa kanak-kanak yang bagiku sebaya dengannya. Aku memegang tangannya. Kanak-kanak itu hanya diam membisu tanpa menjawab pertanyaanku. Hanya matanya sahaja yang memancarkan kesayuan. Pandangannya tidak jatuh ke arah budak-budak yang kusebutkan tadi. Dia terus memandang ke arah lautan segara.
” mengapa asyik pandang kat situ dik?” aku tidak putus asa. Aneh budak ni. Kataku dalam hati. Aku lihat pakaiannya. Pakaiannya sama seperti yang kulihat semalan. Tak berganti.
” dik... siapa nama adik?” kataku lagi. Diam membisu. Tiba-tiba tanpa menjawab pertanyaanku kanak-kanak itu berlari meninggalkan aku. Termanggu-manggu aku dibuatnya. Sudahnya aku teruskan perjalananku untuk pulang ke Chalet. Setibanya saja aku terpandang ayah dan ibuku sedang mengeluarkan barang-barang dari bonet kereta. Aku menuju ke arah mereka berdua dengan tujuan untuk menolong. Aku terpandang Hanim, adikku yang hanya memandang kami bertiga dari kaca jendela. Tak perlu dia menolong kami kerana barang yang dibeli cukup untuk kami bertiga saja yang mengangkatnya.
Seperti yang dirancangkan, petang itu aku, Hanim, Ibuku dan ayahku berkelah di tepi pantai. Kami mencari tapak yang sesuai untuk meletakkan barang-barang yang kami ada. Atas persetujuan semua, kami memilih tempat di bawah sebatang pokok hiasan yang merimbun sebagai tempat istirahat kami nanti. Ayah dan aku menyediakan tapak tempat untuk memanggang manakala Hanim dan ibu menyusun barang yang dibawa bersama di atas lapik yang menutupi pasir pantai. Petang ini cuaca amat indah dan nyaman. Redup dan sungguh menyegarkan dengan angin dari laut sudah cukup membuktikannya. Di atas langit kelihatan sekelompok awan mendung tapi aku percaya dan yakin hujan tidak akan turun. Aku harapkan begitu. Malah bukan aku saja, mungkin orang di sekelilingku ini juga mesti mengharapkan yang sama sepertiku. Seperti kata Sasterawan Negara Shahnon Ahmad: Awan terus mendung tapi hujan tidak turun juga. Tapi dia maksudkan lain dan aku juga maksudkan kata-kata itu berlainan dari apa yang difikirnya. Dia kiasan aku fakta. Itu beza tanggapan kami.
Kami terus leka dengan tugas kami. Ayah dan ibu memanggang. Hanim sudah lama pergi ke bibir pantai. Seronokkan diri bersama para penghuni pantai yang tengah redup ini. Aku sekali-sekala menyampuk dengan keseronokan yang ayah dan ibuku terbitkan. Terlukis di wajah kedua orang tuaku, keseronokan dan kemesraan sesama mereka berdua. Hai...entahlah. Aku fikir aku tidak mahu mengacau kemesraan yang terjalin itu. Aku biarkan mereka berdua. Aku mencapai novel yang aku bawa dari tadi lalu membacanya.
” Begitulah manusia. Hanya tahu berseronok dan berlumba-lumba mengapai kegembiraan. Padahal mereka tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. Seronok membaca novel ni?” aku terkejut dari kelekaanku apabila mendengar sergahan dari seseorang yang aku tidak kenali dari sebelahku. Tapi aik...suara itu seperti aku kenal saja. Lantas kepalaku ini kulebarkan ke arah tempat suara itu muncul. Seorang pemuda sedang tersenyum memandangku. Sekali lagi menampakkan susunan giginya yang tidak teratur itu.
” hah, saudara Hafizi...” kataku dengan mulut terlopong. Entah dah berapa lama pemuda ini berdiri di sebelahku. Senyuman tidak lekang dari bibir pemuda ini. Aku membalas senyumannya.
” maaflah, tak dengar tadi. Saudara Hafizi panggil saya tak?” soalku kepadanya. Takut kalau dia panggil, aku tak menjawab tadi. Lelaki itu menggeleng. Aku menebarkan pandanganku ke arah kedua orang tuaku yang tengah seronok memanggang. Mereka tidak memandangku. Asyik dengan kerjanya.
” duduklah.” pelawaku kepadanya. Aku meletakkan novel yang aku baca di pehaku sambil kakiku, aku alihkan ke arah lain. Memberi laluan kepadanya untuk duduk di hadapanku. Dia menurut.
” saudara asyik dengan kata-kata saudara tentang keseronokan para penghuni di sini. Kenapa ya.” tanyaku meminta jawapan. Aku sebenarnya mendengar apa yang dikatakannya tadi.
” apakah aku perlu menjawabnya?” Hafizi menyoalku lagi tanpa memberikan jawapan. Lantas aku mengangguk. Dia tersenyum lagi. Ah.. senyumannya tak lekang dari bibirnya. Dia lalu memberikan jawapannya dengan pertanyaan dan sedikit huraian. Sambil itu aku meneliti wajahnya. Kulitnya hitam manis mungkin dek kerana terlalu lama dibakar matahari di sini. Badannya bila berdiri agak tinggi juga. Pemuda ini sebenarnya hensem jika kulitnya cerah sedikit. Dan aku mungkin tergoda jika keadaan yang aku fikirkan tentangnya adalah realiti belaka. Namun ada sesuatu yang membuatkan dia agak menarik di pandanganku iaitu perawakan dan kekemasannya. Dia tampak kemas dengan baju T-Shirtnya yang berwarna biru ini. Sama seperti apa yang dipakainya pagi tadi. Rambutnya yang pendek disikat kemas.
” ah..penerangan saudara terlalu tinggi untukku.” Ucapku.
”aku tak dapat mencapainya. Apa yang saudara cuba terangkan kepadaku sebenarnya.” tanyaku dan dia menjawabnya. Orang di sekelilingku tidak memandang kami berdua.
Aku terkejut apabila dia menukar topik perbualan kami dengan pertanyaanku pagi tadi. Aku sungguh terkejut dan hairan bila mendengarnya. Bagaimana dia tahu apa yang aku katakan pagi tadi padahal pada masa itu dia sudah tiada di sisiku. Ayat-ayatnya berbaur falsafah. Aku sebenarnya suka berfalsafah juga tapi falsafah pemuda di depanku ini tidak kurang juga hebatnya sehingga aku perlukan masa untuk menghentam soalan yang ditujukan kepadaku.
Untuk seketika kami membisu.
” aku rasa aku harus pergi saudari Ana? Ada hal yang hendak aku uruskan.” katanya kepadaku.
” oh...Tak apa. Emmm pergilah. Aku pun nak habiskan novel ni.” ucapku pula. Aku tersenyum.
”maafkan aku jika ada kesilapan ya?” ucapnya. Aku hairan dengan pernyataannya lantas aku menjawab.
” kenapa pula.” tetapi pemuda itu hanya diam. Dia lantas berdiri lalu berlalu dari situ.
” hah, Ana. Ambil mangkuk. Ibu nak letakkan yang lain ni. Banyak sangat ni.” aku terkejut dengan kedatangan ibuku yang tiba-tiba itu. Aku memberikannya bekas. Ibu meletakkan sebahagian kepak ayam ke dalam bekas yang aku berikan. Tidak lama ayah pula datang. Tahulah aku bab panggang-memanggang ini sudah habis. Ayah menyeka peluh yang merembes di wajahnya. Aku melihat ke arah lelaki yang bersamaku tadi. sekali lagi seperti pagi tadi lelaki itu begitu cepat pergi sehingga membuatkan aku terfikir juga dengan kelogikan pandangan mataku. Kut-kut mata aku ini rosakkah.
Ibu memanggil Hanim yang tengah berseronok di tepi pantai. Seketika aku memandang ke arah Hanim tapi terpandang pula budak perempuan pagi tadi. Kali ini dia berjalan menyusuri pantai tanpa lapik di kakinya. Hatiku berdetik seketika. Hairan dengan apa yang aku lihat. Kenapa budak ini saja yang aku lihat. Kenapa dia ya. Cetus hatiku. Namun kedatangan Hanim mengalihkan fikiranku tentangnya. Petang itu aku dan keluargaku menghabiskan masa di tepi pantai ini. Di bawah sebatang pohon yang tengah merimbun. Aku tidak tahu nama pokok hiasan ini. Usai saja kami pulang ke Chalet. Para penghuni pantai sudah berkurangan. Dan hari ini selesailah perancangan kami untuk melancong. Esok pagi kami akan pulang ke rumah.
Aku memandang sekuntum bunga tulip yang diberikan oleh budak yang sering aku lihat pagi tadi dengan teliti. Seperti tergambar di kelopak bunga ini wajah kanak-kanak perempuan yang bernama Adibah itu. Aku masukkan ke dalam botol berisi air dan letakkan di atas meja solekku. Aku merenung bunga tulip itu. Aku masih ingat bagaimana peristiwa pagi tadi. Kanak-kanak perempuan yang akhirnya kutahu namanya itu memberiku bunga ini.
Aku dan keluargaku sedang berkemas-kemas untuk kembali ke rumah. Entah kuasa apa aku teringin sangat untuk melihat ke luar Chalet yang menghadap lautan membiru yang terbentang luas itu. Saujana mata memandang. Lantas aku berjalan menuju ke luar jendela. Namun pandanganku terhenti pada seorang budak perempuan sedang berjalan menuju ke arah Chaletku ini dengan sekuntum bunga tulip di tangannya. Aku yang agak hairan dengan kehadiran budak perempuan ini segara menuju ke luar. Nyatalah budak perempuan itu memang mahu pergi ke Chaletku. Dia berhenti menghadapku. Aku lantas mendapatkannya.
” adik nak apa?” aku bertanya sesudah sampai ke arahnya dengan suara yang lembut. Memancing minat budak itu untuk terus berbual denganku. Namun pertanyaanku dijawabnya dengan tangannya terjulur ke arahku sambil memegang bunga tulip ini.
” adik bagi bunga ini kat akak ke?” tanyaku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Dia mengangguk. Aku mengambilnya lantas memelukknya. Satu perasan aneh menjalar dalam tubuhku. Dia kuibaratkan seperti adikku sendiri.
” sekarang adik mesti jawab pertanyaan akak kali ini. Sebab ini kali terakhir kita berjumpa ya. Emm siapa nama adik?” kataku padanya. Dia memandangku. Sayu. Lama kemudian dia menjawab antara dengar dengan tidak.
” Adibah...” sehabis saja perkataan itu dia segera berlalu pergi. Berlari sebelum sempat aku berkata dan menghilang di balik pokok bunga sebelum sempat aku memanggil namanya. Aku mengeluh pelahan. Namun seketika kemudian dia muncul kembali dari balik bunga itu tapi tidak datang rapat padaku. Dia hanya memandangku dari jauh. Aku tersenyum kepadanya sambil mengajukan bunga di tanganku. Serta merta segaris senyuman terukir di bibirnya. Aku lega dengan perubahan itu tapi rasa sedih dan kecewa kerana aku akan pulang sebentar lagi. Seketika kemudian Adibah menghilangkan diri dari pandangan mataku.
Aku terkejut dari lamunan apabila Hanim memanggil namaku dari ruang tamu. Aku pergi kepadanya.
” kenapa Nim.” tanyaku kepadanya.
” cuba tengok tu.” jawabnya sambil tangannya menunjuk ke arah tivi di hadapannya. Aku melihat ke arah skrin tivi yang ditunjukkan. Berita perdana Tv satu sedang ditayangkan.
” kenapa dengan Tv ni.” aku tidak mengerti.
” alaaaa cuba akak tengok. Kan itu tempat kita pergi semalam. Tsunami datang melandalah kak. Cuba akak tengok dan dengar apa yang dikatakan pemberita ni.” kata Hanim lagi. Aku memandang ke arah tivi kembali. Sementara itu Hanim memanggil ayah dan ibu. Aku mendengar butiran dari pemberita itu sekali melihat gambarnya. Ya, tidak salah lagi itulah tempat yang kami pergi.
Pemberita itu menyatakan tidak ada sesiapa yang selamat akibat Tsunami yang melanda pantai itu. Serta merta aku terbayangkan wajah Adibah. Mataku tidak berkelip melihat gambar yang ditayangkan sambil telingaku mendengar setiap butir kata wartawan yang bertugas. Aku tidak tahu entah bila ayah dan ibuku sampai dan duduk di kusyen. Aku pula hanya berdiri.
Menurut wartawan itu lagi kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan tetapi diberhentikan seketika ekoran daripada gelombang Tsunami masih belum surut sepenuhnya. Habis saja berita yang menyiarkan Tsunami, Hanim menukar siaran ke tivi tiga pula. Mencari maklumat sepenuhnya tentang kejadian itu. Tivi tiga juga sedang menyiarkan perkara yang sama. Pandangan mataku terpaku pada sesusuk tubuh yang sedang sibuk menyelamat mangsa-mangsa Tsunami. Aku seakan tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Benar, wajah dan tubuh serta baju yang dipakainya memang betul-betul menyerupai Hafizi, pemuda yang aku kenali.
Aku tanya kepada emak, Hanim dan ayahku tentang Hafizi yang sedang ditayangkan di kaca Tivi itu tapi apa yang dikatakan oleh ibuku sungguh di luar dugaanku.
” mana pula. Mak tak nampak pun apa yang kau cakap ni Ana. Kau ni merepek saja.” kata emak dan disokong oleh ayah dan Hanim.
Aku hanya tepuk kepala dan menggaru kepalaku yang tidak gatal. Aku bukannya merepek. Memang benar apa yang aku nampak Hafizi masih hidup. Macam mana pula dia boleh hidup padahal pemberita itu kata tiada sesiapa yang selamat. Dan macam mana pula emak, Hanim dan ayahku tidak nampak Hafizi yang terang-terang lagi bersuluh berada di kaca Tivi sedang bersama-sama pasukan penyelamat menyelamatkan mangsa. Semua itu tersarung di kotak fikiranku. Dan yang paling mendebarkan hatiku bahawa mangsa yang diselamatkan oleh pasukan penyelamat itu ialah Adibah. Budak perempuan yang memberikan aku bunga tulip pagi tadi. Adakah ini semua satu kebetulan. Aku bersyukur Allah menyelamatkan keluargaku dari malapetaka itu. Begitu agungnya kuasa Allah.
Aku kembali ke bilik sesudah melihat berita yang ditayangkan habis dengan kepalaku yang masih berserabut dengan seribu pertanyaan. Aku melihat ke arah bunga tulip yang dihadiahkan oleh Adibah kepadaku. Bunga itu sudah layu. Serta merta gambaran wajah Adibah dengan kematiannya yang sukar dipercayai bertakung di fikiranku. Serta merta air mataku terjurai keluar dari kolam air mataku ini. Aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Begitu cepat Allah mengambilnya padahal baru pagi tadi dia bermesra kepadaku. Aku hanya memandang bunga tulip yang semakin layu itu. Tidak sampai hati aku membuangnya. Membuangnya seperti membuang Adibah dalam hidupku walaupun perkenalan kami bersifat sementara. Wajah Hafizi tergambar di ruang fikiranku. Kedua-dua mereka mengamit suatu pengajaran sepanjang hidupku nanti. Begitu besarnya harga sebuah pertemuanku dengan mereka berdua yang mungkin tidak dapat aku lupakan. Namun aku masih terfikir tentang Hafizi. Tentang kemunculan dan kepergiannya dalam hidupku. Ahh....Entahlah. Begitu besarnya kekuasaan Allah dalam hidup ini.
Hakcipta Terpelihara:
S. Hana Ak
090408 ( rabu )
12.44 pm
Kolej Harun Aminurrashid Tanjung Malim, Perak.
nice story but sy rasa ada sesuatu part yang tertinggal..he2 teruskan usaha..
ReplyDelete