Tuesday, December 20, 2016

Coretan Petang Yang Dingin


Bismillahirahmanirrahim


Asalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat-sahabat semua. Moga kalian sentiasa selamat di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn. Sahabat,  tinggal beberapa hari lagi, saya berada di kampung sebelum meninggalkannya untuk mencari rezeki jauh di seberang samudera. Semenanjung emas, tempatku bermukim selama bertahun-tahun semata-mata mencari kelangsungan hidup. Jika diikutkan hati, seperti kebanyakan orang, saya juga berasa berat hati untuk meninggalkan desa kesayangan ini. Namun, Ya, saya perlu meninggalkannya. Insya Allah, jika diizinkan Allah SWT, tahun depan saya akan balik semula ke sini. 

Tinggallah burung, tinggallah sawah, kupu-kupu cinta, pelangi senja, tinggallah langit biru, tinggallah embun, kabus, rerumput bernyanyi, pohon-pohon cinta, pepatung indah, cengkerik gelisah, tinggallah semuanya. Saya pasti akan merindui mereka, pasti akan merindui tempat-tempat bermain sewaktu kecil dahulu, saat semuanya kelihatan menyeronokkan. Saya juga pasti akan rindu akan mutiara hujan, sarang lelabah, sungai-sungai, bukit-bukau dan pawana dari perbukitan. Pasti juga rindu akan suasana desa, rindu dengan kehidupan desa. Ah, betapa segalanya menjadi kerinduanku.

Sahabat sekalian, tengah hari tadi hujan, lebat turunnya. Bagaikan mutiara ia berjejeran dari langit. Hadirnya membuat suasana menjadi sejuk, nyanyian beburung tenggelam dalam keasyikan gemuruh air mata alam. Namun guruh dan petir tidak pula kedengaran. Mungkin malu memperkenalkan diri. Tidak mengapa, alam masih terlihat indah di sana. Tangisan langit cuma sebentar kemudian mentari mulai bersinar kembali, menerangi alam, mengeringkan rerumputan yang basah, menjamah embun di dahan-dahan rapuh dan akhirnya beburung dan kupu-kupu cinta pun bersiul girang. Alam mula berseri kembali, bagaikan taman-taman di syurga. Alhamdulillah, Moga esok keindahan ini sentiasa abadi selamanya. Insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai di sini saja coretan saya kali ini. Moga jumpa lagi di lain waktu. Salam...


Friday, December 16, 2016

Kesayanganku


Bismillahirahmanirrahim

Duhai kesayanganku. Aku selalu mengingatimu walau kau tak pernah menyedarinya. Mungkin aku tak pernah ada dalam doamu, tak pernah juga berada di hatimu. Namun ketahuilah, namamu selalu singgah di hati dan bibirku saat aku berdoa kepada-Nya.

Duhai kesayanganku. Aku selalu menunggumu. Menunggu kasihmu bercambah buatku walau aku tak tahu bila ia akan bersemi dalam hatimu. Namun ketahuilah, doa untukmu selalu kutitip agar kau selalu berada dalam rahmat-Nya. 

Wahai kesayanganku, aku selalu berharap agar suatu masa andai aku pergi darimu, kau akan tahu bahawa aku menyayangimu setulus hatiku. Tidak kupinta apa-apa darimu, cukuplah rasa ini selalu bersamaku selamanya. Ku genggam ia menjadi sebahagian dari hidupku.

Wahai kesayanganku, betapa mahalnya air mata andai perpisahan terjadi antara kita. Saat kau menjauhkan diri dariku, aku selalu berdoa agar aku sabar dan kuat dalam menempuhnya. Ku harap juga agar Dia menemukan kita di sana nanti.

Kesayanganku, aku tidak tahu apa akan berlaku antara kita di masa depan. Mungkinkah kita akan bersama atau tidak namun walauapapun yang berlaku aku mahu kau tahu bahawa aku sayang padamu selamanya. Dunia dan akhirat.

Kesayanganku, moga engkau sentiasa bahagia dan selamat di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminn

S. Hana AK
Sabah

Tuesday, December 13, 2016

Diari Orang Kampung


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Saya doakan agar kita semua sentasa sihat walafiat di samping insan-insan yang tersayang. Sahabat semua, masa terus berlalu, menuju destinasi yang abadi. Setiap kita punya lorong hidupnya masing-masing. Saya dengan jalan hidup saya dan kalian dengan titian hidup kalian. Jika takdir menemukan kita, maka bertemulah kita di setiap persimpangan. Di situlah kita berkenalan, bersahabat, bercinta dan berkahwin. Dari pertemuan itu bercambahlah pelbagai memori suka-duka bersama.

Sahabat semua, tengah hari ini, saya berasakan alam amat mesra dengan saya. Bayu bertiup menyegarkan suasana yang dibahangi oleh matahari.  Saya berasa sangat bahagia. Saya buka laptop, pasang zikir-zikir penenang hati, baca laman-laman sosial yang selalu menjadi perhatian saya. Di luar sana detik kedengaran siulan burung-burung serindit ataupun pipit. Mereka adalah muzik semulajadi yang tidak memerlukan manusia untuk membunyikannya. Tidak terkecuali juga kokokan ayam jantan yang memeriahkan suasana walaupun masih berada dalam lingkungan tengah hari.

Desa saya ini jauh dari hiruk-pikuk kota raya. Bahkan daerah saya ini hanya mempunyai sebuah pekan yang mula membangun tapi masih kaya dengan flora dan faunanya. Di sepanjang jalan raya akan kelihatan sawah padi, sungai dan kampung-kampung. Sungguh, saya berasakan saya amat tenang dan tenteram berada di dalam kepompong daerah ini. Walaupun matahari semakin terik namun keadaan masih sejuk, dingin dan menyegarkan. Tiada bunyian dan raungan raksasa daripada kenderaan motokar mahupun kenderaan lain. Kalau adapun ia masih berada di tahap yang masih terkawal.

Kebanyakan penduduk di daerah saya ini iaitu daerah Tambunan berkerja sebagai petani dan penoreh getah. Selalunya mereka berada dalam lingkungan separuh usia. Malah ada yang makan gaji yang selalunya dimonopoli oleh golongan muda. Setiap hari khamis dan minggu, selalunya ada pasar tamu di dua tempat yang berbeza. Di situlah terjalinnya hubungan silaturrahim sesama mereka apabila berjual dan membeli.

Setiap tahun saya luangkan masa sekurang-kurangnya sekali atau dua tiga kali untuk balik ke sini. Menikmati keindahan kampung dan menghayati kehidupan sebagai orang kampung. Akhir bulan ini, saya akan kembali ke semenanjung emas tempat saya mencari rezeki. Dua tempat yang berbeza tapi tetap menjadi kerinduan saya. Kedua-duanya ada kisah yang tersendiri yang hanya saya dan Allah SWT sahaja yang tahu.

Baiklah sahabat semua, tiba masanya saya mengakhiri kisah ini. moga jumpa lagi...salam


Monday, December 12, 2016

Bicara Pena



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kalian sentiasa mendapat rahmat dan lindungan daripada Allah SWT. Malam ini terdetik di hati untuk menulis setelah berbulan-bulan tidak  mencoretkan sesuatu di blog ini. Malam ini saya berasa sangat indah dan membahagiakan. Sudah beberapa hari saya bercuti di kampung. Setiap hari bila bangun dari tidur, saya lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Melihat kampung yang indah dan mendamaikan membuatkan jiwa saya menjadi tenang. Sungguh, saya sebenarnya dilanda kerinduan terhadap desa permai saya ini.

Sahabat semua, saya sentiasa berasa bersyukur kerana Allah SWT menjadikan saya sebagai orang kampung.  Lahir dan membesar di kampung membuatkan saya belajar segalanya.  Belajar dan bekerja di bandar membuatkan saya tidak melupakan asal usul saya. Saya selesa berada di kampung dan tidak kekok apabila berada di bandar. Bak kata orang lain, saya boleh hidup dalam dua dunia, bandar dan kampung. Mungkin jika saya lahir dan membesar di bandar, pasti saya tidak tahu bagaimana kehidupan sebagai orang kampung, malah kemungkinan saya tidak akan selesa tinggal di sana.

Saya menyukai orang bandar. Sukakan dia sejak dulu tapi saya selalu berasa kami tidak sepadan. Umpama langit dengan bumi dan saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama orang lain. Bagi saya, biarlah dia mencari yang lebih baik berbanding saya bahkan boleh dikatakan sekufu. Dia selalu bersemadi di hati ini, tidak pernah sekelumit pun rasa ini pergi dari hidupku. Sahabat sekalian, jika ditanya mengapa saya membiarkan dia bersama orang lain, jawapan saya adalah, saya ingin mencintainya kerana Dia Yang Maha Pencipta. Saya akan doakan kebahagiaan dia walau saya tak dapat memiliki hati dan jasadnya. Lagipun dia tak pernah beri saya harapan dan saya merasakan bahawa saya tidak pernah berada dalam hatinya.

Saya mempunyai banyak impian dalam hidup ini, selain impian untuk dunia saya juga mengimpikan kebahagiaan di akhirat. Selalu bercita-cita mahu memasuki jannah-Nya dan sekaligus mahu bertemu dengan Ya Khaliq. Inilah tingkat kebahagiaan saya yang tertinggi. Di dunia ini saya mengimpikan untuk melihat dunia luar. Mengimpikan untuk menikmati keindahan alam di bumi asing. Bercita-cita untuk menjadi seorang pengembara, menghayati, mendalami dan memahami budaya dan masyarakat bangsa lain. Bagi saya, mengembara ini membuatkan kita berfikir banyak perkara. Bukankah Allah SWT juga menyuruh hamba-hamba-Nya untuk mengembara, melihat ragam dan kisah hidup orang lain.

Sahabat semua, alam ini indah. Alam ini adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Dia mengajak kita untuk berfikir malah  dalam kitab suci yang diturunkan-Nya iaitu al-Quran, begitu banyak kalam yang membicarakan tentang alam. Hal ini menunjukkan bahawa kita sangat kerdil di sisinya, bahkan kalau dikira, yang sebenarnya kita tidak bermakna apa-apa langsung pada-Nya. Terlalu banyak rahsia di dunia ini, rahsia Allah SWT kepada kita sebagai manusia yang berakal yang mesti kita cari dan gali maknanya. Moga kita menjadi orang yang berilmu pengetahuan sahabat sekalian, insya Allah, aminn.

Baiklah, sampai jumpa lagi sahabat semua. Saya mendoakan kita agar menjadi pencinta alam yang tegar. Mencintainya setulus hati, menghargainya seikhlas hati. Aminn





Sunday, December 11, 2016

Bicara Buat Teman


Bismillahirahmanirrahim

Teman,
apa khabar dirimu di sana?
masihkah seperti dulu
riang dan bahagia senantiasa?

Sungguh, aku rindu padamu
walau kita bagaikan camar yang
hilang tempat untuk berteduh.

Teman,
kukirimkan doa buatmu
biar jiwa kita menjadi satu
walau aku tak pernah 
hadir dalam hidupmu.

# Menjalin ukhuwah sejati

S. Hana AK

Selamat Pagi Alam


Bismillahirahmanirrahim

Selamat pagi alam...
moga kalian tetap indah
di mata kami
yang bernaung di bawah rimbamu.


Selamat pagi duhai teman-teman
moga kalian tetap bahagia
menyusuri denai kehidupan
di bawah sinar mentari pagi.


Selamat....selamat wahai cintaku
aku sayang kalian
di dunia dan akhirat.

#bahasa alam bahasa qalbi
#menuju jalan yang satu

S. Hana AK