Assalamualaikum sahabat semua. Moga kita sentiasa berada dalam lindungan dan rahmatnya Allah Swt. Insya Allah, aminn. Sahabat, tadi saya mendengar kisah tentang ibu dari laman Youtube yang diceritakan oleh saudara Syamsudin Nur. Kisah seorang anak yang merasakan ibunya tidak menyayanginya lantas berfikir bahawa ibunya seorang yang jahat lalu lari dari rumah. Menjelang tengah hari, dia berasa lapar lalu pergi ke sebuah warung namun memikirkan tiada wang maka anak kecil ini cuma berlegar-legar di sekitar warung itu sahaja.
Apabila melihat gelagat anak kecil itu, pemilik warung tersebut lantas memanggilnya lalu memberinya makan secara percuma. Maka anak ini makan dengan lahapnya. Selesai makan anak kecil ini mengucapkan terima kasih pemilik warung tersebut atas budi baiknya. Malah dia juga turut menyatakan bahawa pak cik (pemilik warung) ini seorang yang baik, tidak seperti ibunya yang tidak menyayanginya.
Mendengar perkataan yang keluar dari bibir anak kecil itu, Pak cik ini berasa hairan lantas bertanya mengapa anak kecil ini menyatakan sedemikian rupa. Apabila mendengar ceritanya, lantas pak cik ini menyuruh si anak ini pulang ke rumah dan memintanya untuk mengucapkan terima kasih kepada ibunya. Dia menyatakan kepada anak kecil ini bahawa ibunya sangat menyayanginya. Setiap hari ibunya akan memberinya makan, membasuh bajunya dan melakukan kerja-kerja lain untuk memberi keselesaan kepadanya. Itu adalah bukti bahawa ibunya sangat sayang padanya.
Pak cik ini juga menyatakan bahawa dia hanya memberinya makan sekali sahaja lantas si anak mengucapkan terima kasih dan mengatakan dia seorang yang baik padahal ibunya yang setiap hari memberinya makan dianggap jahat dan tidak berterima kasih kepadanya. Bagaimana mungkin hal ini berlaku. Di mana terima kasih kita sebagai anak kepada seorang ibu yang membesarkan kita?
Sahabat semua, Kisah ini sangat memberi manfaat kepada kita. Mendengar kisah ini membuatkan saya teringat kepada arwah ibu saya. Ibu saya seorang yang boleh dikatakan sangat tegas orangnya. Jika salah sikit maka air mata pasti keluar diselangi dengan raungan kesakitan. Namun di sebalik ketegasannya ibu seorang yang sangat penyayang. Dia basuh baju kami, dia masakkan makanan kegemaran kami, setiap hari ibu akan cari kayu api di hutan, buat kerja-kerja kampung untuk cari duit semata-mata mahu membesarkan kami anak-anaknya.
Bila kami sakit, tiada seorang pun dari kami akan ditinggalkan di rumah, semuanya ibu bawa ke hospital walaupun masa itu hanya seorang sahaja yang sakit. Namun Allah swt lebih menyayangi ibu. Ibu meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Sebelum ibu meninggal ibu pernah kata bahawa dia tidak mahu tinggalkan dunia ini kerana mahu lihat kami anak-anaknya membesar di depannya. Kata-kata ini saya dengar dari kakak saya tapi kata-kata ibu ini tidak pernah saya lupa. Saya tahu ibu sayangkan anak-anaknya. Sebab itulah dia sembunyikan penderitaannya selama ini semata-mata mahu melihat kami gembira.
Sungguh, pengorbanan ibu sangat besar. Walaupun hanya sebentar ibu hadir dalam hidup ini, namun kenangan-kenangan bersamanya sentiasa tersemat kejap. Sungguh, saya sayangkan ibu. Saya cintakan ibu. Dunia akhirat. Doa selalu kutitip untuk ibu semoga Allah SWT ampunkan dosa ibu, menyayangi ibu dan memberikan Jannah Firdaus untuk ibu. Saya tahu ibu banyak menderita ketika di dunia, makanya saya tidak mahu lagi ibu menderita di akhirat. Saya sebagai anaknya mahu ibu bahagia di sana. Terima kasih ibu atas segala apa yang ibu lakukan di dunia ini untuk kami anak-anak ibu. Kami, anak-anak ibu akan sentiasa doakan ibu. Moga kerinduan terhadap ibu akan terubat apabila kita berjumpa di JannahNya Allah SWT nanti. Insya Allah, aminn
Sahabat semua, Saya doakan agar kita menjadi anak yang baik, soleh dan solehah untuk ibu ayah kita. Insya Allah, aminn. Moga nanti kita juga menjadi saham akhirat buat ibu ayah kita di akhirat nanti. Insya Allah, aminn. Semoga kita membahagiankan mereka semasa hidup. Menjaga mereka ketika tua dan mendoakan kebahagiaan mereka apabila mereka tiada nanti. Aminn
#Mari kita berusaha menjadi anak yang soleh dan hamba Allah SWT yang soleh dan solehah sahabat semua. Insya Allah, aminn
#Terima kasih ibu...
No comments:
Post a Comment