Saturday, June 17, 2017

Diksi Cinta Kepada Desa



Bismillahirahmanirrahim

Aku kembali menganyam impian di sebuah desa kecil yang permai, masih kaya dengan flora dan faunanya. Memugar cinta lewat dinihari hinggalah langit kirmizi berubah kelam dan bulan pun mulai jaga bersama sinaran berjuta-juta mutiara alam di balik sana. Saat pawana membisikkan aura kasihnya, aku menyelimuti diriku dengan cinta hakiki yang maha dalam pada Dia Yang Maha kaya.

Seiring waktu berdetak dan dunia mulai terang seusai bahana bahang sang suria, aku kembali patrikan diri dengan persekitaran lantas menyatu dalam dua makna terhebat iaitu cinta dan penghayatan bersama seribu mimpi yang bersemadi di relung jiwa paling indah. Saat aku terjaga dari tiduran aku cuma berharap agar impianku ini menjadi realiti bukan dongengan semata.

Teman, aku selalu berharap dan bermohon agar impianku untuk melihat kedamaian dan keindahan desaku ini kekal selamanya dan tidak akan tercemar oleh tangan-tangan raksasa yang rakus membantai alam. Pernah juga kekhuatiranku terakam jelas di wajah saat membayangkan bahawa bagaimana andai suatu masa nanti semua keindahan ini akan sirna dan mungkin akan hilang terus dari kaca mata generasi berikutnya. Jika itu terjadi, maka akulah insan terpilih yang paling malang di bumi merdeka ini.

Teman, andai takdir memungkinkan kita untuk tidak bersama dalam mencipta impian, maka bantulah aku untuk bersama-sama berjuang mencintainya lantas menjadikannya nyata bukan fantasi belaka. Seiring peredaran zaman, maka ku mohon moga kau dan aku terus tabah menggapai mimpi dan memugar impian agar apa yang kita mahukan akan dimakbulkan-Nya. Insya Allah, aminn

S. Hana AK
4 Jun 2017
Johor Bahru

Tuhan, Jaga Dia


Bismillahirahmanirrahim


Tuhan
jaga dia untuk orang lain
kerna kami tak akan bersama
membina mahligai
di bawah redha-Mu.

Tuhan,
aku terpaksa tinggalkannya
kerna itu yang dia mahu
kerna itu hakikatnya
walau luka kubawa bersama
namun aku percaya
masa adalah penawarnya.

Tuhan,
aku ingin mencintainya
kerana-Mu
maka aku mencintai dia
seadanya.

S. Hana AK
Johor Bahru


Friday, June 16, 2017

Mencintaimu


Bismillahirahmanirrahim

Mencintaimu
adalah anugerah Dia buatku
mencintaimu dalam diam
takkan sesekali ku luahkannya
cukuplah ia bersemi sentiasa di qalbu.

Mencintaimu
seperti bunga yang mekar mewangi
menjadi impian si rama-rama
menghisap nektar pada madunya.

Cukuplah aku mencintaimu dalam diam
diamku tidak bermakna
aku adalah wanita lemah
namun itulah kekuatanku
mencintaimu dalam keadaan
aku jaga maruahku sebagai wanita terindah.

Pernah kutekadkan pada diri
cinta tanpa kata-kata
adalah cinta yang indah
cukuplah doa menjadi pemudah bicara
cinta tanpa kata-kata
adalah cinta yang indah
hanya redha-Nya menjadi destinasi abadi.

Mencintaimu dalam diam
adalah prinsip yang kupegang teguh
takkan sesekali kugoyahkannya
sudah ku tetapkan pada diri
aku ingin menjadi seperti mereka
wanita-wanita mulia
pendamping hidup Rasulullah saw
mulia di dunia, mulia di akhirat.

Bukan tidak pernah kulanggar tekadku ini
mengenangnya membuatku tersipu malu
alangkah jahilnya diri ini
alangkah berdosanya aku kepadamu
pada Allah Yang Maha Pencinta
mengingatinya membuatku seringkali
menangis kerananya
rasa bersalah yang amat
mana maruahku, mana prinsip cintaku
kepada yang bergelar manusia.

Sekarang, aku ingin memuliakannya kembali
mencintaimu dalam diam
itu lebih baik untukku dan untukmu juga
biarlah Allah yang menentukannya
jika benar kita ditakdirkan bersatu, alhamdulillah
namun jika tidak, alhamdulillah
sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui.



S. Hana AK
Johor Bahru